Friday, September 24, 2010

BILA ISLAM TIDAK DIJADIKAN PANDUAN HIDUP

Minda: Larangan Allah ada hikmahnya



2010/09/24

ISLAM adalah agama serba sempurna dan diturunkan lengkap dengan aturan demi kesejahteraan manusia. Melalui al-Quran, umat Islam tidak hanya dipandukan dengan jaringan penghidupan bersyariat yang tetap dan hal itu termasuk dalam aspek perintah dan larangan Allah.
Semua yang baik dianjurkan dan segala mengandungi kemudaratan buat manusia, Allah adakan larangan. Mengapakah manusia seperti kita ini perlu diberikan panduan untuk menjalani kehidupan di dunia ini? Manusia sebagai khalifah Allah di bumi walaupun dilengkapi dengan akal fikiran, masih kurang ‘kuasa’ untuk berhadapan dengan nafsu dan godaan syaitan. Inilah dua musuh utama manusia yang semestinya disedari dan sentiasa berwaspada. Lantaran itu, dengan panduan daripada Allah dan Rasulullah s.a.w, manusia akan berupaya membina landskap kehidupan bermutu tinggi. Jadi, dalam bicara kali ini marilah kita bersama-sama menghayati dengan kualiti akal segala yang dilarang Allah Taala kepada manusia. Baiklah, sekarang kita tinjau larangan yang terkandung dalam al-Quran, kemudian kita telusuri pula dari segi saintifik mengapakah larangan itu Allah kenakan kepada kita. 1. Larangan berzina
Zina satu dosa besar yang amat dilarang Allah, namun dalam dunia serba moden ini perbuatan itu sudah menjadi penyakit sosial yang semakin kronik. Ramai golongan muda Islam yang turut hanyut dengan gejala ini. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 bermaksud,: ‘Dan janganlah kamu hampiri zina, sesungguhnya zina itu amat keji dan jalan yang amat jahat.’ Allah mengancam pelaku zina itu dengan ancaman azab seksa yang maha pedih di akhirat kelak. Baiklah, sekarang mari kita selidik secara ringkas dari segi saintifik pula apa yang ada di sebalik perbuatan zina itu? Banyak kajian yang dilakukan pakar perubatan menunjukkan pelbagai penyakit timbul akibat zina. Antaranya yang kini sangat membimbangkan ialah penyakit kelamin seperti sifilis dan Aids. Dari sehari ke sehari, jumlah penghidap Aids bertambah dan melalui kajian perubatan, antara faktor pencetus penyakit itu menular ialah kerana amalan seks bebas. Ini tentunya termasuk berleluasanya zina dan seks sejenis. Rasulullah sendiri berpesan kepada kita agar menjauhi amalan keji itu dalam hadis yang bermaksud: ‘Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Tiga yang diperoleh di dunia ialah hilangnya seri di wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperoleh di akhirat ialah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka.’ (Hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan Al-Hakim ). Benarlah ramalan nabi mengenai kroniknya masyarakat Islam suatu hari nanti apabila Baginda mengatakan: ‘Akan muncul daripada umatku mereka yang menghalalkan perbuatan zina, menghalalkan sutera bagi lelaki, minum arak dan lagu yang melalaikan.’ (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari). Keempat-empat perbuatan yang nabi nyatakan itu sudah pun menjadi perkara lumrah dan tidak lagi dilakukan secara berselindung, misalnya minum arak. Sekarang, mari lihat statistik yang menggerunkan kita. Mengikut statistik sehingga Disember 2005, terdapat sejumlah 4.3 juta kes HIV/Aids di seluruh dunia dan di Malaysia saja ada 52,000 kes. Kementerian Kesihatan pula dalam datanya menunjukkan 40 peratus daripada mereka yang dijangkiti HIV terdiri daripada remaja berumur 29 tahun ke bawah. Inilah akibatnya apabila peringatan Tuhan dan segala pesanan nabi supaya menjauhi zina tidak dihiraukan. Ini di dunia, di akhirat nanti tentu azab seksa api neraka menunggu si pelakunya. Nauzulbillah min zalik, mintalah dijauhkan daripada kita semua amalan buruk yang dilaknat Allah ini.
2. Minum arak
Arak jelas diharamkan Islam sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90 bermaksud: ‘Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan melihat nasib menggunakan anak panah adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya.’ Malah Rasulullah ada menegaskan: ‘Hindarkanlah diri daripada arak, sesungguhnya ia pembuka segala kejahatan.’ (Hadis riwayat Al-Hakim). Apa ada di sebalik arak itu? Arak ialah alkohol dalam bentuk ‘ethyl alcohol’ dan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak serta sering mengakibatkan ketagihan. Hasil satu kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2004 terdapat dua bilion penduduk dunia minum arak dan 76.3 juta daripada jumlah itu mengalami masalah kesihatan serius. Malah, di Eropah saja dilaporkan 1.8 juta kes kematian disebabkan arak. Begitulah keadaannya di negara kita. Gejala remaja dan belia Islam yang minum air syaitan ini sudah terikut-ikut sama.

Nampaknya kemodenan Barat hanya mereka lihat kepada budaya dan gaya hidup saja. Ini menyedihkan kerana sepatutnya unsur positif yang bersesuaian dengan agama perlu diamalkan. Yang jelas, apa saja yang masyarakat Barat lakukan, mereka pun turut amalkan. Kepada yang terlajak melakukannya selama ini, segeralah bertaubat kepada Allah kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.

Demikianlah peringatan daripada Allah iaitu jauhi zina dan arak yang di sebalik larangan-Nya, tersirat makna saintifik yang kini semua pakar perubatan mengakui kebenarannya. Jadi, hendaklah kita sentiasa beringat terhadap segala larangan Allah, demi kebaikan kita.
>Penulis seorang guru

Tergamam lihat anak diseret



2010/09/24
LEDANG:Kegembiraan seorang kanak-kanak yang berusia tiga tahun menyertai marhaban sempena Aidilfitri di rumah sekitar Serom Dua, Bukit Gambir di sini, berakhir tragis apabila dia cedera selepas diseret sejauh kira-kira 20 meter oleh motosikal mengangkut susu getah yang ditunggang sepasang suami isteri, jam 9.30 pagi Ahad lalu.
Akibat seretan di jalan berturap itu, Ahmad Hafizulamin Abdul Jalil cedera teruk di muka selain calar di sebahagian besar anggota badan.

Ibunya, Wahana Wagiman, 44, berkata anak bongsunya itu beria-ia untuk menyertai marhaban dan tidak kisah menunggu lama di setiap destinasi dituju.

“Ketika kejadian, Ahmad menunggu saya di tepi jalan manakala saya pula mengalihkan motosikal untuk ke rumah seterusnya.

“Tiba-tiba, dia dirempuh motosikal membawa muatan getah dan diseret sejauh kira-kira 20 meter. Saya yang terkejut dengan kejadian menjerit kepada pasangan suami isteri terbabit tetapi mereka tidak berhenti,” katanya, semalam.

Pada masa sama, Wahana turut berlari mengejar motosikal terbabit dan tidak lama kemudian, barulah penunggangnya memberhentikan kenderaan terbabit

Ketika itu, baru pasangan suami isteri terbabit menyedari Ahmad terperosok di bawah motosikal dan memberi alasan tidak perasan dengan perkara berkenaan.

“Saya hanya mampu menangis melihat keadaan Ahmad yang cedera di muka serta tubuh dan mengejarkannya ke pusat rawatan berhampiran untuk diberikan rawatan

“Bagaimanapun, syukur kerana doktor mengesahkan Ahmad tidak mengalami sebarang kecederaan parah dan keadaannya kini stabil selain menunjukkan tanda positif untuk pulih,” katanya.

Wahana turut kesal dengan tindakan pasangan suami isteri terbabit yang cuai ketika menunggang motosikal dan muatan lebih hingga membahayakan nyawa orang lain.

Sehubungan itu, dia dan suami bercadang membuat satu laporan polis dalam masa terdekat supaya tindakan boleh diambil terhadap penunggang motosikal terbabit.


Oleh Abdullah Wahab, Hamizah Badiran, Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Shamsul Munir Safini

Tak terniat ambil kesempatan


2010/09/24
KUALA LUMPUR: “Tak pernah terlintas langsung di hati saya untuk mengambil kesempatan terhadap harta isteri dan keluarganya seperti tohmahan yang dilemparkan. Bagi saya, tiada lebih penting selain keharmonian keluarga dan anak-anak tiri saya,” kata suami Datuk Sosilawati Lawiya.
Ahli perniagaan berusia 48 tahun itu yang masih enggan identitinya didedahkan berkata, dia kurang menonjolkan diri di sebalik kematian tragis isterinya kerana tidak mahu orang tersalah anggap dan menuduh dia ingin mengambil harta jutawan wanita itu.

“Maklumlah perkahwinan saya dengannya masih baru, jadi orang mudah berprasangka terhadap saya. Insya-Allah, wang yang saya ada cukup untuk saya,” katanya dalam temuramah dengan RTM dan Harian Metro di sini, semalam.

Lelaki itu berkata, dia bernikah dengan jutawan kosmetik berkenaan pada November tahun lalu dan jarang mencampuri urusan perniagaan isterinya yang dipanggil dengan panggilan Wati.

“Saya sudah mengenali Wati 10 tahun lalu atas urusan perniagaan sebelum berkahwin dengannya, malah perkahwinan kami atas dasar cinta dan bukan seperti digembar-gemburkan masyarakat iaitu kerana harta atau sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa isterinya pada 26 Ogos lalu ketika menghantar Wati menghadiri perbicaraan mahkamah pada hari berkenaan dan sepanjang Ramadan lalu hanya dua kali mereka berbuka puasa bersama.


Katanya, dia tidak dapat melupakan permintaan terakhir arwah supaya mengimamkan solat Maghrib ketika pertemuan terakhir mereka.

“Itu permintaan terakhirnya kepada saya sebelum dia dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dan seterusnya disahkan mati akibat dibunuh secara kejam hampir dua minggu kemudian,” katanya yang berasal dari Indonesia, tetapi sudah mendapat status penduduk tetap negara in.

 
Ketika ditanya mengenai perniagaannya, beliau yang berstatus duda beranak tiga sebelum berkahwin dengan Sosilawati berkata, dia terbabit perniagaan import dan eksport, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perniagaannya.

Beliau amat berharap orang ramai tidak membuat tuduhan yang bukan-bukan ke atasnya dan menghormati privasinya serta pendiriannya untuk tidak mahu identitinya didedahkan.

“Sebelum ini, saya bukan mengelak daripada media, tapi saya risau soalan yang diajukan kepada saya akan mengganggu siasatan polis. Namun, saya kecewa apabila ada yang membuat tohmahan mengaitkan saya dengan kematian Wati.

“Untuk makluman, saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan siasatan polis setakat ini membuktikan saya tidak terbabit kes ini,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia juga berpuas hati dengan siasatan polis dan memuji kemampuan polis melakukan siasatan dalam masa singkat sebelum menahan suspek.

Sosilawati dibunuh kejam bersama tiga lagi individu lain iaitu Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangan, Noorhisham Mohamed, 38, ketika pergi ke Banting bagi tujuan pembelian tanah di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Mereka dipercayai diikat, dipukul dan ditikam hingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

Berikutan itu, polis menahan lapan suspek termasuk dua peguam adik-beradik berusia 41 dan 38 tahun kerana disyaki terbabit pembunuhan itu.


Mentua berdarah dibelasah menantu

Oleh Hadzlihady Hassan

2010/09/24
AMPANG: Menantu setan! Itu gelaran layak buat seorang lelaki yang membelasah ibu mentuanya selepas berang kerana dianggap campur tangan dalam hal ehwal rumah tangganya di Taman Cahaya, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Ahad lalu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an ditumbuk di muka hingga hidungnya berdarah, selain ditendang di perut.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut memecahkan cermin teksi milik ibu mentuanya selepas wanita berkenaan memberitahu mahu membuat laporan polis.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila seorang jiran menghubungi mangsa mengatakan anak perempuannya dipukul menantunya, menyebabkan wanita itu bergegas ke rumah pasangan berkenaan.

“Jiran itu menghubungi mangsa dan memaklumkan anaknya sudah tiga hari dipukul menantunya. Sejurus mengetahui hal itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi, bergegas ke rumah anak dan menantunya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, sejurus tiba, mangsa bertanyakan kepada menantunya mengapa dia sanggup berbuat demikian kepada isterinya.

“Mendengarkan soalan itu, menantunya secara tiba-tiba naik angin dan terus menendang perut ibu mentuanya tanpa belas kasihan.

“Bagaikan dirasuk, dia kemudian mengamuk dan memecahkan semua barang dalam rumahnya hinggakan mangsa turut terkena serpihan barangan yang pecah itu, selain ditumbuk hingga hidungnya berdarah,” katanya

Menurutnya, melihat menantunya semakin menggila mangsa cuba melarikan diri dan memberitahu akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Berikutan itu, menantunya mengekori mangsa sebelum menghayunkan topi keledar ke cermin teksi mangsa. Lelaki terbabit kemudian terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersama anak perempuannya,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu ditahan polis pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki terbabit bertindak memukul isterinya kerana dia gagal mendapatkan wang berjumlah kira-kira RM10,000 yang dikatakan untuk menjamin seorang saudaranya yang ditahan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun Keseksaan.



Waris bayi ditemui dalam pembetung dicari



2010/09/24

KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan waris bayi perempuan yang ditinggalkan dalam pembetung longkang berair berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Klang Gate, dekat sini, pada 6 Ogos lalu.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Noor Adelin Nordin, berkata bayi berkenaan kini diberi nama Nurul Ain Amani ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras, Kuala Lumpur sehingga 7 Oktober ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris bayi perempuan berkenaan boleh menghubungi talian 03- 87378007 atau 03- 87376700,” katanya



Suami upahan makan hasil isteri

Oleh Shamsul Munir Safini

2010/09/24  
KUALA LUMPUR: Lelaki tempatan dikesan sanggup menjadi suami ‘upahan’ bagi mengahwini wanita warga asing dari China secara kontrak semata-mata untuk mendapat habuan setiap bulan hasil kegiatan tidak bermoral isteri mereka di pusat hiburan sekitar ibu negara.
Wanita yang menjadi pelayan pelanggan (GRO) itu dipercayai berkahwin secara sah dengan suami masing-masing sebagai lesen untuk berada lebih lama di negara ini dan tidak perlu memperbaharui visa setiap bulan selain membebaskan mereka sekiranya ditangkap ketika menjalankan kegiatan pelacuran atau aktiviti lain yang tidak bermoral.
Taktik licik ‘isteri’ itu, bagaimanapun dibongkar apabila Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala lumpur menyerbu sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Taman Shamelin Perkasa di sini, kelmarin. Lebih mengejutkan, enam daripada lapan wanita GRO menggunakan status isteri kepada lelaki tempatan dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 10 malam itu.

Pegawai Turus D7 IPPKKL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya mengesan sesuatu tidak kena apabila keenam-enam wanita terbabit menggunakan surat status perkahwinan yang sama.

“Kami akan mengesan sama ada dokumen itu sah atau palsu. Bagaimanapun, semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

“Selain mereka, tujuh pengunjung pusat hiburan terbabit ditahan untuk siasatan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya juga menahan seorang wanita warga China yang menggunakan pas pelajar untuk masuk ke negara ini manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial.

Katanya, polis akan memanggil semua suami wanita terbabit bagi tujuan siasatan dan semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan


Helah pergi beraya

Oleh Nazarali Saeril

2010/09/24
JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan berumur 14 tahun menggunakan taktik pergi beraya di rumah rakannya di sekitar bandar raya ini sebelum ‘lesap’ bersama rakan lelakinya pada kira-kira jam 1 tengah hari 15 September lalu.
Melisa Natasha Mohamad Nassir dikatakan melarikan diri bersama remaja berumur 17 tahun dikenali sebagai Amirul, sehelai sepinggang dan hingga kini gagal dihubungi.
Ibu remaja perempuan itu, Hasimah Ujang, 45, dari Taman Universiti di sini, berkata pada hari kejadian, anaknya meminta izin daripada suaminya untuk keluar berhari raya bersama Amirul.

“Melisa baru pulang dari Singapura selepas beraya dengan neneknya di sana. Dia mengatakan mahu beraya ke rumah rakan dengan membonceng motosikal Amirul. “Ketika itu pula, saya di Melaka bersama lima anak. Petang hari kejadian, kami kembali dari Melaka dan menunggunya hingga ke tengah malam tetapi dia tidak pulang,” katanya, semalam.

Hasimah mengatakan Melisa yang juga anak keempat daripada enam beradik tidak mempunyai telefon bimbit dan menerusi rakan anaknya, dia berjaya menghubungi Amirul tetapi remaja lelaki terbabit enggan memberi kerjasama.

Katanya, Amirul terus mematikan telefon bimbitnya apabila ditanya berkaitan Melisa dan ia menambah kebimbangan mereka.

“Sudah sembilan hari Melisa hilang dan ini kali pertama dia keluar dan terus tidak menghubungi keluarga,” katanya. Sebelum ini, paling lewat pun dia akan pulang ke rumah sekitar jam 9 malam dan kami kenal dengan rakannya.

“Kami ada bertemu dengan keluarga Amirul dan mereka mengatakan Melisa pernah tidur di sana. Mereka turut mengatakan gagal menghubungi anak lelaki mereka hingga kini,” katanya.

Hasimah menggesa Melisa segera kembali ke pangkuan keluarga dan bersedia untuk melupakan kisah hitam terbabit demi masa depan anaknya itu.

Tambah merunsingkan beliau, Melisa bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hujung tahun ini.

Difahamkan Amirul yang berusia 17 tahun sudah tidak bersekolah dan Hasimah mengatakan dia tidak pernah mengenali remaja terbabit

Satu laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Taman Universiti sehari selepas kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Melisa diminta menghubunginya di talian 012-2103348 atau balai polis berhampiran

No comments:

Post a Comment