Friday, September 24, 2010

BERITA INI JADIKAN AKTIBAR..AGAR SENTIASA MEMOHON PERLINDUNGAN KEPADA ALLAH....

Tercekik susu

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/09/25

PUTRAJAYA: “Saya terkejut apabila pengasuh menghubungi kira-kira dua jam selepas menghantar anak ke pusat (asuhan) itu, memaklumkan anak saya yang berusia tiga bulan tidak sedarkan diri.
LAWAT...Muhammad Khairun (kanan) melawat pasangan Mohd Fairuz dan Haney Usniza yang kematian anak bongsunya, Farisha  kerana tersedak susu.
LAWAT...Muhammad Khairun (kanan) melawat pasangan Mohd Fairuz dan Haney Usniza yang kematian anak bongsunya, Farisha kerana tersedak susu.
“Saya bergegas ke rumah pengasuh dan dimaklumkan bayi dibawa ke Hospital Putrajaya dan apa yang menyedihkan, sebaik tiba di hospital, saya diberitahu anak tidak dapat diselamatkan dipercayai tercekik susu,” kata Haney Usniza Abdul Hamid, 30, ibu Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz, yang meninggal dunia, Selasa lalu. Anak bongsu tiga beradik dihantar ke pusat asuhan kanak-kanak di Presint 9, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Mengimbau semula kejadian tidak disangka itu, Haney berkata, dia menghantar anaknya ke pusat asuhan di blok sama berhampiran rumah, sebelum ke tempat kerja, kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, dia ke tempat kerja sebelum menerima panggilan daripada pengasuh jam 10.15 pagi memberitahu anak tidak sedarkan diri sebelum bergegas pulang. “Saya difahamkan, usaha dilakukan bagi menyelamatkan anak saya itu, tetapi tidak berjaya sebelum doktor mengesahkan anak saya meninggal dunia akibat tercekik susu,” katanya.

Haney yang masih bersedih dengan kejadian itu dikunjungi Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh, semalam.

Bapa mangsa, Mohd Fairuz Mohamad Stap, 31, berkata, dia sempat membawa anaknya itu beraya di kampung keluarga di Sungai Tengi, Kuala Kubu Baru, bagi menemui saudara-mara.

“Bapa dan ibu saya serta mentua ceria menyambut kehadiran cucu baru mereka dan tidak menyangka Syawal disambut adalah Syawal pertama dan terakhir buat Farisha,” katanya.

Mohd Fairuz berkata, walaupun sedih dengan pemergian anak kesayangan, dia dan isteri tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat asuhan itu dan menganggapnya sebagai takdir Allah.

Menurutnya, dia dan isteri menghantar anak bongsu mereka ke rumah pengasuh, selepas tamat tempoh berpantang dan diberitahu pengasuh itu memiliki sijil latihan dan lesen.

“Saya juga diberitahu, pusat itu juga dikunjungi kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Pusat Asuhan Malaysia.

“Pengasuh memberitahu saya bahawa dia memiliki pengalaman empat tahun dan menjaga lima lagi kanak-kanak lain,” katanya yang mengakui pengasuh itu mengemukakan permohonan maaf berkaitan insiden itu


Sosilawati tidak dirogol

Oleh Mohd Jamil Anbia Md Denin, Abdullah Wahab dan Shanty Nur Shaffizan Shafee
am@hmetro.com.my
2010/09/25
KUALA LUMPUR: “Sosilawati tidak dirogol!” tegas Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin ketika menafikan laporan beberapa akhbar tempatan kelmarin yang mendakwa polis menyiasat kemungkinan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh dan dibakar bersama tiga rakannya bulan lalu, turut dirogol.
BAWA...kenderaan polis membawa suspek keluar dari ladang milik suspek utama di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, semalam.
BAWA...kenderaan polis membawa suspek keluar dari ladang milik suspek utama di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, semalam.
SIASAT...suspek utama sekali lagi dibawa ke pejabat guamannya, semalam.
SIASAT...suspek utama sekali lagi dibawa ke pejabat guamannya, semalam.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Mohd Bakri berkata, laporan mengatakan polis sedang menyiasat kemungkinan jutawan kosmetik itu dirogol tidak benar sama sekali.
“Pihak polis ingin menegaskan laporan media yang mengatakan kemungkinan Sosilawati dirogol tidak benar. Tujuan kelapan-lapan suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah untuk pemeriksaan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik serta mengenal pasti jika ada sebarang kecederaan atau penyakit sebelum dibenarkan berjumpa peguam mereka.

“Selain daripada tujuan di atas, tiada sebarang pemeriksaan lain dipohon kepada pihak hospital oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas kelapan-lapan suspek berkenaan,” katanya.

Beberapa akhbar (bukan Harian Metro) melaporkan pada Rabu lalu, semua lapan suspek terbabit dibawa ke HKL untuk diambil sampel darah dan air mani untuk menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi menyiasat maklumat terbaru kemungkinan Sosilawati dirogol.

Semua suspek dibawa ke tingkat satu, Bahagian Kecemasan dan Trauma HKL dengan kawalan ketat polis kira-kira jam 3 petang termasuk dua daripada mereka yang ditahan kerana disyaki memeras ugut isteri seorang saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India, yang dilaporkan hilang selepas berjumpa suspek utama pembunuhan Sosilawati atas urusan perniagaan, 18 Januari lalu. Mengulas dakwaan suspek mereka tidak diberi peluang mempertahankan diri sebelum ditahan reman, selain dipukul serta dipaksa menandatangani beberapa dokumen, Bakri meminta suspek membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan.

Sementara itu di Putrajaya, Bernama melaporkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, semalam hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dan menyerahkan bukti berhubung dakwaannya yang mengaitkan polis dengan kes pembunuhan Sosilawati.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 3.20 petang dan selesai memberi keterangan sejam kemudian. Ketika ditemui pemberita, Shamsul Iskandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bukti yang diserahkan kepada SPRM.

Sebaliknya, beliau mengulangi kenyataannya menafikan polis pernah menghubunginya supaya tampil memberi keterangan berhubung dakwaannya itu. “Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu. Saya hanya tahu melalui media dan sepatutnya saya dimaklumkan mengikut saluran undang-undang yang betul. “Saya hendak tahu apa kesalahan saya, apa perlu saya jelaskan, apa jenis kerjasama boleh saya berikan,” katanya. Samsul berkata, jika ingin memanggil beliau memberi keterangan, polis perlu menggunakan prosedur undang-undang seperti termaktub dalam Kanun Acara Jenayah. “Jangan didik masyarakat datang ke balai polis memberikan keterangan melalui SMS, Facebook dan telefon bimbit,” katanya.

Rabu lalu, polis memberi amaran waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Shamsul Iskandar jika beliau terus mengelakkan diri daripada memberi keterangan berhubung dakwaannya itu. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Shamsul Iskandar sepatutnya hadir di balai polis jika benar mempunyai bukti kukuh mengenai dakwaannya itu


3 sahabat rentung bersama

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
2010/09/25

PASIR GUDANG: “Hati saya berdetik ada yang tidak kena akan berlaku selepas tiga rakan karib bercadang keluar bersiar-siar. Lebih-lebih lagi Asrul baru pandai memandu dan kenderaan yang dipandu itu pula dibawa keluar dari rumah tanpa pengetahuan bapanya kerana dia mengambil kunci senyap-senyap.
PILU...Norazah tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...Norazah tidak dapat menahan kesedihan.
“Berikutan itu, saya berkali-kali menghalang mereka. Bagaimanapun, mereka meneruskan niat itu hingga saya dimaklumkan rakan bahawa mereka bertiga rentung selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan,” kata Nazirul Ahmad Zulkifli,19, rakan tiga remaja yang maut dalam kemalangan jalan raya di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, Proton Iswara yang dipandu Asrul Hafizul Halim, 17, dari Kong-Kong menuju Masai, hilang kawalan selepas gagal memotong kenderaan lain berhampiran Politeknik Johor Bahru, di sini.

Pada masa sama, sebuah van sekolah muncul dari arah depan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung mengakibatkan Proton Iswara dinaiki tiga remaja terbabit terbakar bersama mangsa yang terperangkap di dalamnya.

Sebelum kejadian Nazirul bersama Asrul dan dua lagi mangsa Mohamad Quril Helmey Elias, 17, dan Mohd Syamin Ruzaidi Mohd Adnan, 16, bersembang di rumahnya di Taman Cahaya Baru Masai, selepas pulang dari kerja di kilang berhampiran kira-kira pada jam 2 pagi.

“Kami berempat baru dua hari bekerja di kilang itu dan kerana terlalu penat, mereka singgah di rumah saya untuk berehat sebelum pulang ke rumah masing-masing.

“Kami berbual kosong sebelum mereka merancang keluar bersiar-siar. Ketika itu, hati saya mula berdetik ada perkara tidak kena akan berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI), semalam.

Resah dengan cadangan berkenaan, Nazirul berkata, dia menolak pelawaan terbabit sebelum masuk ke rumah meninggalkan tiga sahabatnya itu.

“Pagi tadi (semalam), saya dikejutkan dengan deringan telefon mengatakan ketiga-tiga sahabat saya itu maut selepas terbabit kemalangan.

“Saya bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku. Hingga kini saya terkilan kerana gagal menghalang niat mereka untuk keluar bersiar,” katanya



Pekerja ‘curi’ kereta pelanggan

Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my
2010/09/25

KEPONG: Seorang pemilik premis mencuci kenderaan mendakwa diugut pelanggannya supaya membayar ganti rugi selepas kenderaan dihantar untuk dicuci dilarikan bekas pekerjanya yang disyaki berpakat dengan pelanggan terbabit untuk melakukan peras ugut, awal bulan ini.
KESAL...Yap menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Yap menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
Menurut Joan Yap, 28, kejadian bermula apabila seorang pekerjanya berusia 23 tahun yang baru memulakan tugas hari pertama melarikan sebuah kereta Honda Civic hitam milik pelanggan terbabit selepas kira-kira tiga jam bekerja. Katanya, selepas dimaklumkan perkara itu oleh pekerja lain, dia menghubungi pekerja terbabit sebelum lelaki itu memberi alasan tidak biasa dengan kawasan berkenaan menyebabkannya terlewat memulangkan kenderaan dilarikan.
Namun, menurutnya, beberapa jam selepas itu, dia gagal menghubungi pekerja terbabit dan membuat laporan di Balai Polis Kepong pada hari sama.

“Bagaimanapun, lima hari kemudian, pemilik kenderaan itu menghubungi saya dan memberitahu keretanya berada di Genting Highlands, Pahang.

“Berikutan itu, saya menghubungi bekas pekerja terbabit dan meminta dia memulangkan kenderaan sebelum dimaklumkan sudah digadaikan kepada along sebelum saya menerima panggilan along yang mengugut supaya membayar RM10,000 jika mahukan semula kenderaan itu.

“Saya mahu membayar RM5,000, tetapi along terbabit menolak, sebaliknya meminta saya membayar RM6,000,” katanya ketika ditemui bersama Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, semalam.

Yap berkata, enggan melayan permintaan along terbabit, dia mendiamkan diri sebelum beberapa hari kemudian, pemilik kereta itu menghubunginya dan memberitahu kereta berkenaan selamat bersamanya.

“Hairan dengan kejadian itu, saya membuat laporan kedua di Balai Polis Genting Highlands.

“Namun, saya kecewa kerana polis mendakwa kes itu selesai apabila kereta sudah ditemui sedangkan saya diburu pemilik kereta dengan meminta membayar ganti rugi RM5,500 konon untuk mengganti alat penggera serta menukar plat pendaftaran kenderaan itu,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Sabtu Osman pada 20 September lalu yang meminta menyiasat semula kes terbabit yang didakwa meragukan dan mempunyai unsur ugutan


Hati kering: Wanita tunjuk isyarat lucah marah polis



2010/09/25

KOTA TINGGI: Bukan saja dia bersalah kerana memandu secara melulu, malah seorang wanita berusia lingkungan 30-an turut menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis yang cuba menahannya dalam kejadian di Jalan Abdullah di sini, jam 11.50 tengah hari semalam.
Kereta jenis Honca Accord terbabit dikesan dipandu secara melulu dari Jalan Niaga Utama sebelum polis mengerahkan dua kereta peronda memintasnya.
Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Muhammad Osman Sebot berkata, wanita terbabit diarahkan menyerah diri tetapi selain menunjukkan isyarat lucah, dia turut nyaris melanggar seorang pegawai polis.

“Sampai di Jalan Tun Seri Lanang, wanita yang memandu sendirian itu membuat beberapa pusingan ‘U’ dan polis terpaksa berhati-hati mengekorinya bagi memastikan dia tidak mengancam keselamatan orang awam.

“Akhirnya, kereta itu dikepung dari arah depan dan belakang oleh kereta peronda polis tetapi pemandunya masih nekad dengan mengundurkan kereta sebelum merempuh dan menyeret sebuah daripada kereta peronda sejauh kira-kira 12 meter,” katanya.

Beliau berkata, selepas gagal melarikan diri, polis memintanya supaya keluar dari kereta berkenaan tetapi dia enggan berbuat demikian.

“Akhirnya, keluarga wanita berkenaan tiba dan selepas 20 minit memujuk, barulah dia keluar dan setuju untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

“Keretanya pula dipandu abangnya ke IPD berkenaan. Wanita terbabit turut dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Polis sudah membuka kertas siasatan dan akan mendakwa wanita itu kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas


Lagi dua dikhuatiri jadi mangsa



2010/09/25
KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain oleh suspek utama seolah-olah belum menemui penamat apabila dua lagi keluarga ahli perniagaan turut mendakwa menjadi mangsa sebaik bertemu suspek.
Difahamkan, dua lelaki terbabit yang juga ahli perniagaan tempatan turut dilaporkan ‘ghaib’ selepas berurusan dengan suspek.
Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang mendakwa menerima maklumat berhubung kehilangan dua lagi mangsa terbaru disyaki ada hubungan kait dengan pembunuhan bersiri dilakukan suspek.

Menurutnya, kehilangan dua lelaki itu sejak awal tahun lalu dimaklumkan kepadanya oleh ahli keluarga mangsa melalui panggilan telefon kelmarin.

“Semalam (kelmarin) saya menerima panggilan telefon daripada dua keluarga yang memberitahu ahli keluarga mereka hilang sejak awal tahun lalu selepas berurusan dengan suspek utama.

“Saya akan membuat pendedahan mengenai kehilangan dua lelaki itu dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas menemani isteri ahli perniagaan India, S Usharani, 26, yang pergi ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menyerahkan barang bukti berhubung kes pembunuhan suaminya.

Manikavasagam berkata, pendedahan itu bakal merungkai lebih banyak jenayah dilakukan suspek utama serta pekerjanya.

Ditanya butiran peribadi mangsa dan urusan pernah dilakukan dengan suspek utama, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya minta semua (media) tunggu sehingga satu sidang akhbar dibuat untuk mendedahkan perkara itu dalam tempoh masa terdekat.

“Ketika itu, saya akan mendedahkan keseluruhan maklumat berhubung kehilangan dua mangsa terbaru itu seperti yang diberitahu keluarga mereka.” ujarnya.

Ketua Polis Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan kelmarin mengeluarkan arahan supaya Manikavasagam hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk menyerahkan barang bukti termasuk telefon bimbit dan pita rakaman percakapan antara Usharani dan suaminya itu

Bagaimanapun, Manikavasagam membawa Usharani ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menyerahkan telefon bimbit yang menjadi bahan bukti berhubung kes pembunuhan suaminya yang datang berurusan dengan suspek utama di Banting.



Serah telefon bimbit



2010/09/25

KUALA LUMPUR: Isteri kepada jutawan India, S Usharani, 24, yang hilang dipercayai dibunuh suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati bertindak menyerahkan bukti utama membabitkan satu unit telefon bimbit mengandungi rakaman perbualan antara dia dan suspek.

Dia yang juga isteri kedua kepada jutawan India terbabit, menyerahkan telefon bimbit berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap kandungan dua rakaman yang boleh dikaitkan dengan tindakan jenayah dan pembunuhan dilakukan suspek utama itu.
Dia yang ditemani Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam muncul di Bukit Aman kira-kira jam 11.30 pagi semalam bagi menyerahkan bukti utama terbabit yang sebelum ini didedahkan kepada pihak media melalui satu sidang media, kelmarin.

Usharani yang tiba dari India kelmarin, turut ditemani seorang peguam pemerhati, A Sivanesan.

Selain menyerahkan bahan bukti berkenaan, Usharani juga turut menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar.

Memorandum itu bagaimanapun hanya dapat diserahkan kepada Pegawai Bahagian Perhubungan Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintendan (ASP) Hasnul Hadi kerana KPN tidak dapat hadir pada temujanji berkenaan atas urusan rasmi.

Selepas menyerahkan bukti itu, Usharani dan Manikavasagam dipanggil untuk merekod keterangan berhubung kes pembunuhan berkenaan.

Manikavasagam yang ditemui selepas itu berkata, penyerahan bukti berkenaan dilakukan sebagai tanda sokongan pihaknya serta Usharani dalam siasatan dilakukan polis berhubung kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

“Berdasarkan bukti itu, kami yakin ia dapat membantu polis dalam mencari bukti untuk membawa suspek ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada KPN yang menjawab surat dihantar walaupun tidak dapat hadir pada temujanji itu.

Katanya, ini kerana, Ismail adalah KPN pertama yang menjawab memorandum serta surat dihantarnya

Difahamkan, suami mangsa yang dikenali sebagai Mutharaja Allal Kanthan, 34, dikesan hilang pada 18 Januari lalu sebelum laporan polis dibuat pada awal September lalu.

Usharani, kelmarin mendedahkan rakaman perbualan telefon antaranya dengan suspek utama berhubung kehilangan suaminya.

Rakaman perbualan selama kira-kira dua minit itu dibuat menggunakan telefon bimbitnya.

Perbualan telefon dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan peguam Y Murugan itu berkisar mengenai pertanyaan Usharani kepada suspek keadaan suaminya

Turut diperdengarkan ialah rakaman perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis dari Bukit Aman bernama Asisten Superintendan (ASP) Suresh. Difahamkan, mangsa menerima panggilan pertama pada 28 Januari lalu dari pada suspek utama yang memberitahu berada di luar negara dan menafikan suami mangsa ada bersamanya. Suspek juga memberitahu akan menghubungi mangsa selepas kembali ke Banting. Panggilan kedua dibuat pada 23 Februari pula diterima mangsa daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis berpangkat ASP bernama Suresh dari Bukit Aman. Lelaki itu mendakwa suami mangsa ditahan polis kerana kesalahan dadah dan meminta RM1 juta untuk membebaskannya.

Dia turut menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Inspektor Muru dari Bukit Aman, juga meminta wang daripadanya untuk membebaskan suaminya. Sementara itu, PDRM mengesahkan menerima memorandum daripada Manikavasagam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 1.10 tengah hari semalam.

Dalam kenyataan malam ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata memorandum diterima ASP Hasnul yang mewakili KPN.


OKU berang anjing dibunuh



2010/09/25

BANTING: Pekarangan pejabat Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di sini, semalam kecoh seketika apabila 12 orang kurang upaya (OKU) dari Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC) bertikam lidah hampir 15 minit dengan beberapa orang awam berhubung kematian sembilan anjing di Ladang Gadong, Tanjong Sepat, di sini, baru-baru ini.
Ia bermula apabila OKU termasuk sembilan daripada mereka yang berkerusi roda itu tiba-tiba ‘naik angin’ apabila terdengar suara beberapa lelaki berbunyi: ‘Hal anjing ambil berat, empat orang yang dah mati tak bising pulak’ menyebabkan kumpulan yang berpusat di Rawang itu tidak puas hati...


Laporan bercanggah



2010/09/25
BANTING: Laporan yang diterima polis dengan apa yang didakwa S Usharani, 24, dan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam bercanggah sekali gus menyukarkan pihak berkuasa menyiasat kejadian pembunuhan, saudagar permata, dari Chennai, India, Allal Kathan Muthu Raja, 34.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, berkata keterangan yang diterima daripada kedua-dua saksi itu bercanggah menyebabkan pegawai penyiasat terpaksa mengambil masa agak lama untuk merekod keterangan.
“Saya sahkan, pegawai penyiasat sudah menerima telefon bimbit mengandungi perbualan antara Usharani dengan dua suspek dan kami akan telitinya.

“Manakala Manikavasagam turut dipanggil untuk memberi keterangan berhubung pendedahannya pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Kapar, kelmarin,” katanya, semalam


'Baliklah nak'

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
2010/09/25

JOHOR BAHRU: “Biarpun kerap berulang ke kediaman saudaranya, Anis tak pernah tidak pulang ke rumah,” kata Rahimah Ahmad, 40, ibu angkat kepada Anis Farahin Maskam Bohorom, 14, yang hilang secara misteri sejak Rabu lalu.
Berikutan itu, Rahimah bingung kerana tidak menyangka anak angkat kesayangannya itu boleh hilang begitu saja tanpa sebarang khabar berita.
“Pada hari kejadian, Anis pulang dari sekolah seperti biasa sebelum mandi dan meminta izin untuk ke rumah saudara kami yang terletak beberapa meter dari kediaman ibu saya.

“Biarpun hairan kerana Anis tergesa-gesa keluar, saya tidak syak apa-apa,” katanya.

Rasa kesal bagaimanapun membelenggu Rahimah sekeluarga apabila anak yang disangka akan pulang seperti biasa terus hilang tanpa jejak.

“Melihat jam sudah 10.30 malam, saya mula bimbang dan meminta suami menghubungi telefon bimbit Anis. Ketika itu, kedengaran suaranya seperti sedang menaiki motosikal.

“Suami pula menyuruh supaya dia segera pulang segera, namun permintaan itu tidak diendahkan sebaliknya Anis bertindak mematikan telefon bimbitnya,” katanya.

Menurut Rahimah, dia tambah terkejut sebaik dimaklumkan saudaranya Anis tidak muncul di rumah mereka pada hari kejadian.

“Sudah dua hari saya tidak tidur kerana terlalu bimbangkan keselamatan Anis. Dia bukan anak yang liar sebaliknya lebih suka duduk di rumah dan berkurung dalam biliknya sendiri.

“Puas saya hubungi rakan Anis termasuk teman lelakinya, namun mereka juga tidak mengetahui di mana anak kami berada,” katanya.

Lebih membingungkan, Rahimah sendiri masih tercari-cari punca sebenar mengapa anaknya menghilang sedangkan mereka tidak pernah berselisih faham.

Sanggup mati demi TV

SUNGAI PETANI - Seorang ibu mengugut akan bakar diri jika penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) merampas televisyen milik anaknya atas kegagalan membayar cukai pintu yang tertunggak.

“Saya malu jika kamu bawa TV ini keluar dari rumah saya. Saya malu kepada jiran-jiran dan sanggup mati kalau kamu masih mahu buat begitu,” kata warga emas itu yang dikenali sebagai Ammatanu, 76.

Ammatanu berkata, jika kakitangan MPSPK berkeras mahu merampas juga televisyen itu, mereka akan dapat berita buruk sebelum sempat sampai ke pejabat.

“Jika kamu nak ambil juga, cubalah! Sebelum kamu sempat sampai di pejabat, kamu akan dapat panggilan saya bakar diri sendiri di belakang rumah,” katanya kepada kakitangan MPSPK sambil turut disaksikan wartawan di rumahnya di Taman Kelisa Ria di sini, kelmarin.

“Saya juga akan tinggal nota, saya bunuh diri sebab malu kami ambil TV ini dari rumah saya hanya kerana cukai pintu,” katanya
Selepas beberapa ketika, Ammatanu berkata, pihak berkenaan bagaimanapun boleh mengambil televisyen itu jika anaknya masih gagal menjelaskan tunggakan dalam tempoh seminggu.

“Tolong beri tempoh seminggu. Kalau dia tak bayar juga, kamu nak ambil, ambillah,” katanya.

Ammanatu berkata, dia tidak main-main dengan ugutan itu, malah sememangnya berniat mahu bunuh diri jika pihak berkenaan tidak mempedulikan kata-katanya.

“Saya malu, saya sedih. Sembilan tahun saya simpan duit upah jaga budak untuk beli TV ini. Sekarang saya tinggal seorang diri walaupun ada sembilan anak. Hanya TV ini yang jadi teman saya. Kalau kamu nak ambil, lebih baik saya mati saja,” katanya.

Seorang kakitangan MPSPK memberitahu, pemilik rumah yang diduduki warga emas itu mempunyai baki tunggakan cukai pintu sebanyak RM1,529 dan sudah diberikan notis sejak April lalu. Pemilik rumah itu membayar RM700 dan menandatangani surat aku janji membayar baki tunggakan secara ansuran setiap bulan.

Namun aku janji itu diengkari menyebabkan pihak berkenaan mahu menyita harta yang sama nilai dengan tunggakan cukai itu.

“Dalam kes ini kita terpaksa bagi tempoh seminggu yang diminta kerana bimbang warga emas ini benar-benar membakar diri jika kita rampas televisyen di rumahnya,”katanya

No comments:

Post a Comment