Wednesday, July 13, 2011

BERSYUKURLAH...JIKA KITA LEBIH BERNASIB BAIK@TAKDIR UJIAN YANG KURANG SEDIKIT DARI APA YANG ORANG LAIN ALAMI...BAHAYANYA KITA JADI SOMBONG DAN TAK BERSYUKUR...MALAH ADA YANG CAKAP BESAR...KENA BATANG HIDUNG BARU TAHU LANGIT INI...TINGGI ATAU RENDAH....

Hampir dua tahun jadi hamba tauke

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my

SERIK...Sutono bersama keluarga menceritakan penderitaan dilalui mereka sepanjang tempoh bekerja di ladang sawit tanpa mendapat bayaran.
SERIK...Sutono bersama keluarga menceritakan penderitaan dilalui mereka sepanjang tempoh bekerja di ladang sawit tanpa mendapat bayaran.
PONTIANAK: Sebuah keluarga empat beranak, termasuk seorang bayi 10 bulan ibarat jatuh ditimpa tangga apabila mereka bukan saja menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, malah turut dilayan sebagai buruh paksa di sebuah ladang sawit di sekitar Sri Aman, Sarawak sejak lebih setahun lalu.
Berasal dari Kampung Pati, Jawa Tengah, Indonesia, keluarga Sutono, 45, menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia yang didalangi individu senegara untuk dibawa ke Sarawak melalui pintu masuk sempadan Indonesia/Malaysia di Tebedu sebagai pekerja ladang kelapa sawit sejak Oktober 2009 tanpa pernah menikmati upah yang sepatut diterima.

Episod malang Sutono dan isterinya, Seri Kuswari,45 serta dua anaknya, Joseph,5, dan Bima,10 bulan, berakhir minggu lalu apabila mereka nekad meredah hutan selama empat hari empat malam dengan berjalan kaki untuk kembali ke negara asal selepas tidak tahan diperlakukan sedemikian oleh majikan.
Menurut Sutono, semuanya bermula apabila dia ditawarkan pekerjaan oleh seorang lelaki yang datang ke kampungnya pada pertengahan 2009 mendakwa mempunyai cara untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik dengan bekerja di Malaysia yang menawarkan gaji lumayan.

“Mereka memberitahu saya akan menerima upah Rp50,000 (RM17) sehari dengan bekerja di ladang kelapa sawit dan boleh membawa anak serta isteri kerana majikan menyediakan tempat tinggal untuk kami.

“Ketika itu isteri saya sedang mengandung enam bulan anak kedua dan saya bersetuju menerima tawaran itu. Dengan membawa Rp2 juta kepada lelaki itu, saya dibawa ke Pontianak menaiki kapal terbang sebelum dihantar ke sempadan Entikong menaiki bas,” katanya.

Menurut Sutono, tanpa memiliki dokumen perjalanan termasuk pasport, dia dan keluarganya tidak menghadapi masalah masuk ke Malaysia melalui pintu sempadan itu kerana semuanya diuruskan lelaki terbabit, termasuk pengangkutan ke ladang sawit di mana dia sepatutnya bekerja.

“Apa yang ada di tangan saya ketika itu ialah salinan fotokopi kad pengenalan saja, tetapi kami tidak mempunyai masalah masuk ke Malaysia kerana semuanya diuruskan seorang lelaki tanpa saya dan isteri perlu turun dari kenderaan ketika di pintu masuk sempadan.
“Selepas selesai di pintu sempadan, saya dibawa ke ladang kelapa sawit di sekitar Sri Aman, sebelum memulakan kerja memotong pelepah pada keesokannya, manakala isteri ditugaskan memasak makanan untuk beberapa pekerja lain di tempat kami tinggal itu,” katanya.

Katanya, sejak hari pertama bekerja di ladang kelapa sawit berkenaan, dia tidak pernah menerima satu sen upah dan setiap kali persoalan gaji dibangkitkan, dia diugut majikan.

“Setiap kali meminta gaji, saya diugut kononnya akan diserahkan kepada pihak berkuasa yang mana nasib saya didakwa tidak boleh dijangka jika ditangkap kerana tidak memiliki dokumen sah ketika berada di negara ini.

“Oleh kerana takut, saya mendiamkan diri dan hidup diteruskan dengan melakukan kerja tanpa upah di ladang kelapa sawit itu. Bagaimanapun, saya dan pekerja lain diberi makan nasi berlauk ikan masin, telur dan sayur sebanyak tiga kali sehari,” katanya.

Menurut Sutono, dia dan keluarga juga tidak pernah keluar dari ladang kerana bimbang ditahan pihak berkuasa, selain ditegah oleh majikannya.

Disebabkan tidak tahan dengan layanan diterima, dia nekad melarikan diri pada waktu malam dengan membawa isteri dan anak yang masih kecil meredah hutan keluar dari ‘neraka’ itu.

“Kami berjalan kaki empat hari empat malam di dalam hutan. Sepanjang perjalanan itu, makan minum kami dibantu penduduk kampung yang kasihankan melihat anak-anak kelaparan.

“Ada yang memberikan makanan dan wang, ada juga yang membenarkan kami berteduh dan tidur semalaman di anjung rumah mereka.

“Ketika di dalam hutan, kami sering kali berdepan dengan binatang buas dan berbisa, tetapi syukur kami selamat sehingga dapat meneruskan perjalanan sehingga ke sempadan Malaysia-Indonesia,” katanya.

Menurut Sutono, selepas meredah hutan selama empat hari empat malam mengikut naluri hatinya, dia akhirnya bertemu dengan seorang penduduk di Entikong yang membantu menghantarnya kepada pihak berkuasa Indonesia sebelum dihantar ke Pusat Pelayanan Terpadu Pembudayaan Perempuan dan Anak di Kota Pontianak pada 7 Julai lalu.

Sementara itu, wakil Yayasan Nanda Dian Nusantara (YNDN) di Pontianak, Devi Suhardoyo, berkata kes Sutono sudah diproses oleh pihak berkuasa negara berkenaan dan keluarga terbabit sudah dihantar pulang ke kampung asalnya.

Katanya, keluarga malang itu adalah sebahagian kes dikendalikan pihaknya berkaitan mangsa pemerdagangan manusia.

“Apa yang berlaku jelas bahawa penyeludupan manusia antara kedua-dua negara berjiran ini dijalankan secara terancang dan sering terlepas daripada kawalan pihak berkuasa,” katanya.

Mati 2 hari lepas samun

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing yang baru dua hari menyamun sebuah kereta mati ditembak manakala rakannya meloloskan diri selepas cuba menyerang anggota polis dengan parang dalam satu kejadian di Wangsa Maju, di sini, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kereta dipandu suspek dikesan pemiliknya berdekatan Pasaraya Carrefour Wangsa Maju. Katanya, pemilik kereta itu kemudian mengekori suspek hingga ke kawasan perumahan Seksyen 2 sebelum memaklumkannya kepada polis.

“Selepas menerima maklumat itu, satu unit kereta peronda polis dan dua pasukan peronda motosikal dari Bahagian Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bergegas ke lokasi dan mengesan suspek.
“Panik dengan kehadiran polis, seorang suspek menyerang polis dengan parang hingga memaksa polis melepaskan tembakan,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi suspek dipercayai warga tempatan melarikan diri dengan merempuh anggota polis menggunakan kenderaan dipandunya.

“Polis turut melepaskan tembakan ke arah suspek di dalam kenderaan itu, bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri,” katanya.

Suspek yang cedera parah di leher dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia ketika dirawat.

Menurutnya, polis kini giat menjalankan gerakan memburu suspek yang melepaskan diri semasa kejadian.

Motosikal dikebas ketika beli sarapan



GOMBAK: Seorang lelaki yang hendak membeli sarapan pagi hanya mampu terpinga-pinga apabila motosikalnya jenis Yamaha dilarikan dua lelaki ketika dia singgah di sebuah gerai di Sungai Dua, Rawang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, lelaki berusia 22 tahun itu singgah di gerai itu untuk membeli sarapan sebelum ke tempat kerja.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa meletakkan motosikalnya di tepi jalan dan selepas membeli sarapan, mangsa berjalan ke arah motosikal apabila tiba-tiba didatangi dua lelaki menunggang motosikal berhenti di depannya.
“Seorang daripada lelaki itu bertanya kepada mangsa mengapa dia meletakkan motosikalnya sesuka hati di tepi jalan.

“Mangsa tidak mengesyaki apa-apa memberitahu hanya singgah sebentar membeli makanan,” katanya.

Sumber berkata, ketika sedang berbual tiba-tiba suspek mengeluarkan parang panjang dan mengacukan ke arah mangsa menyebabkan dia terkejut.

“Suspek juga mengarahkan mangsa menyerahkan kunci motosikalnya jika tidak mahu diapa-apakan,” katanya. menyebabkan dia yang ketakutan terus menyerahkan kunci itu,” katanya. “Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan kebetulan ketika itu masih tidak ramai orang di kawasan itu menyebabkan suspek berani bertindak sedemikian,” katanya.

Sumber itu berkata, selepas berjaya merampas kunci motosikal mangsa, suspek terus melarikan diri dengan motosikal itu.
Mangsa kemudian membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Rawang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK).

Ladang tak terurus



BANTING: Tidak terurus, dilitupi lalang setinggi satu meter dan berbecak. Begitulah keadaan kawasan Ladang Gadong di Tanjung Sepat milik bekas peguam N Pathmanabhan yang juga tertuduh pertama dalam kes pembunuhan ngeri jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Rombongan dari Mahkamah Tinggi Shah Alam yang terdiri daripada Hakim Datuk Akhtar Tahir, pihak pendakwaan dan pihak pembelaan tiba di ladang itu pada jam 4 petang bagi melihat gambaran sebenar dan meninjau kawasan sekitar ladang yang menjadi salah satu tempat kejadian dalam kes itu.

Akhtar bersama Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani serta barisan peguam bela Manjeet Singh, Pushpa Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Neeko dan Gurbachan Singh mengambil masa kira-kira 20 minit di situ.
Namun, semua tertuduh dalam kes itu, Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, tidak di bawa ke semua tempat kejadian dan lokasi penemuan barang.

Melalui pemerhatian, terdapat empat rumah, dua kandang serta pondok rehat dalam kawasan ladang dikawal anggota polis setiap hari sepanjang 24 jam dan difahamkan kawalan itu dibuat sehingga kes itu selesai.

Selain Ladang Gadong, rombongan itu melawat lima lokasi tempat penemuan barang bukti dalam kes itu antaranya telefon pintar Blackberry, jam, gelang, pisau dan zink.

Mengaku sebab takut tidur lokap

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Takpelah tuan, berani buat, berani tanggung”, demikian ayat terakhir disampaikan Ahmad Sarbaini Mohamed kepada pegawai atasannya dua hari sebelum dia ditemui mati di bangunan SPRM, April lalu.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Kastam 1, Ahmad Maher Abdul Jalil, 51, di Mahkamah Koroner di sini, semalam, perkara itu dimaklumkan arwah Ahmad Sarbaini di koridor tangga pejabat pada 5 April lalu.

Sebelum itu, arwah memberitahunya dia pergi ke SPRM pada 4 April lalu untuk memberikan keterangan dan mengaku terima rasuah.

“Saya yang terkejut dengan pengakuan arwah itu bertanya kenapa dia mengaku dan arwah jawab, dia takut kena tidur lokap.”


“Kemudian saya menasihatkannya bahawa dia sudah buat kesilapan dan beritahu tidak mengapa jika tidur di lokap, kalau mengaku kita lagi susah,” katanya menjawab soalan peguam bela Awtar Singh.

Kemudian pada 4 April lalu, dia sekali lagi dapat bertemu arwah Ahmad Sarbaini di pejabatnya dan mereka berbincang berhubung perkara itu dalam bilik operasi.

“Arwah cakap dia dianiaya oleh ejen kerana terima rasuah RM30.”

Menurutnya, arwah memberitahu ‘Saya tak terima tuan, saya Penolong Pengarah Kastam, tak padan RM30’.

Ketika diminta menggambarkan personaliti arwah Ahmad Sarbaini, arwah disifatkan sebagai seorang pegawai yang tidak mendatangkan masalah, berdisiplin dan mendengar setiap arahan yang diberikan.

Dia berkata demikian ketika menjadi saksi ke-19 di dalam inkues menyiasat kematian Ahmad Sarbaini, 56, yang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dalam pada itu, seorang rakan baik arwah, Penolong Pengarah Kastam, Azman Jusoh, 45, terkejut selepas diberitahu arwah, dia diherdik pegawai SPRM ketika dibawa ke lokap di Bukit Jalil pada 1 April lalu.

Menurutnya, arwah memberitahunya dia dimaki pegawai SPRM dan dikatakan tidak layak memakai uniform selain menceritakan pengalaman tidur di atas simen lokap yang digambarkan seperti berada di neraka dunia.

Perkara itu diceritakan kepadanya oleh arwah ketika mereka berehat selepas bermain tenis pada 3 April lalu.

Katanya, kali terakhir bertemu arwah pada jam 5.30 pagi, 6 April lalu selepas arwah menghubungi untuk mahu bertemu menyerahkan air mineral, air 100 plus dan dokumen berkaitan kelab tenis.

Dia dimaklumkan arwah akan ke SPRM menukar pengakuan pada hari itu dan mungkin akan ditahan.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat, Abdul Ghani Ali, 57, menafikan mereka-reka cerita untuk menjatuhkan maruah keluarga arwah Ahmad Sarbaini dan mahu menyembunyikan fakta sebenar kematiannya.

Sebaliknya dia memberitahu perkara yang sebenar-benarnya berlaku pada hari kejadian.

Terdahulu, ketika menjawab soalan dikemukakan peguam Datuk Seri Dr Muhamad Safee Abdullah yang mewakili SPRM, Abdul Ghani memberitahu pada 4 April lalu, ketika masuk ke dalam bilik Sheikh Niza, dia ada membaca rakaman percakapan arwah di skrin komputer dan mengaku menerima rasuah.

“Saya tanya dia, apa yang dia buat dengan duit itu.

“Arwah jawab dia sudah belanjakan wang itu,” jelasnya.

Ketika disoal Koroner Aizatul Akmal Maharani, dia mengaku tidak memberikan keterangan berhubung perkara berkenaan dalam laporan polis.

Saksi ke-18 itu turut menafikan ada memberitahu isteri arwah Ahmad Sarbaini, Masiah@Maziah Manap ‘bukan saya tapi orang saya’ ketika bertemu untuk memulangkan buku bank milik arwah di pejabat Kastam kira-kira sebulan selepas kematian arwah.

Sebaliknya, menurut Abdul Ghani Ali, dia berkata ‘bukan saya tapi pegawai saya’ ketika menjawab pertanyaan isteri arwah yang ingin mengetahui dengan siapa arwah bertemu pada hari kejadian.

Inkues bersambung hari ini.

Dijel 8 bulan akibat cederakan ibu bapa



KUALA TERENGGANU: Gelaran anak derhaka sesuai digunakan bagi menggambarkan perbuatan seorang lelaki yang bertindak kejam mencederakan kedua orang tuanya menggunakan sebatang cangkul pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki berusia 27 tahun itu terbalas apabila dihukum penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, semalam.

Noradila menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Fazli Abdullah dari Jalan Masjid Haji Hussin, Kampung Kesom Manir, Kuala Terengganu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 KK kerana mencederakan dengan niat.
Bagi pertuduhan pertama, Noradila menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan manakala enam bulan bagi pertuduhan kedua. Bagaimanapun, kedua-dua hukuman berkenaan dijalankan serentak.

Terdahulu tertuduh yang mendakwa mengalami masalah mental memohon hukumannya dikurangkan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang mengamuk mencederakan bapa dan ibunya dengan bersenjatakan sebatang cangkul di rumah mereka pada 9 November lalu.

Bagaimanapun, abang tertuduh, Masri Abdullah, 29, bersama beberapa penduduk kampung berjaya menangkapnya dan membuat laporan polis.

Khalwat kakak ipar

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR SETAR: Helah seorang lelaki konon dia bersama isterinya menyewa bilik sebuah motel di Jalan Suka Menanti, di sini, bagi mengelak dicekup berkhalwat tidak menjadi apabila wanita itu sebenarnya adalah kakak iparnya.
Lelaki berusia 30 tahun itu mulanya memberi alasan mereka mempunyai surat nikah, namun selepas siasatan terhadap wanita berusia 32 tahun itu mendapati kenyataan mereka bercanggah dan cuba menipu anggota penguat kuasa.

Dalam serbuan jam 4.45 petang kelmarin, sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) menyerbu premis berkenaan selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat yang berlaku.
Lelaki berasal dari Myanmar dan beragama Islam itu memberi alasan membawa wanita itu menyewa bilik itu hanya untuk mandi sebelum pergi melawat isterinya yang baru melahirkan bayi lelaki di Hospital Jitra (HJ).

Pegawai Penguat kuasa Jaik, Mohd Khairil Naim Johari berkata, sepasukan anggota Jaik yang tiba di motel itu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah bilik di tingkat bawah motel itu berkunci daripada dalam.

Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya bertuala membuka pintu kira-kira 10 minit kemudian dan terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa di luar bilik disewanya.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita yang menyorok dalam bilik dan tergesa-gesa memakai pakaian dalam keadaan ketakutan.

“Hasil soal siasat, wanita itu mendakwa dibawa lelaki berkenaan ke motel itu untuk melihat adik perempuannya yang juga isteri lelaki itu yang baru melahirkan anak manakala lelaki itu memberi alasan wanita itu sebagai isterinya,” katanya.

Kejam!

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

HULU SELANGOR: Keengganan menutup lampu bilik untuk tidur mengundang kemarahan seorang lelaki warga Vietnam hingga sanggup menikam dua rakannya hingga mati manakala seorang lagi parah dalam satu kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Orkid, Bukit Sentosa, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia 28 tahun berkenaan yang ingin tidur meminta seorang daripada tiga rakannya itu menutup lampu bilik namun tidak diendahkan menyebabkan lelaki itu naik berang lalu berlaku pergaduhan sesama mereka.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya berkata, dalam pergaduhan itu, suspek bertindak di luar kawalan apabila menikam tiga rakannya dengan pisau menyebabkan dua maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.
Menurutnya, mangsa pertama yang berusia 25 tahun maut akibat ditikam di perut manakala mangsa kedua yang berusia 36 tahun pula ditikam di dada dan luka di tapak tangan kiri.

“Mangsa ketiga yang berusia 23 tahun turut cedera di tapak tangan kiri dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.

“Siasatan awal mendapati semua mereka adalah pekerja sebuah kilang tin di Bukit Sentosa. Dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya.

Norel berkata, selepas menikam rakannya itu, suspek terus melarikan diri, tetapi ditahan polis di kawasan kilang tin tidak lama kemudian dengan keadaan baju berlumuran darah.

“Selepas berjaya ditahan, suspek menunjukkan tempat pisau yang digunakan untuk menikam mangsa yang dibuang kira-kira dua kilometer (km) dari tempat kejadian.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Tempoh seminggu tebus mangsa


MAZLINA menunjukkan gambar bekas suaminya kepada anak mereka di skrin komputer di rumah mereka di Sungai Buloh kelmarin.


KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini usaha menyelamatkan seorang rakyat Malaysia, Mohd. Nazaruddin Saidin, 38, yang diculik oleh kumpulan Abu Sayaf di selatan Filipina dikatakan kian tipis kerana penculiknya telah menutup pintu rundingan, perkembangan terbaharu semalam mungkin memberikan sinar baru.
Ia kerana orang tengah bagi kumpulan penculik itu dikatakan telah menghubungi keluarga mangsa kelmarin dan memaklumkan wang tebusan telah dikurangkan daripada 80 juta peso atau RM5.6 juta kepada hanya RM60,000.
Menurut bekas isterinya, Mazlina Mohamad, 38, sekiranya wang tebusan tidak dibayar dengan segera dalam tempoh seminggu, penculik terbabit mengugut akan menutup pintu rundingan.
“Saya sendiri baru mengetahui perkara ini daripada keluarga Mohd. Nazaruddin tetapi walau macam mana pun bagi saya jumlah sebanyak itu juga masih terlalu tinggi.
“Saya juga tidak mampu untuk membantu kerana pendapatan menjual kuih tidak seberapa dan hanya cukup untuk menampung kehidupan secara sederhana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

‘Kutetak engkau’

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

AMPANG: Padah menimpa seorang wanita apabila dia bukan saja ditampar suaminya beberapa kali, malah turut diugut akan ditetak dengan parang selepas rahsia kecurangan suaminya terbongkar.
Lelaki itu sanggup bertindak demikian selepas isterinya bertindak menghubungi teman wanitanya bagi mendapatkan kepastian mengenai hubungan sulit suaminya.

Sebaik kejadian itu, wanita yang bimbang keselamatannya terancam membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang, di sini, kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Sabtu lalu, mangsa dikatakan mendengar bunyi nada dering telefon bimbit suaminya sebelum dia bertindak mengambil telefon berkenaan.

“Wanita berusia 30 tahun itu bagaimanapun terkejut sebaik membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) antara suami dan kekasih hatinya itu. Mangsa yang naik angin kemudian segera memanggil suaminya untuk bertanyakan mengenai perkara itu.

“Pada mulanya, suami mangsa hanya berdiam diri namun selepas didesak beberapa kali, lelaki terbabit naik berang lalu memaki hamun mangsa,” katanya.

Beliau berkata, selepas gagal mendapatkan kepastian daripada suaminya, mangsa kemudian bertindak menghubungi teman wanita suaminya itu di hadapan suaminya.

“Mangsa dikatakan memarahi teman wanita suaminya itu kerana mempunyai hubungan sulit dengan suaminya namun secara tiba-tiba suaminya naik berang dengan tindakan itu lalu bertindak menampar muka mangsa.
“Malah, lelaki terbabit dikatakan turut mengugut mahu menetak mangsa sekiranya berterusan mengganggu hubungan mereka.

“Selepas itu, suami mangsa dipercayai keluar dari rumah mereka di Hulu Klang. Mangsa yang bimbang diapa-apakan suaminya itu pergi ke balai polis berhampiran membuat laporan,” katanya.

Wanita maut bersalin di rumah, anak selamat



KAJANG: Seorang wanita warga Indonesia yang enggan bersalin di hospital kerana tiada sijil nikah selain takut ditahan pihak berkuasa maut akibat kehilangan banyak darah selepas melahirkan anak sulungnya di rumahnya di Batu 9, Cheras, di sini tengah hari kelmarin.
Wanita berusia 21 tahun itu dikatakan bersalin dengan ditemani seorang lelaki yang mengaku suaminya dan seorang jiran, kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, wanita itu meninggal dunia kerana kehilangan banyak darah selepas beberapa jam melahirkan anak.
“Siasatan awal mendapati mangsa enggan ke hospital dan terlantar sakit di rumah sebelum bersalin secara tiba-tiba tanpa sempat suaminya mendapatkan bantuan bidan.

“Menurut lelaki yang mengaku suaminya, seorang rakannya yang tinggal berhampiran bertindak memotong tali pusat bayi berkenaan sejurus bayi itu dilahirkan,” katanya.

Menurutnya, melihat keadaan isterinya yang lemah dan pucat, suaminya cuba mendapatkan bantuan jiran untuk membawa wanita itu ke hospital.

Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila wanita berkenan meninggal dunia, tetapi anak yang dilahirkan itu normal dan sihat.

No comments:

Post a Comment