Mati terjatuh selepas minum arak
KUALA LUMPUR - Keseronokan seorang remaja yang didakwa meminum arak bersama rakan-rakannya di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini berakhir tragedi apabila dia mati akibat terjatuh dari tingkat empat premis itu kelmarin. Kejadian pukul 9 malam itu mengakibatkan Gopinath Krisnamurty, 18, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.Seorang saksi yang tinggal di tingkat tiga flat tersebut memberitahu, sebelum kejadian, dia ternampak mangsa dan beberapa rakannya sedang meminum arak di tingkat bawah. Katanya, mangsa tinggal bersama keluarganya di blok lain dan datang ke situ untuk berbual sambil minum arak bersama rakan-rakannya. "Mangsa kemudian naik ke tingkat empat untuk pergi ke rumah salah seorang rakannya. Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terdengar suara seperti orang bertengkar dan disusuli dengan bunyi benda terhempas.
"Apabila saya keluar, saya dapati mangsa telah terjatuh tertiarap dalam keadaan berlumuran darah manakala rakan-rakannya telah turun melihat mangsa sebelum melarikan diri," ceritanya kepada Kosmo! semalam. Tinjauan Kosmo! mendapati terdapat beberapa botol arak dan minuman berkarbonat di tepi tiang tingkat bawah flat berkenaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati mangsa mati selepas terjatuh dari tingkat empat flat tersebut. Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
'Saya akan datang walau merangkak'
KUALA LUMPUR - Sehari selepas membayar jamin sebanyak RM30,000 yang membuat penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman (gambar), 52, terlepas daripada disumbat ke penjara, wanita itu menegaskan dia tidak akan mengelak hadir ke mahkamah pada 22 Julai ini. Tegas penerbit filem kontroversi ...Anu Dalam Botol itu, dia akan berusaha hadir ke mahkamah bagi mendengar kes saman sivil berhubung penjualan sebidang tanah seluas 14 hektar dengan harga RM5.9 juta itu walau terpaksa datang dalam keadaan merangkak.
"Saya akan pastikan diri saya hadir pada 22 Julai nanti biarpun dalam keadaan merangkak," katanya ketika dihubungi Kosmo!. Tambahnya, dia berjanji akan hadir pada perbicaraan kes kerana sudah serik dengan pelbagai kes yang melanda dirinya sehingga mencetuskan kontroversi. Mengulas mengenai ketidakhadirannya ke mahkamah pada 20 hingga 24 Jun lalu, Raja Azmi memberitahu, dia mengalami sakit tengkuk pada tarikh yang sama sehingga ditahan di wad Hospital Pakar Ampang Putri, Ampang, Selangor. Dia mendakwa sudah memberitahu mengenai perkara tersebut (masuk wad) kepada pihak mahkamah.
Geng Macho pan-Asia tumpas
SERDANG - Satu kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Macho yang terdiri daripada lelaki bermodalkan wajah tampan dan berpakaian segak dikesan aktif memecah masuk dan menyamun rumah di sekitar daerah ini. Kegiatan Geng Macho itu terbongkar apabila dua daripada ahli kumpulan berkenaan ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Kinrara, Puchong dalam kejadian pada pukul 10.20 pagi kelmarin.
Dalam kejadian itu, polis menerima maklumat awam berhubung dua lelaki yang berpakaian segak dan berwajah pan-Asia menaiki kereta jenis Peugeot 206, memberhentikan kenderaan sebelum cuba memasuki rumah jirannya. Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, jiran mangsa yang curiga dengan kedua-dua lelaki tampan tersebut telah menghubungi polis sebelum kedua-dua mereka ditahan lima minit kemudian.
"Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an tersebut cuba mencungkil pintu kediaman mangsa menggunakan pemutar skru. "Pihak polis turut merampas pelbagai peralatan pecah masuk rumah dan samun selain topeng monyet di dalam kenderaan suspek," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan di sini semalam.
Abdul Razak berkata, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek tersebut membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang juga berwajah tampan dan berusia lingkungan 20-an di sebuah kondominium Taman Segar Mewah, Cheras di sini. "Polis turut menemui sepucuk pistol tiruan disorok dalam beg galas patung beruang, komputer, unit pemprosesan pusat (CPU) dan pelbagai barang berjenama di rumah suspek tersebut. "Siasatan lanjut mendapati, beberapa barang yang ditemui mempunyai kaitan dengan kes pecah masuk dan samun sebuah pejabat di Bandar Baru Bangi dekat sini pada 26 Jun lalu," katanya.
Majikan minta ganti rugi
KANGAR - Sudahlah tidak menerima pampasan diberhentikan kerja, sebaliknya diarahkan pula membayar ganti rugi sebanyak RM9,013.77 oleh majikannya yang merupakan sebuah bank swasta terkemuka di negara ini. Itulah keluhan Mohd. Rizal Rasti@Roni, 37, yang diberhentikan kerja ketika dalam cuti sakit melalui satu notis daripada majikannya pada Mac lalu berkuat kuasa 6 Disember tahun lalu.
Menurut bapa empat orang anak itu, majikannya bertindak memberhentikannya setelah mereka tidak dapat menerima penjelasannya ekoran sering mengambil cuti sakit disebabkan penyakit ulser perut dan ketumbuhan hidung yang dihidapi. "Penyakit tersebut dihidapi sejak April 2010 lalu dan melarat sehingga kini menyebabkan saya terpaksa mengambil banyak cuti sakit untuk melakukan dua pembedahan hidung dan berehat.
"Saya kecewa dengan tindakan majikan yang tidak bersimpati dengan keadaan saya. "Lebih malang, syarikat minta saya pula bayar ganti rugi hampir RM10,000," katanya pada pemberita di rumah Kelab Media Perlis (KEMPs) di sini semalam. Mohd. Rizal yang bertugas sebagai pembantu am rendah selama 16 tahun di sebuah syarikat perbankan di Changlun, Kedah itu memberitahu, ganti rugi yang diminta majikannya itu meliputi bayaran kerja lebih masa, cuti sakit, cuti perayaan dan bonus yang telah dibayar syarikat kepadanya sebelum ini.
"Saya bukan sengaja hendak ambil cuti sakit tetapi sejak disahkan menghidap ulser perut dan ketumbuhan hidung tahun lalu, saya tidak berupaya untuk bekerja apa lagi selepas menjalani dua pembedahan. "Majikan sepatutnya simpati dengan keadaan saya, lebih-lebih lagi saya telah berkhidmat selama 16 tahun. Tetapi alasan mereka mengatakan yang saya tidak memasukkan cuti sakit ke dalam sistem fail syarikat adalah tidak munasabah," katanya. Katanya, dia mengakui tidak memasukkan cuti sakit itu dalam sistem syarikat kerana ketika itu dia sedang bercuti di rumah untuk berehat dan baru selesai menjalani rawatan di Kedah Medical Centre Alor Setar, Kedah pada Dismber lalu.
"Ekoran diberhentikan kerja, saya kini tiada pendapatan dan hanya bergantung pemberian wang sara diri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Saya amat berharap akan mendapat pembelaan yang setimpal dengan tindakan majikan saya itu," ujarnya. Tambahnya, isterinya yang bekerja di sebuah tadika swasta kini terpaksa menyara dirinya dan empat orang anaknya berusia 12 sehingga 7 tahun yang masih bersekolah.
Nota murid bongkar rahsia cikgu
KUALA LUMPUR – “Cikgu membisikkan perkataan kotor di telinga saya dan bertindak menyelak baju sehingga butang tercabut.” Demikian catatan seorang murid perempuan di sebuah sekolah rendah di Batu Caves dekat sini yang mendakwa diganggu secara seksual dan kerap dimaki oleh seorang guru lelaki sejak kira-kira dua tahun lalu. Selain itu, guru berkenaan didakwa berkelakuan pelik apabila kerap menampar dan menendang kaki murid-murid lelaki dan perempuan di sekolah tersebut sesuka hati tanpa sebarang sebab.
Seorang bapa kepada salah seorang mangsa, Hairul Jasry Jamaluddin, 30, mendakwa, anaknya risau setiap kali hendak ke sekolah sejak akhir-akhir ini ekoran perbuatan guru tersebut. “Saya telah buat aduan kepada pihak sekolah setelah membaca catatan pada nota anak saya. “Bagaimanapun, saya kurang puas hati kerana pihak sekolah tidak mengambil tindakan dan saya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dua hari lalu,” katanya di pejabat Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi bapa, Sujari Hassan, 42, mendakwa, anaknya telah beberapa kali mengadu tentang kelakuan guru tersebut sejak tiga bulan lalu. “Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh anak saya bahawa guru itu menyelak kain dan cuba memegang kemaluannya di hadapan rakan yang lain,” katanya. Seorang lagi pengadu, Mohd. Safee Soefjan, 47, berkata, beberapa guru di sekolah itu mengakui sikap pelik guru terbabit dan mereka turut mempunyai bukti termasuk catatan beberapa mangsa.
No comments:
Post a Comment