Monday, July 11, 2011

BILA ISLAM JAUH DARI PELAJARI...DIAMAL...DIHAYATI..MUNGKIN HAYATI TIADA ILMU...KESANNYA MUDAH DITIPU DAYA OLEH SYAITAN...KERJA SYAITAN MENYESATKAN...AWAS..

'Bakar' rumah jiran

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

HANGUS...rumah yang hangus terbakar.
HANGUS...rumah yang hangus terbakar.
PADANG BESAR: Seorang lelaki warga emas terkedu apabila mendapati tindakannya membakar sampah ketika cuaca panas terik menyebabkan rumah jirannya hangus dalam satu kejadian di Kampung Baru Sungai Serai, Chuping, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 70-an itu hanya mampu tersandar di sebatang pokok berhampiran rumah berkenaan kerana terkejut.

Api yang berpunca daripada pembakaran sampah di bawah pohon buluh berterbangan memasuki rumah mangsa, Ahmad Sulaiman Bakar, 26, hingga menyebabkan ia musnah dan mangsa kini tinggal sehelai sepinggang.
Ketika kejadian, Ahmad Sulaiman bersama ibunya, Siti Fatimah Awang, 62, menghadiri majlis perkahwinan kenalannya di Kampung Blok 20, Chuping, dekat sini, manakala isterinya, Munirah Murad, 21, yang baru bersalin anak kedua sebulan lalu berada di rumah mentuanya di Abi, dekat sini.

Siti Fatimah berkata, dia dan Ahmad Sulaiman gagal menyelamatkan semua barangan di dalam rumah separuh papan yang diduduki anak ketiganya itu sejak tiga tahun lalu kerana api marak begitu cepat, tambahan pula kebakaran berlaku ketika cuaca panas terik.

“Sebelum itu, saya sudah menegur jiran terbabit (warga emas) supaya berhati-hati membakar sampah pada waktu panas terik memandangkan api ketika itu turut membakar pohon buluh yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah anak saya.

“Tetapi teguran saya tidak diendahkan kerana dia sedang sibuk membersihkan kawasan belukar di kawasan tanahnya untuk ditanam pokok getah. Sebelum menghadiri majlis kenduri itu, saya dan Ahmad sekali lagi memintanya supaya mengawasi sampah yang dibakar,” katanya yang menetap bersebelahan rumah Ahmad ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan seorang anaknya, rumah anak ketiganya terbakar dan meminta segera pulang ke rumah ketika sedang menjamah nasi pada majlis perkahwinan itu.
“Sebenarnya, sebelum pergi ke majlis perkahwinan itu, hati saya sudah tidak tenang selepas melihat api pembakaran sampah menjulang tinggi membakar pohon buluh dan bimbang merebak ke rumah anak.

“Kebimbangan saya menjadi kenyataan apabila rumah anak hangus dan jiran yang membakar sampah dilihat duduk tersandar di sebatang pokok berhampiran tapak rumah Ahmad,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Pembangunan Wanita Negeri, Mansor Jusoh yang hadir melawat lokasi kejadian, berkata empat beranak malang itu ditempatkan sementara di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga menunggu bantuan seterusnya.

“Saya terpaksa menenangkan jiran mereka yang menyebabkan rumah berkenaan terbakar kerana didapati dalam lemah dan terkejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar, Penolong Penguasa Halid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2 petang dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran.

Mayat dalam lubang najis

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

GOMBAK: Seorang lelaki ditemui mati di dalam lubang najis dengan tiga kesan tetakan di kepala dipercayai dibunuh di kawasan kilang terbiar di Rawang, semalam.
Mayat lelaki berusia 30-an belum dikenal pasti identiti itu dipercayai warga asing dan mangsa ditetak dengan sebilah kapak yang ditemui kira-kira 100 meter dari tempat mangsa dibuang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata Balai Polis Rawang menerima maklumat orang awam kira-kira jam 1 tengah hari dan ke tempat kejadian.
Menurutnya, mayat lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap itu dijumpai di dalam lubang najis dengan kedalaman kira-kira tiga meter. “Mangsa dipercayai dibunuh di kawasan semak tepi kilang terbiar terbabit sebelum dibuang ke dalam lubang itu selepas titisan darah ditemui di kaki lima kilang itu.

“Malah, sebilah kapak dengan kesan rambut dan darah ditemui dalam semak dipercayai digunakan suspek untuk menetak kepala mangsa,” katanya.

Abdul Rahim berkata, mayat yang sudah kembung itu dipercayai dibunuh tiga hari lalu dan dipercayai suspek lebih daripada seorang.

“Kilang terbiar itu sudah lebih dua tahun ditinggalkan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau ada waris yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61385222.


Bayi depan tadika



SENTUL: Seorang pesara tentera yang dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat Subuh di surau berdekatan rumahnya di Taman Setapak, dekat sini, terkejut apabila dimaklumkan seorang lelaki tidak dikenali mengenai penemuan bayi di depan sebuah tadika di taman berkenaan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, lelaki berusia 50-an itu ingin pulang ke rumahnya selepas menunaikan solat Subuh di surau berdekatan sebelum terserempak lelaki tidak dikenalinya dan memberitahu perkara itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, pesara tentera itu bergegas ke tadika berkenaan dan menjumpai bayi terbabit yang diletakkan di dalam beg plastik dan berkeadaan baik.
“Lelaki itu membawa bayi terbabit ke Balai Polis Danau Kota dan membuat laporan,” katanya.

Menurutnya, bayi lelaki yang ditemui dibalut dengan tuala sebelum diletakkan dalam plastik itu dipercayai baru dilahirkan. Polis membawa bayi itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

“Walau terdapat banyak kesan gigitan nyamuk di mukanya, pihak hospital bagaimanapun mengesahkan bayi itu sihat.

“Bayi itu kini diletakkan dalam jagaan HKL,” katanya.

Gadis separuh sedar panjat bumbung



MACHANG: Pujukan seorang anggota bomba meminta seorang gadis berusia 21 tahun yang berdiri di atas bumbung rumahnya dalam keadaan separuh sedar supaya memikirkan perasaan bapa dan ibunya, berjaya menyelamatkan gadis itu daripada terjatuh dari ketinggian 4.3 meter, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi di Jalan Bahagia, di sini, gadis berjubah dan tudung putih itu dipercayai mengalami tekanan perasaan dan dalam separuh sedar memanjat ke atas bumbung rumahnya melalui dapur yang mempunyai laluan ke bumbung sebelum disedari bapanya yang menghubungi bomba.

Enam anggota bomba dari Balai Bomba Machang, diketuai, Che Zamri Che Ya, 39, tiba di tempat kejadian kira-kira jam 11.11 minit, sebelum gadis itu diselamatkan. Difahamkan, gadis itu menuntut di sebuah universiti di Mesir dan pulang ke negara ini sejak tiga bulan lalu buat sementara waktu ketika berlaku pergolakan di Mesir. Selepas sebulan berada di sini, dia mula mengalami tekanan perasaan.
Che Zamri berkata, dia mendekati gadis yang ketika itu berdiri di atas bumbung sambil memberitahu ayah dan ibunya bimbang dan sedih melihat keadaannya.

“Dia separuh sedar. Saya beritahu, ‘kasihan, ayah dan ibu tunggu adik di bawah. Bahaya berdiri atas bumbung ini’, sebelum gadis itu duduk.

“Ketika itu saya dan ahli keluarga serta anggota bomba lain menyelamatkannya dengan memegangnya serta membawanya turun menggunakan tangga. Bagaimanapun, gadis itu tidak bertindak agresif,” katanya.

Ketua Balai Bomba Machang, Che Mohd Fauzi Che Omar, berkata usaha menyelamatkan gadis itu mengambil masa kira-kira 10 minit.

“Gadis itu dipercayai mengalami tekanan perasaan. Kami berjaya membawa turun gadis itu tanpa sebarang kejadian tidak diingini. “Dia tidak cedera dan kini berada bersama ahli keluarganya di rumah,” katanya.
Sementara itu, usaha menemu bual bapa gadis itu gagal kerana enggan ditemubual.

Ibu terkilan tiada usaha bawa anak ke hospital



KUALA TERENGGANU: “Walaupun reda dengan kematian arwah, saya terkilan dan sedih apabila melihat anak lelaki berusia 24 tahun itu tidak sedarkan diri dengan bergari dalam lokap bersama abangnya berusia 38 tahun di Balai Polis Gong Badak, malam Rabu lalu,” kata Zainun Mamat, 56, dari Kampung Tuan Mandak, Batu Enam.
Zainun berkata, Mohd Azizul Muda, anak ketujuh daripada 12 beradik itu dilihat cedera teruk di kepala dan dia sendiri tidak tahu punca anaknya ditahan polis.

“Saya bertanya kepada seorang anggota polis bertugas kenapa anak sedemikian dan diberitahu anak saya berpura-pura buat begitu dan akan sedar setengah jam kemudian,” katanya.
Menurut suri rumah itu, walaupun anaknya kelihatan teruk, tiada usaha anggota polis bertugas membawa anaknya ke hospital.

Menurut Zainun, sebelum itu Mohd Azizul dan abangnya, Mohd Suhaimi keluar menaiki motosikal ke kedai makan di Taman Semarak untuk makan roti canai selepas menonton siaran langsung perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dengan Taiwan jam 11.30 malam.

Katanya, kira-kira setengah jam kemudian dia menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya memintanya datang ke Balai Polis Gong Badak kerana dua anak lelakinya ditahan polis manakala Mohd Azizul cedera di kepala.

Menurutnya, selepas berbincang dengan anggota polis seorang daripadanya memberi jaminan keadaan anaknya akan pulih.

“Saya pulang dan datang semula ke balai polis kira-kira jam 9 pagi keesokannya untuk melihat anak namun terkejut apabila mendapat tahu dia sudah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pagi itu.
“Saya bergegas ke HSNZ dan setiba di sana, terkejut apabila mendapati kepala anak sudah dibedah dan doktor mengesahkan punca kematiannya akibat terjatuh motosikal.

“Saya hairan kerana sebelum ini anggota polis memberi jaminan anak saya tiada masalah dan kerana dia cedera, kenapa tidak dibawa ke hospital. Bila keadaan sudah teruk baru bawa ke hospital dan keadaan ini menimbulkan keraguan mengenai punca kematiannya,” katanya.

Zainun berkata, punca kematian anaknya akibat terjatuh motosikal seperti tidak logik serta tidak dapat diterima keluarga dan mereka bercadang melantik peguam untuk lanjut mengenalpasti punca kematian.

Katanya, anak perempuannya, Nurhafidah, 26, sudah pun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu petang Jumaat lalu kerana tidak puas hati mengenai punca kematian serta kelewatan polis menghantar arwah ke hospital.

Katanya, beberapa hari sebelum itu, arwah berkelakuan pelik apabila memberi sekeping gambar kepada adik lelakinya berusia 23 tahun dan meminta disimpan dengan baik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersama abangnya terbabas dan terjatuh ketika melarikan daripada polis yang membuat operasi di Jalan Semarak.

Katanya, motosikal ditunggang mangsa terbalik lalu menghempap kepalanya.

Saman bekas tunang RM320,000

KOTA BHARU: “Perbuatannya (bekas tunang) membatalkan perkahwinan pada saat akhir menyebabkan kami sekeluarga menanggung malu dan majlis persandingan yang dirancang terpaksa ditukar menjadi majlis kesyukuran,” kata Nik Mustafa Nik Daud.
Nik Mustafa, 30, dari Kampung Jedok Tua, Tanah Merah berkata demikian sejurus memfailkan saman RM320,000 bagi menuntut ganti rugi am, malu teruk, khas dan teladan terhadap bekas tunangnya, Azlina Mohamed, 27, dari Kampung Nibong, Tanah Merah kerana membatalkan perkahwinan seminggu sebelum majlis pernikahan pada Jun lalu.

Nik Mustafa yang juga juruteknik pemprosesan sebuah kilang di Lembah Klang memfailkan saman berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, melalui peguam Mohd Ridzuan Muhammad dari Mohd Fadzli & Co, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Dalam pernyataan tuntutannya, Nik Mustafa berkata, dia bersama Azlina Mohamed (defendan) bertunang pada 1 Mei lalu dan bersetuju melangsungkan perkahwinan pada 8 Jun lalu dengan majlis perkahwinan di pihak lelaki dirancang dua hari kemudian.

“Semua persiapan perkahwinan, persiapan kenduri dan persiapan lain dilakukan secara teratur dan terperinci termasuk menghadiri Kursus Praperkahwinan Kekeluargaan Islam oleh Jabatan Agama Islam Daerah Hulu Langat, Selangor.

“Saya turut mengisi dan mendapat pengesahan Borang Ujian Saringan HIV Praperkahwinan serta Borang Persetujuan Menjalankan Ujian Saringan HIV pada 2 Mei lalu, selain mengisi Borang 1 Permohonan Untuk Kebenaran Berkahwin," katanya.

Menurut Nik Mustafa, dia juga sudah menyediakan kad undangan perkahwinan untuk 1,000 tetamu termasuk keluarga, kenalan dan jiran dan pada masa sama menanggung kos pembelian lembu, ayam, menempah jurukamera, pengurusan pengangkutan dan kos berarak kira-kira RM8,000.

“Bagaimanapun, seminggu sebelum tarikh perkahwinan pada 8 Jun lalu, bekas tunang membatalkan perkahwinan tanpa alasan munasabah.
“Saya tidak dapat menerima hakikat itu, sekali gus menjejaskan tumpuan terhadap kerja. Akibatnya saya mendapat cuti sakit empat hari,” katanya.

Nik Mustafa berkata, bekas tunangnya bertindak di luar batasan undang-undang dengan membatalkan perkahwinan pada saat akhir hingga memberi kesan fizikal, mental serta reputasi kepadanya termasuk memburukkan keluarganya.

“Dia meletakkan keadaan saya dalam situasi genting, serba salah dan kecewa yang amat dahsyat. Bekas tunang juga tidak prihatin kepada pandangan serong masyarakat khasnya tetamu jemputan termasuk keluarga, jiran dan kenalan.

“Berikutan itu, saya mengalami kesusahan dan kerugian sehingga terjejas reputasi menyebabkan saya terpaksa mendapatkan penghakiman terhadap bekas tunang saya dan menuntut ganti rugi,” katanya.

Menurut Nik Mustafa, dia membuat laporan polis pada 11 Jun lalu terhadap bekas tunangnya itu untuk menuntut saman malu dan ganti rugi.

Katanya, dia turut menuntut bekas tunangnya mengemukakan permohonan maaf di dalam akhbar berbahasa Melayu tiga hari berturut-turut selepas draf permohonan diluluskan mahkamah, selain faedah lapan peratus setahun ke atas jumlah dari tarikh pemfailan writ saman hingga tarikh penghakiman.

Sementara itu, Azlina ketika dihubungi berkata, dia tidak mengetahui mengenai saman yang difailkan itu kerana tidak mendapat sebarang maklumat daripada bekas tunangnya mahupun peguamnya.

“Sehingga kini (petang semalam) tidak ada mana-mana pihak memaklumkan mengenai saman itu kepada saya. Jadi saya perlu tunggu surat berkenaan (saman) daripada mahkamah terlebih dulu,” katanya.

'Kami tak tahu bapa peluk Islam'



PORT DICKSON: “Kami sekeluarga tidak pernah mengetahui bapa beragama Islam,” kata M Mathu (gambar), 30, anak kepada Said Bacha Ariffin, 56, yang dikatakan seorang beragama Islam tetapi mahu dikebumikan mengikut agama Hindu di Ladang Sawit Rantau, semalam.
Difahamkan, belum sempat upacara pembakaran itu dilakukan, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan (JHEAINS) hadir menuntut jenazah Said Bacha bagi dikebumikan secara Islam.

Harian Metro difahamkan, rundingan antara JHEAINS dan keluarga mangsa berlangsung selama 15 minit selepas pelbagai bukti dikemukakan menunjukkan arwah adalah seorang Islam.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, jenazah Said Bacha yang dikenali sebagai Maniam dituntut keluarganya di Rumah Mayat Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk dikebumikan mengikut upacara keagamaan Hindu.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila dihubungi pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), tidak lama kemudian memaklumkan status sebenar agama Said Bacha seperti yang terdapat dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Difahamkan, berikutan kekeliruan itu, timbul sedikit kekecohan disebabkan keluarga Said Bacha mendakwa tidak pernah diberitahu mana-mana pihak dia beragama Islam sehinggalah pagi semalam.

M Mathu yang juga anak ketiga arwah berkata, sepanjang hidupnya, dia dan empat beradik yang lain tidak pernah mengetahui bapanya itu beragama Islam, disebabkan itu mereka sekeluarga membuat keputusan membakar mayat ayahnya seperti kaum Hindu yang lain.

“Namun, saya terkejut apabila menerima kedatangan JHEAINS yang mahu menuntut jenazah bapa untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam sebagai Muslim sedangkan kami adik-beradik dan ibu tidak pernah mengetahuinya.
“Saya akur dengan keputusan itu, malah hormat kalau betul bapa adalah seorang Muslim. Kami membantu JHEAINS untuk menyempurnakan jenazah bapa secara Islam,” katanya.

Said Bacha meninggal dunia jam 3.10 petang kelmarin di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas beberapa organ dalaman tidak berfungsi dan kesukaran bernafas.

Lebih mengelirukan, M Mathu berkata, kad pengenalan baru (Mykad) dia dan dua adik perempuan lain tertera nama bapanya sebagai Said Bacha tetapi dua Mykad kakak perempuannya tertera nama bapanya sebagai Maniam.

“Kami sekeluarga pernah bertanyakan hal demikian, bapa berkata itu kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) silap mencetaknya.

“Saya berharap pihak JPN lebih peka mengenai isu ini kerana tidak mahu kejadian seperti ini berulang lagi di masa akan datang,” katanya sebak.

Jenazah Said Bacha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang jam 4.30 petang.

Taubat jalan penyelesaian



KUALA LUMPUR: “Perbuatannya itu menunjukkan dia seorang yang mengalami kebejatan akhlak dan jelas ia bercanggah dengan ajaran Islam,” kata Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Maznah Daud (gambar).
Katanya, kebejatan akhlak, sahsiah diri dan tatasusila dalam masyarakat adalah hasil pengasingan agama daripada kehidupan seharian lalu menyebabkan kekacauan jiwa, keruntuhan nilai budaya dan sosial.

“Allah melarang hamba-Nya menzalimi orang lain dan tidak terkecuali dirinya sendiri tidak kira dari segi apa pun. Kesan perbuatan lelaki berkenaan hanya akan membuatkan dirinya tidak bahagia apatah lagi mahu hidup dalam keadaan tenteram.
“Dalam konteks ini, Islam menyediakan beberapa kaedah alternatif bagi umatnya yang terlanjur melakukan kesalahan. Taubat nasuha dan beristighfar dengan menginsafi diri sendiri adalah jalan alternatif yang boleh dipilih oleh hamba-Nya yang melakukan kesalahan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Metro Ahad semalam, mengenai seorang lelaki yang dikenali sebagai Hisyam, 26, yang terpaksa menanggung penderitaan sehingga hampir membuatnya gila selepas bergelar kasanova selama 11 tahun.

Dengan mempergunakan 17 wanita sepanjang tempoh itu, Hisyam tidak perlu bekerja kerana kemewahan diperoleh daripada semua teman wanitanya. Tidak cukup dengan itu, dia turut menjadikan mereka tempat memuaskan nafsunya.

Dia mengakui usaha meninggalkan hobi dayus itu tidak semudah disangka apabila ketika meninggalkan seorang demi seorang mangsanya, Hisyam mula menerima padah akibat perbuatannya.

Antaranya, dia hidup dalam ketakutan dan sentiasa risau tanpa sebab selain diganggu pelbagai perkara tidak munasabah seperti tatkala senja menjelang, jiwanya menjadi bertambah kacau, sentiasa berasa resah dan gelisah seolah-olah kehilangan sesuatu. Maznah berkata, walau apapun faktor yang menyebabkan seseorang itu melakukan kesalahan, mereka masih boleh bertaubat dan menginsafi perbuatan lalu. Menurut Islam, sekiranya seseorang terlajak melakukan perbuatan yang dilarang, mereka digalakkan untuk memohon keampunan daripada Allah.

Bapa cari anak hilang dibalas cota besi



PETALING JAYA: Niat seorang bapa mencari anak gadisnya berusia 21 tahun yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu bertukar tragedi apabila dia dipukul dengan cota besi dan dibelasah tiga lelaki termasuk seorang abang teman lelaki anaknya dalam kejadian di Sungai Way, Rabu lalu.
Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu menyebabkan si bapa cedera di bahagian badan dan muka selepas terkena pukulan cota besi selain turut ditendang dua lelaki di belakangnya.

Mangsa, Mat Ismail Saad, 46, berkata, beberapa kali cuba mencari anaknya, Rosmalah Mat Ismail, 21, di sekitar bandar serta di rumah teman lelakinya, namun tidak ditemui.
Katanya, pada hari kejadian, dia ternampak kelibat anak keempat daripada sepuluh beradik itu yang baru pulang dari kerja dan cuba memanggilnya, namun dia melarikan diri dengan naik ke rumah teman lelakinya.

“Saya cuba mengekori, tetapi dia hilang sekelip mata hingga menyebabkan saya pergi ke rumah sewa teman lelaki anak dan meminta izin untuk masuk bagi mencarinya, tetapi dihalang keras tiga lelaki itu.

“Saya tetap berkeras masuk ke rumah itu dan memanggil nama anak, namun sebaliknya diberi ‘hadiah’ pukulan cota besi di rusuk, tamparan dan tendangan di badan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Petaling Utama, di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki terbabit tanpa belas kasihan menggunakan kekerasan memukulnya, walaupun tidak bersalah dan hanya berniat mencari anak gadis yang hilang.

Mat Ismail berkata, dia tidak membalas pukulan itu kerana hanya mahu anak gadisnya dikembalikan dan merayu tidak diperlakukan sebegitu.
“Pergaduhan itu berakhir selepas jiran datang membantu meleraikannya dan bersyukur kecederaan tidak serius.

“Anak sanggup bertukar tempat kerja dan tinggal dengan orang lain bagi mengelakkan dirinya dijejaki. Kami bimbang dengan keselamatannya dan berharap dia pulang menemui keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan siasatan sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment