Siasatan serentak kes bunuh lain
Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
Pegawai Staf D9 Unit Siasatan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Denis Leong Sung Kuai (gambar), 49, berkata, pasukannya mengunjungi ladang itu pada 3 petang, 9 September tahun lalu dan menahan T Thilaiyagan, 20; R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, serta U Suresh, 27.
Beliau berkata, pada peringkat awal, tangkapan itu dibuat berhubung kes bunuh di Gombak.
“Apabila saya pergi ke ladang itu pada 9 September, saya sebenarnya turut menjalankan siasatan serentak dengan satu kes bunuh di Gombak. Pada masa sama, kami juga menyiasat kehilangan Sosilawati di ladang itu,” katanya ketika menjawab pemeriksaan balas oleh peguam bela Manjeet Singh Dhillon.
Denis berkata, dia tidak ada memberikan butiran mengenai kes kehilangan Sosilawati dalam laporan polis berhubung penahanan Thilaiyagan, Matan dan Khatavarayan serta Suresh.
“Apabila saya lihat dalam kawasan ladang, saya tidak melihat sebarang kaitan (empat lelaki ditahan) dengan kehilangan Sosilawati dan tiga individu itu. Oleh sebab itu, saya tidak boleh tulis dalam laporan saya,” katanya.
Saksi pendakwaan ke-27 itu memberi keterangan pada hari kelapan perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Tiga pekerja ladang, Thilaiyagan, Matan dan Khatavarayan bersama-sama majikan mereka yang juga bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, didakwa membunuh semua mangsa di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Rakan mereka, Suresh dan K Sarawanan, 20, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan apabila membakar dan membuang abu mangsa.
Terdahulu, pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Denis berkata, pasukannya disertai 10 anggota bertolak ke Ladang Gadong pada jam 3 petang, 9 September tahun lalu, sebelum menahan Thilaiyagan, Matan, Khatavarayan dan Suresh.
ISHAK: Siapa yang ada ketika kamu tiba di ladang itu?
DENIS: Dua perempuan, seorang Indonesia dan seorang Filipina, (dan) dua wanita India. Seorang lelaki dewasa India dan dua atau tiga budak lelaki.
ISHAK: Adakah wanita Indonesia dan Filipina itu ditahan?
DENIS: Ya. Mereka ditahan anggota saya, yang lain tidak ditangkap.
ISHAK: Bagaimana kamu memasuki ladang itu?
DENIS: Ketika kami tiba, pintu pagar ladang itu berkunci. Kami melihat banyak anjing berkeliaran. Kami menjerit apabila melihat ada orang dan tertuduh keempat (Khatavarayan) kemudian datang dan membuka pintu pagar automatik itu. Kami masuk selepas memastikan semua anjing dimasukkan ke dalam sangkar.
ISHAK: Bagaimana dengan orang lain dalam ladang itu?
DENIS: Mereka berada di rumah pekerja di bahagian belakang kawasan ladang itu.
Menurutnya, Thilaiyagan, Matan, Khatavarayan dan Suresh digari dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Banting, manakala dua wanita warga asing itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen.
Beliau berkata, dia merampas dua telefon bimbit daripada Suresh.
“Kami tinggalkan ladang itu pada jam 6.45 petang,” katanya.
Denis berkata, tangkapan dibuat terhadap seorang lagi individu iaitu V Selvapandian, 46, dan merampas jam tangan Longiness berwarna perak metalik di rumah lelaki itu di nombor 23, Taman Damai, Simpang Morib, Banting, pada jam 11 pagi, 11 September 2010.
Beliau berkata, Sarawanan (yang sudah mengaku salah melupuskan bahan bukti) pula ditahan dan telefon bimbitnya dirampas di Paya Jaras, dekat Sungai Buloh, pada jam 2.10 pagi keesokan harinya.
“Saya bertanyakan kepada Selvapandian sama ada dia ada menerima jam tangan dan dia kata ada, ... daripada Suresh,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini.
Bongkar kes di Ladang Gadong
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu penahanan empat lelaki termasuk tiga yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong, Banting dekat sini bermula daripada siasatan satu kes pembunuhan lain di Gombak.
Saksi pendakwaan ke-27, Pegawai Staf Unit Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Supritendan Dennis Leong Sung Kuai (gambar kecil) berkata, pasukannya menahan T. Thilaiyagan, 20; R. Matan, 21; R. Khatavarayan, 31, dan U. Suresh, 27, selepas mengunjungi ladang itu pada 9 September tahun lalu.
Thilaiyagan, Matan dan Khatavarayan serta bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, merupakan tertuduh dalam kes bunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Suresh, seorang pekerja ladang telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.
Sung Kuai berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.
Ketika menjawab pemeriksaan balas oleh peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, Sung Kuai berkata, pada peringkat awal tangkapan itu dibuat berhubung kes bunuh di Gombak.
“Apabila saya pergi ke ladang itu, saya turut menjalankan siasatan dengan satu kes bunuh di Gombak. Pada masa sama, kami juga menyiasat kehilangan Sosilawati di situ,” katanya.
Sung Kuai berkata, sehubungan itu beliau tidak memberi butiran mengenai kes kehilangan Sosilawati dalam laporan polis yang dibuat ketika menahan Thilaiyagan, Matan, Khatavarayan serta Suresh.
Kalah judi pukul isteri
Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
ahmadtajol@hmetro.com.my
Ketika mendedahkan perkara itu mangsa hanya mahu dikenali sebagai Wati, 26, berkata, dia turut diugut dilacurkan suaminya yang juga kaki judi tegar tidak lama selepas mereka bernikah, September tahun lalu.
“Sepanjang berkahwin, saya sentiasa dikurung dan tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga termasuk ibu. Setiap kali suami kalah berjudi, saya perlu ‘menyerahkan’ badan untuk didera atau dilibas dengan wayar elektrik.
“Saya meraung dan menangis sekuat hati kerana tidak tahan dengan kesakitan akibat libasan itu, tetapi suami semakin menggila, seluruh badan hinggakan paha, mata, betis cedera. Itulah azab yang saya lalui selama ini,” katanya, semalam.
Menurut Wati, kali terakhir dia menjadi mangsa belasahan suaminya yang dikenali sebagai Shahrul, 38, pada awal Jun lalu ketika berada di rumah sewa mereka di Segambut, Kuala Lumpur.
Pencuri kereta mati ditembak
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pencuri kereta warga Bangladesh yang cuba menyerang polis dengan sebilah parang mengundang padah apabila dia mati ditembak dalam kejadian di Taman Desa Setapak, Wangsa Maju di sini semalam.Kejadian pukul 2 petang itu berlaku apabila suspek berusia lingkungan 30-an bersama rakannya diekori oleh polis selepas didapati memandu sebuah kereta jenis Proton Waja yang disyaki dicuri di Wangsa Maju tiga hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selepas diekori sejauh lima kilometer dari sebuah pasar raya di Wangsa Maju, suspek yang sedar kehadiran polis telah memberhentikan kereta tersebut di taman tersebut.
Katanya, tidak lama kemudian lelaki Bangladesh tersebut keluar lalu cuba menyerang polis dengan bersenjatakan sebilah parang.
Kaki putus dirempuh treler
JEMPOL – Seorang penunggang motosikal menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila kaki kanannya putus dan tercampak hampir 20 meter dari badannya selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 15, Jalan Bahau-Kemayan, dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 5.50 petang itu turut mengakibatkan dua penumpang sebuah kereta Proton Saga mati selepas cedera parah akibat tersepit.
Mereka yang maut ialah penunggang motosikal jenis Demak, Alizan Ahmad, 35, dan dua penumpang kereta, Chu Peng Seng, 34, serta Sum Wan Kong, 49.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang Alizan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler yang membawa muatan kayu getah.
Katanya, pemandu treler yang cuba mengelak terbabas ke arah bertentangan dan merempuh kereta dinaiki Peng Seng dan Wan Kong.
Jurugambar dituduh bunuh ibu kekasih
MELAKA – Seorang jurugambar sambilan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh seorang warga emas yang juga ibu bekas teman wanitanya di Kampung Ayer Salak di sini 1 Julai lalu.
Tertuduh, Ng Kwan Hua, 32, hanya menganggukkan kepala tanda faham dan tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Hazri Hanafi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Ah Ngo, 75, dengan sengaja menikam dadanya hingga mati menggunakan sebilah pisau di rumah No 9554, Batu 10, Kampung Air Salak, Bukit Rambai, Batang Tiga di sini pukul 11.40 malam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kongsi rumah dengan burung
PADANG SERAI – Kemiskinan memaksa sebuah keluarga di Kampung Terap Batu dekat sini menumpang teduh di sebuah bangsal usang yang menjadi sarang burung walit sejak empat tahun lalu.
Itulah yang mampu disediakan Sukri Yusuf, 40, bagi memastikan keselesaan isteri, Noorlaila Asyikin Md. Nor, 28, dan tiga anak mereka, Mohd. Dainal Zamil, 7, Mohd. Dinas Haikal, 4, dan Mohd. Harif Iskandar, 3.
Bangsal berdinding papan beratapkan zink itu milik seorang pengusaha Cina yang simpati dengan nasib keluarga malang itu lalu membenarkan mereka menumpang di situ.
Menurut Sukri, upah yang diterima sebagai pembantu kedai runcit di Tanjung Belit tidak jauh dari rumahnya hanya cukup untuk menampung belanja dapur dan tidak mampu menyewa sebuah rumah yang sempurna.
“Sebelum ini bekerja kampung tetapi pendapatan tidak menentu. Memang impian saya ingin sediakan rumah yang selesa kepada keluarga tetapi apakan daya inilah sahaja yang saya mampu.
“Bekalan air ke rumah ini pun dapat dari rumah seorang jiran tetapi saya tetap bersyukur kerana mempunyai tempat berteduh walaupun hanya sebuah bangsal burung,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment