Thursday, August 4, 2011

DADAH...BAYI DAN KEMALANGAN....YANG SERING MENGHIASI DIDADA2 AKHBAR......

Penyeludup lompat dari kereta


KOTA BHARU – Pelbagai taktik dilakukan penyeludup petrol di negeri ini bagi mengelak ditangkap dan yang terbaru dua lelaki sanggup melompat dari kereta yang bergerak sehingga kenderaan itu melanggar tiang dan tangga rumah di Pasir Pekan, Tumpat, dua hari lalu.

Bagaimanapun, dua lelaki terbabit berjaya melarikan diri ke dalam semak di kawasan itu sejurus melompat keluar dari kereta Proton Saga yang dipercayai membawa muatan petrol untuk diseludup ke negara jiran.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, Fauzi Harun berkata, siasatan dijalankan mendapati tangki minyak kereta itu diubahsuai dan dipercayai mampu memuatkan petrol sehingga 300 liter.

“Dalam kejadian 1.30 petang itu, seorang lelaki didapati dalam keadaan mencurigakan ketika mengisi minyak di Petronas Pasir Pekan dan seorang lagi rakannya menunggu di tempat pemandu kereta.

“Apabila menyedari kehadiran pegawai kami yang diketuai A’ala Shah Md Yusop mereka tergesa-gesa masuk ke dalam kereta dan melarikan diri sehingga terlanggar kereta penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu kereta itu terus memecut ke jalan kampung sehingga hilang kawalan sebelum bertindak melompat keluar dari kereta yang bergerak dan membiarkan kenderaan itu melanggar tiang rumah dan tangga rumah penduduk.

Katanya, mereka kemudian terus masuk ke kawasan semak dan akibat tindakan liar itu menyebabkan tiang dan tangga rumah tersebut patah namun tiada kecederaan yang dilaporkan.

Fauzi berkata, dua lelaki terbabit sanggup membahayakan nyawa sendiri dan tidak menghiraukan nyawa orang lain terutama kanak-kanak yang sedang bermain ketika kejadian itu.

“Pihak kami mendapati aktiviti seludup barang kawalan terutama petrol dan diesel semakin berleluasa dan aktif ekoran permintaan tinggi di Thailand. Penyeludup ini juga menggunakan kereta atau lori pendaftaran tempatan yang diubahsuai tangki minyak hingga boleh memuatkan muatan sehingga 500 liter,” katanya.

Katanya, penyeludup menggunakan tangki asal tetapi kerap membuat pengisian selepas menyedut keluar di kawasan penyeludupan yang ditetapkan sebelum minyak itu diseludup ke negara jiran pada malam hari.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Bekalan 1974. Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Rahsia hidup mewah terbongkar

PETALING JAYA – Rahsia kehidupan mewah dua pelajar warga Afrika terbongkar selepas mereka diberkas bersama dadah disyaki syabu bernilai hampir RM300,000, di Mentari Court, PJS8 di sini, kelmarin.

Suspek lelaki yang berusia masing-masing 26 dan 23 tahun itu adalah pelajar sebuah institusi swasta di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berumur 26 tahun diberkas, kira-kira jam 6.10 petang, di tempat letak kereta.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui dua peket dadah disyaki syabu seberat 1.59 kilogram.

Susulan itu katanya, polis menyerbu rumah sewa suspek di sebuah kondominium di Taman Sri Subang dan memberkas rakannya bersama 59 gram dadah sama.

“Siasatan mendapati suspek daripada kumpulan pengedar yang sama. Kita percaya suspek menjual dadah ini dalam kalangan pelajar asing.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan suspek hidup senang dengan hasil yang diperoleh berikutan beberapa resit keluar masuk wang ditemui di dalam rumah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Arjunaidi berkata, siasatan awal mendapati suspek bergiat aktif dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun lalu.

Suspek ditahan reman sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Guru maut ketika jemput isteri

SUNGAI TONG – Seorang guru, Ahmad Yusrizal Yusuf, 33, maut apabila kereta Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak sawit dalam kejadian pada jam 1.25 petang kelmarin di Kilometer 42, Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Sungai Tong.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kejadian yang berlaku itu disebabkan pemandu Perodua Viva gagal mengawal keretanya ketika ingin memotong kereta di hadapannya sebelum bertembung dengan lori tangki minyak.

“Berdasarkan siasatan, lori tangki minyak yang datang dari arah kilang sawit di Sungai Tong menghala ke Kota Bharu tidak dapat mengelak kereta Perodua Viva yang tiba-tiba memasuki laluan bertentangan walaupun ketika itu lori terbabit sudah hampir.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, Perodua Viva itu melanggar lori terbabit sehingga menyebabkan bahagian depan kereta remuk teruk dan lori tangki minyak itu terbabas ke kanan jalan.

“Pemandu kereta terbabit mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan manakala pemandu lori yang berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Rohaizat berkata, selepas kemalangan itu, pemandu lori tangki telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, menurut rakan mangsa yang enggan dikenali, mangsa merupakan seorang guru dan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkap dalam perjalanan pulang dari sekolah untuk mengambil isterinya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong.

“Mangsa yang tinggal di Tok Jiring, Kuala Terengganu sentiasa menggunakan laluan ini untuk berulang-alik pada setiap hari dan saya tidak menyangka ajalnya hari ini (kelmarin) walaupun jarang berjumpa mangsa.

“Saya mendapat maklumat ini setelah dihubungi rakan yang menyatakan Cikgu Mat (panggilan mesra untuk arwah) terlibat dalam kemalangan dan ketika sampai, saya terkejut melihat keadaan mangsa yang cedera parah di bahagian muka dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

 Maut dirempuh treler di lebuh raya


SEREMBAN – Seorang maut dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan barangan gantian Honda dan sebuah motosikal Yamaha Lagenda di Kilometer 261.1, Lebuhraya Plus arah selatan pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, penunggang motosikal, Ahmad Amin Syakri, 47, meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pembonceng, Abdul Hairil Abdul Sharif, 30, cedera parah.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa ketika itu berada di lorong kecemasan telah mengubah laluan ke lorong kiri secara tiba-tiba menyebabkan treler terbabit tidak sempat mengelak.

“Mangsa yang juga pekerja buruh landskap dipercayai dari arah Nilai ke Mambau, sementara treler terbabit dalam perjalanan dari Perlis ke Melaka.

“Bagaimanapun, pemandu treler tidak cedera dan dia ditahan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk tindakan selanjutnya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Buruh maut perut terburai

BAYAN LEPAS – Seorang buruh yang baru pulang dari kerja maut dalam keadaan perutnya terburai selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kenderaan yang sedang keluar dari persimpangan Jalan Permatang Damar Laut kelmarin.

Dalam kejadian kira – kira 7.40 malam, mangsa, Lye Hock Soon, 42, dikatakan dalam perjalanan dari Bayan Lepas ke Batu Maung sebelum merempuh kereta jenis Datsun yang berada di persimpangan itu.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa melambung melepasi kereta berkenaan sebelum tercampak ke atas jalan sehingga menyebabkan perutnya terburai dan kecederaan parah di kepala.

Ketua Bahagian Trafik Daerah Barat Daya, Cif Inspektor Mohd Zin Mat Ali berkata, mangsa dikatakan baru pulang dari kerja di Batu Maung dan dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Pulau Betong, Balik Pulau.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta terbabit mengalami cedera parah di bahagian kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati, penunggang terbabit melanggar kereta yang keluar dari persimpangan jalan itu.

“Kami sedang menjalankan siasatan berhubung punca kejadian berikutan pemandu terbabit masih belum sedarkan diri,” katanya.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dua beradik trauma

KOTA BHARU- Malang menimpa dua beradik, apabila mereka diragut oleh dua pemuda yang juga menaiki motosikal di Jalan Salor-Pintu Geng di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan motosikal yang ditunggang oleh mangsa Siti Farizat Mustapha, 22, bersama kakaknya, Siti Sarina Mustapha, 23, hilang kawalan dan terseret sehingga menyebabkan kedua-keduanya mengalami kecederaan pada muka dan badan.

Ketika kejadian, Siti Sarina, membonceng motosikal yang ditunggang adiknya, menuju ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menjalani latihan praktikal di stesen terbabit.

Siti Sarina berkata, dia tidak menyedari diekori oleh dua lelaki dari arah belakang sehinggalah kedua-dua suspek terbabit meragut salah satu beg tangan dalam raga motosikal yang dinaikinya itu.

“Ketika sampai hanya beberapa meter dari bangunan RTM berkenaan, dua lelaki menghampiri kami dan terus merentap beg dari arah belakang dan menyebabkan motosikal yang ditunggang adik saya hilang kawalan.

“Saya cuba berteriak menyuruh adik saya berhenti lalu adik saya membrek secara mengejut sehingga menyebabkan kami jatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Sarina berkata, adiknya cedera muka dan tangan manakala dia hanya cedera bahagian mata.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assistant Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 sebagai jenayah samun.

“Kedua-dua suspek dipercayai memecut motosikal melarikan diri ke arah jalan Salor-Wakaf Che Yeh.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan berhubung kes terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Zaid Ahmad, berkata, adik mangsa di tempatkan di Wad 28 dan kini dilaporkan stabil.

Diragut ketika sapu sampah

ALOR LIMBAT - Seorang warga emas berputih mata selepas diragut seorang peragut yang melarikan rantai lehernya yang bernilai kira-kira RM10,000 ketika sedang menyapu sampah di halaman rumahnya di Kampung Rawai di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, leher mangsa yang berusia 73 tahun juga luka selepas penjenayah terbabit dengan rakusnya merentap rantai itu sebelum melarikan diri menggunakan motosikal bersama seorang lagi rakan jenayahnya.

Mangsa, Teh Embong berkata, dia didatangi dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah motosikal, dengan seorang daripadanya turun untuk bertanya mengenai rumah di kawasan itu manakala seorang lagi tunggu atas motosikal, ketika dia sedang menyapu di halaman rumah.

Teh berkata, sedang dia leka bercakap sambil menyapu, tiba-tiba lelaki yang berada di hada-pannya itu mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukan senjata itu ke arah lehernya, sebelum meragut rantai lehernya hingga putus menyebabkan dia cedera pada leher.

“Lelaki itu kemudian terus melarikan diri dengan motosikal bersama seorang lagi lelaki yang datang bersamanya selepas meragut rantai leher makcik dan hilang sekelip mata,” katanya menceritakan semula detik cemas kejadian ragut yang berlaku pada hari pertama Ramadan itu.

Mangsa ketika ditemui semalam, masih trauma dengan kejadian itu kerana ia merupakan kejadian pertama berlaku ke atas dirinya, malah turut mendakwa mengalami kerugian yang besar apabila rantai emas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahya (gambar) ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu.


Ajal sebelum sempat Terawih

PADANG PULUT – Hasrat murni seorang warga emas untuk menunaikan solat Terawih di masjid berdekatan tidak kesampaian apabila dia terbunuh ketika dalam perjalanan ke sebuah masjid berdekatan rumahnya, dekat sini, malam semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.15 malam di kilometer 21 Jalan Bukit Besi-Dungun itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Ismail Hasan, 72, yang menunggang motosikal dari arah Dungun ke Bukit Besi menyeberang jalan secara tiba-tiba, lalu bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah bertentangan.

Anak perempuan mangsa, Rosmida Ismail, 35, yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya sedang mengemas pinggan mangkuk sebaik selesai menjamah hidangan berbuka puasa.

Katanya, selepas menunaikan solat Maghrib, bapanya tergesa-gesa hendak ke surau dan mangsa dikatakan beria-ia benar hendak menunaikan solat Terawih pada malam tragedi itu.

Rosmida berkata, sebelum ke surau, dia sempat bermain dengan cucunya dengan memeluk dan mencium cucunya selain turut beberapa kali meminta maaf.

Bagaimanapun, perubahan tingkah laku itu tidak dianggap pelik oleh Rosmida kerana bapanya itu sebelum ini kelihatan sihat dan dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna, walaupun usianya sudah agak lanjut.

“Sebaik keluar dari pekarangan rumah, ketika berada di atas motosikal, dia beberapa kali menoleh semula ke belakang, memandang ke arah rumah seolah-olah hendak pergi jauh,

“Namun saya tak rasa apa-apa perkara buruk akan berlaku padanya sehinggalah beberapa minit kemudian sebaik dia meninggalkan rumah, saya diberitahu ayah terbabit dalam kemalangan maut,” kata Rosmida.

Mangsa yang cedera parah pada bahagian bahu kanan mati serta merta di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal yang terlibat dengan kemalangan itu, Mohd Faizuddin Mohd Daud, 20, dari Kampung Burung Baru cedera parah dan dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Mayat Ismail dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Pulut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Dahlan turut menasihati pengguna jalan raya yang hendak ke masjid agar mengutamakan keselamatan untuk mengelakkan sebarang tragedi

Ribut landa bazar Ramadan

FELDA SUNGAI KOYAN - “Keadaan tiba-tiba menjadi hingar bingar dengan tangisan kanak-kanak dan terdapat juga beberapa peniaga melaungkan azan bagi memohon kepada Allah supaya ribut segera berhenti.”

Demikian menurut peniaga sayur-sayuran, Norhazimah Hadi, 22, ketika menceritakan detik awal kejadian ribut di bazar Ramadan yang turut menempatkan pekan sehari, di sini.

Menurutnya, kejadian ribut dan hujan lebat itu kali pertama dialaminya sepanjang tempoh lebih 10 tahun berniaga dan ia tidak akan dapat dilupakan sehingga akhir hayat.

“Hujan lebat dengan angin kencang melanda tapak perniagaan sekitar jam 8.15 malam kelmarin dan berlarutan sehingga sejam setengah.

“Ketika itu saya lihat kebanyakan peniaga memegang payung dan kanopi masing-masing supaya tidak diterbangkan angin. Saya bersama adik-beradik yang lain turut bertindak demikian dan membacakan ayat suci al-Quran beramai-ramai supaya angin kencang tidak datang dan menerbangkan kanopi kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Norhazimah berkata, akibat kejadian itu, berpuluh payung dan kanopi milik peniaga mengalami kerosakan teruk.



Peniaga tanggung rugi



Seorang peniaga ikan bakar, Zulhazrul Zaiha, 30, berkata, semasa ribut melanda, dia sudah pulang ke rumah bersama keluarga untuk berbuka puasa.

“Saya baru tiga hari memulakan perniagaan ikan bakar untuk menambah sumber pendapatan sempena kedatangan bulan Ramadan.

“Selepas berbuka puasa, angin kencang berserta hujan lebat melanda kawasan ini dan saya tidak sedap hati mengenangkan tapak perniagaan di bazar Ramadan,” katanya.

Zulhazrul berkata, sejurus selepas hujan reda, dia bergegas ke tapak perniagaan dan terkejut apabila melihat tiang kanopi miliknya patah dan diterbangkan angin.

“Saya mengalami kerugian sekitar RM300 kerana kanopi dan beberapa peralatan perniagaan rosak teruk dan tidak boleh diguna lagi.

“Hari ini (semalam) juga saya terpaksa menutup perniagaan untuk membersihkan kawasan sekitar dan bercadang untuk membeli kanopi serta beberapa barangan lain yang rosak,” katanya.



Tiada sebarang kecederaan



Seorang peniaga air minuman, Jafri Siteh, 44, berkata, walaupun kejadian ribut itu antara yang paling teruk melanda, namun mereka bersyukur kerana tiada kecederaan menimpa peniaga dan pembeli.

“Ketika kejadian, kebanyakan peniaga sudah pulang ke rumah masing-masing untuk berbuka puasa dan yang tinggal hanya peniaga pekan sehari.

“Sebab itu ramai peniaga tidak dapat menyelamatkan payung dan kanopi dari diterbangkan angin kencang,” katanya.

Jafri berkata, kanopi miliknya turut diterbangkan angin dan masuk ke dalam longkang, namun nasibnya baik kerana besi khemah berkenaan tidak patah serta boleh digunakan semula.

“Hampir setiap tahun menjelang Ramadan saya akan menjual air minuman dan kejadian ribut itu merupakan peristiwa paling teruk melanda kawasan ini hingga mengakibatkan ramai peniaga mengalami kerugian kerana banyak peralatan rosak.

“Saya menganggap peristiwa ini sebagai dugaan Allah dan kami semua bersyukur tiada sebarang kecederaan dialami peniaga mahupun pengunjung,” katanya.


JKM cari waris bayi berusia enam hari

AYER KEROH – Mahkamah Majistret di sini, semalam, membenarkan permohonan perintah jagaan sementara bagi bayi lelaki berusia enam hari terhadap sepasang suami isteri yang menerima bayi berkenaan daripada seorang perempuan yang tidak dikenali.

Majistret Muhammad Hazri Hanafi membenarkan permohonan penjagaan sementara bayi bernama Putera Hamka Al-Kausar yang dikemukakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan :siasatan lanjut dijalankan jabatan itu.

Pegawai Perlindungan Kanak-kanak JKM, Muslim Abdullah berkata, pihaknya turut mendapat perintah hebahan akhbar bagi mengesan ibu bapa kandung atau waris bayi terbabit.

“Perintah penjagaan sementara ini untuk tempoh sebulan dan pada masa sama, kita akan cuba mengesan ibu bapa kandung bayi melalui media seperti yang diperintahkan mahkamah.

“Selepas tempoh itu, jika tiada sesiapa menuntut, pasangan suami isteri ini boleh mengemukakan hak penjagaan yang sah kepada mahkamah,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa kandung atau waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi terbabit boleh menghubunginya atau Nur Hezlin Jaafar menerusi talian 06-232 4978.

Bayi ditinggal ibu masih lemah

ALOR SETAR - Keadaan bayi yang diserahkan seorang wanita kepada sepasang suami isteri di Terminal Bas Shahab Perdana, Jumaat lalu, berada dalam keadaan lemah dan masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, bayi lelaki seberat 1.58 kilogram (kg) itu masih lagi ditempatkan di dalam inkubator dan dipantau rapi.

“Keadaan bayi masih lemah dan dia kenal pasti mengalami masalah jantung berlubang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar setelah gadis yang menyerahkan bayi itu kepada mereka tidak muncul semula selepas kira-kira satu jam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, pasangan suami isteri yang singgah menjamu selera di sebuah gerai makanan berhampiran terminal, dihampiri seorang gadis yang meminta menjaga bayinya atas alasan ingin ke tandas.

Bayi berkenaan kemudiannya dirujuk ke HSB untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut memandangkan kelahirannya tidak matang dan akan diberi pengawasan sehingga beratnya mencecah 1.8 kg.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan berkata, setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai ROA (refer other agency) iaitu merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

'Tidak tahu dadah dalam beg'

ALOR SETAR - Seorang jurujual sebuah pasar raya di Indonesia dalam pembelaan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam, menafikan dia mengetahui bahawa terdapat ‘narkoba’ atau dadah di dalam beg pakaian pemberian rakannya.

:Nurul Jannah Muhammad Zain, 33, yang berasal dari Jakarta Selatan berkata, dia tidak berani membawa barang terlarang itu masuk ke negara ini jika mengetahui dadah berkenaan disembunyikan di dalam beg yang dibawanya.

Menurutnya, beg berkenaan adalah pemberian seorang rakan senegara bernama Ida, yang dikenali sejak 2006, dan turut berada di Kemboja sewaktu Nurul Jannah melancong seorang diri di sana.

“Saya mengenali Ida sewaktu sama-sama bekerja di pusat membeli belah di Indonesia. Sewaktu di Kemboja, saya menghubungi Ida kerana dia pernah memaklumkan dia ada di negara itu dan kami bertemu di hotel tempat saya menginap kira-kira 30 minit kemudian.

“Kami keluar membeli belah dan pulang ke hotel tempat saya menginap selepas itu. Sewaktu mengemas pakaian yang baru dibeli, saya berniat membeli beg besar tetapi Ida memaklumkan dia ada beg besar, keluar dan kembali kira-kira satu jam kemudian ke hotel itu bersama satu beg besar,” katanya.

Dalam pembelaan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Azman Husin, Nurul Jannah berkata, dia tidak memeriksa beg itu secara terperinci namun melihat terdapat pakaian milik Ida di dalam beg berkenaan.

“Di Kompleks Kastam (Bukit Kayu Hitam), saya meminta pegawai mengangkat beg saya untuk diletak pada mesin pengimbas dan ditanya mengapa beg saya berat, saya jawab saya tidak tahu.

“Saya disuruh mengeluarkan semua barang di dalam beg. Saya tidak tahu ada dadah disembunyikan di dalam beg itu,” katanya.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa raya Kastam Diraja Malaysia, Nurul Ezwaney Husin kemudiannya menimbulkan persoalan mengenai kekerapan Nurul Jannah masuk ke negara ini bermula 26 Februari 2010.

Menurutnya, gaji sebagai jurujual di pusat membeli belah iaitu Rp500,000 atau bersamaan kira-kira RM189, Nurul Jannah dapat melancong ke beberapa lokasi dengan kerap malah mampu menaiki pesawat.

Nurul Jannah dalam jawapan balasnya memaklumkan bahawa tiket penerbangan ke Kemboja pada 13 Mac 2010, dibeli Ida menggunakan wang teman lelaki Ida, malah dia juga mendapat wang yang dikirim suaminya, seorang warga Iran yang kini bekerja sebagai mekanik di Australia, untuk dia ke Kemboja pada 7 Mei 2010.

Nurul Ezwaney bagaimanapun mempertikaikan tindakan suami Nurul Jannah yang masih menghulurkan wang untuk Nurul Jannah melancong walaupun pada masa itu mereka berdua sedang dalam proses penceraian.

Nurul Jannah ditahan pada jam 9.20 malam, 11 Mei tahun lalu, di laluan pejalan kaki Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam kerana membawa dadah jenis syabu seberat 2.605 kilogram.

Tertuduh yang diwakili peguam S P Raman, didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang boleh membawa hukuman mati.

Lagi pelajar dakwa didera

SKUDAI – Selepas dua laporan kes pelajar sekolah didakwa didera, kini satu lagi laporan membabitkan dakwaan dikasari pelatih kem motivasi oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Skudai (SMKTDS).

Ketua Biro Pengaduan Awam Johor, Kua Song Tuck yang mendedahkan perkara itu berkata, segelintir pelajar ini telah melaporkan bahawa dikasari dan dilemparkan kata-kata kesat ketika :mengikuti kursus motivasi di Ulu Tiram pada 18 hingga 21 Julai tahun lepas yang membabitkan 44 pelajar sekolah itu

“Ada aduan mengenai mereka didera dan dilayan dengan kasar. Saya lihat kem ini ada bagusnya namun pengisian perlu diperbaiki.

"Ini kerana pegawai ini sudah terbiasa dengan tindakan kasar, namun apabila pelajar sekolah ini yang mengikuti itu tidak terbiasa akan persekitaran sebegitu,” katanya yang ditemui di luar :perkarangan SMKTDS, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang pelajar SMKTDS, Chua Jun Wen, 16, mendakwa dipukul di kepala termasuk di bahagian muka hanya kerana melakukan kesalahan kecil.

“Ada sahaja kesalahan yang dilakukan meskipun kecil, kami akan dipukul. Ada juga pelajar yang melakukan kesalahan membawa rokok telah dipaksa untuk menghisap sekotak rokok sehingga habis,” katanya.

Menurut ibunya, Chan Sok Kim, 38, dia sama sekali tidak bersetuju apabila anaknya diperlakukan dengan kasar ketika mengikuti kursus berkenaan.

“Jika ada kem sebegini lagi, saya tidak akan menghantar anak saya untuk menyertainya. Saya tidak suka anak saya dipukul sesuka hati,” katanya.

No comments:

Post a Comment