Tuesday, August 2, 2011

JIKA AMANAH TIDAK DIJAGA MAKA AKAN BINASALAH...TAKDIR ALLAH SUSAH NAK JANGKA...MOHONLAH PERLINDUNGAN ALLAH...

Pulang cincin

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my

PULANG...Khairul Fahmi ditemani ibu dan ayahnya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, kota Bharu, malam kelmarin.
PULANG...Khairul Fahmi ditemani ibu dan ayahnya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, kota Bharu, malam kelmarin.
KOTA BHARU: Kontroversi putus tunang penjaga gol skuad bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 22, dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi, 22, hampir menemui noktah apabila hero Harimau Malaya itu mengesahkan akan memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga bekas tunangnya dalam masa terdekat.
Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan Apek berkata, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan segala urusan dilakukan mengikut adat Melayu termasuk menyerahkan semula cincin pertunangan yang bakal disempurnakan keluarga angkatnya di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, kata Khairul Fahmi, dia tidak turut serta ketika urusan penyerahan cincin itu kerana terpaksa ke Slovakia beberapa minggu bagi menjalani latihan intensif bersama skuad Olimpik.

“Saya sudah meminta keluarga angkat di Kuala Lumpur menyerahkan cincin pertunangan yang saya terima mengikut adat Melayu sebagai tanda tiada lagi ikatan pertunangan. Selepas ini saya harap tidak timbul lagi masalah lain kerana saya mahu ia diselesaikan secara baik.


“Penyerahan cincin akan dilakukan dalam masa terdekat namun malangnya saya tidak berada di sini kerana terpaksa menjalani latihan intensif bersama skuad Olimpik di Slovakia,” katanya ketika di temui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, malam kelmarin.

‘Tahan anak saya’

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tidak tahan perangai anak lelakinya berusia 13 tahun yang gemar mencuri, melawan cakap dan memukul adik, seorang ibu nekad membuat laporan polis dan mendesak pihak berkuasa menempatkan anaknya itu di pusat pemulihan akhlak.
Kesabaran ibu berusia 31 tahun itu hilang selepas remaja terbabit mencuri RM200 milik datuknya sebelum memecahkan cermin kereta dan menyerang ibunya dengan kayu di rumah mereka di Batu Caves di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, remaja terbabit bertindak demikian apabila mendapat tahu ibunya mengambil RM200 yang disoroknya di dalam beg dan menyerahkan semula kepada datuknya.

Sumber polis berkata, sebelum itu sebaik saja pulang ke rumah dan mendapati wang berkenaan tiada di dalam begnya, remaja terbabit bertindak ganas dengan menumbuk muka adik perempuannya 10 kali kerana menyangka adiknya mengambil wang itu.


“Akibatnya, adik perempuan remaja itu yang berusia 11 tahun cedera di muka dan badan, malah dia juga dijadikan tebusan oleh abangnya ketika meminta ibunya memulangkan semula wang RM200 yang dicurinya,” katanya.


Kesan DNA babi

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

TAK HALAL...sosej pulut dan kepingan ayam yang diimport dari Thailand.
TAK HALAL...sosej pulut dan kepingan ayam yang diimport dari Thailand.
KANGAR: Sosej pulut dan kepingan ayam (chicken cake) yang dijual di beberapa bazar Ramadan di sini dan digemari ramai penduduk tempatan, disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Perlis semalam selepas memperoleh keputusan analisis ke atas tujuh sampel awal yang dikumpulkan pihaknya di sekitar Sungai Bahru di sini dan daripada jumlah itu, dua disahkan mengandungi DNA babi.
Timbalan Pengarah (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) jabatan itu, Mahamad Sukor Senapi ketika dihubungi berkata, dua produk yang dijual tanpa jenama itu mengandungi DNA babi.

“Sejak tempoh dua minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 sampel dikumpulkan di sekitar kawasan berkenaan susulan aduan orang ramai yang khuatir dengan status halal produk berkenaan yang dikatakan dibawa masuk secara haram dari Thailand.


“Buat masa sekarang, hanya dua daripada tujuh sampel awal disahkan mengandungi DNA babi dan kita masih menunggu hasil analisis baki sembilan lagi sampel yang dihantar bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Dawama tidak sepatutnya rugi


MASALAH yang dihadapi Dawama menjejaskan pengedaran buku dan majalah DBP
ke pasaran seluruh negara sejak bulan lepas. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Masalah kewangan yang dihadapi Dawama Sdn. Bhd., syarikat konsesi yang diberi tugas mencetak dan mengedarkan buku serta majalah terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) menimbulkan kesangsian banyak pihak termasuk Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Dalam laman twitternya semalam, Ka Siong menyatakan, adalah mustahil Dawama rugi sedangkan jualan buku teks sekolah menerusi kontrak Kementerian Pelajaran adalah besar dan terjamin.
Katanya, Dawama harus bertanggungjawab ke atas segala masalah yang dihadapi sehingga menyebabkan hampir 380 pekerjanya terpaksa diberi cuti tanpa gaji sejak kelmarin.
"Kementerian membayar beberapa ratus juta ringgit kepada Dawama sejak tujuh tahun lepas, sampai sekarang kita tidak berhutang sesen pun dengan mereka.
"Kita tidak tahu siapa yang sepatutnya dipersalahkan.'' kata Ka Siong semalam.

Nafi layan macam banduan

PUTRAJAYA - Jabatan Penjara menafikan dakwaan 32 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di Johor Bahru, bahawa mereka didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lepas.
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar (gambar) berkata, hasil siasatan awal mendapati, dakwaan para pelajar terbabit bahawa mereka ditumbuk, dipukul dan mendapat layanan di luar daripada batasan adalah tidak benar.
Bagaimanapun katanya, siasatan terperinci sedang dijalankan dan sekiranya terdapat pihak tertentu mempunyai maklumat tambahan yang boleh membantu menyelesaikan aduan itu, bolehlah kemukakan kepada beliau di talian 03-8732 8081.
Beliau berkata, mereka juga boleh e-mel maklumat itu kepadanya di zulkifli@prison.gov.my atau menghubungi Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Penjara (Puan) Rusmiza Anuar di talian 03-8732 8388.
"Pihak kami akan memaklumkan hasil siasatan terperinci dari semasa ke semasa dan berharap dapat selesaikan kes pada 5 Ogos ini," katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud di Kementerian Dalam Negeri di sini semalam.

15 motosikal, 3 kereta dibakar


SEBAHAGIAN motosikal yang hangus di tempat letak kenderaan di Flat Seri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Ketenangan kira-kira 300 umat Islam bersahur pada hari kedua Ramadan bertukar kecoh apabila tiga buah kereta dan 15 motosikal milik penduduk di Flat Seri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras di sini semalam tiba-tiba terbakar angkara perbuatan khianat.
Kejadian pada pukul 4 pagi di tempat letak kenderaan di flat tersebut memusnahkan semua 15 buah motosikal dan masing-masing sebuah Proton Savvy, Perodua Kancil dan Proton Pesona.
Proton Savvy dan 15 buah motosikal hangus seratus peratus.
Kerugian akibat kejadian itu dianggarkan lebih RM50,000.
Pemilik sebuah motosikal, Intan Tajuddin, 27, berkata, dia mengetahui mengenai kebakaran melibatkan skuter Yamaha Ego miliknya ketika bangun bersahur pukul 5 pagi.
“Sebaik selesai bersahur saya dikejutkan dengan panggilan seorang jiran yang memaklumkan skuter saya terbakar,” kata Intan.

Remaja Orang Asli mengaku tertembak adik


TERTUDUH remaja Orang Asli bawah umur yang tertembak mati adik sendiri didakwa di Mahkamah Majistret Maran, Pahang semalam.


MARAN - Seorang remaja Orang Asli mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan iaitu membunuh tanpa niat dan memiliki dua laras senapang buatan sendiri.
Bagi pertuduhan pertama, remaja berusia 15 tahun itu mengaku bersalah apabila tertembak adik kandungnya yang berusia 10 tahun ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.
Kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bagas, Kuala Sentul di sini pada 26 Julai lalu di antara pukul 7 petang hingga 8.15 malam.
Mengikut pertuduhan, mangsa dipercayai terkena tembakan secara tidak sengaja semasa tertuduh membersihkan senjata yang digunakan selepas memburu babi.
Senjata tersebut dipercayai meletup sendiri dan terkena pada tangan serta perut mangsa menyebabkan kanak-kanak perempuan itu maut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, suspek didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata (Akta 206) kerana memiliki dua laras senapang buatan sendiri pada tarikh dan tempat sama.
Jikas sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Noor Zaihan menetapkan 6 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes sebelum menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak remaja itu.
Tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua kesalahan tersebut. Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff.
Kosmo! pada 28 Julai lalu melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli terbunuh apabila senjata buatan sendiri milik abangnya meletup.

Duit raya hangus terbakar


MUSTAFA memeriksa rumahnya yang hangus terbakar di Kampung Atas Tol di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Hajat seorang bapa untuk memberikan wang saguhati persaraannya kepada anak-anaknya sempena kedatangan Aidilfitri tidak kesampaian apabila rumah yang dihuni hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Atas Tol dekat sini semalam.
Selain memusnahkan harta benda, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi itu menyebabkan wang simpanan sebanyak RM2,000 milik mangsa, Mustafa Abu Bakar, 56, hangus menjadi debu.
Beliau yang merupakan bekas kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, wang itu sebelum ini telah diniatkan untuk diagihkan kepada enam anaknya yang berusia 20-an dan 30-an sempena persaraannya dan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Duit itu mungkin sedikit, tetapi itu adalah tanda terima kasih saya kepada anak-anak yang banyak memberi dorongan selama saya bekerja sebagai pemandu di MBKT.
“Selain itu, duit itu juga sebagai duit raya kepada mereka sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Mustafa lagi, isterinya, Wan Mahani Wan Omar, 57, yang tidak berada di rumah ketika kejadian turut kehilangan sejumlah wang tunai yang disimpan di dalam bilik.
“Duit itu adalah duit simpanan peribadi isteri saya dan tidak sangka pula selepas menyimpan begitu lama, duit itu hangus begitu sahaja,” ujarnya.
Menceritakan mengenai kejadian, Mustafa berkata, dia ketika itu berada di beranda rumah sebelum terdengar bunyi meletup dan apabila diperiksa api sudah marak di bahagian dapur.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamad Kassim berkata, seramai 16 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 11.37 pagi.
Katanya, api dapat dikawal lima minit kemudian dan punca kebakaran masih disiasat.

Padah pinjam ah long


SUZIE yang menjadi mangsa ah long tampil meminta bantuan Pusat Perkhidmatan Pembela BN di Melaka semalam.


MELAKA - Seorang suri rumah dari Pulau Gadong di sini kini dibelenggu ketakutan apabila pinjaman sebanyak RM300 daripada sebuah agensi peminjam wang haram menyebabkan dia terpaksa menanggung hutang yang berlipat kali ganda.
Menurut ibu kepada empat anak yang mahu dikenali sebagai Suzie, 35, itu, dia sekarang bukan sahaja diugut supaya membayar pinjaman pokok yang sudah bertukar menjadi RM500 tetapi juga bakal berdepan dengan caj bunga RM400 sebulan jika gagal membayar pinjaman pokok itu sekali gus.
"Saya cuma meminjam sebanyak RM300 pada 2 Julai lalu dan terkejut apabila dihubungi agensi terbabit tiga hari selepas itu yang meminta bayaran pokok RM500.
"Saya cuma mampu membayar RM200 pada pertengahan bulan lalu dan diugut jika gagal melunaskan RM500 sekali gus saya berdepan dengan caj bunga sebanyak RM400 sebulan," katanya ketika ditemui di pejabat Pusat Perkhidmatan Pembela Barisan Nasional (BN) Melaka di Kota Cemerlang di sini semalam.
Suzie berkata, meskipun ah long terbabit belum menggunakan tindakan kekerasan ke atasnya tetapi dia berasa tertipu dan amat bimbang apabila mendapati terpaksa membayar hutang dalam jumlah yang besar.
Menurutnya, masalah itu bermula apabila dia menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada wakil agensi pinjaman wang yang menawarkan perkhidmatan pinjaman segera.
"Pada waktu itu saya begitu terdesak untuk menggunakan wang dan selepas berbincang dengan suami saya membuat keputusan untuk meminjam RM300. Itu pun untuk membeli barangan keperluan harian sahaja," katanya.
Katanya, dia sekeluarga kini amat tertekan kerana telah berhenti bekerja di sebuah kilang selain terpaksa menjaga ibu yang uzur menyebabkan dia sukar untuk melunaskan hutang ah long terbabit.
Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Ab. Aziz berkata, pihaknya akan sedaya upaya membantu mangsa dan menyelesaikan masalah menggunakan saluran diplomasi.
"Kita akan cuba berbincang dengan ah long tersebut dan minta kurangkan bayaran sama ada bayaran pokok atau bunga," katanya.

Bantah anjur pesta ria semasa Ramadan


INILAH pesta ria yang mengundang rasa tidak puas hati penduduk kerana diadakan pada bulan Ramadan bersebelahan pusat beli-belah Queensbay Mall, Bayan Baru semalam.


GEORGE TOWN – Tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) membenarkan sebuah syarikat swasta menganjurkan pesta ria di kawasan berhampiran Queensbay Mall, Bayan Baru di sini mengundang rasa tidak puas hati penduduk.
Penduduk kesal kerana pesta ria yang bermula 23 Julai lalu seolah-olah tidak menghormati kesucian bulan Ramadan apabila dibuka sekitar pukul 6 petang hingga lewat malam.
“Kewujudan pesta ria ini dibimbangi akan menarik kunjungan masyarakat Islam khususnya golongan muda untuk bersuka ria dan lalai,” kata wakil penduduk, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin di sini semalam.


Jasa perigi tua


SEBAHAGIAN daripada penduduk beratur mendapatkan bekalan air dari sebuah perigi milik Cheng Hung di Port Dickson semalam.


PORT DICKSON – Perigi lama jadi penyelamat! Itu yang berlaku apabila sebuah perigi berusia lebih 40 tahun milik seorang penduduk di Kampung Paya di sini menjadi tumpuan orang bagi mendapatkan bekalan air.
Ia menjadi tumpuan kerana kawasan itu mengalami gangguan bekalan air selama empat hari berturut-turut.
Pemiliknya, Ong Cheng Hung, 48, berkata, perigi berusia 40 tahun dan sedalam enam meter itu tidak pernah kering walaupun beratus-ratus orang mengambil airnya dalam masa empat hari lalu.
“Pada mulanya, jiran saya sahaja datang ambil air tetapi tidak lama selepas itu semakin ramai penduduk di kampung ini dan kampung sebelah datang cari air.
“Oleh kerana permintaan yang tinggi, saya terpaksa guna pam sedut air,'' katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Cheng Hung, dia tidak mengenakan sebarang bayaran kepada orang ramai malah dia sendiri keluar duit poket untuk membeli petrol dan pam.
“Saya ikhlas bantu mereka dan tidak mahu ambil kesempatan dengan mengenakan bayaran atas kesusahan yang mereka alami.
Apa pun, dia tidak menyangka perigi yang dbina oleh bapa mertuanya itu kini berjasa kepada orang ramai.
Sementara itu, seorang penduduk, Syed Mohd. Azam, 42, berkata, dia berterima kasih kepada keluarga Cheng Hung yang sudi membantu penduduk walaupun berlainan agama dan keturunan.
“Saya terharu kerana dia bantu kami sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara penduduk di sini,” jelasnya.
Bekalan air di daerah berkenaan telah terputus sejak Jumaat lalu apabila tiga paip dari Loji Rawatan Air Sungai Linggi ke Port Dickson pecah sekali gus menjejaskan sebanyak 38,000 premis termasuk rumah dan kilang.

No comments:

Post a Comment