Tuesday, August 2, 2011

DUNIA AKHIR ZAMAN PERKARA PELIK2 BERLAKU...MANUSIA HILANG MALU BUAT MUNGKAR....

Kepala terlekat di pelepah sawit



NGERI...tengkorak seorang lelaki hampir reput yang terlekat pada pelepah kelapa sawit.
NGERI...tengkorak seorang lelaki hampir reput yang terlekat pada pelepah kelapa sawit.
KULIM: “Saya mahu mengait kelapa sawit, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila ternampak kepala manusia yang sudah reput terlekat di pelepah kelapa sawit itu,” kata S Nandakumaran, 31, yang menemui mayat lelaki yang sudah reput dan anggotanya yang berselerak di Ladang Air Merah, berhampiran Taman Melur, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, pekerja ladang kelapa sawit itu baru hendak memulakan tugas mengait buah kelapa sawit di ladang itu.

Katanya, ketika tiba di situ, dia mula terhidu bau busuk yang meloyakan dan pada mulanya menyangka ia berpunca daripada bangkai binatang yang mati berhampiran kawasan berkenaan.
“Ketika saya berjalan ke arah pokok kelapa sawit untuk mengait buahnya, tiba-tiba saya terpandang satu objek bulat berwarna hitam terlekat pada pelepah kelapa sawit. Saya kemudian menghampiri objek berkenaan dan amat terkejut apabila mendapati objek itu adalah kepala manusia yang hampir reput,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, lebih mengejutkan, dia terjumpa pula bahagian tubuh mayat berkenaan yang hanya tinggal kaki dan badan berhampiran pokok kelapa sawit itu, manakala kedua-dua tangannya ditemui beberapa meter dari situ.

Nandakumaran membuat laporan di Balai Polis Kulim.

“Saya bersama beberapa pekerja lain baru memulakan tugas mengait buah berkenaan hari ini (semalam) selepas kali terakhir melakukannya pada 13 Julai lalu. Waktu itu, tiada apa-apa berlaku di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata berdasarkan dokumen pengenalan yang ditemui pada mayat terbabit, mangsa dikenali sebagai A Benny Roy, 31, dan beralamat di Klang, Selangor.
“Keadaan mayat yang hampir reput dan hanya tinggal kaki, manakala kedua-dua belah tangannya dijumpai beberapa meter dari mayat itu kemungkinan dibawa lari binatang buas. Kepala mangsa pula tersangkut pada pelepah pokok kelapa sawit. Seutas tali turut berada pada kepala itu,” katanya.

Beliau berkata, mayat itu dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan setakat ini polis mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Diludah kekasih gelap suami

Oleh Nur Lela Zulkipli
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Ramadan kali ini tidak bermakna bagi seorang ibu beranak empat berusia 39 tahun apabila dia bukan saja diceraikan suami sebaliknya dia cedera selepas dibelasah lelaki itu di rumah sewa kekasih lelaki itu di Banting, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan mangsa dibelasah suaminya berusia 40-an itu disebabkan wanita terbabit melarang suspek bersekedudukan dengan kekasihnya yang juga warga Indonesia di rumah sewa berkenaan.

Lebih mengaibkan apabila warga Indonesia itu bertindak keji dengan meludah muka mangsa di hadapan suaminya itu ketika pasangan terbabit bertengkar.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa cedera di leher dan badan selepas ditampar dan ditumbuk suaminya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Banting, di sini, menuntut tindakan tegas terhadap suaminya itu.

Menceritakan semula kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Intan, berkata dia dan anak lelakinya berusia 16 tahun pergi ke rumah sewa wanita terbabit bagi merayu suaminya pulang.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, saya meminta suami pulang ke rumah, namun tindakan saya itu menyebabkan dia berang sebelum memarahi saya.

“Malah, suami saya yang bagaikan dirasuk syaitan memukul saya di hadapan wanita terbabit,” katanya.
Menurut Intan, penderitaannya tidak berakhir di situ apabila suaminya menceraikannya dengan talak satu manakala wanita terbabit meludah mukanya.

“Suami mengarahkan saya dan anak meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya, semalam.

Intan berkata, dia syak suaminya disihir wanita itu kerana lelaki terbabit tidak boleh berada di rumah mereka terutama sebelah malam sejak lima bulan lalu.

Intan berkata, dia sanggup memaafkan suaminya itu dan kembali bersamanya semula demi masa depan mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Isteri curiga SMS dedah rahsia pasangan



PETALING JAYA: Perbuatan seorang isteri memeriksa telefon bimbit suaminya sebelum menghubungi teman wanita lelaki terbabit membawa padah apabila dia cedera ditumbuk suaminya itu di rumah mereka di Lembah Subang, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa memeriksa telefon bimbit suaminya yang berusia awal 30-an sebelum berasa curiga satu kiriman SMS yang dihantar atas nama seorang lelaki.

Bagi memastikannya, mangsa yang juga kerani sebuah syarikat swasta dan berusia 30 tahun cuba bertanyakan suaminya mengenai SMS itu, namun suaminya mendakwa ia rakan sepejabatnya.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, mangsa menghubungi nombor berkenaan sebelum ia dijawab seorang wanita.

Menurut sumber, mangsa memarahi suaminya kerana berbohong menyebabkan berlaku pertengkaran. “Suami mangsa yang gagal mengawal kemarahan memukul mangsa sebelum keluar dari rumah,” katanya.

Mangsa yang cedera di muka dan badan membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya di sini.

Mangsa ingin jumpa peragut



KUALA TERENGGANU: “Setiap kali terkenangkan tragedi itu, saya berasa ingin berjumpa dan berdepan dengan peragut itu,” kata Maleha Malik, 25, yang terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, akibat menjadi mangsa ragut di Jalan Kamaruddin, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Maleha mengalami pendarahan dalaman, patah tangan kanan dan cedera di leher manakala adiknya, Maizatul Akmal, 22, koma berikutan parah di kepala.

Anak keempat daripada 11 beradik itu berkata, dia berharap peragut terbabit dikenakan hukuman setimpal.
“Sebelum ini, saya kerap membaca kejadian ragut melalui akhbar mahupun televisyen dan tidak pernah terlintas di fikiran saya sendiri akan menjadi mangsa. “Kejadian ini membuatkan saya tertekan dan sedih apatah lagi ia berlaku ketika masyarakat Islam membuat persiapan menyambut Ramadan.

“Malah, hati saya dihambat pilu apabila dimaklumkan keluarga mengenai keadaan adik yang masih koma. Saya berharap peragut itu menerima balasan setimpal. Dia perlu bertanggungjawab di atas perbuatannya,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa yang ditemui ketika melawat pasangan adik-beradik itu memohon kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.

“Sehingga kini, tiada sebarang maklumat diterima daripada saksi tempat kejadian mengenai penjenayah terbabit. Hasil maklumat awal, dua beradik terbabt cedera apabila cuba mengejar peragut.

“Mangsa memaklumkan kepada saya yang mereka diragut dua lelaki yang menaiki motosikal tanpa nombor pendaftaran dan polis tidak menolak kemungkinan penjenayah terbabit sudah biasa melakukan kegiatan ragut.
“Kejadian ini berlaku di kawasan sibuk dan mustahil tiada siapa pun yang tidak nampak. Bagi saya, ia menyedihkan jika tiada siapa yang tampil membantu siasatan,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.

Nasib dua beradik itu turut mendapat simpati Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mengunjungi mereka di HSNZ, petang semalam.

Aimie enggan mengulas

KUALA LUMPUR: “Saya tidak mahu komen, biarlah semuanya selesai dulu,” kata tunang Khairul Fahmi Che Mat, 22, Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, 22, di sini, semalam.
Elia ketika dihubungi menerusi SMS enggan memberikan sebarang komen mengenai kenyataan Khairul Fahmi yang mengesahkan akan memulangkan cincin pertunangannya kepada keluarga Elia dalam masa terdekat. Kelmarin, Harian Metro melaporkan dakwaan Elia yang tidak mengetahui keputusan penjaga gol sensasi kebangsaan itu memutuskan pertunangan mereka dan hanya mengetahuinya menerusi Metro Ahad.

Wanita itu turut menafikan dakwaan Khairul Fahmi bahawa keputusan memutuskan pertunangan mereka diambil selepas berbincang dengannya menyebabkan dia dan keluarganya terkejut.
Elia berkata, pergolakan dalam hubungan mereka sudah berlarutan sejak sebulan lalu dan lebih memburukkan keadaan apabila Khairul Fahmi enggan berjumpanya bagi menyelesaikan masalah.

Dia turut menyangkal dakwaan Khairul Fahmi pertunangan mereka berakhir bukan kerana orang ketiga dan menegaskan ia helah Khairul Fahmi ‘menyelamatkan’ dirinya. “Kecurangan Khairul Fahmi terbongkar selepas ada seorang wanita datang berjumpa dan mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Khairul Fahmi sebelum ini,” katanya.

Abby takut nangis



KUALA LUMPUR: “Saya masih tidak tahu sama ada saya perlu datang atau tidak ke majlis perkahwinan Norman dan Memey. Saya masih berbelah bagi untuk hadir kerana saya takut saya akan menangis dan merosakkan majlis mereka,” kata pelakon, Abby Abadi, 33, yang juga bekas isteri kepada pelakon, Norman Hakim, 35, (gambar).
Abby berkata, sehingga kini dia masih belum mahu memberikan sebarang kata putus sama ada mahu menghadiri majlis yang digelar ‘wedding of the year’ itu selepas memberitahu emosinya akan terganggu dan pasti menitiskan air mata sekiranya melihat persandingan bekas suaminya bersama Memey Suhaiza, 23.

“Saya sudah maafkan mereka, saya tidak mendendami mereka lagi dan tidak cemburu melihat kebahagiaan mereka. Tetapi sekiranya saya hadir ke majlis itu nanti, saya yakin saya akan titiskan air mata seterusnya merosakkan detik bahagia mereka,” katanya.
Norman dan Memey dijadualkan bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor iaitu rumah pengantin perempuan manakala majlis persandingan pada 28 September di sebuah hotel dengan tajaan sebanyak RM12 juta.

Menurut Abby, dia turut menyangkal satu laporan media kononnya dia menerima kad undangan daripada Norman dan Memey untuk hadir ke majlis resepsi pasangan itu.

“Saya tidak tahu menahu mengenai jemputan itu dan tidak menerima sebarang kad jemputan untuk hadir ke majlis perkahwinan terbabit,” katanya.

Kementerian sedia timbang permohonan guru diancam



KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sedia mempertimbangkan permohonan pertukaran guru atas faktor keselamatan, ancaman atau penyakit namun ia bergantung kepada beberapa syarat yang perlu dipenuhi guru terbabit.
Timbalan Menterinya, Dr Puad Zarkashi berkata, permohonan pertukaran guru perlu mengikut prosedur ditetapkan namun bagi kes tertentu seperti keselamatan terancam, laporan polis perlu disertakan selain guru terbabit mempunyai pilihan untuk mengambil tempat guru di sekolah lain.

Beliau mengulas dakwaan seorang guru yang terpaksa hidup seperti pelarian apabila bekas suami tidak henti-henti mengancam keselamatannya termasuk mengupah samseng menyerang suami barunya.


Dilema pengusaha kek lapis Sarawak



KUCHING: Pengusaha kek lapis di Sarawak yang dikatakan menjadi pengguna utama mentega berjenama terkenal dalam pembuatan bahan makanan itu, kini dalam dilema apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk tenusu itu tidak halal selepas dikesan mengandungi asid deoksiribonuklik (DNA) babi, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas bagi membincangkan status mentega itu yang turut membabitkan beberapa agensi berkaitan.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) dan Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan bagi mengelak kekeliruan orang ramai mengenai penggunaan mentega itu.
“Sebelum ini, kebanyakan pengguna keliru apabila Jakim mengatakan mentega itu halal, manakala Jais mengesahkan ia mengandungi DNA babi.

“Saya berharap keputusan yang dicapai tadi (semalam) akan menamatkan sebarang spekulasi mengenai status mentega itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengenai kesan keputusan itu terhadap industri kek lapis Sarawak yang menggunakan produk tenusu dalam produknya, Wan Ahmad Uzir berkata, Jais akan mengeluarkan logo halal bagi kek lapis yang tidak menggunakan mentega berjenama berkenaan.

“Apabila logo halal itu digunakan, orang ramai tidak perlu lagi was-was ketika membeli kek lapis Sarawak kerana Jais sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan pengusaha tidak lagi menggunakan mentega itu,” katanya.

Isu DNA babi dalam mentega terbabit timbul selepas Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Johor, mengesannya dan mengeluarkan amaran kepada pengguna Islam, pada 18 Mei 2011.

No comments:

Post a Comment