Sunday, December 18, 2011

BILA ALLAH ALLAH MENURUNKAN BENCANA...TUNGGU BILA ALLAH KIAMATKAN DUNIA...PERKARA INI PASTI DATANG...BERAMALLAH UNTUK AKHIRAT...

Amaran ribut di pantai Sabah


PASUKAN penyelamat menggunakan bot getah untuk melakukan kerja menyelamat di Cagayan de Oro di selatan Filipina semalam.



KUALA LUMPUR - Selepas melanda selatan Filipina sejak kelmarin sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 440 nyawa, ribut tropika Washi kini dilaporkan bergerak melalui Laut Sulu menuju ke pantai barat Sabah.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam amaran ribut tropika yang dikeluarkan pukul 9 malam tadi menjelaskan, keadaan itu boleh menyebabkan ribut petir, laut bergelora dan angin kencang di perairan pantai barat Sabah, Kudat dan Sandakan.
Jurucakap jabatan itu ketika dihubungi Kosmo! Ahad malam tadi bagaimanapun memberitahu, Malaysia dijangka tidak menghadapi ancaman langsung bencana itu.
Katanya, ini kerana wujud laluan angin kira-kira 528 kilometer ke timur laut Sandakan, Sabah, petang semalam yang mengalihkan pergerakan Washi.
"Walaupun tidak akan kesan langsung, kami tetap mengeluarkan amaran laut bergelora dan angin kencang dengan kelajuan 26 kilometer sejam," katanya.
Menurutnya, keadaan itu sebenarnya tetap berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
Agensi berita melaporkan, ribut Washi turut mengakibatkan kira-kira 500 mangsa hilang apabila bandar pesisir pantai Cagayan de Oro dan Iligan di wilayah Mindanao, selatan Filipina dilanda banjir kilat.
Bencana itu melanda tanpa amaran ketika penduduk sedang nyenyak tidur awal pagi semalam dan mengakibatkan ramai mangsa dihanyutkan ke laut.
Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan, Alvin Bacal berkata, angka kematian tinggi itu disebabkan oleh penduduk di dua kawasan terbabit jarang menghadapi ribut tropika.
"Ramai panik kerana dalam masa tidak sampai 30 minit, air di beberapa kawasan rendah naik mendadak sehingga setinggi 3.3 meter," katanya.


Jangan sampai pengguna dibuli

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta bertindak tegas dengan memboikot peniaga yang didapati sengaja menaikkan harga ikan bagi meraih keuntungan lebih.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia, (PPIM), Tengku Azwil Tengku Abdul Razak berkata, ini kerana ada segelintir peniaga yang sengaja menggunakan alasan musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur sekarang untuk menjual ikan pada harga yang tinggi.
“Kita tidak seharusnya membiarkan diri kita terus dibuli peniaga-peniaga berkenaan kerana pada hakikatnya mereka memerlukan pengguna untuk terus hidup.
“Pengguna perlu bijak menunjukkan kuasa yang ada pada mereka dengan memboikot peniaga yang menjual ikan pada harga terlalu mahal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Beliau mengulas kenaikan harga ikan di pasaran yang dijangka berterusan sehingga Februari tahun hadapan akibat musim tengkujuh.
Dalam laporan Kosmo! semalam, ada peniaga di Alor Setar, Kedah menjual ikan kembung pada harga RM10 hingga RM12 sekilogram berbanding RM3 sahaja sebulan lalu.
Menurut Tengku Azwil, jika kesemua 28 juta pengguna di negara ini bersatu, masalah kenaikan harga ikan itu tidak akan timbul kerana peniaga dan peraih akan berfikir dua kali sebelum meneruskan niat untuk menjual mahal.
“Kita perlu boikot mereka (peniaga) yang menaikkan harga tetapi apa yang menjadi masalah walaupun harga ikan mahal, ia tetap dibeli,” katanya.


29 Awang Hitam diberkas



SEBAHAGIAN daripada warga Afrika yang ditahan dalam operasi oleh Jabatan Imigresen Kuala Lumpur
di Desa Aman Puri, Kepong kelmarin.



KUALA LUMPUR - Aduan penduduk mengenai kebanjiran warga Afrika di kawasan Desa Aman Puri, Kepong di sini menarik perhatian pihak berkuasa apabila seramai 29 lelaki warganegara itu ditahan dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen malam kelmarin.
Operasi pada pukul 10 malam dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu menyerbu 50 buah rumah melibatkan lapan blok bangunan di kawasan tersebut.
Tindakan warga asing terbabit yang suka berkumpul dan membuat bising sebelum ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penghuni pangsapuri tersebut.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, dalam operasi selama empat jam itu, seramai 29 daripada 87 orang yang diperiksa telah ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.
"Rata-rata mereka yang ditahan mendakwa masuk ke negara ini sebagai pelajar di pusat pengajian bahasa di beberapa buah kolej swasta di sini.
"Mereka mendakwa dokumen mereka disimpan oleh pihak pengurusan kolej bagi proses membuat kad pelajar," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut James, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu bagi memastikan status sebenar warga asing terbabit sebelum mengambil tindakan lanjut.
Dalam operasi sama, pihak Imigresen turut menyerbu sebuah pusat hiburan yang menjadi tarikan kumpulan warga Afrika terbabit.
Dalam serbuan itu, pasukan Imigresen telah menahan 13 warga asing yang terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita warga Thai yang bekerja sebagai pelayan di kelab tersebut kerana tidak memiliki dokumen dan menyalah guna pas lawatan sosial.
"Kesemua warga asing terbabit ditahan sementara di lokap Imigresen di Jalan Duta," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Pendapatan pekerja terjejas teruk



SEBAHAGIAN daripada pemandu bas Cityliner mengadakan demonstrasi secara aman di Stesen Bas Pendang, Pendang semalam.



PENDANG - Pendapatan lebih 100 pekerja termasuk pemandu bas henti-henti Cityliner terjejas berikutan pemberhentian operasi di 18 daripada 20 laluan di Sungai Petani, Pendang dan Kulim sejak awal bulan ini.
Langkah itu terpaksa dibuat ekoran syarikat Kenderaan Langkasuka Sdn. Bhd. yang mengendalikan bas tersebut menanggung kerugian mencecah RM400,000 sebulan sejak beberapa tahun lalu.
Pengerusi Kesatuan Pengangkutan Awam Semenanjung Malaysia (TWU) Sesi Alor Setar, Mohd. Shukri Mahmood berkata, kakitangan syarikat berkenaan kini hanya memperoleh pendapatan asas tanpa bayaran elaun dan kerja lebih masa.
"Pemandu bas hanya menunggu di depoh dan memperoleh pendapatan sekitar RM400 sebulan berbanding lebih RM800 (termasuk elaun) sebelum ini.
"Selain pendapatan pekerja, ia turut menjejaskan ribuan penduduk yang menggunakan khidmat bas henti-henti setiap hari," katanya kepada pemberita di Stesen Bas Pendang di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata, pemberhentian operasi itu melibatkan laluan dari 13 buah taman perumahan di sekitar Sungai Petani, Pendang ke Alor Setar, Sungai Petani-Kulim, Baling dan Jeniang selain Alor Setar ke Kangar.
Bagaimanapun, syarikat itu masih meneruskan operasi di laluan Butterworth ke Sungai Petani dan ke Alor Setar.
Sementara itu, seorang pemandu, Ahmad Dahlil, 59, berkata, ini adalah kali pertama masalah seumpama itu berlaku sejak dia berkhidmat dengan syarikat itu kira-kira 30 tahun lalu.
"Sebelum ini majikan dapat menyerap kos tetapi sekarang syarikat mungkin tiada pilihan dan terpaksa hentikan operasi," katanya.
Seorang penduduk di Kobah di sini, Zaiton Shafie, 46, memberitahu, ketiadaan bas henti-henti menyukarkannya untuk pergi ke pekan memandangkan kos tambang teksi yang mahal.
"Saya terpaksa membayar tambang teksi sebanyak RM6 untuk pulang ke rumah berbanding tambang bas hanya RM1.30," katanya yang bekerja di kilang.
Dalam pada itu, jurucakap syarikat memberitahu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersetuju berjumpa dengan pihaknya bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya, pihaknya berharap masalah itu dapat diselesaikan akhir bulan ini bagi membolehkan operasi bas henti-henti disambung semula awal tahun depan iaitu sebelum sesi persekolahan bermula.
"Kita harap satu dana disuntik sama ada menerusi bantuan kerajaan Pusat atau negeri bagi menampung kerugian yang ditanggung syarikat," katanya.


440 maut, 500 hilang dalam ribut di Filipina


ANGGOTA polis dan penyelamat mengumpul mayat dari kawasan yang terjejas akibat banjir lumpur selepas ribut Washi melanda bandar Cagayan de Oro, Filipina semalam.



MANILA, Filipina - Angka kematian akibat ribut tropika Washi melonjak kepada 440 orang semalam dengan hampir 500 orang hilang dalam banjir kilat yang memusnahkan selatan Filipina, kata beberapa pegawai.

SEORANG wanita mendakap mayat anaknya yang mati dalam bencana banjir yang melanda sebuah kampung di bandar Iligan, selatan Mindanao semalam.


Jurucakap tentera wilayah, Kolonel Leopoldo Galon memberitahu pemberita sebanyak 97 mayat ditemui di sebuah pelabuhan utama di Pulau Mindanao, Cagayan de Oro manakala 75 lagi ditemui di pelabuhan selatan berdekatan bandar Iligan yang merupakan antara kawasan berlakunya banyak kematian.
Katanya, seramai 375 orang dilaporkan hilang di dua kawasan tersebut.
Galon berkata, tentera menggunakan trak, bot dan helikopter untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk Cagayan de Oro.
Dalam perkembangan lain, seorang lagi pegawai tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang berkata, seramai 15 orang yang dihanyutkan ke laut di Iligan berjaya diselamatkan.
Ribut Washi yang melanda pantai timur Mindanao kelmarin turut menyebabkan tanah runtuh yang mengorbankan lima orang manakala tiga lagi lemas di bandar Polanco, selatan Filipina.
Jabatan kaji cuaca negeri melaporkan, ribut tersebut diramalkan bergerak ke Pulau Palawan, barat Filipina selepas ia menyeberangi Laut Sulu dengan tipuan angin selaju 75 kilometer sejam.
- AFP


Obama larang anak guna Facebook

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Presiden AS, Barack Obama melarang dua anak perempuannya daripada menggunakan Facebook kerana tidak mahu hal peribadi keluarga mereka diketahui orang luar, lapor akhbar MailOnline semalam.
Anak sulung Obama, Malia kini berusia 13 tahun dan dianggap cukup matang untuk menggunakan laman sosial tersebut manakala adiknya Sasha berusia 10 tahun.
Namun, kata Obama, beliau akan hanya membenarkan kedua-dua anak perempuannya membuka akaun Facebook selepas empat tahun lagi.
"Kenapa kami (beliau dan isterinya) mahu orang luar mengambil tahu mengenai apa yang keluarga kami lakukan. Ia tidak munasabah," kata Obama
"Kita akan lihat reaksi mereka (Malia dan Sasha) dalam tempoh empat tahun lagi," tambahnya.
Kenyataan tersebut dianggap satu ironi kerana Obama sendiri banyak bergantung pada laman perkongsian sosial seperti Facebook semasa berkempen untuk pilihan raya Presiden AS pada 2008.
Malah, Obama sendiri memiliki berjuta-juta kenalan di Facebook.
- Agensi


Daif selepas suami ditahan

Oleh RAJA NORAINA RAJA RAHIM
rnoraina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib seorang wanita dan lima anaknya sejak hilang tempat bergantung apabila suaminya ditahan polis akibat terjebak dengan najis dadah.
Lebih menyedihkan, wanita terbabit tinggal dalam kedaifan sejak tiga tahun lalu selepas bekalan elektrik dan air dipotong, malah terpaksa berlapar kerana tidak mampu bekerja untuk menyara kehidupan.

S Valarmathi, 28, mengharapkan sinar daripada ahli Parlimen dan Adun kawasan tempat tinggalnya di rumah pangsa Taman Dahlia, Puchong, di sini, selepas berjanji mahu membantunya, namun tiada bantuan dihulurkan.
Valarmathi yang tinggal bersama anaknya berusia tiga hingga lapan tahun menanggung hutang hampir RM20,000 membabitkan tunggakan sewa rumah, bil elektrik dan air lebih tiga tahun.

Bagaimanapun, nasib keluarga wanita itu terbela selepas Alternatif Action Team bersama empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bersimpati dengan nasib mereka.

Pengerusi (AAT), B Kalaivanar berkata, pihaknya simpati dan menyuarakan ketidakpuasan hati dengan sikap Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh dan Adun Kinrara, Teresa Kok yang berpura-pura menghulurkan bantuan untuk mengaburi mata masyarakat.

“Kami akan menghantar faks mengenai perkara itu dan tidak teragak-agak membuat laporan polis kerana pihak itu seolah-olah menyeleweng wang peruntukan kerajaan kerana bantuan tidak disalurkan kepada yang memerlukan.

“Malah, kami akan menghantar memorandum kepada Badan Pencegahan Rasuah (BPR) mengenai perkara terbabit,” katanya.


Wang tunai RM14,000 hangus

Laporan dan foto JOHARI INDAN
hmkk@hmetro.com.my

TAMPARULI: Sembilan beranak tergamam melihat rumah papan separuh konkrit yang dihuni 23 tahun hangus sekelip mata dalam kebakaran di Kampung Bundu Tohuri, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 pagi, penghuni rumah berkenaan bukan saja tinggal sehelai sepinggang, malah hilang tempat berteduh selepas api memusnahkan keseluruhan ruang rumah mereka.

Bindaron Soriou, 78 dan isterinya Kondisim Kadog, 76, gagal menyelamatkan harta benda di dalam rumah berkenaan kerana bahang terlalu panas akibat api marak.
“Kami hanya mampu melihat rumah yang dihuni selama ini musnah begitu saja dan tiada harta sempat diselamatkan.

“Daripada nyawa melayang, lebih baik kami menyelamatkan diri kerana api merebak ke seluruh rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bagaimanapun, Bindaron mendakwa turut kehilangan wang tunai sebanyak RM14,000 yang disimpan di dalam rumah.

“Selain wang tunai, beberapa dokumen penting, termasuk dokumen pengenalan diri gagal diselamatkan. Namun, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat daripada tragedi ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Tuaran berkata, pihaknya menghantar sebuah jentera bersama tujuh anggota untuk memadam kebakaran.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.20 pagi, api berjaya dikawal 30 minit kemudian, namun rumah gagal diselamatkan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim turut bersimpati dengan musibah menimpa keluarga Bindaron dan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.


‘Port’ warga Afrika digempur



TAHAN... antara warga Afrika yang diberkas dalam operasi jabatan imigresen.
TAHAN... antara warga Afrika yang diberkas dalam operasi jabatan imigresen.
KEPONG: Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan menggempur ‘port’ warga Afrika di Desa Aman Puri, semalam, berikutan aduan penduduk yang mendakwa sesetengah daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Penolong Pengarah Imigresen Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, James Singa berkata, operasi yang dijalankan berjaya menahan 13 lelaki Nigeria yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk masuk ke negara ini.

Katanya, hasil soal siasat, kebanyakan mereka mendakwa sebagai pelajar di pusat Bahasa Inggeris di ibu kota dan memberi pasport mereka dipegang oleh pihak kolej untuk tujuan permohonan pas pelajar.
“Dalam operasi ini, Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan mengejut ke atas 50 rumah dan memeriksa 87 warga Nigeria.

“Bagaimanapun, 13 warga Nigeria berusia 20-an hingga 30-an ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan. Semua mereka akan ditahan di depoh Imigresen Jalan Duta untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan pihak imigresen berdasarkan aduan diterima daripada penduduk dan hasil risikan selama seminggu.

No comments:

Post a Comment