Sunday, December 18, 2011

GAWAT TAK...JENAYAH SEKARANG...BILA NAK LAKSANA HUKUM ALLAH SEBAGAI PENAWAR YANG MUJARAB

Tangan nyaris putus ditetak


MANGSA tetak masih tidak sedarkan diri ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah semalam.


ALOR SETAR - Nyawa seorang lelaki ternyata masih panjang apabila dia dapat diselamatkan walaupun kehilangan banyak darah akibat tangan kanannya terkulai manakala betisnya cedera selepas ditetak dalam pergaduhan di sebuah kuarters di Tongkang Yard di sini kelmarin.
Lelaki tersebut ditemui pada pukul 9.30 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas didakwa bergaduh dengan kenalannya kira-kira satu jam sebelum itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan mencari seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Awang hitam mengamuk


KAMALLUDIN (kanan) memeriksa Awang Hitam yang ditahan pada sidang akhbar di Melaka semalam.


MELAKA - Tindakan seorang Awang Hitam yang cuba melarikan diri sebaik terlepas daripada pergelutan dengan beberapa pegawai Imigresen mengundang padah apabila tulang kepalanya retak selepas terhantuk pada tiang dan tembok bangunan kelmarin.
Lelaki Nigeria berusia lingkungan 30-an itu bagaimanapun dapat ditahan dalam Ops Gagak Hitam selepas ditemui dalam keadaan terlentang sambil mengerang kesakitan dengan kepalanya berlumuran darah di situ. Dia kini dirawat di Hospital Melaka.
Suspek yang mendakwa pelajar sebuah kolej terbabit merupakan antara tujuh Awang Hitam yang ditahan dalam operasi selama tujuh jam bermula pukul 1 petang di dua buah kedai makan di Kota Laksamana dan sebuah pasar raya di Jalan Tun Ali di sini.
Suspek yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan tiga rakannya itu ditahan di Kota Laksamana manakala bakinya ditahan di pasar raya tersebut. Kesemua serbuan dilakukan ketika Awang Hitam berusia di antara 21 dan 51 tahun terbabit sedang makan.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, operasi yang diketuai timbalannya, Yusof Hashim mendapati enam daripada suspek merupakan warga Nigeria manakala seorang rakyat Afrika Selatan.
Katanya, ketika ditahan, kesemua Awang Hitam berkenaan bertindak ganas apabila menyiku dan membaling kerusi ke arah pegawainya.


Pelajar, teman lelaki berdepan hukuman gantung


ZULKEFLY (tengah) dan Inspektor Azman Marwaji (kanan) menunjukkan paket cili sos dan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Kulaijaya semalam.


KULAIJAYA - Seorang pelajar berusia 15 tahun yang ditahan bersama teman lelakinya berusia 32 tahun berdepan hukuman gantung kerana dipercayai memiliki dadah jenis heroin seberat kira-kira 19 gram dan syabu 1.4 gram bernilai RM1,000 di Kulai Besar di sini kelmarin.
Ketika serbuan pada pukul 8.30 malam di rumah sewa lelaki itu, pasangan berkenaan dipercayai sedang membungkus dadah dengan melekatnya di belakang paket sos cili.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, polis turut menjumpai sepaket plastik lutsinar berisi heroin seberat 19 gram dan enam paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 1.4 gram di atas meja dalam sebuah bilik.
"Ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau manakala teman lelakinya tidak bekerja," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kes tersebut, katanya, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan mereka direman sehingga Khamis depan.


Doktor ditikam pesakit berang


PESAKIT yang menikam seorang doktor di sebuah klinik di Jalan Magazine, George Town diberkas polis kelmarin.


GEORGE TOWN - Berang kerana lambat mendapatkan rawatan, seorang pesakit bertindak menyerang lalu menikam seorang doktor di sebuah klinik swasta di Jalan Magazine di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 9 malam itu dipercayai berlaku rentetan daripada suspek yang berusia 67 tahun itu terpaksa menunggu lama ketika pergi ke klinik itu untuk berjumpa doktor pada Rabu lalu.
Suspek yang tidak sabar menunggu gilirannya untuk masuk berjumpa doktor meninggalkan klinik tersebut yang ketika itu mempunyai ramai pesakit.
Kelmarin suspek muncul semula ke klinik itu namun dia enggan membuat pendaftaran dengan alasan dia sudah mendaftar pada hari Rabu lalu.
Semasa itu, klinik tersebut mempunyai 10 pesakit yang menunggu giliran untuk berjumpa doktor. Suspek ketika itu kelihatan gelisah dan mundar-mandir di ruang pendaftaran.
Selepas kira-kira 10 minit bersikap tidak menentu di ruang menunggu, lelaki itu tiba-tiba meninggikan suara kepada seorang petugas wanita di klinik terbabit untuk bertemu dengan doktor.
Petugas di klinik itu gagal meredakan keadaan menyebabkan doktor, Lee Kok Seng, 50, membenarkan lelaki itu masuk ke bilik rawatan.
Namun belum sempat doktor memeriksa lelaki itu, suspek terus mengeluarkan sebilah pisau pemotong buah dan mencederakan bahagian rusuk kiri doktor itu.
Semasa kejadian hanya doktor berkenaan berada di bilik rawatan manakala pembantunya berada di luar bilik rawatan.


Rugi RM80,000 disamun 4 lelaki bersenjata

17/12/2011 7:06pm

MARANG – Enam sekeluarga mengalami detik-detik cemas apabila rumah mereka di Kampung Kelulut di sini dipecah masuk oleh empat penyamun bersenjatakan alat pemotong serta besi dalam kejadian awal pagi tadi menyebabkan kerugian hampir RM80,00.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, keluarga malang berkenaan sedang nyenyak tidur sebelum salah seorang daripada empat penyamun itu mengejutkan mangsa Hawa Bakar, 53 yang tidur di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan bersama suaminya Alias Ahmad 60.
Hawa, yang juga merupakan seorang peniaga kedai runcit lebih 20 tahun berkata, beliau dan suaminya diugut dan diikat dengan wayar elektrik sebelum empat anaknya berusia antara 11 hingga 21 tahun yang tidur di bilik berasingan dibawa berkumpul di biliknya.
Ketika ditemui, peniaga runcit itu berkata, kumpulan perompak menghabiskan masa selama 45 minit untuk menggeledah rumah itu sebelum melarikan pelbagai barangan kemas, lima buah telefon bimbit, sebuah komputer bimbit dan wang tunai lebih RM7,000 yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM80,000.
Katanya, wang tunai RM7,000 itu adalah hasil perniagaan runcitnya selama dua hari yang disimpan dalam beg tangannya di sebelah katinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahya yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – BERNAMA


Wanita warga emas rentung dalam kebakaran

17/12/2011 2:32pm

SUNGAI SIPUT – Seorang wanita warga emas rentung selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Simpang Jalung, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Azman Salim berkata, Wong Siew Moy, 76, ditemui rentung di dalam bilik rumahnya pada 11.35 malam selepas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat selesai memadamkan kebakaran.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Azman berkata, ketika kejadian, Siew Moy, yang belum berkahwin, tinggal seorang diri dan menjalankan perniagaan barangan runcit kecil-kecilan di rumahnya.
Kejadian disedari jirannya yang kemudian menghubungi bomba.
Katanya, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berkejar ke tempat kejadian, mengambil masa satu jam untuk memadamkan kebakaran rumah yang diperbuat daripada papan itu.
Punca kejadian dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan. – BERNAMA


Penoreh maut kepala dihentak ke dinding

17/12/2011 2:47am

SEORANG penoreh getah maut selepas kepalanya dihentak ke dinding ketika mabuk bersama rakannya.
Mangsa, Kassim Bah Litap, 34, disahkan meninggal dunia 5 petang semalam di Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
Menurut Ketua Polis daerah Kuala Lipis, Supt Abdul Razak Hassan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
"Dalam kejadian dua hari lepas, mangsa minum minuman keras bersama suspek di rumah suspek di Kampung Kenit, dekat Pos Betau kira-kira 12 tengah malam,” katanya kepada pemberita di Kuala Lipis, semalam.
Kedua-dua mereka mabuk, mangsa mendesak suspek minum minuman keras lagi tetapi ditolak suspek yang berusia 24 tahun.
"Suspek menolak kerana sudah mabuk tetapi mangsa mendesak juga menyebabkan suspek menghentakkan kepala mangsa ke dinding,” katanya.
Selepas kejadian berkenaan, mangsa pulang ke rumahnya dan tidur sehingga jam 10 pagi semalam.
"Isteri mangsa, 20, yang terkejut melihat keadaan mangsa segera memaklumkan ibunya dan mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Betau.
"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lipis sebelum dipindahkan ke HoSHAS berikutan kecederaan parah yang dialaminya,” katanya.
Abdul Razak berkata suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
— BERNAMA


Wanita India paling kerdil di dunia


SEORANG pengadil Guinness World Records, Rob Molloy (kanan) dan Dr. Manoj Pahukar (kiri) mengukur ketinggian Jyoti Amge di Nagpur semalam.


NAGPUR - Seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun, Jyoti Amge yang setinggi cuma 61.95 sentimeter dinobatkan sebagai wanita paling kerdil di dunia oleh Guinness World Records di sini semalam.
Beberapa pegawai Guinness mengukur ketinggiannya sebelum dia dyang menghidap penyakit pertumbuhan terbantut, achondroplasia dinobatkan sebagai wanita paling kerdil di dunia.
Dia layak untuk disenaraikan dalam Guinness World Records kerana umurnya mencecah 18 tahun semalam.
"Saya berasa amat gembira untuk mendapatkan rekod ini," katanya yang menangis kegembiraan yang menurut bapanya dia bercita-cita untuk menjadi aktres Bollywood. Dia menerima sijil pengiktirafan Guinness sambil disaksikan oleh bapanya, Kisan, 55, dan ibunya, Ranjana, 50.
Rekod wanita paling kerdil di dunia sebelum ini dipegang oleh rakyat Amerika Syarikat, Bridgette Jordan yang setinggi 69.5 sentimeter. - Agensi


Geng Cicak' edar dadah tumpas


ABDUL RAZAK (kanan) menunjukkan dadah dan wang yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang semalam.


SUBANG JAYA - Dua pengedar dadah bergelar 'Geng Cicak' yang baru sebulan mencuba nasib mencari rezeki dengan melakukan kerja haram tidak bertahan lama apabila mereka dicekup dalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Kinrara dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, polis melakukan serbuan di kondominium itu pada pukul 10 pagi dan mulanya menahan seorang suspek di tempat letak kereta kondominium tersebut.
"Ketika ditahan suspek berusia 27 tahun sedang menghidupkan kereta Toyota Camry untuk keluar.
"Ketika ditahan berlaku pergelutan, namun suspek itu kemudian menyerah diri," kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan suspek kedua berusia 39 tahun di sebuah unit kondominium yang disewa oleh kedua-dua sahabat tersebut.
Kedua-dua sahabat itu bergelar 'Geng Cicak' kerana masing-masing mempunyai tatu berupa seekor cicak pada bahagian dada kiri mereka.
Abdul Razak memberitahu, polis yang memeriksa rumah itu menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, ekstasi, syabu, dan pil kuda yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM80,000.

No comments:

Post a Comment