Saturday, September 22, 2012

ADAKAH TAK MERASA BERDOSA ATAU BERSALAH MENDEDAH TUBUH BADAN YANG DIHARAMKAN OLEH SYARAK....ADAKAH MEREKA TAK PERNAH DITEGUR...ATAU ADAKAH JAKIM TAK BUAT GARIS PANDUAN PADA ARTIS2...ATAU ARTIS TAK PENDULI HUKUM HAKAM ALLAH...ADAKAH MEREKA NI SEMPAT BERTAUBAT

Guru dilanggar kereta peragut


MANGSA ragut, Zura Ashikin Mustafa dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan semalam.



KOTA BHARU - Seorang guru bukan sahaja kerugian RM2,000 akibat diragut malah dilanggar dua kali oleh kereta yang dinaiki peragut terbabit, mengakibatkan tulang pinggul kiri wanita berusia 48 tahun itu patah.
Kejadian berlaku ketika Zura Ashikin Mustafa memasukkan bekas makanan yang dibelinya untuk kegunaan sekolah ke dalam kereta Proton Waja miliknya di Pasir Tumboh dekat sini pukul 8 pagi kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd. Rafa berkata, dalam kejadian itu, peragut terbabit bertindak meragut beg tangan mangsa dari arah belakang menyebabkan mangsa terjatuh.
Mangsa kemudian diseret sejauh tiga meter sebelum dia terbaring di depan kereta suspek dipercayai jenis Nissan Sentra dan kemudian dilanggar.
Zura merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Dato Hashim, Pengkalan Chepa.
Idris berkata, mangsa dilanggar kereta yang dipercayai dinaiki tiga orang termasuk peragut berkenaan sebelum mereka melarikan diri ke arah Jalan Peringat.
"Mangsa yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian mengalami patah tulang pinggul kiri serta luka di sana sini," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Sementara itu Zura memberitahu, kejadian yang berlaku begitu pantas sejurus dia keluar dari bank berdekatan untuk mengeluarkan sejumlah wang.
Katanya, dia kemudian ke kedai berhampiran untuk membeli bekas makanan bagi kegunaan sekolah sebelum kemudian kembali ke keretanya.
"Ketika itulah saya diragut tetapi yang saya sedar badan diseret, kemudian terbaring di atas jalan sebelum dilanggar kereta itu," ujarnya.
Zura mendakwa dia dilanggar kereta itu dua kali.
Kosmo! pada 30 Ogos lalu melaporkan seorang wanita yang cuba menyelamatkan beg tangannya daripada diragut, hampir putus pergelangan tangan kirinya akibat ditetak dengan parang beberapa kali oleh penjenayah terbabit.

CUEPACS harap imbuhan tetap perumahan ditambah

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan menambah imbuhan tetap perumahan kepada penjawat awam dalam Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini.
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, ia perlu kerana kos perumahan kini amat tinggi.
"Bagi kawasan bandar apabila wujudnya projek perumahan baharu timbul masalah di mana orang yang berkemampuan sahaja yang dapat beli rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau juga berharap bahagian cukai pendapatan tidak memotong cukai penjawat awam untuk satu jumlah yang besar sekali gus.
Sebagai contoh, katanya, ketika penjawat awam mendapat kenaikan gaji sebanyak 13 peratus baru-baru ini, cukai pendapatan dipotong antara RM600 hingga RM1,000 dan ia membebankan.
Yim Pheng memberitahu, penjawat awam bagi kumpulan yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun juga diharap dapat diberi pelepasan cukai.

Buruh panik maut jatuh bangunan


Anggota penguat kuasa melihat Mathoseh yang terjatuh dari tingkat lima Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh kelmarin.



MELAKA - Seorang buruh binaan dari Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat lima pangsapuri yang didiaminya di Ayer Keroh di sini ketika cuba mengelak serbuan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen dalam kejadian pada pukul 11.50 malam kelmarin.
Dikenali sebagai Mathoseh, 35, mangsa yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan baru 10 bulan berada di negara ini dipercayai panik apabila kediamannya di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh itu diserbu.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, penghuni rumah berkenaan enggan membuka pintu ketika diketuk anggotanya menyebabkan mereka terpaksa memotong mangga dan memecahkan pintu rumah itu untuk melarikan diri.
"Kami bagaimanapun berjaya menahan enam warga asing yang bersembunyi di dalam lubang pada siling namun salah seorang daripada mereka telah terjatuh ke lantai tingkat bawah sebelum berjaya ditahan.
"Mangsa dan keenam-enam lagi warga Indonesia terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Mathoseh dipercayai terlepas genggamannya menyebabkan dia menggelongsor ke tingkat paling bawah.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia setelah dikejarkan ke Hospital Melaka kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Sementara itu mengenai operasi berkenaan, Kamalludin berkata, pihaknya berjaya menahan 32 orang PATI.
Mereka terdiri daripada 14 wanita warga China, Indonesia (10), Thailand (6), warga Mynmar (1) dan sepasang suami isteri dari Kemboja.

Kru filem Johnny Depp mati lemas

LOS ANGELES - Seorang penyelam yang bertugas di set penggambaran filem Lone Ranger lakonan Johnny Depp mati lemas ketika membersihkan sebuah tangki, jelas pihak polis dan studio filem Walt Disney Co.
Lelaki yang belum dikenal pasti itu dikatakan memakai peralatan skuba untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di dalam sebuah kolam di sebuah rumah ladang di Palmdale, utara Los Angeles.
"Kami dengan dukacita mengesahkan bahawa seorang kru filem Lone Ranger meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Takziah buat ahli keluarga dan rakan-rakannya. Kami akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan berkaitan insiden ini," kata jurucakap Walt Disney Co., Paul Roeder dalam satu kenyataan.
Mangsa dikatakan sedang menyiapkan tangki tersebut untuk satu babak di dalam air. Punca kematian bagaimanapun masih belum dapat dipastikan. - Reuters

Debaran Nora Danish





JIKA badai jadi penentu kepada termometer ketahanan mental dan akal seseorang, jarum termometer penunjuk badai buat Nora Danish antara yang sentiasa turun naik pergerakannya.
Si kecil molek ini antara yang terkena badai malah kisahnya sentiasa menjadi tontonan ramai. Daripada bergelar anak dara hinggalah bertukar kepada janda, dia seakan tidak kalis pertanyaan. Namun badai pasti berlalu.
Wanita berusia 30 tahun itu kini menjadi pemanis bibir khalayak dengan pujian terhadap peningkatan lakonannya. Satu demi satu naskhah yang direalisasikan mendapat pujian yang bukan sedikit.
Tonton lakonan sendiri
Buat Nora, dia sentiasa menjalani pembaikan diri dengan menonton setiap produk yang dilaksanakan. Di samping itu dia mencari variasi agar tidak menadahkan para penonton dengan pembawaan karakter yang sama.
"Mungkin ada pelakon yang tidak menonton lakonannya sendiri tetapi saya berbeza. Saya akan menonton kembali dan melihat untuk belajar memperbaiki teknik lakonan sendiri. Saya perlu tengok untuk jadi lebih baik," petahnya yang mengambil cuti berlakon sejak bulan puasa hingga minggu ini.
Begitu juga untuk sebuah pencapaian diri yang mapan, aktres yang awalnya digilap melalui drama Puteri ini mahu sentiasa mencari watak yang lebih mencabar. Memang itulah keinginan dirinya dan pelakon untuk meratah sebuah karakter baharu dan dilontarkan kepada peminat agar terlihat perbezaan.
"Alhamdulillah selepas drama Tentang Dhia, saya diberikan watak yang berbeza dan berat. Asalnya memang dari dahulu saya mahukan sebegini tetapi sering diberikan watak komedi," katanya.
Jujurnya, Nora berasa tertekan dengan karakter yang berat malah terbawa-bawa ke rumah dan sekelilingnya. Namun itu yang dicarinya atas nama pelakon dan penawar untuk tekanan itu, dia bercuti bersama famili dengan membawa karakter dirinya sendiri.
KATA-KATA azimat ibunya sentiasa dipegang untuk bekalan hidup. Menurut Nora, Rayqal kini adalah kunci kehidupannya.


"Usai membawakan watak wanita didera dan menangis, minggu ini saya akan masuk set filem Legenda Budak Hostel. Sebuah filem arahan Bob dan lakonan bersama pelakon-pelakon komedi seperti Along dah Angah," katanya yang tidak mahu penonton bosan jika dia terusan membawa karakter yang tiada ragam bahasa.
Harap ada stylist
Larut bercerita dalam nafas seorang aktres, Nora menambah sebuah harapan agar ada perubahan dalam industri lakonan. Bukan besar namun perubahan yang kecil itu mampu membuahkan sebuah impak yang ketara.
"Saya mengharapkan agar ada stylist dalam sebuah produksi. Ini untuk membentuk sebuah karakter itu lebih semula jadi. Di sini semuanya kena sediakan sendiri. Memang ada tetapi wardrobe yang sama sekali lain dengan stylist. Kalau saya jadi watak Senah, saya mahu stail Senah dan bukan Senah dalam stail Nora," buah harapnya berbunyi selain mengharapkan skrip sentiasa datang awal ke tangannya.
Di sebalik harapan yang satu itu, debaran dan harap juga hinggap pada filem Aku Terima Nikahnya yang bakal dipertontonkan mulai 11 Oktober ini di pawagam.
Rentetan kemesraan dan ketulenan watak dalam Tentang Dhia, filem terbitan MIG ini akan mempamerkan sekali lagi kemesraan Nora dan aktor Adi Putra sebagai suami isteri. Berdebar, ujar Nora kerana dia tahu para peminat meletak harapan tinggi untuk filem tersebut.
"Saya tahu para peminat meletakkan harapan yang menggunung terhadap Lisa dan Johan dalam Aku Terima Nikahnya. Sebuah filem yang santai namun sarat dengan mesej perhubungan antara suami dan isteri. Harapan saya agar kelak janganlah para penonton terbawa-bawa hingga ke luar filem," jawabnya yang mengaku malu-malu membawa sikap romantis dalam diri Lisa.
"Penonton harus faham bahawa kadangkala kamera juga pandai temberang. Ada visual menampakkan kami banyak bersentuhan. Ini adalah sebuah filem tentang hubungan suami isteri. Sebenarnya tidaklah begitu intim," ketawanya yang berterima kasih kepada Adi kerana banyak membantunya.
Filem ini juga ulas Nora ialah sebuah karya yang mendapat banyak sentuhan wanita. Suntikan wanita itu bukan sahaja pada pengarahnya, Eyra Rahman tetapi juga pada pembantu pengarah dan kru.


JANDA bergetah ini berharap agar industri lakonan tempatan menawarkan kepakaran perunding gaya.



"Cerita ini sesuai untuk tontonan mereka yang bercinta juga pasangan suami isteri. Pasti akan membuai-buai perasaan," ulasnya.
Pernah terkena tempias gosip dengan sang aktor gara-gara lakonan bersama, kali ini untuk sebuah respons terhadap kolaborasi layar lebar, Nora mengaku bersedia.
Sedia dikritik
"Daripada segi fizikal dan mental, saya bersedia. Saya faham penerimaan penonton berbeza-beza dan cara mereka lihat filem itu kelak nanti berbeza. Seperti yang saya katakan, mereka perlu lihat Johan dan Lisa, bukan saya dan Adi," bunga sedia Nora berbunyi terhadap impak yang mengalir melalui filem romantis ini kelak.
Petah katanya semakin matang dan sikap itu tampak jelas dalam pembawaan dirinya. Melalui hari-hari dengan status ibu tunggal, sikap berdikari Nora semakin hari semakin terserlah.
Fasa hidupnya adakala santai dan tidak kurang dikasari gelombang dalam jalur bergelar anak seni. Tabah dan mengaku bebas, Nora melakukan ini atas nama kehidupan.
"Umur makin meningkat, saya ada anak dan berstatus janda. Di sebalik itu sebenarnya saya berasa lebih kuat dan berdikari. Malah ada peminat meminta nasihat daripada saya. Saya tidak boleh lemah. Kritikan juga saya lihat sebagai sebuah nasihat agar saya terus berdiri," ujarnya dalam nada tegas.
Tidak melihat jauh, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram ini melihat ibunya sebagai mentor dan idola.
"Saya melihat ibu saya sebagai mentor. Jiwa dan semangatnya kuat. Ibu besarkan kami di Malaysia sewaktu ayah di Amerika Syarikat. Dia orang Myanmar yang belajar hidup berdikari di tanah Malaysia. Buka restoran dan jaga kami adik-beradik sendirian. Bayangkan kekuatan itu," cerita seorang anak tentang semangat ibunya, Salimah Talib.
Memegang erat kata-kata hikmah ibunya sebagai panduan hidup, itu antara yang dijadikan darah daging semangat kuatnya.
"Ibu pesan agar sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, perlu sentiasa ingat Yang Maha Esa. Ibu ingatkan saya untuk sentiasa berdoa dan berzikir. Jadikan ia makanan jiwa. Hati kena baik dan juga perlu sentiasa berfikiran positif," patah-patah semangat itu dikongsi.
Untuk Nora kini, dia fokus dengan kerjaya dan hidup berdikari. Rayqal yang merupakan pengarang jiwa juga adalah semangat hidupnya.
"Anak adalah segalanya untuk saya. Semangat dan keceriaannya kunci untuk hidup saya," akhir ceritanya yang Rayqal yang gemar bergaya seperti ibunya.

Emas Malaysia RM300,000 seekor





JIKA durian terkenal dengan jolokan raja buah, arowana emas Malaysia pula mengungguli carta teratas bagi kategori ikan hiasan.
Nilainya yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit seekor menyebabkan spesies ikan yang dikatakan hanya boleh didapati di Tasik Bukit Merah, Semanggol, Perak itu digelar sebagai 'emas yang berenang'.
"Siapa sangka ikan kelisa (panggilan penduduk tempatan bagi arowana emas) yang enak dimasak gulai dan kadangkala dijadikan pekasam oleh penduduk kampung dahulu rupa-rupanya begitu berharga.
"Pada awal 1970-an, ikan ini mudah didapati dan biasa terperangkap di dalam lopak air di bendang padi dan tali air setiap kali selepas musim banjir," ujar Ahmad Don, 58, mengimbas kenangan zaman kanak-kanaknya kepada Jurnal baru-baru ini.
Namun begitu, Ahmad yang ketika itu berusia belasan tahun merupakan antara segelintir individu yang menghidu potensi arowana emas sebagai ikan hiasan.
Dengan membeli anak ikan itu hidup-hidup daripada penduduk tempatan yang mengailnya dari Tasik Bukit Merah, beliau menjualnya semula kepada peniaga ikan hiasan di Pulau Pinang pada harga RM15 seekor.
Rezeki menjual ikan kelisa secara kecil-kecilan itulah sebahagian usaha Ahmad yang menjadi anak yatim seawal usia dua tahun untuk membantu ibunya menyara keluarga.
"Dari situ minat saya terhadap arowana khususnya spesies emas Malaysia mula bercambah. Kenangan zaman remaja itu telah menjadi inspirasi kepada saya untuk menceburkan diri dalam industri penternakan ikan arowana secara serius pada tahun 2001.
"Sebelum menubuhkan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn. Bhd. (BMA) yang menjadi perintis kepada industri ikan arowana di Bukit Merah ini, saya juga pernah membuka kedai ikan hiasan di Taiping," jelasnya.
Harga
Bermula dengan 25 buah kolam yang dibina di atas tanah pusaka arwah bapanya seluas 0.8 hektar, kini Pengarah Urusan BMA itu boleh berbangga kerana memiliki 1,000 buah kolam ternakan ikan arowana.
Walaupun menternak pelbagai spesies arowana seperti mas merah, highback, merah banjar, super red, merah cili, emas highback, perak dan hijau, bagi Ahmad, emas Malaysia ialah spesies yang paling berharga.
"Jika spesies lain, seekor anak ikan sebesar 12.7 sentimeter (sm) boleh dijual pada harga RM20 hingga RM1,500, anak ikan arowana emas Malaysia pula berharga RM2,500 seekor.


AROWANA emas Malaysia dikatakan hanya boleh didapati hidup liar di Tasik Bukit Merah, Perak.



"Ikan hiasan itu bukan sahaja telah memberi pulangan jutaan ringgit malah yang lebih berharga daripada itu, ia memberi nilai sentimental yang mengingatkan saya kepada zaman silam," cerita Ahmad.
Induk daripada spesies arowana emas berkenaan mampu dijual sehingga RM24,000 seekor. Malah menurut Ahmad, beliau pernah menjual seekor arowana emas Malaysia yang bersifat albino pada harga RM300,000 pada tahun 2006.
Oleh sebab itu, bibir Pengerusi Persatuan Penternak Arowana Utara itu tidak henti-henti mengukir senyuman apabila Bengkel Standard Kualiti Arowana Emas Malaysia yang diadakan di Bukit Merah baru-baru ini memutuskan untuk menjadikan arowana emas Malaysia sebagai warisan negara.
Bagi bapa kepada 12 cahaya mata itu, penat-jerihnya memartabatkan ikan arowana emas Malaysia di mata dunia selama ini seolah-olah telah berbayar berikutan inisiatif Jabatan Perikanan tersebut.
"Pengiktirafan itu meletakkan ikan hiasan ini di tempat sewajarnya memandangkan ia merupakan merupakan khazanah paling berharga Tasik Bukit Merah," katanya.
Secara tidak langsung, pengwartaan arowana emas Malaysia sebagai warisan negara bakal menyerlahkan lagi nama Bukit Merah di mata dunia.
Dari sudut perniagaan pula, pengusaha ikan arowana di Zon Akuakultur Bukit Merah yang seluas 100 hektar sekarang bakal menerima manfaat besar serta potensi mengembangkan perniagaan mereka.
Selain menjamin nilai arowana emas Malaysia di pasaran antarabangsa, ia juga mampu mengukuhkan lagi penguasaan negara dalam industri berkenaan.
Setakat ini, Malaysia menguasai hampir 70 peratus pasaran arowana dunia biarpun mendapat saingan sengit daripada Indonesia dan Singapura.
Malah, ciri-ciri unik ikan itu akan semakin mudah dikenal pasti peminat ikan hiasan menerusi pengenalan Standard Spesifikasi Ikan Arowana Emas Malaysia atau DOF STAN 1:2012 kelak.
"Sebelum ini, ada beberapa kes peminat ikan hiasan khususnya yang baru berjinak-jinak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menipu menjual pada harga tinggi ikan arowana hijau yang diakui kononnya emas Malaysia.
Mulut
"Ia bukan sahaja merugikan pelanggan bahkan memberi kesan kepada nilai pasaran arowana emas Malaysia yang sedikit merudum akhir-akhir ini akibat isu tersebut," jelas Ahmad.


SPESIES arowana dapat dikenal pasti menerusi sisik dan lidahnya.



Beliau yang juga salah seorang panel Jawatankuasa DOF STAN 1:2012 memberitahu, ikan arowana emas Malaysia boleh dikenal pasti daripada sisiknya yang berwarna keemasan dan semakin terserlah pada peringkat pramatang dan dewasa.
Selain itu, ikan yang turut dikenali sebagai dragon fish dan dragon bonytongues itu mempunyai sesungut dan lidah yang keras seperti tulang. Ia juga mampu membuka mulutnya dengan luas dan mempamerkan struktur giginya yang halus tetapi kuat.
Boleh dikatakan hampir 80 peratus daripada 336,000 ekor ikan arowana pelbagai spesies bernilai RM151 juta yang dikeluarkan setiap tahun oleh Zon Akuakultur Bukit Merah dibeli oleh pelanggan dari China.
Senario itu tidak menghairankan kerana ia berkait rapat dengan sentimen kaum tersebut yang percaya arowana adalah lambang kekayaan dan mempunyai feng shui yang baik untuk membantu kejayaan pemiliknya.
"Orang Cina percaya ikan yang menyerupai naga ini lambang kepada kesihatan yang baik, mampu menjamin keharmonian keluarga dan memberi perlindungan daripada sihir," ujar Ahmad.
Bercerita tentang penjagaan arowana, Ahmad berkata, ikan hiasan itu sesuai membiak di negara yang beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Selain memerlukan bekalan air yang sentiasa mengalir sepanjang tahun, kolam ternakan ikan arowana hanya sesuai dibina di kawasan tanah liat berpasir dengan kandungan tanah liat sekurang-kurangnya 55 peratus.
Habitat yang sesuai untuk pembiakan ikan arowana juga memerlukan kandungan air pada kadar pH antara 6.8 dan 7.4.
"Bagi memastikan pembiakan anak ikan arowana yang berkualiti, hanya enam ekor induk ikan jantan dan 10 betina diisi di setiap kolam yang sebesar 6x15 meter.
"Ikan yang bersifat karnivor itu akan diberi makan anak ikan seluang selain makanan tambahan lain seperti udang, cengkerik, katak, ulat dan lipan sebanyak dua kali sehari," katanya.
Berbanding ikan hiasan lain yang memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan untuk membiak, proses persenyawaan induk arowana lebih mudah kerana ia berlaku secara semula jadi.
Ikan arowana akan matang apabila berusia antara dua hingga tiga tahun. Pada masa itu, induk jantan dan betina bakal berpasangan sehingga masa mengeluarkan telur dan sperma.
Ujar Ahmad, ikan hiasan itu hanya bertelur setahun sekali. Telur yang telah disenyawakan akan dikutip ikan jantan untuk dieram di dalam mulutnya selama dua bulan.
"Sepanjang tempoh tersebut, induk ikan jantan akan 'berpuasa'. Anak-anak ikan yang telah menetas hanya akan diluahkan daripada mulutnya selepas boleh berenang sendiri.
"Biasanya induk jantan boleh menjaga antara 20 hingga 60 ekor anak di dalam mulutnya pada satu-satu masa," beritahu beliau.
Begitupun, Ahmad menjelaskan bagi tujuan komersial, mulut ikan jantan terbabit akan diperiksa setiap dua bulan bagi mengeluarkan anak-anak ikan sebelum diletakkan di dalam inkubator yang fungsinya menyerupai mulut si induk.

No comments:

Post a Comment