Saturday, September 22, 2012

JIKA ALLAH NAK MUSNAH BUMI INI SEKELIP MATA AJE....MAKHLUK JANGANLAH BERLAGAK...DAH ALLAH HIDUPKAN ...DAH BERUNTUNG DAN PATUT BERSYUKUR

70 bomoh tidak berkesan

Wan Norfatihah menunjukkan pakaian sekolah yang terbakar akibat api misteri di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu baru-baru ini.


KOTA BHARU - Meskipun sudah menggunakan khidmat 70 orang bomoh dan ribuan ringgit dihabiskan untuk membayar upah mereka, api misteri tetap mengganggu keluarga Zainab Sulaiman di Kampung Penambang Bunga Emas di sini.
Lebih mengejutkan, tidak sampai seminggu api misteri itu mengganggu keluarga itu baru-baru ini, semalam gangguan itu datang lagi ketika Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengunjungi rumah berkenaan bersama isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Menteri Besar Kelantan itu mengunjungi rumah tersebut dengan tujuan untuk mengadakan solat hajat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi memohon Allah supaya menjauhkan keluarga itu daripada api misteri itu.
Malangnya kata Zainab, 75, api berkenaan muncul di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah ketika Nik Abdul Aziz sedang mengadakan solat hajat di ruang tamu rumah mereka.
Bagaimanapun dalam kejadian kali ini, api tersebut tidak membakar sebarang benda atau peralatan di rumah itu sebaliknya hilang begitu sahaja.
Zainab tetap gembira menerima kunjungan Menteri Besar yang sudi membantu menyelesaikan masalahnya sekeluarga.
"Sudah 70 orang bomoh saya guna untuk hapuskan gangguan ini, duit pula sudah habis ribuan ringgit kami sudah hilang punca untuk menyelesaikannya," ceritanya ketika dihubungi di sini semalam.
Episod serangan api misteri membabitkan sebuah keluarga tersebut bagaikan tiada penghujungnya selepas kali pertama berlaku tiga tahun lalu.
Sepanjang tempoh tersebut, Zainab yang tinggal bersama menantunya, Rafeah Zakaria, 40, dan tiga cucunya, Wan Mohd. Faiz Wan Hanafi, 15, Wan Norfatihah, 14, dan Wan Nurfatini, 12, terus dihantui keresahan kerana serangan tersebut tidak pernah berhenti.
Sepanjang Aidilfitri lalu, keluarga tersebut terpaksa bersengkang mata apabila api misteri berkenaan kembali mengganas dengan serangan antara empat hingga enam kali sehari membakar pelbagai peralatan rumah termasuk pakaian.

Lelaki ditangkap selepas membunuh


ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang mati akibat ditikam penyamun di Seremban semalam.


SEREMBAN – Perbuatan jahat seorang penjenayah yang bersekongkol dengan dua lagi rakannya menyamun dan membunuh seorang lelaki berbalas apabila dia ditangkap ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di lorong belakang sebuah bangunan di Jalan Utam Sigh di sini semalam.
Kejadian pada pukul 5.10 pagi itu berlaku setelah tindakan kejam suspek tersebut disedari oleh seorang pemilik restoran yang terdengar jeritan mangsa. Lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu mati akibat ditikam di dada.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang sedang berjalan bersendirian dihampiri tiga penyamun terbabit.
“Mangsa kemudian sempat menjerit sebelum didengari oleh pemilik restoran yang bergegas ke tempat kejadian bersama beberapa orang awam.
“Melihatkan keadaan itu, kesemua suspek melarikan diri mengikut arah berasingan namun salah seorang daripada mereka dapat diberkas kira-kira 100 meter dari tempat kejadian,” katanya.
Tambahnya, suspek berusia lingkungan 40-an itu merupakan warga asing dan polis turut menemui sebatang pemutar skru padanya. Polis sedang menyiasat barangan berharga milik mangsa yang dilarikan suspek.
Menurut Saiful Azly, polis sedang mengesan dua lagi rakannya. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat. Kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pemuda maut disepit mesin


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan Mohd. Hanafi yang tersepit di antara mesin pengangkat struktur landasan dan bongkah LRT yang dalam pembinaan di PPR Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Rakan-rakan Mohd. Hanafi Abdullah sering tidak kering gusi setiap kali juruteknik itu bergurau dengan menyelitkan lawak yang menggelikan hati.
Mohd. Hanafi, 23, sudah dianggap lebih daripada seorang sahabat oleh rakan sekerja kerana tingkah lakunya yang disenangi ramai.
Bagaimanapun, semua itu hanya tinggal kenangan apabila anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu meninggal dunia selepas badannya tersepit di antara mesin pengangkat struktur bongkah yang sedang bergerak dan landasan Transit Aliran Ringan (LRT) yang dalam pembinaan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Jalan Klang Lama di sini semalam.
Mangsa merupakan pekerja sub kontraktor.
Kejadian yang tidak diduga itu berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika mangsa bersama empat lagi rakan setugas sedang melakukan kerja-kerja penyambungan bongkah landasan.
Rakan sekerja mangsa, Mohd. Ammar Abdullah Sidek, 21, memberitahu, sebelum kejadian, mangsa ditugaskan untuk mengawal wayar pada mesin tersebut bagi memastikannya tidak berpintal manakala dia dan dua lagi rakan sedang melakukan kerja masing-masing berdekatan Mohd. Hanafi.
Katanya, tiba-tiba dia terdengar mangsa menjerit sebelum bergegas mematikan suis untuk membantu mengeluarkan mangsa yang dalam keadaan lemah akibat tersepit.
“Sebaik mesin itu dialihkan, mangsa terus jatuh terduduk atas landasan.
“Sebaik didekati, kami lihat rusuk kanannya terdapat kesan lebam teruk. Ketika itu dia masih boleh bercakap tetapi tidak berapa jelas lalu kami memintanya supaya bertenang.
“Bagaimanapun, dia kemudian disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke sebuah klinik berhampiran,” ceritanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi rakan mangsa, Ezil Maizan Abdullah, 38, berkata, mangsa bagaikan tahu ajalnya bakal tiba apabila dia menjadi pendiam dan langsung tidak bergurau dengan sesiapa ketika memulakan tugas sejak awal pagi.
“Kami perasan dengan perubahan sikapnya tetapi tidak mengendahkannya sehinggalah kejadian itu berlaku. Sebelum ini, dia memang suka bergurau senda,” katanya.
Tambahnya, dia dan rakan-rakan menganggap Mohd. Hanafi lebih daripada seorang sahabat dan kehilangannya pasti dirasai.
Difahamkan, kerja-kerja pembinaan landasan tersebut dihentikan buat sementara waktu sehingga siasatan oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja selesai.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, mangsa hanya dapat diturunkan dari landasan setinggi 15 meter itu 30 minit kemudian.
“Mangsa yang pengsan kemudian dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran sebelum dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1.30 petang,” katanya.
Projek penyambungan landasan LRT itu adalah salah satu projek dalam pembangunan LRT bernilai RM4.5 bilion.

Penduduk cemas benteng runtuh

GEORGE TOWN - Rasa cemas menyelubungi penghuni Pangsapuri Green Garden, Paya Terubong di sini apabila benteng konkrit bersebelahan kawasan bukit di tempat letak kereta perumahan itu runtuh petang semalam akibat hujan lebat.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 petang itu dipercayai disebabkan sistem perparitan yang mengalirkan air dari atas bukit di belakang pangsapuri itu tersumbat ekoran tidak diselenggara dengan baik pihak pengurusannya.
Ekoran kejadian itu, penduduk di pangsapuri itu bimbang kemungkinan berlakunya tanah runtuh yang boleh mengancam nyawa mereka.
Seorang penduduk, Khairul Adlan, 33, berkata, dia amat berharap langkah sewajarnya diambil pihak pengurusan pangsapuri itu serta pihak berkuasa tempatan kerana bimbang berlakunya kejadian tidak diingini.
"Ini baru tempat letak kereta, kalau dibiarkan aliran air bukit yang kuat itu boleh menjejaskan struktur pangsapuri tersebut.
"Kita tidak mahu kejadian seperti di Highland Towers, Hulu Klang berlaku di sini dan saya berharap pihak berkuasa tempatan dapat menanganinya agar nyawa penduduk di sini tidak terancam," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Paya Terubong, Y. Anbarasan berkata, kerja-kerja pembersihan tanah dan ketulan batu telah dilakukan dengan bantuan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi membolehkan penghuni pangsapuri menggunakan laluan itu seperti sedia kala.
"Sekumpulan anggota bomba tiba lima minit selepas menerima panggilan kecemasan dan mendapati kawasan sekitar itu dibanjiri air dari bukit manakala sebahagian benteng konkrit tempat letak kereta itu runtuh.
"Terdapat serpihan batu-batu turut mengelongsor dari bukit tersebut. Kita sudah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membolehkan siasatan dilakukan dan buat masa ini keadaan adalah terkawal," katanya.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati pasukan polis mengawal kawasan terbabit bagi mengelak orang ramai mendekati kawasan runtuhan sementara menunggu pihak bertanggungjawab menyiasat punca sebenar kejadian.

10 gajah liar ancam penduduk


RAMLI (kiri) dan Omar menunjukkan pokok pisang yang musnah akibat dimakan gajah liar di Baling semalam.


BALING – Lebih 40 penduduk di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh, Jalan Pengkalan Hulu di sini terpaksa ‘bercuti’ daripada menoreh getah sejak seminggu lalu kerana bimbang kemunculan sekumpulan gajah liar di kawasan kebun getah mereka.

Dianggarkan 10 ekor gajah liar berada di kawasan itu dan merosakkan hasil tanaman milik penduduk termasuk pisang, kelapa dan pokok getah muda pada waktu malam.

Penduduk mendakwa pada waktu-waktu tertentu gajah liar tersebut berada kira-kira 50 meter sahaja dari rumah mereka.
Seorang penduduk, Ramli Awang Kechik, 39, berkata, dia tidak menoreh sejak seminggu lalu selepas menemui tapak kaki gajah di kawasan kebun getahnya.
“Saya takut untuk pergi menoreh getah kerana bimbang mungkin gajah itu masih berada di sekitar kawasan kebun getah,” katanya.

Kata Ramli, meskipun hilang mata pencarian sejak seminggu lalu, namun dia lebih pentingkan keselamatan diri kerana bimbang diserang gajah tersebut.
“Rata-rata penoreh getah di sini amat takut jika terserempak dengan gajah liar ketika menoreh,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Omar Md. Rejab, 60, berkata, masalah itu tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan dan beliau meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera bertindak menghalau binatang liar itu masuk ke dalam Hutan Simpan Ulu Muda.

Katanya, gajah biasanya masuk ke kawasan kampung itu antara pukul 8.30 hingga 11 malam sebelum memusnahkan hasil tanaman penduduk.

Bukan setakat itu, katanya, seekor lembu peliharaannya hilang sejak empat hari lalu dipercayai lari kerana terkejut selepas terserempak dengan sekumpulan gajah pada waktu petang.

Difahamkan gajah liar itu tinggal di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dan pernah keluar ke kawasan Lenggong dan Kuak, Pengkalan Hulu beberapa tahun lalu.

Abdul Latif Md. Nor, 55, pula berkata, penduduk di situ akhir-akhir ini kerap mendengar bunyi gajah menjerit berhampiran rumah mereka.

Penduduk Taman Bukit Teratai diancam jenayah


PENDUDUK Taman Bukit Teratai, Ampang menunjukkan cermin sebuah kereta yang dipecahkan penjenayah kelmarin.


AMPANG JAYA - Sebanyak 350 keluarga di Jalan Teratai 1/2D, Taman Bukit Teratai di sini melahirkan kebimbangan dengan tahap keselamatan di kawasan itu ekoran kejadian jenayah yang semakin berleluasa sejak enam bulan lalu.
Penduduk kawasan itu mendakwa banyak kes rompakan, ragut dan vandalisme berlaku di kawasan perumahan itu menyebabkan mereka kini hidup dalam ketakutan.
Salah seorang penduduk, Chan Wei Leong, 38, berkata, cermin belakang keretanya dipecah sebanyak dua kali sejak beberapa bulan lalu menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian.
"Cermin kereta saya dipecahkan dengan menggunakan batu bata yang ditinggalkan oleh kontraktor yang membina kebuk sampah di kawasan ini.
"Selepas menggantikan cermin kereta tersebut, saya terkejut apabila mendapati ia dipecahkan sekali lagi beberapa hari kemudian," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Seorang lagi penduduk, Wong Kooi Moi, 45, berkata, dia bimbang dengan keselamatan dirinya dan keluarga ekoran peningkatan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan perumahan tersebut.
"Baru-baru ini, suami saya dirompak dan motosikalnya dilarikan dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam," ujarnya.
Seorang lagi mangsa jenayah, Annie Wong, 32, berkata, pencuri juga melarikan minyak dan bateri motosikal miliknya baru-baru ini.
"Saya hairan kerana barangan yang tidak seberapa harganya turut dicuri.
"Kejadian jenayah semakin menjadi-jadi dan kami berharap pihak berkuasa mengambil serius masalah tersebut dan mengatasinya secepat mungkin," katanya.

Surat layang cemari PRK UIAM


BAHARUDDIN (kanan) menunjukkan surat layang yang menggunakan logo UMNO dan salinan laporan polis di UIAM, Gombak semalam.


GOMBAK – Kempen Pilihan Raya Kampus (PRK) yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini dicemari dengan insiden penyebaran surat layang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Difahamkan, surat yang menggunakan kepala surat UMNO tersebut kononnya ditulis oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin telah ditampal di bilik-bilik kuliah dan papan-papan kenyataan di sekitar universiti berkenaan.
Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Profesor Madya Dr. Baharuddin Aziz, surat itu jelas merupakan satu pembohongan daripada pihak-pihak tertentu yang cuba mengganggu perjalanan PRK UIAM kali ini.
“Kandungan surat itu yang pada asalnya dimuat naik ke laman Facebook oleh pihak berkenaan dengan mengaitkan pelantikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar baharu UIAM, Prof. Madya Dr. Mizan Hitam dengan PRK 2012.
“Dakwaan pihak berkenaan mengenai campur tangan sesetengah individu berjawatan tinggi di UIAM membantu calon-calon PRK pilihan mereka adalah fitnah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir ialah Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Dr. Akmal Khuzairy Abdul Rahman dan Penolong Pengarah Perhubungan Media dan Promosi, Subki Ahmad.
Ekoran penyebaran surat layang itu, Baharuddin yang juga ahli bersekutu Majlis Syura Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah membuat laporan polis di Balai Polis Gombak di sini pada pukul 9.30 pagi semalam.

Baharuddin turut berkata, surat yang mula dikesan oleh UIAM pada Selasa lalu itu merupakan usaha pihak tertentu untuk menunjukkan mereka berada di bawah kawalan parti-parti politik tertentu.
Tambahnya, pihaknya akan meneliti semula rakaman kamera litar tertutup bagi mengesan individu yang bertanggungjawab menampal dan menyebarkan surat layang itu di sekitar kampus.
“Hasil perbincangan dengan majlis syura itu, saya juga akan melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tindakan selanjutnya.
“Buat masa ini, pihak kami tidak pasti sama ada pelajar UIAM terlibat atau tidak dengan insiden ini namun sekiranya ada mereka akan dikenakan hukuman sama ada digantung belajar, denda atau buang,” katanya.

Askar Britain lahirkan anak di medan perang

SEBUAH kereta perisai meronda kawasan di sekitar Kem Bastion, selatan Afghanistan pada 10 Januari 2007.


LONDON - Seorang anggota tentera Britain melahirkan anak lelaki semasa berkhidmat di sebuah kem tentera tempat Putera Harry ditempatkan di Afghanistan.
Kelahiran di zon perang itu dipercayai kes pertama seumpamanya dalam sejarah tentera Britain.
Askar wanita berkenaan yang merupakan seorang pengendali meriam, melahirkan bayinya pada Selasa lalu di Kem Bastion.
Terletak dalam wilayah Helmand, kem tersebut merupakan pangkalan utama tentera Britain di selatan Afghanistan.
Pangkalan itu diserang hebat oleh kumpulan Taliban pada minggu lalu dengan menyebabkan dua askar Marin Amerika Syarikat (AS) terbunuh manakala enam pesawat pejuang AS turut musnah.
Mengulas kelahiran mengejut itu, Kementerian Pertahanan Britain (MOD) dalam satu kenyataan semalam menyatakan ia tidak menyedari askar tersebut sedang mengandung.
Kenyataan MOD menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan askar wanita dikerahkan ke medan perang sekiranya mereka hamil.
Kenyataan sama enggan mendedahkan sama ada askar tersebut yang tidak didedahkan identitinya menyedari tentang kehamilannya.
"Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan baik di hospital tersebut dengan mereka kini diberikan rawatan terbaik," kata kementerian berkenaan.
Menurut kementerian itu lagi, sepasukan doktor akan diterbangkan ke Afghanistan dalam tempoh beberapa hari lagi bagi membantu askar terbabit dan bayinya pulang ke Britain.
Askar wanita berkenaan hamil sebelum dihantar ke medan perang ekoran dia dikerahkan ke Afghanistan pada Mac lalu.
Ditanya tentang insiden tersebut, sebuah badan amal penjagaan kanak-kanak di Britain, National Childbirth Trust menyatakan tugas berat askar terbabit dipercayai menyebabkan dia tidak menyedari atau cuba untuk tidak mengendahkan kehamilannya.
"Askar ini mungkin terlalu fokus pada tugasnya tambahan pula, dia berada dalam situasi hidup mati di zon perang. Ini menyebabkan dia tidak menyedari atau tidak mengendahkan kehamilannya," kata ketua eksekutif badan amal tersebut, Belinda Phipps.
Menurutnya, kehamilan tersebut mungkin tidak disedari oleh askar-askar lain.
"Bukan semua wanita memiliki perut yang besar semasa hamil, sebahagian wanita mempunyai rahim yang jauh ke dalam," tambahnya. - AP

Widodo menang pilihan raya


JOKO WIDODO (memegang mikrofon) menyampaikan ucapan sambil dikelilingi oleh para penyokongnya di Jakarta semalam.


JAKARTA - Penyandang gabenor Jakarta, Fauzi Bowo mengaku kalah dalam pilihan raya penentu semalam dan mengucap tahniah kepada pencabarnya Joko Widodo, selepas kiraan pantas yang dilakukan agensi undian mendapati Widodo memperoleh lebih daripada separuh undi.
Gabenor baharu Jakarta bakal berdepan cabaran untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas dan kekurangan kemudahan infrastruktur.
Proses pengiraan undi dilakukan di 400 daripada 15,000 tempat membuang undi dengan undi rosak kira-kira dua peratus. Keputusan rasmi bagaimanapun dijangka diumumkan pada 29 September nanti.
Sebelum ini, Widodo mendahului keputusan undian pusingan pertama pada Julai lalu dengan memenangi 43 peratus undi dan Bowo mendapat 34 peratus undi. Namun kedua-dua calon itu gagal mencapai keputusan undi 50 peratus yang diperlukan untuk menang.
Widodo disokong oleh parti kedua terbesar Indonesia, Parti Perjuangan Demokratik dan Parti Gerakan Indonesia Raya yang diketuai oleh Prabowo Subianto, bekas komander pasukan khas Indonesia.
Bowo pula disokong oleh Parti Demokratik pimpinan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Para penganalisis meramalkan ia satu pertembungan yang sengit. Terdapat seramai tujuh juta pengundi berdaftar. Kertas undi akan dikira dengan tangan di semua tempat undi selepas pengundian ditutup. - AFP

Ais lautan Artik semakin mencair


IMEJ satelit yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) menunjukkan kecairan ais laut yang berlaku di kawasan Artik.


NEW YORK - Sekumpulan pakar kelmarin memberi amaran kecemasan berikutan kesan global akibat kecairan ais di kawasan Artik yang tidak diramal boleh berlaku, termasuklah pelepasan gas metana dari kawasan permafrost yang ketika ini berada di bawah ais.
Universiti Columbia dan kumpulan aktivis alam sekitar Greenpeace mengadakan majlis berasingan bagi membincangkan data kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan bahawa ais di lautan Artik telah menyusut kepada permukaan paling kecilnya sejak ia mula direkodkan pada tahun 1979.
Menurut data daripada Pusat Data Salji dan Ais di Boulder, Colorado, imej-imej satelit menunjukkan litupan ais Artik cair kepada 3.4 juta kilometer persegi pada Ahad lalu yang merupakan titik ramalan terendah tahun ini.
"Di antara tahun 1979 dan 2012, kita mengalami penurunan ais laut sebanyak 13 peratus bagi setiap dekad, melonjak daripada kadar enam peratus di antara tahun 1979 hingga 2000," kata pakar oseanografi, Wieslaw Maslowski ketika berucap pada majlis Greenpeace.
"Jika trend ini berterusan kita akan kehilangan ais laut menjelang hujung dekad ini," Maslowski. - AFP

Ban anggap filem anti-Islam keji dan memalukan



NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon (gambar) menyelar filem anti-Islam, Innocence of Muslims yang menyinggung perasaan dan mencetuskan protes di seluruh dunia sebagai keji serta memalukan.
Menyifatkan kebebasan bersuara dan hak berhimpun sebagai sesuatu yang tidak dapat dipisahkan, Ban kelmarin berkata, ia perlu diberi jaminan dan dilindungi apabila digunakan bagi tujuan keadilan serta berniat baik.
"Apabila sesetengah orang menggunakan kebebasan bersuara ini untuk melakukan provokasi atau menghina nilai dan kepercayaan orang lain, maka ia tidak perlu dilindungi dalam apa jua cara sekalipun," kata Ban kepada wartawan di ibu pejabat PBB di sini.
"Walaupun kebebasan bersuara adalah hak asas dan istimewa, ia tidak sepatutnya disalah guna menerusi tindakan yang keji dan memalukan seperti ini."
Filem yang menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan protes ganas di seluruh dunia Islam. Ia turut menjadi punca kepada serangan ke atas Konsulat Amerika Syarikat (AS) di Benghazi, Libya dan menyebabkan empat maut termasuk dutanya, Chris Stevens.
Video amatur bajet rendah itu adalah hasil kerja Nakoula Basseley Nakoula yang merupakan seorang penganut Kristian Koptik Mesir. Dia pernah disabit melakukan penipuan ketika menetap di Carlifornia kini sedang menyembunyikan diri. - AFP

Aktres saman penerbit filem Innocence of Muslims


CINDY LEE GARCIA


LOS ANGELES - Aktres yang berlakon dalam filem anti-Islam dan mencetuskan kemarahan di seluruh dunia, Cindy Lee Garcia menyaman penerbit filem berkenaan atas tuduhan menipu dan fitnah.
Garcia turut menggesa supaya Google mengeluarkan klip filem itu dari dalam talian. Saman yang difailkan pada Rabu di Los Angeles menyatakan bahawa dia ditipu oleh Nakoula Basseley Nakoula, individu yang bertanggungjawab menghasilkan filem Innocence of Muslims.
Dia mendakwa tidak menyedari filem itu mengandungi unsur anti-Islam dan menyatakan skrip yang diterimanya langsung tidak menyebut mengenai Nabi Muhammad SAW.
Saman itu menjelaskan bahawa Garcia mengetahui mengenai filem terbabit melalui satu iklan dan akan muncul dalam sebuah filem Mesir purba yang kemudiannya berubah menjadi mesej anti-Islam.
"Filem ini keji dan patut dikecam. Saman ini bukanlah serangan terhadap hak rakyat Amerika meluahkan apa yang mereka fikir. Saman ini juga menggesa supaya kandungan yang menghina sebegini dikeluarkan daripada internet," kata peguam Garcia, M. Cris Armenta dalam satu kenyataan.
Peguam Garcia turut merancang untuk mendapatkan injunksi terhadap filem itu di sebuah mahkamah di Los Angeles.
Sejak filem Innocence of Muslims tersebar, wanita itu menerima banyak ugutan bunuh dan tidak lagi boleh melawat cucunya. Filem tersebut juga memburukkan reputasinya, selain menyebabkan dia berasa malu, terhina dan terluka. - AP

Jumlah wanita hamil hidap kanser meningkat

SYDNEY - Bilangan wanita hamil yang menghidap kanser semakin meningkat sejak beberapa dekad lalu, jelas satu kajian oleh pasukan penyelidik di Australia.
Mereka berpendapat, perkembanganmembimbangkan itu antara lain disebabkan oleh usia ibu hamil yang kian meningkat, selain teknologi mengesan kanser yang lebih baik.
Kajian tersebut disiarkan oleh sebuah jurnal saintifik obstetrik dan ginekologi (BJOG).
Menurut penyelidikan itu, pada tahun 2007, sejumlah 192 daripada 100,000 wanita hamil dan pasca kelahiran diagnosis menghidap kanser berbanding 112 orang daripada 100,000 ibu hamil pada tahun 1994.
"Kanser-kanser yang dikaitkan dengan kehamilan telah meningkat. Sebahagian daripada peningkatan itu disebabkan oleh usia ibu yang semakin tua," kata seorang penyelidik obstetrik, Christine Roberts yang merupakan penyelidik di Universiti Sydney.
Pasukan penyelidikannya mengumpul maklumat daripada tiga pangkalan data kelahiran, kes-kes kanser dan rekod kemasukan ke hospital di New South Wales.
Data berkenaan termasuklah kira-kira 780,000 wanita yang melahirkan anak lebih daripada 1.3 juta kali di antara tahun 1994 dan 2008.
Sepanjang tempoh sama, terdapat sekitar 1,800 kanser baharu dikesan dalam kalangan ibu mengandung. - Reuters

Kubur batu kapur lebih 1,000 tahun


SEBUAH kubur kuno yang ditemui di puncak Gunung Kamhantik di Filipina pada 26 Februari tahun lalu.


MANILA - Sepasukan ahli arkeologi menemui tinggalan sebuah kampung purba di puncak sebuah gunung yang dilitupi hutan di Flipina bersama beberapa keranda batu kapur yang belum pernah ditemui di negara Asia Tenggara berkenaan, kata seorang pegawai semalam.
Pegawai Muzium Nasional, Eusebio Dizon berkata, kampung tersebut terletak di kawasan seluas lima hektar di atas Gunung Kamhantik dekat bandar Mualanay di wilayah Quezon.
Menurut Dizon, tinggalan bersejarah itu berusia sekurang-kurangnya 1,000 tahun.
Usia itu, katanya, adalah berdasarkan teknik pengiraan usia karbon ke atas sebatang gigi manusia yang ditemui di dalam satu daripada 15 kubur batu kapur tersebut.
Penemuan beberapa kubur segi empat tepat itu penting kerana artifak tersebut menjadi bukti masyarakat Filipina ketika itu mengamalkan upacara pengebumian yang lebih canggih berbanding tanggapan sebelum ini.
Mereka juga menggunakan peralatan diperbuat daripada logam untuk menghasilkan keranda batu kapur berkenaan.
Beberapa penemuan lalu menunjukkan masyarakat Filipina pada era tersebut menggunakan keranda kayu, keranda tanah liat dan balang untuk menyimpan mayat manusia di beberapa bahagian di negara itu. - AP

No comments:

Post a Comment