Pengemis gadai nyawa kutip wang
16 September 2012
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kelibat wanita warga asing berasal dari India dan Bangladesh itu muncul di tengah jalan ketika pengguna berhenti di isyarat lampu merah.
Kumpulan pengemis itu akan mengetuk cermin kereta dengan menunjukkan cawan atau mengguna isyarat tangan yang mereka mahu makan.
Tindakan itu mengundang rasa kurang selesa pemandu menyebabkan ada yang menyuruh mereka beredar.
Penghantar surat, Mohd Hafizi Salleh, 28, berkata, dia pernah hampir melanggar seorang pengemis yang sedang berjalan di celah-celah kenderaan di laluan itu.
“Nasib baik saya sempat mengelak pengemis yang sedang berjalan sebab kebiasaannya mana ada orang berjalan dicelah kereta apatah lagi di jalan raya yang sibuk,” katanya.
Bagi Arifin Osman, 45, kehadiran warga asing di lebuh raya itu hanya akan membawa persepsi buruk pelancong asing terhadap negara ini .
“Inikah sebenarnya Malaysia, syurga kepada peminta sedekah dan ia amat memalukan kerana Malaysia bukan tempat pelarian atau pengemis warga asing meminta sedekah," katanya.
Sementara itu, cubaan Sinar Harian untuk bercakap dengan kumpulan wanita warga asing itu gagal selepas mereka beredar tergesa-gesa selepas menyedari gambar mereka dirakamkan.
Tragedi Lubuk Payung, lemas ketika berenang
16 September 2012
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang kelmarin apabila mangsa, Mohd Norizwan Mohammad Nor, 15, gagal berenang ke tebing sungai, namun dua lagi rakannya yang dipercayai turut lemas berjaya diselamatkan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Retang itu dikatakan cuba menyeberangi Sungai Tembeling untuk mengikuti kumpulan rakan lain, namun gagal di pertengahan lalu cuba berpatah balik ke tebing sungai.
Rakan mangsa, Mohd Amirul Hafiz Md Zain, 15, berkata, sebelum kejadian, mereka pada mulanya bermotosikal ke kawasan Rekreasi Lata Puai, namun sebahagian rakan bergerak lebih awal menyebabkan mereka menukar fikiran lalu menuju ke Sungai Tembeling di Lubuk Payung.
Menurutnya, dia bersama dua lagi rakannya hanya duduk di tebing dan memerhatikan rakan-rakan lain melakukan aktiviti di sungai.
“Ketika itu, Iwan (mangsa) bersama lapan rakan lain cuba berenang menyeberangi sungai di kawasan lubuk berarus deras.
“Kami tidak menyangka kejadian ini berlaku kerana Iwan mengaku pandai berenang. Namun, Iwan gagal berpatah balik lalu lemas dan tenggelam di kawasan lubuk,” katanya di lokasi kejadian, semalam.
Mohd Amirul berkata, mereka meminta pertolongan seorang nelayan yang kebetulan berada di tebing, tetapi Iwan gagal diselamatkan.
Kelakuan adik berubah
Sementara itu, kakak mangsa, Kartini Mohammad Nor, 26, berkata, dia amat terkejut dan bergegas pulang dari tempat kerja apabila mengetahui insiden lemas tersebut.
Menurutnya, adiknya tidak menunjukkan perubahan ketara, namun rajin menyertai aktiviti sekolah termasuk solat hajat pada malam sebelum kejadian.
“Solat hajat itu berikutan mereka bakal menduduki peperiksaan PMR. Jika sebelum ini adik perlu disuruh berkali-kali untuk membuat sesuatu kerja, namun kali ini agak berbeza.
“Norizwan adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan amat menggemari kegiatan lasak. Dia mudah mesra dan rapat dengan keluarga. Kehilangannya amat kami rasai,” katanya.
Mayat tersangkut pada tali
Sementara itu, Ketua Operasi, Ahmad Najabah Zuel berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.50 petang kelmarin.
Menurutnya, mereka memulakan operasi sejam selepas itu membabitkan seramai empat anggota dari Balai Bomba Penyelamat Jerantut dan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air Zon Temerloh.
Katanya, operasi itu turut membabitkan seramai 14 anggota polis dan 14 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia yang dibantu penduduk kampung.
"Pencarian pada waktu malam hanya membabitkan tinjauan di permukaan air. Kita sambung operasi pada jam 8 pagi semalam membabitkan seramai tujuh anggota skuba. Manakala yang lain bergerak menggunakan bot untuk mencari di bahagian tebing dan permukaan sungai.
“Mangsa berjaya ditemui di dasar pada jam 10.43 pagi dalam keadaan tangannya tersangkut pada tali digunakan anggota skuba untuk menyelam, tidak jauh dari kawasan kejadian,” katanya.
Ahmad Najabah berkata, kejadian itu adalah kes kedua dicatatkan berlaku di Jerantut bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini.
Menurutnya, kejadian itu wajar ibu bapa dan pengurusan sekolah jadikan iktibar supaya kes sama tidak akan berulang lagi.
Kurang upaya bukan penghalang Rosmizan tunai haji
15 September 2012
Anak kedua daripada lima adik beradik yang mengalami lumpuh separuh badan itu kelihatan begitu ceria dan jelas terpancar daripada raut wajahnya, dia tidak sabar untuk ke tanah suci itu tidak lama lagi.
“Saya telah memohon untuk menunaikan haji pada Mac lalu, alhamdulillah, berkat pertolongan ayah saya, rayuan yang dibuat untuk saya menunaikan haji tahun ini mendapat perhatian Lembaga Tabung Haji dan mereka telah meluluskan permohonan.
“Tidak sangka, tahun ini saya dapat menunaikan ibadat haji bersama ibu dan bapa saya. Saya harap saya dan kedua orang tua bakal mendapat haji yang mabrur dan dapat menunaikan ibadat dengan penuh ketenangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyempurnaan
Kursus Perdana Haji 1433h Peringkat Negeri Terengganu.
Sementara itu, bapanya, Ramli Awang, 65, berkata, sejak di bangku sekolah, dia dan isteri memberi perhatian penuh kepada anak lelakinya itu dan sentiasa menghantar serta mengambilnya ketika pergi dan pulang dari sekolah.
“Kini saya dan isteri membuka kedai dan berniaga secara kecil-kecilan di depan kediaman kami. Alhamdulillah, dia (Rosmizan) banyak membantu kami menguruskan perniagaan,” katanya.
Menurut ibunya, Semek Mokhtar, 58, Rosmizan dikenal pasti menghidapi lumpuh sejak diserang demam panas ketika berusia 10 bulan dan sejak itu, anaknya tidak aktif seperti kebiasaan.
“Tidak sangka, selepas demam panas, Rosmizan sudah tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak lain. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana walaupun dia tidak boleh berjalan, dia memiliki semangat yang kental untuk berjaya dalam bidang diceburi.
“Saya amat gembira kerana dia dapat menunaikan ibadat haji bersama kami pada tahun ini. Walaupun kami pernah menunaikan ibadat haji kali pertama pada 2004, tahun ini amat bermakna kerana dapat pergi bersama Rosmizan,” katanya.
Cina tidak takut sokong Pas
16 September 2012
Bekas Adun Paka, Satiful Bahri Mamat berkata, sokongan terhadap Pakatan Rakyat (PR) di Paka naik mendadak berikutan beberapa pendekatan dikatakan menyenangi hati rakyat termasuk golongan bukan Islam.
Beliau berkata, buktinya masyarakat Tionghua sudah mula hadir pada program anjuran Pas berbanding sebelumnya biarpun mereka berbeza agama dan keturunan.
Katanya, senario ini menggambarkan perjuangan Pas sudah mula diterima masyarakat pelbagai kaum dan sudah berani menunjukkan sokongan secara terbuka.
"Hubungan Pas dengan bukan muslim sebenarnya sudah lama, hari ini kita lihat Pas sudah memecah tembok berlainan kaum.
“Buktinya Pas sudah memerintah Kelantan lebih 20 tahun, tapi orang Cina di sana tetap boleh beribadat tanpa masalah, ia membuktikan bahawa Pas merupakan sebuah parti yang bukan fokus kepada suatu bangsa sahaja, tetapi untuk semua kaum, sesuai dengan slogan ‘Pas for All’,” katanya.
Satiful Bahri berkata demikian ketika ditemui pada majlis Aidilfitri bersama masyarakat kaum Tionghua, dekat sini.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri berkata, kemenangan Umno banyak bergantung kepada peti undi di kampung tradisi seperti di Santong, Felda dan perkampungan nelayan.
Namun katanya, gelombang rakyat yang ingin melakukan perubahan memberi isyarat bahawa Pas mempunyai potensi besar untuk merampas kembali kerusi Dun Paka yang dimenangi Umno pada pilihan raya lalu dengan undi majoriti 433.
Dalam PRU12 lalu, Satiful tewas di tangan calon BN, Zakaria Abdullah dengan 433 undi.
Pembantu am kolej jururawat Alor Setar maut dihempap traktor
15 September 2012
Kejadian pada 6 petang itu berlaku apabila traktor yang dipandu Nor Azman Abdul Majid, 32, dari Kampung Paya Pahlawan, Asun dekat sini tergelincir ke dalam parit sebelum terbalik dan menghempap mangsa sehingga mengalami kecederaan dalaman dan patah pinggang.
Bapa mangsa, Abdul Majid Mohd Noh, 62, berkata traktor yang dipandu Nor Azman terjatuh ke dalam parit sedalam kira-kira satu meter dan usaha anaknya untuk menaikkan traktor gagal menyebabkan jentera tersebut terbalik.
Abdul Majid berkata kejadian mengerikan itu turut disaksikan anak bongsunya Shahzual, 15, yang berada di tempat kejadian dan hanya mampu melihat jentera seberat enam tan itu menimba abangnya.
Dia segera bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan perkara itu oleh saudaranya kira-kira pukul 8 malam dan setelah sampai di tempat kejadian, anaknya sudah tidak bernyawa.
Katanya Pasukan Bomba dan Penyelamat Jitra hanya dapat masuk ke tempat kejadian kira-kira pukul 8.30 malam kerana sukar untuk melalui jalan kebun getah manakala traktor tersebut berjaya dialih pukul 11 malam.
Abdul Majid berkata mayat anaknya itu kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kunluang dekat sini.
Nor Azman mengambil upah membersihkan kebun getah penduduk kampung pada cuti hujung minggu sebagai pendapatan sampingan untuk menyara isteri dan dua anak perempuan berusia 13 dan tujuh tahun.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohamed Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. - Bernama
Redha jalani hukuman penjara
16 September 2012
Begitulah yang dilalui seorang wanita dan juga nenek yang mahu dikenali dengan Hamidah, 56, yang terpaksa menjalani hukuman penjara setelah pihak berkuasa menemui dadah di dalam rumahnya.
Menurutnya, biarpun perit untuk menjalani hukuman tinggal di tirai besi, namun sebagai manusia dia redha dengan apa yang berlaku.
“Sewaktu kejadian berlaku saya amat terkejut namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana dadah itu berada dalam rumah saya dan sebagai tuan rumah saya terpaksa melalui hukuman ini walaupun ia amat berat,” katanya kepada Sinar Harian.
Hamidah yang berasal dari Pulau Langkawi mempunyai empat anak dan dua cucu mengakui banyak pengetahuan termasuk ilmu agama yang diperoleh sepanjang menjalani hukuman di penjara.
Hamidah berkata, dia yang diberi peluang menyertai Sambutan Aidilfitri Banduan Bersama Keluarga yang diadakan di pekarangan Penjara Pokok Sena baru-baru ini bersyukur kerana keluarganya datang meraikannya bersama-sama.
Katanya, dia tetap bersyukur kerana anak-anaknya tidak pernah melupakannya dan sering menjenguknya sepanjang berada di dalam penjara yang sekurang-kurangnya mengubat rindu terhadap mereka.
“Anak saya sentiasa datang melawat saya dan dari situ saya mendapat kekuatan untuk menempuh kehidupan di sini (Penjara Pokok Sena).
“Selain semangat dari anak-anak, ilmu agama yang saya dapat di sini menjadi peneman dan kekuatan untuk diri saya agar tidak berasa rendah diri atau kecewa,” katanya.
Hamidah yang sebelum ini menjalankan perniagaan makanan diberi peluang untuk menjalani latihan memasak selain terlibat dengan kemahiran lain yang dapat digunakan apabila dibebaskan nanti.
Pengusaha serah memorandum, kemuka 6 tuntutan
16 September 2012
Enam tuntutan itu turut membantah upacara menandatangani protokol antara China dengan Malaysia kerana mendakwa menguntungkan segelintir pihak sahaja.
Pengerusi Gabungan Persatuan Perniagaan Sarang Burung Walit SeMalaysia, Lim Lai Soon berkata, pihaknya tidak bersetuju pemilihan Persatuan Gabungan Peniaga Sarang Burung Walit SeMalaysia yang mewakili semua pengusaha kerana khusus kepada pemilik lesen eksport sahaja.
Menurutnya, persatuan itu hanya memperjuangkan eskport sarang burung walit dicuci iaitu hanya lima peratus menyebabkan baki 95 peratus lagi tidak dapat dieksport.
"Selain itu, persatuan terbabit didakwa memonopoli saluran eksport melalui cadangan sekatan kononnya perlu dipatuhi sejajar kehendak kerajaan China khususnya penggunaan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).
“Syarat memasang RFID dilihat sebagai cadangan pihak tertentu mengaut keuntungan sedangkan yang diperlukan penggunaan tag elektronik, sijil Kesihatan Veterinar dan kandungan nitrat tidak melebihi 30 bahagian perjuta (ppm) bagi sarang burung dicuci,” katanya.
Lai Soon berkata, situasi sejak setahun lalu itu menimbulkan kemarahan pengusaha Cina dan mendakwa sukar bayar pinjaman bank.
“Sembilan persatuan pengusaha mohon (Noh) menggunakan kuasa dalam kementerian menangguhkan upacara menandatangani protokol sementara memastikan isu berkaitan eksport diselesaikan dahulu,” katanya.
Memorandum dibaca Lai Soon itu kemudiannya diserahkan kepada Noh dan diperhatikan pemimpin PKR, Pas dan DAP yang hadir pada Majlis Jamuan Hari Raya dan Merdeka sempena sambutan Hari 1Malaysia di pekarangan pejabat Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, semalam.
Bagaimanapun, keadaan tenang bertukar menjadi kecoh apabila penjelasan yang diberikan Noh tidak diterima terutamanya Ketua PKR Cabang Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri, bagaimanapun berjaya ditenangkan dengan kehadiran polis.
Bukan isu monopoli
Sementara itu, Noh menjelaskan, tidak timbul isu monopoli eksport kerana ia terbuka kepada penternak mampu memenuhi syarat ditetapkan.
“Terdapat pihak tertentu memanipulasi dan mempolitikkan isu eksport sarang burung ketika Kuala Lumpur dan Beijing bakal menandatangani protokol terbabit pada 20 September ini untuk membolehkan eksport sarang burung ke China disambung semula.
“Saya lihat tuntutan menunjukkan mereka tidak faham sedangkan sebelum ini banyak penjelasan di media. Masalah ini sudah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi. Perjanjian protokol ini penting bagi industri berimpak tinggi negara.
"Kalau tidak selesai, kemungkinan industri ini dipulihkan sukar, apatah lagi dengan persaingan negara jiran seperti Indonesia,” katanya dalam sidang media memperjelaskan isu pengeskportan burung walit yang masih dibangkitkan.
Noh berkata, sebelum ini ada sekumpulan pengusaha membantah keputusan kerajaan melaksanakan RFID bagi mengenal pasti asal usul sarang burung yang dieksport.
"RFID bagi semua produk sarang burung walit tempatan adalah untuk pengeksport sa manakala penternak hanya perlu mendaftarkan premis perusahaan mereka kepada Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV)," katanya.
Noh juga tertanya-tanya keengganan pengusaha yang masih belum mendaftarkan dengan JPV memandangkan hanya 5,000 daripada 60,000 rumah burung walit di negara ini berdaftar.
“Kalau pengusaha tidak mahu berdaftar, mereka tidak dapat mengeksport hasil sarang burung. Sepatutnya pengusaha berterima kasih kepada kerajaan kerana bantu mereka mengeksport hasil produk ke China,” katanya.
Bukan sengaja politikkan isu
Suee Lim menjelaskan, pihaknya bukan mahu mempolitikkan masalah ditanggung pengusaha.
“Kita lihat pengusaha sarang burung walit mengadu masalah berlarutan sehingga setahun lalu dan memorandum diserahkan sembilan wakil dari Perak, Kuala Selangor, Sekinchan dan Pulau Pinang ini dapat membantu mereka,” katanya.
Hasrat lihat adik jadi tragedi
16 September 2012
Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang di kawasan pembinaan menara Telekom itu, mangsa, Mohd Azharul Nizam Daud, 24, dari Kampung Tapah bersama kelindannya, Mohd Hanifah Mohd Nawi, 19 turun daripada lori untuk melihat kerja mengambil tanah dilakukan.
Malangnya, secara tiba-tiba tanah tersebut runtuh hingga menyebabkan mangsa tertimbus dan Mohd Hanifah tertimbus lebih separuh badan, manakala adik mangsa, Mohd Zuraime yang berada di atas jengkaut sempat terjun menyelamatkan diri.
Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK I Mohd Harun berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian jam 4.58 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kelindan lori berkenaan telahpun berjaya dikeluarkan oleh orang awam termasuk pekerja yang masih belum pulang.
"Kejadian itu menarik perhatian orang ramai kerana lokasi kejadian terletak berhampiran kawasan kampung.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan jam 5.20 petang dengan menggunakan jengkaut. Mangsa berjaya ditemui 25 minit kemudian dengan keadaan tertiarap dalam timbunan tanah sedalam kira-kira satu meter,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Difahamkan, kelindan lori yang juga berasal dari Kampung Tapah mengalami kecederaan dengan patah tangan kiri dan dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan, manakala adik mangsa tidak mengalami kecederaan.
Melambung dilanggar lori
16 September 2012
Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, mangsa, Mohammad Rizal Daud, 25, yang membonceng motosikal jenis Yamaha LC mati di tempat kejadian, sementara rakannya yang menunggang motosikal terbabit cedera parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.
Difahamkan, pemandu lori berusia lingkungan 50-an itu cuba menekan brek untuk mengelak, namun gagal lalu terlanggar motosikal dinaiki dua sahabat terbabit.
Saksi kejadian, Muhammad Asri MOhd Fauzi, 17, berkata, ketika kejadian, dia menunggang motosikal kira-kira 60 meter di belakang motosikal dinaiki mangsa," katanya.
“Kami datang dari arah sama mahu keluar dari persimpangan taman ini, tetapi apabila hendak membelok ke kanan, tiba-tiba motosikal dinaiki mangsa dilanggar sebuah lori.
“Mangsa yang menaiki motosikal dilanggar lori yang datang dari arah lampu isyarat Jalan Krubong menyebabkan mangsa melambung bersama motosikal itu sebelum mati di tempat kejadian,” katanya.
Menurut Muhammad Asri, seorang lagi yang cedera parah jatuh dari motosikal selepas dilanggar segera dibawa ke Hospital Melaka.
“Saya kemudian memberhentikan motosikal lalu berlari ke arah mangsa dan melihat darah keluar dari hidung dan mulut," katanya.
Sementara itu, Ibu Mohammad Rizal, Mina Ahmad, 48, berkata, ketika kejadian, dia yang sedang memasak untuk satu majlis kenduri kahwin di kawasan rumahnya di Kampung Krubong di sini dan terkejut diberitahu mengenai kejadian menimpa anak sulungnya.
“Saya keluar rumah kira-kira 8.30 pagi tadi (kelmarin) dan sempat menemui arwah ketika sedang minum namun kami tidak berkata apa-apa.
“Cuma, dalam dua minggu kebelakangan ini arwah yang memang tidak banyak bercakap kerap berada di rumah tidak seperti selalu sering keluar selepas balik ke rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan.
Masalah air berlarutan sejak 1999
16 September 2012
Penduduk, Mohd Yusof Salleh, 48, berkata, Rumah Awam Simpang Durian dan Taman Desa Permai merupakan antara kawasan paling bermasalah susulan tangki air di kawasan terbabit sering kali pecah.
“Sebelum ini, tangki air di Taman Desa Permai pernah pecah pada 1999, malah pemimpin negeri pernah turun padang meninjau keadaan di situ.
“Pihak berkaitan ada menyatakan untuk mengganti tangki berkenaan namun sehingga hari ini penduduk masih bergantung kepada tangki lama.
“Akibatnya, penduduk terpaksa menghadapi masalah kekurangan air dan bertambah kronik setiap kali menjelang musim perayaan yang mana penggunaan air meningkat secara mendadak,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mazlan Said, 53, berkata terdapat kebocoran pada tangki berkenaan baru - baru ini hingga menyebabkan bekalan air penduduk terputus selama 48 jam.
“Paling teruk sekali apabila bekalan air terputus selama 36 jam kira-kira sebulan lalu sekali gus mendatangkan masalah kepada kerana kami tiada bekalan air lain di sini.
“Apabila berlaku masalah ini, penduduk terpaksa mencatu kegunaan air. Jika penduduk itu berniaga makanan misalnya, mereka juga menghadapi masalah,” katanya.
Sementara itu, Mustakim Mohamed, 48, berharap masalah tersebut dapat diatasi secepat mungkin demi kesejahteraan dan keselesaan penduduk.
Menurutnya, masalah sedemikian tidak wajar berlaku apatah lagi kedua-dua lokasi taman perumahan itu terletak di kawasan pekan.
“Terdapat lebih 300 rumah di kedua taman perumahan ini. Jika sebuah rumah mempunyai lima ahli keluarga, bayangkan bagaimana mereka mahu berkongsi bekalan air yang sedikit,” katanya.
Peniaga kecewa kedai sering diganggu
16 September 2012
Rohani Lajis, 47, yang menyewa sebuah kedai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Tambak Paya, Melaka berkata, pada penghujung tahun lalu, pihak penguat kuasa MBMB kerap menyerbu kedai saya disewanya atas dakwaan tiada lesen perniagaan.
"Kemudiannya, Mei lalu pentas karaoke kedai saya pula terbakar.
"Kejadian tidak berakhir di situ, malah kedai bersebelahan turut memagar dengan tirai besi selain menutup laluan pelanggan kedai ke tandas awam dengan beberapa meja makan," katanya ketika ditemui di Dataran Keris Alor Gajah, dekat sini.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk memajukan perniagaan yang beroperasi pada waktu malam, namun usahanya itu seperti terhalang apabila ada pihak cuba menjatuhkannya.
“Saya hairan apabila ada pihak sengaja merosakkan perniagaan yang cukup-cukup makan ini dengan mencari kesalahan saya sedangkan untung tidaklah sebesar mana,” katanya.
Rohana dibantu suami, Nafi Md Deris, 55, dan anak, Khairul Abu Bakar, 23 serta bapanya, Lajis Md Lazim, 71, selain dibantu tiga pekerja.
Katanya, ia benar-benar menguji kesabarannya apabila hampir RM10,000 kos dikeluarkan untuk menghidupkan suasana kedai yang disewa dari MBMB ini dengan sewaan sebanyak RM130 sebulan.
"Namun sejak berniaga pelbagai dugaan saya terima apatah lagi ramai pelanggan lari.
"Bimbang berlaku perkara tidak diingini kami sekeluarga bertindak membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua kira-kira 7 petang kelmarin," katanya.
Rohana berkata, dia tidak tahu apa yang akan berlaku lagi di kedainya itu sehinggakan dia sentiasa rasa bimbang jika berniaga.
Sementara itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu ketika dihubungi terkejut dengan perkembangan itu dan menegaskan ia melanggar peraturan serta garis panduan MBMB.
Menurutnya, pihak MBMB tidak pernah meluluskan mana-mana permohonan bagi mengubahsuai apa jua bentuk kedai milik MBMB tanpa pengetahuan dan ia jelas satu kesalahan.
“Memagar atau memisahkan gerai yang dibina oleh MBMB adalah melanggar konsep ‘kedai kemakmuran’ dan pihak kami tidak pernah dimaklumkan perkara itu sehingga kami diberitahu.
“Berhubung dakwaan pengadu, pihak kami akan melakukan siasatan terhadap kedai berkenaan yang didakwa turut disewa oleh seorang remaja bawah umur tanpa pengetahuan.
“Kami akan hantar pegawai penguat kuasa untuk menyiasat dakwaan itu supaya tindakan tegas terhadap peniaga terbabit dapat diatasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Cubaan potong gagal, maut bertembung treler
16 September 2012
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, mangsa, Raja Badrul Hisham Raja Shamsuddin, 49, memandu kereta jenis Proton Wira dari arah Raub.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa cuba memotong beberapa kenderaan lain, tetapi gagal berbuat demikian lalu bertembung dengan treler dari arah bertentangan.
“Treler itu cuba mengelak ke sebelah kiri jalan, tetapi kereta dipandu mangsa gagal dikawal lalu merempuh bahagian kanan lori tersebut.
“Kereta mangsa berpusing seketika sebelum melanggar lori tangki minyak sama arah dengan treler terbabit,” katanya.
Mohd Nazlan berkata, akibat perlanggaran itu, kereta Proton Wira terbabit remuk teruk di bahagian hadapan dan mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Kampung Kuala Gali.
“Ketika kejadian, keadaan cuaca cerah dan laluan trafik tergendala lebih setengah jam,” katanya.
No comments:
Post a Comment