Badan putus dirempuh kereta api
SUNGAI PETANI - Seorang gadis yang bekerja di sebuah kilang maut dengan badannya terputus dua manakala kakaknya cedera parah selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh kereta api di Jalan Kuala Ketil di sini semalam.
Mangsa yang terbunuh ialah K. Nalini, 18, manakala mangsa yang cedera parah ialah K. Rani, 22.
Sebelum kejadian pada pukul 12.45 tengah malam, adik- beradik yang bekerja di sebuah kilang di Taman Ria Jaya di sini menunggang motosikal untuk pulang ke rumah mereka di Taman Kelisa Ria selepas berkunjung ke rumah rakan di Taman Pekan Baru.
Bagaimanapun, motosikal ditunggangi Nalini dirempuh dan diseret kereta api membawa muatan simen selepas mangsa dikatakan menyelinap di bawah palang penghadang landasan yang sudah ditutup.
Ariel Peterpan muncul di Malaysia
KUALA LUMPUR – Selepas dibebaskan dari penjara Kebon Waru, Bandung, Indonesia hampir dua bulan lalu, vokalis popular Indonesia, Nazriel Irham atau Ariel Peterpan membuat penampilan sulungnya di ibu negara semalam.
Kemunculan vokalis tersebut bersama kumpulan baharunya yang dikenali sebagai Noah adalah bersempena konsert Tentang Bahtera yang sedang mereka jayakan.
Mereka kini dalam siri jelajah ke lima buah negara iaitu Australia, Hong Kong, Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Ia juga bertujuan untuk mempromosi nama baharu kumpulan muzik yang dianggotai oleh Ariel itu.
“Kami cuba hadir ke negara ini secepat mungkin dan terpaksa bergegas pergi dengan segera kerana akan membuat persembahan di Singapura malam ini (malam tadi).
“Namun kami akan tetap kembali ke Malaysia setelah Noah tampil dengan lebih banyak lagu pada masa akan datang,” ujar Ariel di hadapan 500 peminat yang hadir untuk menyaksikan persembahan sulung Noah di pusat hiburan KL Live di sini semalam.
Gadis campak anak dari flat
PETALING JAYA - Ketika rakyat Malaysia berkobar-kobar menanti kelahiran anak sempena Hari Malaysia, lain pula dengan seorang ibu yang tergamak mencampak bayi yang baru dilahirkan pada hari bersejarah itu dari tingkat tiga Blok 1, Flat Desa Mentari di sini semalam.Mayat bayi perempuan malang itu kemudian ditemui dengan kesan kecederaan di kepala oleh seorang penduduk yang terkejut mendengar bunyi satu objek jatuh di tempat letak kereta flat tersebut pada pukul 11 pagi.
Saksi kejadian, Jundi Mat, 35, berkata, sebelum menemui bayi itu, dia terdengar bunyi objek jatuh di tempat letak kenderaan dalam jarak kira-kira dua meter dari tempat dia berada.
Menurut pemuda itu, dia pada mulanya menyangka objek yang tertiarap di kawasan letak kereta tersebut anak patung sebelum dia kemudian menghampiri objek itu.
"Alangkah terkejutnya saya apabila objek tersebut bukan anak patung tetapi rupa-rupanya seorang bayi dalam keadaan berbogel, masih bertali pusat dan berlumuran darah.
"Bayi yang kepalanya turut kemek tidak menangis dan tidak bergerak kerana sudah tidak bernyawa," cerita Jundi yang bekerja sebagai pemandu lori.
Maut lepas sambut Hari Malaysia
KOTA KINABALU - Lima termasuk dua pasangan suami isteri yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan Hari Malaysia maut dalam kemalangan di Sepanggar berdekatan bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu di sini malam kelmarin.
Dalam kemalangan pada pukul 12 tengah malam dan melibatkan empat buah kenderaan itu, mangsa yang terbunuh ialah Ramsin @ Taminsin Pahang, 59; isterinya, Siti Runi Tarawi, 55; Asan @ Hassan Jimi, 55; isterinya, Saimah Jamin, 51, dan seorang lagi mangsa, Taripan Tamin, 53.
Kesemua mangsa yang menaiki trak pikap jenis Isuzu Invader itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Beaufort selepas menghadiri satu majlis sambutan Hari Malaysia di Tuaran dekat sini.
Karaoke suram tawar GRO China
NUSAJAYA – Siapa sangka sebuah premis yang hanya memasang lampu malap menjadi tumpuan orang keluar masuk menjelang waktu malam di Nusa Bestari Jaya, Skudai di sini. Ia rupa-rupanya sebuah pusat karaoke yang turut menyediakan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga China.
Rahsia keseronokan mengunjungi premis tersebut yang beroperasi sejak dua tahun lalu terbongkar apabila polis Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman membuat serbuan pada pukul 4.30 pagi semalam.
Jurucakap polis berkata, pusat karaoke yang beroperasi di tingkat satu dan dua rumah kedai itu bertambah meriah pada hujung minggu apabila premis tersebut membuka operasinya sehingga pukul 7 pagi.
“Pusat karaoke ini merupakan satu-satunya premis yang menjadi tumpuan selepas kesemua pusat hiburan lain di bandar ini ditutup pada pukul 1 pagi.
“Pelangan dari pusat hiburan lain akan menyambung keseronokan di pusat karaoke ini kerana ia beroperasi sehingga awal pagi dan ada kalanya sehingga waktu tengah hari,” kata sumber itu ketika ditemui Kosmo! di sini.
Jenayah di Taman Metropolitan merisaukan
KUALA LUMPUR - Masalah jenayah di Taman Metropolitan, Kepong di sini semakin merunsingkan apabila penjenayah kini berani memotong dan mencuri 10 tiang lampu setinggi 2.43 meter dalam tiga kejadian baru-baru ini.
Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 20 Ogos, 3 September dan 6 September lalu.
Lebih membimbangkan, suspek tanpa perasaan takut bertindak mencabar orang ramai yang terserempak dengan mereka ketika kegiatan itu dilakukan supaya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Ketua Pusat Khidmat Komuniti Kawasan Kepong, Yee Poh Ping berkata, tahap keselamatan di situ semakin kritikal sehingga penjenayah langsung tidak takut untuk melakukan kegiatan mereka secara terang-terangan di kawasan awam.
"Kawasan ini dikawal sepenuh masa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mana pegawainya melakukan rondaan pada siang hari dan pada waktu malam pula, tempat ini dikawal oleh beberapa pengawal keselamatan yang disediakan khas oleh DBKL," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Dividen interim RM400 bukan penyedap hati peneroka
SEREMBAN - Pemberian dividen interim sebanyak RM400 kepada 112,635 peneroka Felda adalah hasil daripada keuntungan saham selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia dan bukannya dibuat secara sesuka hati untuk "menyedapkan" hati peneroka.Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, pemberian dividen interim itu dibuat setelah mengambil kira nilai keuntungan 5.5 sen sesaham hasil daripada dua bentuk saham iaitu 800 unit saham yang dikhususkan kepada setiap peneroka dan Dana Amanah Peneroka yang diuruskan oleh Felda.
"Pihak pembangkang kata kita mahu menyedapkan hati peneroka tetapi sebenarnya kita bukan buat sesuatu untuk menyedapkan hati tetapi kita kena buat berdasarkan apa yang kita ada.
"Kita tidak akan buat sesuatu sesuka hati kerana pihak Jawatankuasa Audit Bursa Malaysia tidak akan benarkan kita memberi dividen interim kalau kita tidak untung atau sekadar mahu menyedapkan hati," katanya pada majlis Aidilfitri UMNO Cawangan Dataran Senawang dekat sini malam kelmarin.
Wanita rugi RM1,000 beg ditoreh di KLCC
KUALA LUMPUR - Seorang wanita terkejut apabila beg tangan yang dibawanya ditoreh seorang pencuri sepanjang hampir 10 sentimeter ketika dia sedang beratur untuk membuat pembayaran di kaunter sebuah pusat beli-belah terkenal di Suria KLCC di sini kelmarin.Ekoran kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Tham Wei Mei, 46, mengalami kerugian hampir RM1,000 termasuk wang tunai berjumlah RM600, beg duit kulit serta beberapa keping kad kredit dan kad bank.
Katanya, sebelum kejadian, dia membeli-belah bersendirian di tingkat satu pusat beli-belah tersebut dan ketika ingin membuat bayaran, dia terkejut kerana mendapati beg tangannya ditoreh dan beg duit di dalamnya telah lesap.
PGA rampas barang seludup RM4.2j
RANTAU PANJANG – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai jenis barangan dan haiwan seludup bernilai hampir RM4.2 juta dalam tempoh sebulan bermula 16 Ogos lalu.
Komander Briged Tenggara, Datuk Azizan Abu Taat memberitahu, jumlah tersebut merupakan rampasan tertinggi dalam tempoh empat bulan selepas PGA kembali mengambil alih Ops Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand.
Menurutnya, rampasan tertinggi melibatkan 501 ekor lembu bernilai RM2 juta.
“Kesemua lembu terbabit dirampas ketika cuba dibawa menyeberangi sungai termasuk yang berada di kandang kerana memasuki negara tanpa permit dan dokumen yang sah.
“Kami juga mengesan cubaan menyeludup 400 pucuk pistol replika jenis Glock yang direka menyerupai pistol sebenar seperti yang digunakan anggota keselamatan.
“Pistol ini dipercayai dijual pada harga antara RM30 hingga RM150 seunit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Surat Penghargaan kepada 40 pegawai dan anggota Batalion 8 PGA di Markas Taktikal, Lubok Stol dekat sini semalam.
‘Pengamal perubatan Islam’ ditahan ketika cuba lakukan seks ke atas pesakit
Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan Jheains pada pukul 12.30 tengah hari tadi, ketika cuba melakukan perbuatan keji tersebut yang didakwa sebahagian daripada cara rawatan, dengan seorang wanita berusia 24 tahun di rumah mangsa.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jheains Ahmad Husaini Mustafa berkata pada mulanya, suspek dari Kuala Lumpur dihubungi mangsa untuk mengubati dirinya yang menghadapi masalah mendapatkan anak.
“Apabila tiba di rumah mangsa, suspek kemudian menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk merawat mangsa dan melakukan ‘nikah batin’ iaitu menikahkan dirinya dengan wanita itu tanpa mengikut ajaran Islam yang sebenar.
Ahmad Husaini berkata dalam serbuan yang dilakukan hasil maklumat dan aduan orang ramai, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai anak itu, ditahan sebelum sempat melakukan hubungan seks dengan mangsanya.
“Kita percaya suspek bukan seorang yang pandai agama tetapi menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran hanya untuk memperdaya mangsa sebelum mengambil kesempatan ke atas mangsa,” katanya.
Beliau berkata beberapa barangan turut dirampas termasuk senaskhah Al-Quran dan sebuah kitab yang dipercayai digunakan untuk memperdaya mangsa.
Katanya, lelaki itu dipercayai sudah lama menjalankan kegiatannya, dan siasatan awal mendapati suspek telah merawat tiga wanita.
Ahmad Husaini berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana mempermainkan ayat Al-Quran; Seksyen 50 Enakmen sama kerana mencemar dan menghina Agama Islam; dan Seksyen 77 Enakmen sama kerana memikat wanita untuk melakukan niat jahat. – Bernama
Plus tambah kawasan R&R
TAIPING - Plus Malaysia Bhd. (Plus) sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk menambah bilangan kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi memenuhi keperluan pengguna lebuh raya yang semakin meningkat.Pengarah Urusan dan Ketua Pengawai Eksekutif Plus, Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata, kesemua 24 R&R sedia ada tidak lagi dapat menampung jumlah pengguna lebuh raya terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Beliau berkata, ketika ini, bilangan pengguna lebuh raya Plus adalah 1.1 juta sehari. Jumlah itu meningkat kepada 1.4 juta pada musim perayaan dan cuti sekolah.
"Pada masa ini, kita masih mengkaji lokasi strategik membina R&R yang baharu dan kita juga akan menaik taraf R&R sedia ada secara berperingkat-peringkat," katanya.
2 rumah rosak dihempap pokok
KENINGAU - Dua keluarga mengalami detik-detik cemas apabila kediaman mereka rosak teruk akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Bariawa Ulu dekat sini kelmarin.Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, hampir keseluruhan rumah kayu milik Sulaiman Yabong, 43, dan Kamsih Sahim, 42, rosak namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dua buah rumah itu masing-masing dihempap pokok getah dan pokok mangga.
Menurut Kamsih, ketika kejadian, kesemua enam anaknya yang berusia antara tiga hingga 14 tahun berada di dalam rumah namun sempat menyelamatkan diri selepas menyedari angin bertiup kencang.
Menurutnya, ahli keluarganya mungkin ditimpa nasib lebih buruk sekiranya lambat keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
"Saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga saya yang mengalami kecederaan akibat kejadian ini," katanya di sini semalam.
Pekerja Malaysia tidak disekat
KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM) menegaskan tiada sekatan dikenakan terhadap pekerja dari Sabah dan Sarawak untuk bekerja di republik itu."Kami terus meluluskan permit kerja untuk pekerja dari Sabah dan Sarawak yang didapati layak dan sesuai bekerja di Singapura," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini semalam.
Katanya, seperti negara lain termasuk Malaysia, rakyat asing diwajibkan memenuhi kriteria tertentu untuk layak bekerja di Singapura.
Kementerian itu berkata, ia mengetatkan kriteria berhubung pengambilan dan pengekalan tenaga kerja asing sejak beberapa tahun lepas untuk memperlahankan pertumbuhan tenaga kerja asing. Ia juga bagi menggalakkan pertumbuhan berasaskan produktiviti.
"Hasilnya, terdapat pekerja dari pelbagai negara lain, bukan saja dari negeri di Sabah dan Sarawak, yang mungkin tidak memenuhi kriteria serta syarat ketat yang ditetapkan untuk mereka bekerja di Singapura," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan media baru-baru ini tentang dasar baharu Singapura yang menyekat pribumi dari Sabah dan Sarawak bekerja di negara berkenaan. - Bernama
No comments:
Post a Comment