Saturday, September 15, 2012

BILA SUDAH AJAL...ALLAH TAK LEWATKAN WALAUPUN SEDIKIT...INGATLAH KITA SEMUAN MATI

Saingan baharu Universal Studios





JOHOR BAHRU - Lebih 10,000 orang membanjiri Taman Tema Legoland pertama di Asia yang dibuka secara rasmi semalam sekali gus menjadikan Johor dan Iskandar Malaysia sebagai antara hab hiburan utama di Asia.
Ribuan pengunjung berbaris menanti dengan penuh sabar seawal 7 pagi untuk memasuki taman tema yang berkeluasan 31 hektar itu yang terletak di Nusajaya dekat sini.
Keadaan itu sekali gus mencetuskan keyakinan ia bakal menjadi daya tarikan baharu pelancongan mengatasi Universal Studios di Singapura.
Ia merupakan Legoland keenam di dunia selepas Legoland Billund di Denmark, Legoland Windsor di England, Legoland California dan Legoland Florida di Amerika Syarikat serta Legoland Deutschland di Jerman.
Sebagai simbolik kepada upacara pembukaan, Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst menaiki kereta penyelamat mini Lego sambil diiringi persembahan pancaragam dan maskot yang memeriahkan lagi suasana.
"Ia merupakan saat yang begitu emosi untuk saya dan setiap orang di Legoland. Saya amat bernasib baik kerana menjadi sebahagian daripada mereka yang merasakan saat emosi seumpama itu di sini," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Khidmat bas terus ke Legoland dari Singapura



TAMAN tema Universal Studios di Singapura kini mendapat saingan baharu dengan kewujudan Taman Tema Legoland di Johor.



SINGAPURA - Warga Singapura boleh mengunjungi Legoland Malaysia yang terletak di Nusajaya, Johor menerusi perkhidmatan bas terus dari pusat bandar di sini yang disediakan mulai semalam.
Bas-bas tersebut akan bertolak dari Singapore Flyer setiap 30 minit pada waktu puncak dan tiba di Legoland dalam masa kurang daripada sejam.
Perkhidmatan itu dikendalikan oleh WTS Travel dan tambang yang dikenakan bagi laluan terus itu ialah S$20 (RM50) seorang.
Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst berkata, langkah itu bertujuan menjadikan perjalanan ke taman ini semudah mungkin terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga.
"Dengan perkhidmatan hingga ke muka pintu ini, pelawat boleh mengunjungi taman ini dengan selesa dan boleh merasa pasti bahawa perjalanan mereka kurang meletihkan," katanya.
Beliau berkata, bagi mereka yang berminat untuk memandu sendiri, taman ini mempunyai lebih 3,500 ruang parkir. - Bernama

Pengurus nafi Alyah akan lumpuh



ALYAH yang masih lemah menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Damansara di Petaling Jaya, Selangor semalam.



PETALING JAYA - Pengurus kepada Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan menafikan desas-desus kononnya penyanyi itu bakal lumpuh akibat ditimpa lampu tumpu kelmarin.
Syuib Ismail berkata, ini kerana ujian X-ray ke atas penyanyi itu semasa menjalani rawatan di Hospital Pakar KPJ Damansara di sini mendapati tulang belakang penyanyi berusia 31 tahun itu tidak cedera.
"Jadual nyanyian Alyah juga tidak terganggu kerana doktor mengesahkan keadaannya semakin pulih dan dia dibenarkan keluar dari hospital dalam masa beberapa hari lagi," katanya kepada Kosmo! Ahad di hospital berkenaan semalam.

Anak tok dalang mati terbenam



KEADAAN sebuah traktor yang menghempap Nor Azman di Kampung Palas, Jitra semalam.



JITRA – Anak lelaki kepada tok dalang wayang kulit terkenal di negeri ini maut akibat dihempap traktor yang digunakan untuk membersihkan sebuah kebun getah di Kampung Palas, Jalan Lahar di sini petang kelmarin.
Mangsa, Nor Azman Abdul Majid, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman termasuk patah pinggang.
Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika mangsa cuba menaikkan semula traktor seberat enam tan tersebut selepas ia tergelincir ke dalam sebuah parit.
Bagaimanapun, traktor milik bapa saudaranya itu terbalik ketika ia cuba naik ke tebing menyebabkan mangsa dihempap jentera tersebut.
Mangsa ditemui terbenam di dalam tanah lumpur di bawah jentera dengan stereng traktor itu menghempap dadanya.
Kejadian ngeri itu disaksikan sendiri adiknya, Shahzual Suhaili, 15, yang berada tidak jauh dari tempat kejadian. Shahzual kini trauma serta enggan menceritakan kejadian itu.
Menurut bapa mangsa, Abdul Majid Mohd. Noh, 62, dia bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan perkara itu oleh seorang saudaranya kira-kira pukul 8 malam.
“Saya pergi ke kebun getah itu dan nampak anak saya sudah tidak bernyawa di bawah traktor yang terbalik dengan empat tayarnya berada di atas.
“Usaha mengeluarkan arwah sukar dilakukan kerana traktor itu terlalu berat. Ia hanya dapat dialihkan dengan bantuan bomba yang menggunakan tiga jentolak kira-kira pukul 11 malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kunluang, Asun di sini semalam.

Pemandu lori maut tertimbus tanah runtuh



LOKASI kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa Mohd. Azharulnizam di Hulu Terengganu semalam.



HULU TERENGGANU – Seorang pemandu lori maut manakala rakannya patah tangan selepas mereka ditimbus tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Kuala Ping dekat sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.50 petang ketika mangsa, Mohd. Azharulnizam Daud, 24, dan rakannya, Muhammad Hanifah Mohd. Nawi, 19, berada berhampiran sebuah jentolak yang sedang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan itu.
Jentolak berkenaan dikendalikan oleh adik Mohd. Azharulnizam iaitu Muhamad Zuraime, 17.
Difahamkan, ketika kejadian kebanyakan pekerja sudah meninggalkan kawasan itu kerana waktu bekerja hampir tamat.
Bagaimanapun, mangsa yang masih bujang menunggu tanah dipunggah ke dalam lorinya bagi trip terakhir untuk dihantar ke sebuah projek perumahan tidak jauh dari situ.

Cubaan rompak kapal minyak gagal



KAPAL MT Scorpio (kanan) yang cuba ditawan sekumpulan perompak berlabuh bersebelahan kapal MT Sea Jade di Tanjung Piai kelmarin.



JOHOR BAHRU - Cubaan enam perompak yang datang dari perairan negara jiran dengan menaiki bot kayu untuk merompak sebuah kapal dagang di perairan Tanjung Piai, berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan petang kelmarin.
Menurut Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Adon Shalan, pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah bot kayu yang mencurigakan merapati sebuah kapal MT Scorpio yang didaftarkan di Republik Kiribati kira-kira pukul 2.15 petang.
"Kapal APMM kemudian bergegas ke lokasi kejadian iaitu 3.8 batu nautika di barat daya Tanjung Piai dan menghampiri kapal tersebut.
"Bagaimanapun, bot kayu berkenaan dalam keadaan mencurigakan tergesa-gesa dipecut meninggalkan kapal dan menuju ke perairan negara jiran," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Rumah teres dua tingkat jadi makmal dadah



MOHD. MOKHTAR (kiri) menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas di Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket memproses dadah yang beroperasi di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Harmoni di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan pukul 1.30 pagi itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Balai Polis Seri Alam merampas dadah jenis ketamin, serbuk ekstasi, eramin 5, peralatan memproses dadah serta tiga kereta jenis Mitsubishi, Honda Civic dan Perodua MyVi.
Katanya, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta.
"Mereka juga didapati menghasilkan pil ekstasi tiruan yang juga pil pelangsing dengan mencampurkan 1,950 aluminium antraks dengan serbuk ekstasi yang sangat berbahaya kepada tubuh," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Nakoula disoal pihak berkuasa AS


NAKOULA yang menutup mukanya dengan kain diiringi keluar oleh para pegawai pejabat syerif dari rumahnya di Cerritos, California semalam.



LOS ANGELES – Seorang pembikin filem, Nakoula Basseley Nakoula yang menghasilkan skrip filem menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims disoal oleh beberapa pegawai perunding cara di sebuah pejabat syerif di Cerritos sini semalam.
Beberapa pegawai persekutuan berkata, mereka menyiasat aktiviti Nakoula, 55, yang sebelum ini didapati bersalah melakukan jenayah kewangan.
Nakoula yang mengaku dia membocorkan sebahagian filem itu bagaimanapun tidak ditangkap.
Lelaki itu disoal oleh pegawai perunding cara tersebut kerana dia telah dibebaskan secara bersyarat pada Jun 2011 selepas menjalani hukuman penjara selama 21 bulan.
Dia didapati bersalah menipu bank dengan menggunakan identiti palsu dengan membuka 600 akaun bank.
Berdasarkan syarat pembebasannya, Nakoula tidak dibenarkan untuk menggunakan komputer serta internet selama lima tahun tanpa kebenaran daripada para pegawai perunding cara.
Hakim mungkin mengarahkan dia kembali dipenjarakan kerana melanggar syarat pembebasannya itu.
Nakoula yang merupakan penganut Kristian Koptik berketurunan Mesir menutup muka dengan kain semasa dia menaiki sebuah kereta bersama beberapa pegawai daripada pejabat syerif dari rumahnya.
Dia dibawa ke pejabat syerif di sini.
Seorang timbalan syerif, Don Walker berkata, Nakoula pergi ke pejabat tersebut secara sukarela.
Nakoula memberitahu agensi berita AP bahawa dia merupakan pengurus logistik untuk filem itu.
Keganasan akibat penyiaran sebahagian filem itu di laman YouTube telah menyebabkan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Chris Stevens terbunuh di Libya pada Selasa lalu.
Di bandar Tripoli, Lebanon kelmarin, seorang penunjuk perasaaan terbunuh selepas pertempuran berlaku antara kumpulan penunjuk perasaan dengan polis.
Keganasan itu menyebabkan Ketua Gereja Roman Katolik, Pope Benedict XVI yang berada di Lebanon meminta penduduk Kristian, Yahudi dan Islam melakukan perdamaian.
Tunjuk perasaan bagi membantah filem tersebut juga menyebabkan Kedutaan Jerman di Khartoum, Sudan diceroboh dan sebahagian bangunan dibakar.
Seramai tiga orang mati semasa Kedutaan Jerman dan Britain di Khartoum diserbu para penunjuk perasaan.
Para penunjuk perasaan turut berhimpun bagi membantah filem berkenaan di beberapa negara lain di depan Kedutaan AS.
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan filem itu dihasilkan oleh sebuah kumpulan agama Kristian di AS yang dikenali sebagai Media for Christ.
Agensi berita itu melaporkan filem tersebut diarahkan oleh seorang pengarah filem lucah, Alan Roberts yang berusia 65 tahun.
Roberts pernah mengarahkan filem lucah seperti Young Lady Chatterley II.

Filem bajet rendah itu yang mana para pelakonnya bertutur dengan menggunakan loghat AS, menampilkan orang Islam sebagai tidak bermoral dan ganas.
Ia memperlekehkan Nabi Muhammad dan menyentuh tentang tema homoseks serta fidofilia.
Filem tersebut menunjukkan Nabi Muhammad tidur bersama beberapa wanita, bercakap mengenai pembunuhan kanak-kanak dan merujuk keldai sebagai “haiwan Islam yang pertama”. – Agensi

Psy rayu datuk bandar ambil semula pekerja dipecat

LOS ANGELES – Penyanyi rap dari Korea Selatan yang kini terkenal dengan tarian kuda, Psy meminta supaya 13 anggota penyelamat di sebuah kolam renang di bandar El Monte yang dipecat diambil semula bekerja, lapor akhbar Los Angeles Times kelmarin.
Semua anggota penyelamat itu dipecat kerana mereka menari tarian kuda berdasarkan muzik video Gangnam Style yang dipopularkan Psy.
Salah seorang anggota penyelamat itu yang dipecat, Michael Roa menyunting dan menghantar klip video yang menunjukkan mereka menari tarian kuda tersebut ke laman YouTube.
Pihak pentadbir kolam itu menyatakan 13 anggota penyelamat tersebut dipecat kerana mereka menggunakan pakaian dan kolam renang awam milik pihak pentadbiran bandar El Monte ketika menghasilkan video tersebut.
Psy membuat rayuan kepada Datuk Bandar El Monte, Andre Quintero dengan berkata: “Saya merayu anda tidak pecat (mereka), tolonglah.”
Menurut Psy, anggota-anggota penyelamat itu berkongsi kebudayaan dengan mempersembahkan tarian tersebut.
Sementara itu, muzik video Gangnam Style yang menunjukkan Psy menari tarian tersebut telah ditonton lebih 175 juta kali sejak dimuat naik pada Julai lalu.
– Agensi

Empat renjer terbunuh di selatan Thai

BANGKOK – Empat renjer ditembak mati dan mayat mereka dibakar dalam satu serangan hendap oleh para pemberontak di Muang, Yala semalam.
Ketua Polis Muang, Kolonel Akharin Busaman berkata, semua anggota renjer itu dalam perjalanan ke pekan Yala dengan menaiki sebuah pikap apabila mereka diserang hendap lima pemberontak di Satengnok, Muang pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan.
Polis menemui 100 butir kelongsong peluru M16, AK47, senapang dan pistol di lokasi kejadian.
“Selepas kejadian tembak-menembak berakhir, pemberontak membakar pikap dan mayat keempat-empat mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, seorang individu yang disyaki pemberontak ditembak mati ketika terbabit dalam satu pertempuran bersenjata dengan pihak berkuasa di Kampung Bangtan, Bangkhao, Nongchik, Pattani pada pukul 7.30 malam kelmarin.
Ketua Polis Nongchik, Kolonel Akom Bautong berkata, bertindak atas satu maklumat, sekumpulan askar mengepung sebuah rumah di kampung itu dan berlaku kejadian berbalas tembakan kira-kira 10 minit antara pihak berkuasa dengan individu tersebut yang turut mempunyai waran tangkap terhadapnya.
Beliau berkata, seorang anggota tentera cedera dalam kejadian itu.
Lebih 5,000 orang maut sejak puak yang disyaki kumpulan pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka bagi memperjuang kemerdekaan tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala sejak lapan tahun lepas. – Bernama

No comments:

Post a Comment