Siti kena tempias Gangnam Style
![]()
PETIKAN klip video parodi Gangnam Style Siti Nurhaliza di YouTube.
|
KUALA LUMPUR - Fenomena lagu dan tarian Gangnam Style yang dipopularkan penyanyi Korea Selatan, Psy kini menular ke Malaysia dan ia turut membabitkan penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza.
Selepas banyak parodi lagu tersebut dibuat, kini sebuah parodi Gangnam Style Datuk Siti Nurhaliza pula sedang mendapat perhatian di YouTube. Parodi ialah karya seni yang meniru gaya pencipta lain dengan cara yang melucukan.
Klip video parodi dengan durasi lebih empat minit tersebut dihasilkan sekumpulan peminat fanatik Siti Nurhaliza yang dikenali sebagai Sitizoner.
Ia menampilkan kompilasi klip video persembahan Siti Nurhaliza dari zaman muda sehingga terkini dengan variasi lagu pop, balada dan irama asli daripada penyanyi berusia 34 tahun tersebut.
Mengulas tentang klip video Gangnam Style versi penyanyi itu yang dihasilkan peminatnya, Siti Nurhaliza menyifatkan penghasilan parodi itu sebagai sesuatu yang sangat kreatif.

george Soros bersama tunangnya, Tamiko Bolton di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
NILAI – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amerika Syarikat (AS) adalah antara penyumbang dana terbesar kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan spekulator mata wang terkenal George Soros.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar kecil) berkata, siasatan masih di peringkat awal untuk memastikan penglibatan individu itu yang digelar penyangak mata wang ketika krisis ekonomi di Asia Tenggara pada 1997 dan 1998.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama NGO berkenaan.
Ismail Sabri berkata, siasatan awal mendapati ada bukti berdasarkan dokumen perjanjian kedua-dua pihak dan pihaknya mendapati NGO terbabit salah satu daripada dua NGO berpangkalan di AS yang menjadi penyumbang dana terbesar Suaram.
“Mengikut maklumat, NGO itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Soros berdasarkan dokumen dan e-mel antara kedua-dua pihak,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Rasah di Politeknik Nilai di sini semalam.
DARI BLOG TRANGANUKITE
Posting Terkini Borak TKO
pr bakal tewas pru13
Unisel rugi RM54.8 juta

NOH (dua dari kanan) menunjukkan
Laporan Audit Unisel bagi tahun 2009-2010 pada sidang akhbar di Tanjong
Karang semalam. Turut kelihatan Hishammuddin (kanan).
TANJONG KARANG – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Universiti Selangor (Unisel) mencatatkan kerugian selepas cukai berjumlah kira-kira RM54.8 juta sejak kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor pada 2008.
Menurut beliau, berdasarkan salinan Laporan Audit Unisel bagi tahun 2009-2010, universiti milik kerajaan Selangor itu menunjukkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.63 juta pada tahun 2008, RM13.55 juta (2009) dan RM39.68 juta pada tahun 2010.
Laporan itu didakwa ditandatangani oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 27 Ogos 2011.
Noh juga mendakwa, Unisel mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM94.40 juta pada tahun 2008, RM93.51 juta (2009) dan jumlah itu menurun kepada RM75.48 juta bagi tahun 2010.
Mayat terbaring dalam kereta

MAYAT seorang lelaki ditemui dalam
kereta BMW dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan di kepala
kiri dipercayai akibat dihentak dengan objek keras di Bangi semalam.
BANGI – Rasa ingin tahu seorang lelaki mengenai kehadiran sebuah kereta mewah jenis BMW yang tidak bergerak-gerak di kawasan pembuangan sampah di Jalan Mahkota 1, Batu 5 1/2 di sini membawa penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai menjadi mangsa bunuh semalam.
Mayat Won Sin Keong, 42, dari Batu 9 Cheras ditemui dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dengan memakai seluar jean dan baju T berwarna hitam. Mangsa telah berkahwin.
Mengimbau semula kejadian itu, lelaki yang enggan dikenali itu memberitahu, dia menyedari kewujudan kereta tersebut ketika dia dan ahli keluarganya keluar rumah untuk bersarapan di kedai berhampiran pada pukul 7 pagi.
Katanya, ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai bersarapan kira-kira 45 minit kemudian, dia terus berhenti selepas melihat kereta yang masih berada di situ untuk mengetahui apa yang terjadi.
35 penumpang nyaris maut

ORANG ramai melihat keadaan bas sekolah yang remuk selepas terhumban ke dalam longkang di Lubok Antu semalam.
LUBOK ANTU - Seramai 35 peserta rombongan dari Jabatan Laut Sarawak termasuk dua pemandu nyaris maut selepas bas yang mereka naiki terbabas sebelum terhumban ke dalam longkang di Kilometer 42 Jalan Sri Aman-Sarikei di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, seramai 24 mangsa hanya mengalami cedera ringan manakala 11 lagi penumpang tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan James Jonathan berkata, sebelum kejadian, bas sekolah yang dinaiki oleh rombongan itu dalam perjalanan menghala ke Kuching dari Miri.
Menurutnya, rombongan tersebut adalah peserta yang terbabit dengan perhimpunan sempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-91, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Muhammad Abang Salahuddin Abang Barieng di Miri pagi kelmarin.
Sekolah pondok terbakar lagi

PARA pelajar Maahad Tahfiz As-Syifa'
bergegas menyelamatkan barang-barang sebaik dimaklumkan asrama mereka
terbakar dalam kejadian di Kampung Kolam, Kuala Ibai semalam.
KUALA TERENGGANU – Sebuah sekolah pondok, Maahad Tahfiz As-Syifa’ di Kampung Kolam, Kuala Ibai yang menempatkan 50 pelajar sekali lagi terbakar selepas insiden sama berlaku awal tahun lalu.
Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang semalam berlaku ketika semua pelajar sekolah itu sedang menunaikan solat Zuhur di masjid berhampiran sebelum salah satu bilik tidur besar yang merupakan asrama di tingkat tiga bangunan itu terbakar.
Pengetua sekolah berkenaan, Ahmad Syaifudin Ibrahim, 34, memberitahu, kebakaran dipercayai berpunca apabila pelajar terlupa menutup seterika sebelum turun untuk solat berjemaah.
“Bagaimanapun kami bernasib baik kerana kebakaran cepat disedari dan orang kampung membantu memadamkan kebakaran sebelum bomba tiba,” katanya ketika ditemui semalam.
250 dikerah tolak motosikal

SEBAHAGIAN daripada 250 pelesit
rempit dikerah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer
selepas ditahan dalam satu operasi di George Town semalam.
GEORGE TOWN – Perbuatan 250 pelesit rempit termasuk 22 pelajar sekolah yang menjadikan jalan raya sebagai litar untuk melakukan aksi berbahaya dan berlumba haram berbalas apabila mereka ditahan polis sebelum dikerah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer.
Pelesit rempit berusia antara 16 hingga 30-an tersebut dipaksa menolak kenderaan itu dari Bukit Gambir ke Pengkalan Marin Batu Uban di sini sebagai ‘hukuman’ awal atas tindakan mereka yang bagaikan mencabar pihak berkuasa.
Daripada jumlah itu, 150 merupakan penunggang manakala 100 lagi pembonceng terdiri daripada lelaki dan wanita.
Selain polis, ‘Ops Samseng Jalanan’ yang bermula pukul 12 tengah malam itu turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Aziz Wan Husin berkata, operasi tersebut dianggap berjaya kerana perancangan rapi mereka untuk melakukan sekatan jalan di kedua-dua arah dapat memerangkap pelesit rempit tersebut.
Etnik Rohingya enggan pulang

KERATAN Kosmo! 8 Ogos 2012.
KUALA TERENGGANU – Rata-rata pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada etnik Rohingya yang ditahan di Depoh Tahanan Ajil di Hulu Terengganu meluahkan rasa bimbang bahawa mereka bakal menempah kematian jika pihak berkuasa menghantar mereka pulang ke Myanmar.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Azhar Abd. Hamid (gambar kecil) semasa mendedahkan perkara itu berkata, kebanyakan mereka enggan dihantar pulang ke negara asal malah memberitahu ‘pulang bererti mati’.
Katanya, PATI tersebut mendakwa mereka masuk ke negara ini secara haram bukan semata-mata untuk mencari pekerjaan tetapi melarikan diri ekoran krisis keganasan kaum dan agama di negara tersebut.
“Walaupun kasihan dengan nasib mereka, namun mengikut undang-undang negara, mereka tetap perlu dihantar semula ke negara asal selepas semua proses untuk menghantar mereka pulang selesai.
“Tetapi jika bernasib baik, warga Myanmar itu akan diberi status pelarian jika mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR),” katanya.
Beliau ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri jabatan itu di Wisma Persekutuan di sini semalam.
Mana laporan kematian anak?

OMAR menunjukkan buku rekod kesihatan pemeriksaan isterinya di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri melahirkan rasa kecewa kerana masih tidak mendapat laporan penuh mengenai punca sebenar kematian bayi mereka daripada pihak Hospital Ampang walaupun mereka telah berusaha untuk mendapatkannya sejak lebih lima bulan lalu.
Bapa bayi malang terbabit, Omar Zaid, 27, mendakwa, pihak pengurusan hospital itu seolah-olah mengambil sikap acuh tidak acuh berhubung permintaannya untuk mendapatkan laporan kematian anak keduanya, Cinta Nur Eman Omar yang meninggal dunia dua hari selepas dilahirkan pada 31 Mac lalu.
“Saya cuma dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa kematiannya berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-paru disebabkan bayi saya dilahirkan lewat tujuh hari daripada tarikh jangkaan.
“Doktor menjelaskan terdapat kemungkinan bayi kami termakan najis sendiri pada tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Puting beliung landa pantai New York
![]()
SEORANG lagi penduduk, Joey Mure merakamkan gambar puting beliung di Breezy Point.
|
NEW YORK - Dua puting beliung melanda pantai di pinggir bandar raya ini kelmarin menyebabkan bekalan elektrik terputus di sebuah kawasan.
Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan apabila puting beliung tersebut melanda sebuah kawasan perumahan di tepi pantai.
Satu lagi puting beliung berlaku 20 minit kemudian.
Beberapa orang sempat merakamkan imej puting beliung itu.
"Saya sedang menunjukkan video (yang dirakamkan menerusi telefon bimbit) tentang puting beliung kepada seorang anak lelaki saya berusia empat tahun. Dua minit kemudian puting beliung melanda," kata seorang penduduk di kawasan Breezy Point, Peter Maloney.
Sebahagian atap bangunan rosak akibat puting beliung tersebut.
Seorang penduduk dilaporkan mengalami kecederaan ringan semasa pentas runtuh pada Festival Rosslyn Jaz di daerah Arlington, Virginia. - Agensi
Dua mati di selatan Thailand

BEBERAPA pegawai polis mengangkat mayat lelaki Islam yang dibunuh di daerah Rangea, Narathiwat semalam.
NARATHIWAT - Sekumpulan lelaki bersenjata membunuh seorang penduduk Islam dan remaja di selatan Thailand semalam, kata polis.
Mangsa yang terbunuh itu berusia 27 tahun dan 17 tahun ditemui dengan tangan mereka diikat.
Kesan tembakan terdapat di kepala mereka.
Kejadian tersebut berlaku di Narathiwat yang merupakan salah satu daripada tiga wilayah di selatan Thailand.
Polis menyatakan kejadian tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan konflik berkaitan dadah selain gerakan gerila pemisah.
Pada kejadian berasingan, seorang budak berusia sembilan tahun terpijak bom di tepi jalan semasa dia berjalan ke rumah dari sebuah kedai bersama dua rakannya.
Letupan tersebut menyebabkan kaki kiri budak tersebut putus.
Seorang lagi kanak-kanak yang berusia sembilan tahun juga cedera.
Ribuan orang terbunuh sejak gerila pemisah melancarkan serangan di wilayah selatan Thai pada tahun 2004. - Agensi
Pertandingan tebang batang pokok
![]() |
SEORANG peserta menunjukkan
kemahirannya pada pertandingan akhir Kejohanan Dunia Menebang Batang
Pokok Stihl di Lillehammer kelmarin.
|
LILLEHAMMER, Norway - Lebih 100 peserta mengambil bahagian pada pertandingan akhir Kejohanan Dunia Menebang Batang Pokok Stihl di sini kelmarin.
Para peserta dari 24 buah negara itu menunjukkan kemahiran mereka menebang batang pokok dengan menggunakan kapak dan gergaji rantai. - Agensi
Menara Lego tertinggi di dunia

KREN digunakan untuk menyiapkan menara Lego itu.
PRAGUE, Republik Czech - Sebuah menara yang diperbuat daripada bongkah kecil Lego dibina oleh sejumlah peminat permainan itu di sini kelmarin.
Menara itu setinggi 32.5 meter sekali gus mencipta rekod dunia mengatasi ketinggian binaan yang sama di Britain.
Ketinggian binaan di Winsdor, Britain pada 6 Julai lalu itu kurang 30 sentimeter daripada yang terdapat di sini.
Pembinaan menara itu bermula pada Khamis lalu.
Bongkah kecil yang paling tinggi itu diletakkan oleh pemenang pingat emas dari Republik Czech acara mendayung di Sukan Olimpik London pada Ogos lalu, Miroslava Knapkova.
"Saya bermain pemainan Lego semasa kanak-kanak apabila bapa saya membawanya pulang ke rumah dari luar negara," katanya.
Sebanyak setengah juta bongkah Lego digunakan untuk membina menara tersebut. - Agensi
No comments:
Post a Comment