Mangsa sesat maut dipatuk ular
15 September 2012
Kejadian itu dimaklumkan salah seorang rakan mangsa menerusi sistem radio amatur yang digunakan kumpulan terbabit.
Kelima-lima mangsa yang dikatakan berasal dari Selangor itu tidak sempat menyampaikan maklumat lengkap mengenai kedudukan dan identiti mereka setelah sistem radio yang digunakan itu tidak dapat berfungsi.
Keadaan itu mengakibatkan komunikasi antara kumpulan berkenaan dengan pengguna radio amatur lain terputus seterusnya menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, kejadian itu disedari setelah kumpulan berkenaan memancarkan isyarat kecemasan menerusi radio amatur mereka pada jam 10 malam kelmarin.
Menurutnya, isyarat itu diterima pengguna radio amatur seluruh Semenanjung Malaysia sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa di sini, termasuk penduduk kampung.
“Kali terakhir kumpulan itu dihubungi pada jam 7 pagi semalam. Salah seorang rakan kumpulan itu sempat memaklumkan mereka berada di kawasan cerun dan seorang rakan mereka meninggal dunia akibat dipatuk ular dan seorang lagi sedang tenat,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, kumpulan radio amatur di sini cuba dapatkan maklumat lengkap mengenai kumpulan itu, tetapi tidak berhasil setelah radio yang digunakan kumpulan itu tidak berfungsi.
“Justeru, kita tidak mengetahui berapa lama mereka berada di dalam hutan berkenaan, termasuk maklumat ahli keluarga mereka.
“Polis juga tidak terima laporan perjalanan ke hutan oleh kumpulan terbabit sebelum ini dan menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan maklumat dan menjalankan siasatan,” katanya.
Lancar operasi menyelamat
Mat Daud berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan awam, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) termasuk penduduk kampung dan pertubuhan sukarelawan dilancarkan pada jam 3 pagi sehingga 7 pagi semalam.
Operasi yang diteruskan pada jam 9 pagi itu tidak menemukan sebarang petanda mahupun jejak kumpulan berkenaan.
Menurutnya, penduduk yang berpengalaman di dalam hutan juga tidak menemukan sebarang jejak walaupun telah mencari sejauh tiga kilometer di dalam hutan tersebut.
“Namun begitu, anggota yang terlibat masih lagi berjaga di pekarangan Lata Bayu sehingga jam 6 petang ini (semalam). Setakat ini, kita masih menunggu maklumat lengkap terutama laporan polis oleh ahli keluarga kumpulan tersebut.
“Laporan berkenaan sedikit sebanyak dapat mengesahkan kejadian itu benar-benar berlaku ataupun hanya penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Terdapat beberapa penduduk yang mendakwa ternampak kelibat salah seorang lelaki yang melambai ke arah mereka ketika operasi menyelamat dilakukan.
Penduduk yang hanya mahu dikenali Mat berkata, terdapat seorang mangsa yang tidak berbaju dan berseluar pendek melambai ke arah kumpulan penyelamat awal pagi semalam.
Menurutnya, dia bersama rakan-rakannya memberikan salam dan melaungkan azan ke arah lelaki berkenaan yang berada 50 meter dari kedudukan mereka.
“Salam kami dibalas, malah lelaki itu turut melaungkan azan. Jadi, saya dan rakan-rakan pun bergerak ke arah lelaki berkenaan kerana yakin lelaki itu adalah salah seorang mangsa yang sesat dalam hutan itu.
“Namun, setelah sampai ke lokasi lelaki tersebut, lelaki itu hilang tanpa sebarang jejak,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, kejadian itu tidak melemahkan semangatnya kerana ia merupakan kejadian yang sering berlaku dalam hutan.
“Kita akan meneruskan operasi mencari kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk berlaku kepada kumpulan tersebut,” katanya.
Mat berkata, kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan itu turut menimbulkan beberapa persoalan dalam kalangan penduduk setempat, termasuk pasukan penyelamat.
“Kami tidak ada maklumat lengkap dan sahih mengenai kejadian ini. Ia hanya berdasarkan maklumat menerusi sistem radio. Namun, kita akan terus mencari sehinggalah mendapat kata putus daripada pihak berkuasa,” katanya.
Bacile cetus amarah umat Islam di seluruh dunia
15 September 2012
Filem menghina Islam dan mempersendakan Nabi Muhammad SAW itu mendorong massa dan umat Islam di Libya dan Mesir menyerbu kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Di Libya, sekumpulan rakyatnya menyerang konsulat AS di Benghazi hingga menyebabkan kematian Duta Besar AS ke Libya, J Christopher.
Seorang lelaki bernama Sam Bacile mengaku mengarah dan menerbitkan filem berbajet murah itu.
Bacile juga menyatakan dia warga California, berketurunan Israel.
Ketika diwawancara Associated Press (AP), Bacile menyatakan "Islam adalah kanser".
Media di AS mengatakan Sam Bacile bukanlah nama sebenar pengarah filem itu. Dia juga bukan berketurunan Israel. Tidak diketahui identiti sebenarnya. Ada juga dakwaan, dia berketurunan Arab Kristian.
Menurutnya ketika diwawancara, Bacile mendakwa usianya 56 tahun, tetapi kepada Wall Street Journal, dia mendakwa berusia 52 tahun.
Namun, berbeza jika melihat profilnya di akaun YouTube, di mana dia berkata berusia 75 tahun.
“Saya pernah bertemu dengannya dua kali. Dia bukan warga Israel. dan sedang bersembunyi,” kata Steve Klein, seorang anggota kumpulan Kristian anti–Islam yang mengaku membantu pembuatan filem itu.
Menurutnya, pembikinan filem itu dibantu oleh bangsa Arab yang berhijrah ke AS, termasuk dua kumpulan dikenali sebagai anti-Islam.
Pastor kontroversi dari Florida, yang pernah mencetuskan rusuhan pada 2010 kerana membakar kitab suci al-Quran, Terry Jones, mengatakan dia pernah dihubungi untuk menyebarkan filem itu.
"Orang yang turut serta dalam pembikinan filem itu adalah mereka yang melarikan diri dari negaranya. Tiada yang istimewa dengan krew penerbitan itu. Mereka adalah warga AS berasal dari Syria, Turki, Pakistan dan beberapa lagi dari Mesir. Antaranya penganut Kristian Koptik dan umumnya adalah Evangelis," kata Klein.
Menurutnya, dia berjanji membantu Bacile menerbitkan filem itu, tetapi memberi amaran kepadanya dengan berkata: “Awak bakal menjadi Theo van Gogh yang seterusnya”.
Van Gogh merupakan seorang pengarah Belanda yang dibunuh ekstremis Islam pada 2004, selepas menerbitkan filem yang mencemar kesucian Islam sehingga membangkitkan kemarahan umat Islam dunia.
“Saya sudah jangkakan perkara seperti ini akan berlaku," kata Klein.
Filem itu dihasilkan selama tiga bulan tahu lalu, melibatkan 59 pelakon dan 45 krew produksi.
Filem tersebut pertama kali muncul di Mesir. Individu menyebarkan filem itu di Mesir adalah Morris Sadek, Ketua Dewan Nasional Koptik AS, kumpulan Kristian Mesir yang berpusat di AS termasuk mengaku sebarkan filem itu di negara asalnya.
Bercakap kepada pemberita di lokasi rahsia, Bacile tanpa berselindung menyatakan, filem itu dibikin dengan tujuan mengutuk Islam.
“Filem itu menelan belanja A$5 juta (RM15.3 juta), dana diperoleh daripada 100 kumpulan Yahudi di AS. Kerajaan AS banyak duit, sebab itu hantar orang berperang di Iraq dan Afghanistan tetapi saya berperang dengan idea,” katanya.
Walaupun Bacile berasa kesal dengan insiden kematian duta negara itu dia menyalahkan pihak kedutaan di Libya yang tidak mengetatkan kawalan keselamatan.
Bacile kini, sukar ditemui. Dia dipercayai bersembunyi setelah menyedari tindak balas yang semakin merebak di seluruh dunia turut mengancam nyawanya, sebagaimana yang pernah dilalui penulis kontroversi India, Salman Rushdie, 20 tahun.
Berbanding Rushdie yang jelas identitinya, siapakah Bacile yang sebenar masih menjadi rahsia.
5 maut, protes Islam sasar Jerman dan UK
14 September 2012
Serangan ke atas kedutaan Barat juga disaksikan di Tunisia. Di Tunis, asap kelihatan di kawasan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Tiga orang terbunuh di Tunisia, seorang di Khartoum dan seorang lagi di Lubnan.
Perkembangan ini menunjukkan kali pertama, sejak Selasa lalu, kedutaan bukan AS diserang. Kedutaan AS menjadi tumpuan penunjuk perasaan sejak awal minggu ini.
Tunjuk perasaan yang bermula Selasa lalu berlarutan di beberapa negara di rantau Timur Tengah dan Utara Afrika.
Tunjuk perasaan juga diadakan di beberapa lokasi di Malaysia, anjuran badan-badan bukan kerajaan dan parti politik.
Protes bermula Selasa lalu ekoran pengeluaran filem Innocence of Muslims. Bagaimanapun identiti penerbit dan pengarah serta motif mereka masih misteri.
Protes tercetus ketika AS mengadakan majlis ulang tahun ke-11 memperingati serangan 11 September.
Selasa lalu, Duta AS ke Libya dan tiga yang lain terbunuh di Benghazi.
Di Khartoum, penunjuk perasaan memasuki kawasan premis Kedutaan AS.
Laporan BBC menyebut penunjuk perasaan membakar dan menurunkan bendera Jerman, dan menaikkan kain rentang dibawa mereka.
Di Kaherah, polis Mesir melepaskan tembakan gas ke arah 500 penunjuk perasaan dalam usaha meleraikan mereka dari kawasan protes di pekarangan Kedutaan AS. Serangan juga disaksikan di Sanaa, ibu negara Yaman.
Seorang dilaporkan terbunuh di Lubnan.
Presiden Mesir, Mohammad Mursi menggesa penunjuk perasaan agar bertenang.
Jalan-jalan utama di Kaherah dikenakan sekatan menggunakan dawai berduri, konkrit dan kenderaan polis.
Liga Muslim mahu AS ambil tindakan
14 September 2012
Presidenya, Datuk Najmudeen Kadir berkata, filem yang dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile dan trailer filem itu juga dimuat naik dalam laman YouTube pada 2 Julai 2012, mencetuskan provokasi melampau sehingga menyebabkan kekecohan berlaku di beberapa negara termasuk menyebabkan kematian.
Beliau berkata, tindakan melampau penerbitan filem itu boleh mencemar hubungan serta toleransi antara agama dan ia harus dihentikan serta-merta.
“Kami menggesa pihak berkuasa AS menahan dan mengheret kesemua yang terlibat dalam filem itu untuk memohon maaf di atas provokasi liar yang biadap itu.
“Kerajaan AS juga harus mengetatkan undang-undang dengan tidak membiarkan rakyatnya sewenang-wenangnya menghina agama lain sehingga mencetuskan provokasi melampau,” katanya pada perhimpunan aman yang diadakan di luar Masjid Kapitan Keling selepas solat Jumaat, hari ini.
Kira-kira 100 orang berhimpun membantah filem arahan Sam Bacile.
Sementara itu, Najmudeen menggesa YouTube menyekat tayangan trailer filem berkenaan.
Beliau akan menghantar memorandum kepadaKedutaan AS dalam masa terdekat bagi membantah penerbitan filem berkenaan.
“Kita berharap kejadian menghina agama ini tidak akan berulang lagi,” katanya.
20 pelajar melecur akibat letupan ketika jamuan Aidilfitri
15 September 2012
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi semalam, tiga pelajar melecur teruk.
Kejadian berlaku apabila 20 pelajar lelaki sekolah itu yang berusia 16 dan 17 tahun, dikatakan sedang sibuk menyediakan makanan untuk jamuan Aidilfitri di sekolah mereka sebelum alat barbeku yang digunakan meletup.
Salah seorang mangsa, Mohd Hidayat Mohd Yazid, 16, berkata, dia dan rakannya sedang menghidupkan api sebelum didatangai seorang guru lelaki sekolah mereka yang mencadangkan agar api dihidupkan menggunakan 'thinner' bagi mempercepatkan api dinyalakan.
"Saya lihat kali pertama 'thinner' dicurahkan ia menyambar dengan kuat dan kami amat terkejut sebelum guru kami mencurahkan untuk kali kedua dan berlaku satu letupan kuat.
"Letupan kuat itu menyebabkan tiga pelajar termasuk saya melecur teruk. Guru terbabit juga melecur," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tun Razak di sini.
Tiga pelajar yang melecur teruk itu telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini oleh guru-guru di sekolah berkenaan.
Mohd Hidayat melecur teruk di kaki serta tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan bersama-sama dengan guru terbabit, manakala tiga rakannya di masukkan ke hospital tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Mulia, Mohd Hanim Tahir berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak sekolah yang tidak melakukan pemantauan rapi semasa aktiviti barbeku dilakukan.
"Saya cukup kesal dengan tindakan pihak sekolah yang lepas tangan selepas kejadian itu dan tiada permohonan maaf dilakukan pihak sekolah setakat ini. Jadi saya minta pihak sekolah perlu bertanggungjawab di atas kejadian yang menimpa anak murid mereka," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abd Rahim Hamzah mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan kes itu sedang dijalankan. - Bernama
RM10,000 bawah tilam hangus
14 September 2012
Mohd Noor Zainol, 65, berkata, wang itu dikeluarkannya dari sebuah bank minggu lalu bagi memudahkannya dari berulang-alik mengeluarkan wang setiap kali diminta anak bongsunya yang belajar di sebuah universiti di Pulau Pinang di sini.
Menurutnya, wang yang disimpan di bawah tilam dalam bilik atas rumahnya di Kampung Permatang Bertam di sini itu gagal diselamatkan ketika kediamannya terbakar pada jam 4.15 petang, kelmarin.
“Ketika kejadian saya bersama isteri, Noriah Abu Bakar, 60, berehat di bahagian luar rumah sementara menantikan waktu solat Asar dan terhidu bau benda terbakar sejurus selepas itu.
“Isteri saya kemudiannya bergegas untuk melihat apa yang berlaku sementara saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana mengalami masalah sakit lutut,” katanya.
Bekas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) itu berkata, sebaik isterinya cuba memasuki rumah separuh papan dan batu itu, asap tebal mula memenuhi seluruh ruang rumah.
“Saya mengarahkan isteri tidak meneruskan usahanya memasuki rumah kerana bimbangkan keselamatan dirinya dan dalam masa sama menjerit meminta pertolongan.
“Hanya lebih kurang lima minit sahaja rumah yang diduduki selama lebih 50 tahun itu musnah bersama wang tunai, peralatan rumah dan segala dokumen penting milik kami,” katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang.
Rumah itu diduduki Mohd Noor bersama isteri selepas tujuh anaknya yang sudah berkahwin tinggal di luar daerah, manakala anak perempuan bongsunya yang masih belajar itu akan pulang menjenguk mereka seminggu sekali.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Aziz Yusuf berkata, tiga jentera bersama 16 anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira jam 4.16 petang, kelmarin.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, api marak 90 peratus dan pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke beberapa rumah berdekatan.
Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca dari bilik bawah rumah itu dan jumlah kerugian setakat ini dianggarkan kira-kira RM70,000.
'Punca kebakaran masih disiasat dan tidak menolak ia kemungkinan berpunca dari litar pintas, bagaimanapun punca sebenar hanya akan diketahui selepas siasatan menyeluruh dilakukan oleh Unit Forensik Kebakaran jabatan, " katanya.
Sementara itu, kejadian terbabit mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Utara, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam, Zabariah Abdul
Wahab yang mengunjunginya sambil menghulurkan bantuan segera meringankan beban.
Pelajar 15 tahun ditahan berasmara di belakang sekolah
14 September 2012
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis menerima aduan dari orang awam sebelum menahan pasangan terlibat.
Ketika pemeriksaan dijalankan, polis mendapati pelajar perempuan sudah membuka tudung dan berkelakuan sumbang bersama teman lelakinya.
“Lelaki tidak bekerja dan tinggal bersama abangnya di sebuah taman perumahan di sini. Polis menasihati pasangan itu untuk tidak mengulangi perlakuan yang dilakukan sebelum mengarahkan mereka beredar,” katanya.
Tidak berakhir di situ, mereka kemudiannya ke rumah lelaki berkenaan dengan harapan selamat dari gangguan pihak berkuasa
Bagaimanapun, perbuatan mereka disedari penduduk dan memaklumkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) untuk membuat serbuan.
Ketika serbuan, pasangan perempuan cuba menyembunyikan diri dalam almari baju gagal mengaburi mata pihak berkuasa.
Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan dan ditahan untuk dirakamkan keterangan.
Ghuzlan menasihatkan ibu bapa supaya bersikap lebih peka terhadap pergerakan anak-anak mereka dan jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab.
Katanya, semakin ramai pelajar perempuan ditahan kerana berkelakuan sumbang.
“Minggu ini sahaja, empat pelajar sekolah terdiri dari dua pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan berusia di antara 16 hingga 17 tahun ditahan polis bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) ketika membuat rondaan cegah jenayah.
"Mereka ditahan ketika berkelakuan sumbang di taman permainan di sini kira-kira jam 1 pagi.
"Dari soal siasat, pasangan itu mengaku ingin melakukan hubungan terlarang di taman permainan di mana mereka ditahan,” katanya.
Anak terpaksa pinjam ah long
14 September 2012
Logasilan Permal, 28, berkata, dia terpaksa membuat pinjaman tersebut bagi membolehkannya melangsaikan perbelanjaan kos rawatan bapanya, Permal Sengalrayan, 61, yang terlantar di hospital sejak tiga minggu lalu.
Menurutnya, kira-kira jam 12 tengah hari pada hari kejadian, bapanya yang menaiki motosikal jenis Honda C60 terlanggar lintangan dawai di bawah khemah berhadapan sebuah pasar raya sehingga menyebabkan berlaku kereta-kan tulang belakang.
“Walaupun pinjaman tersebut dibuat, ia masih tidak dapat menampung perbelanjaan rawatan bapa di hospital.
“Saya buat pinjaman ah long RM4,000 dan selebihnya daripada rakan-rakan yang faham keadaan sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pinjaman tersebut sekadar menjelaskan pembiayaan pertama di hospital, tetapi masih ada rawatan susulan menelan kos perbelanjaan hampir RM30,000.
Logasilan berkata, ia disebabkan tulang belakang mengawal saraf tunjang bapanya tidak berfungsi menyebabkan pembedahan susulan perlu dijalankan.
“Memandangkan saya tidak bekerja, perkara ini menyukarkan saya untuk menjelaskan bil hospital yang agak mahal itu,” katanya.
Logasilan berkata, selain itu dia terpaksa berhenti kerja daripada sebuah syarikat komputer kerana anaknya sering demam dan terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Saya buntu memikirkan cara untuk memohon bantuan dan mulai malu kerana kerap meminjam wang daripada rakan-rakan,” katanya.
Menurutnya, dia turut menjual peralatan komputernya untuk mendapatkan wang membiayai kos rawa-tan tersebut.
Mereka yang bersimpati menghulurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 012-4682922.
Mangsa penipuan jual tanah kerugian jutaan ringgit
14 September 2012
Mangsa sindiket, Musa Abdullah, 74, berkata, dia tidak menyangka akan ditipu oleh sindiket ini kerana orang tersebut adalah kenalan rapatnya sejak dulu.
Katanya, ahli sindiket ini bijak berkata-kata dan pandai meyakinkan pembeli untuk membeli tanah yang ditawarkan dengan beberapa bukti dokumen pembelian.
“Ketika kejadian, ejen tanah yang juga kenalan rapat saya menawarkan sebidang tanah di Hutan Kampung untuk dijual dengan harga RM60,000. Bagaimanapun, sebelum membuat sebarang bayaran, saya dibawanya melawat ke sebuah tempat yang didakwa kawasan tanah yang akan dijual kepada saya.
“Setelah berpuas hati dengan lawatan dan dokumen geran yang diberikan, tanpa berfikir panjang saya terus bayar kepadanya RM60,000,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, katanya, tanah yang ditawarkan adalah bukan di tempat tersebut, sebaliknya di kawasan lain. Malahan pula, penama penjual tanah asal dalam dokumen tersebut juga adalah palsu.
“Saya mula sedar ditipu setelah proses penukaran nama di pejabat tanah ditolak kerana mendakwa dokumen yang diberikan adalah palsu.
“Tidak puas hati dengan penipuan ini, saya meminta ejen tanah itu supaya pulangkan wang tersebut kerana pembelian itu tidak sah. Bagaimanapun, dia enggan berbuat demikian.
“Atas faktor keselamatan, saya membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar. Namun tiada sebarang tindakan dan siasatan dikenakan terhadap dia sehingga hari ini,” katanya.
Sementara itu, Abidin Ahmad, 38, berkata, dia didatangi kenalan rapatnya itu pada 3 Ogos lalu di rumahnya yang terletak di Taman Hidayah, Jalan Langgar, di sini untuk mengambil wang pendahuluan pembelian tanah dengan harga RM10,000.
Katanya, selang beberapa hari kemudian, dia pergi ke pejabat tanah untuk membuat semakan status pembelian tanah tersebut. Namun, jawapan yang diberikan oleh pejabat tanah bahawa semua dokumen yang diberikan oleh ejen itu adalah palsu.
“Tidak berpuas hati dengan penipuan ini, saya membuat laporan di IPD Kota Setar untuk tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Abidin berkata, lebih memeranjatkan apabila penama dokumen yang tertera pada geran tanah tersebut adalah seorang lelaki yang telah meninggal dunia pada 30 April 1986, namun masih
terdapat tandatangannya pada surat pembelian yang bertarikh 21 Mac 2012.
Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar turut mengesahkan menerima laporan berhubung isu penipuan pembelian tanah daripada hampir 10 orang. Menurut jurucakap polis, kes tersebut masih dalam siasatan.
Tindakan anggota tentera, penganggur jual motosikal curi makan diri
13 September 2012
Ini kerana pembeli itu merupakan seorang anggota polis yang menyamar melalui satu perangkap yang sengaja diatur polis untuk menahan mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Mohd Shukri Awang berkata, kejayaan pihaknya menangkap pencuri terbabit bermula selepas mangsa membuat laporan polis berkaitan kehilangan motosikal jenis Honda EX5nya petang semalam.
“Selepas mendapat laporan, Ketua Polis Balai Butterworth, Inspektor Mohd Yusuf Ibrahim mengatur satu perangkap untuk membeli motosikal itu dan menetapkan lokasinya di tepi Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) pada jam 8.30 malam semalam.
“Anggota tentera itu kemudian tiba ke lokasi menunggang motosikal curi terbabit yang ditanggalkan nombor pendaftarannya sambil diekori rakannya yang menunggang motosikal Yamaha Ego,” katanya.
Menurutnya, semasa urusan tawar menawar dilakukan, lima anggota Unit Pencegahan Jenayah (UPJ) balai berkenaan berjaya memberkas mereka.
Mohd Shukri berkata, motosikal jenis Yamaha Ego itu yang dikesan digunakan mereka dalam kegiatan berkenaan turut ditahan dan hasil semakan mendapati ia juga merupakan motosikal yang dilaporkan hilang di Queensbay beberapa hari lalu.
Anggota tentera itu masih bertugas di sebuah kem di Johor berusia 30 tahun, manakala rakannya, penganggur berumur 25 tahun dan mereka berdua disahkan positif menagih dadah jenis syabu.
Katanya, hasil semakan rekod kemudiannya mendapati dua suspek terbabit juga sebelum ini terlibat mencuri beberapa motosikal di daerah ini serta di Queensbay dan Sungai Nibong.
Keduanya dalam proses reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 (a)(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.
Padah lupa tutup api dapur
13 September 2012
Kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi selepas Fauziah Muhammad, 45, selesai menggoreng ikan di dapur untuk juadah tengah hari.
Dia tiba-tiba terkejut melihat asap tebal di bahagian bumbung dapur selepas anak menjerit memaklumkan perkara itu.
“Tiba-tiba anak lelaki saya, Mohd Rofei Abdul Khadir, 15, yang ketika itu berada di halaman rumah menjerit memaklumkan api, terus saya teringat bahawa terlupa menutup api dapur gas selepas memasak,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian suaminya, Abdul Khadir Abdul Mutalib, 55, tiada di rumah kerana keluar ke Padang Pusing untuk membeli barang menyebabkan dia menjerit memanggil jiran-jiran berdekatan bagi membantu memadamkan kebakaran.
“Tindakan pantas kira-kira lima penduduk kampung menyebabkan hanya bahagian dapur dan kelengkapan dapur sahaja musnah kerana api marak dengan cepat ketika itu.
“Saya cepat-cepat bertindak menyelamatkan beberapa dokumen penting seperti geran tanah, kad pengenalan dan banyak lagi sementara jiran ada membantu mengalihkan kereta yang berada di hadapan rumah kerana
bimbang seluruh rumah terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.
Fauziah berkata, dia bersyukur dan berterima kasih dengan tindakan pantas jiran yang memadamkan api menggunakan air sawah dan air paip menyelamatkan rumahnya.
Dalam pada itu, penduduk kampung tidak berani mengalihkan satu tong gas yang sedang terbakar kerana bimbang ia meletup menyebabkan mereka terpaksa menunggu pihak bomba.
Abdul Khadir berkata, perasaannya yang kurang senang ketika keluar membeli barang menyebabkan dia pulang segera dan terkejut setelah memaklumkan bahagian dapur terbakar.
“Saya difahamkan oleh pihak bomba bahawa tong gas itu akan meletup lebih sejam memandangkan bahagian atas tong gas itu sudah terbakar,” katanya.
Elak anjing, kereta terbabas dalam parit
13 September 2012
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa, Mohd Zaini Mohd Lazian, 54, yang berasal daripada Mahang, Kulim ketika itu dalam perjalanan ke Kangar bersama isterinya.
Menurutnya, dipercayai semasa kejadian mangsa sedang memandu kereta jenis Proton Iswara dari Jitra menuju ke Utan Aji, namun semasa perjalanan mangsa cuba mengelak daripada melanggar seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam parit di kilometer 14 Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis.
"Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang kelmarin mengakibatkan isteri mangsa mengalami cedera ringan, dan mangsa pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pada mulanya kami mendapat maklumat yang mendakwa berlaku satu kemalangan di sekitar Hotel Soo Guan, Jejawi, " katanya kepada Sinar Harian.
Namun setelah anggota polis sampai di tempat kejadian pihaknya tidak menemui sebarang tanda-tanda berlakunya kemalangan.
"Kemudian, kira-kira jam 8 malam pihaknya sekali lagi menerima laporan bahawa kemalangan terbabit berlaku di kilometer 14 Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis.
"Isteri mangsa yang cedera a telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk mendapat rawatan lanjut," katanya.
No comments:
Post a Comment