Friday, September 14, 2012

SELAMAT DARI DIBUANG BAGUSLAH...BAGAIMANA EMAKNYA YANG SAKIT BERANAK...MALU LAGI...LELAKI TIBAI SAMPAI BERANAK ENTAH KEMANA...LEPAS DARI HUKUMAN...100X SEBATAN ATAU REJAM SAMPAI MATI...JANGAN KITA JADI MANGSA...PAHALA MENJAGA...BALA MELINDUNG BAGAIMANA...BAGAIMANA HUKUM HUDUD DIJUANG ATAU TIDAK...

Saham AirAsia susut RM667 juta


PENGANALISIS menjangkakan AirAsia akan berhadapan dengan saingan lebih sengit tahun depan berikutan operasi Malindo Airways. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Harga saham AirAsia Bhd. (AirAsia) di Bursa Malaysia terus menjunam buat hari kedua berturut-turut semalam ekoran pengumuman penubuhan syarikat penerbangan tambang murah baharu, Malindo Airways pada Selasa lalu.
Harga saham syarikat penerbangan tambang murah itu ditutup pada RM2.92 semalam, turun tujuh sen sesaham melibatkan 102.2 juta unit saham bertukar tangan.
Sehari selepas pengumuman pembentukan Malindo Airways, harga saham AirAsia jatuh 17 sen untuk ditutup pada harga RM3.02 dengan melibatkan volum 42.7 juta unit saham.
Kejatuhan harga saham itu telah menyebabkan syarikat yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mencatat kerugian sebanyak RM667.1 juta.
Selain itu, nilai pasaran AirAsia juga menurun selepas pengumuman pembentukan syarikat baharu itu iaitu kepada RM8.2 bilion berbanding RM9.1 bilion sehari sebelum pelancaran Malindo Airways.
Menurut penganalisis, penurunan ketara harga saham AirAsia yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2004 merupakan kesan daripada tindakan tergesa-gesa pelabur terhadap hala tuju AirAsia dan kesan negatif yang bakal dihadapi ekoran pembentukan Malindo Airways pada tahun depan.
"Pelabur sangat sensitif terhadap pengumuman-pengumuman baharu yang bakal memberi kesan kepada pasaran... mereka akan hanya memilih syarikat yang memberi keuntungan maksimum daripada pelaburan mereka," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Para pemerhati pasaran sebelum ini menyifatkan penubuhan syarikat baharu itu bakal memberi persaingan dan tekanan khususnya buat AirAsia daripada aspek harga dan juga tempahan tempat duduk.
Mereka melihat kejatuhan setiap satu peratus perolehan AirAsia akan menyebabkan pendapatan syarikat jatuh antara tiga hingga empat peratus.
Kejatuhan setiap satu peratus tempahan tempat duduk pula akan mengurangkan keuntungan AirAsia sebanyak 2.8 peratus hingga 4.5 peratus.
Malindo Airways ditubuhkan melalui kerjasama antara National Aerospace & Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dari Malaysia dengan PT Lion Grup dari Indonesia.
NADI akan menguasai 51 peratus dalam kepentingan syarikat itu yang bakal beroperasi bulan Mei tahun depan manakala bakinya oleh PT Lion Grup.
NADI merupakan syarikat bumiputera yang terlibat dalam industri aeroangkasa dan pertahanan serta memiliki syarikat seperti Airod, Airod Techno Power dan Aerospace Technology Systems Corp.
Buat permulaan, sebanyak 12 pesawat Boeing 737 dijangka beroperasi dengan Kuala Lumpur akan dijadikan sebagai pusat penerbangan ke negara-negara ASEAN dan Asia termasuk ke Thailand, China, India dan Filipina.
Lebih menarik lagi, Malindo Airways dijangka menawarkan kadar tambang yang lebih murah berbanding syarikat pesaing lain.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Bhd., Azrul Azwar Tajuddin berkata, AirAsia menerima tempias yang hebat daripada pembentukan syarikat baharu itu dan ia bakal mengubah skop industri penerbangan tambang murah tempatan.
"Trend penurunan ini boleh kembali meningkat atau merudum semula jika ada berita mengenai Malindo Airways," katanya.

Pemandu cemas terjun treler

RAMUN REDZUAN (kanan) dibantu rakannya mendaki tebing selepas
terjun dari treler yang terbabas ke dalam gaung.


SEREMBAN – Seorang lelaki melalui detik mencemaskan apabila terpaksa melompat keluar dari treler membawa muatan bongkah batu yang sedang dipandunya sebelum kenderaan berat itu terjunam ke dalam gaung dalam kejadian di Kilometer 21 Jalan Pantai-Jelebu berhampiran Bukit Tangga di sini kelmarin.
Kejadian mendebarkan itu berlaku pada pukul 5.30 petang apabila Ramun Redzuan Mohd. Hakim, 41, yang sedang memandu treler itu bersendirian gagal mengawal kenderaan berat tersebut.
Ramun Redzuan memberitahu, kejadian berlaku ketika dia yang dalam perjalanan dari Titi, Jelebu di sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang sedang menuruni Bukit Tangga.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia gagal mengelak sebuah kereta jenis Perodua Kelisa di hadapannya yang memperlahankan kenderaan selepas memotongnya.

BEGINILAH keadaan kereta Perodua Kelisa yang rosak akibat dirempuh sebuah treler dalam kemalangan di Seremban kelmarin.


“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana jarak antara lori dan kereta itu terlalu hampir selain bimbang jika bebanan yang saya bawa akan mengakibatkan kejadian lebih buruk.
“Dalam keadaan cemas itu, saya terus memaut stereng hingga masuk ke laluan bertentangan sebelum saya melompat keluar apabila mendapati treler menghala ke arah gaung sedalam lebih 10 meter,” ceritanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, dia bersyukur terselamat dalam kejadian itu walaupun mengalami cedera ringan di tangan dan kaki kanan ketika terjun dari trelernya.
Sementara itu, pemandu kereta, Nor Asmah Othman, 35, memberitahu, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Pejabat Tanah dan Daerah Jelebu ke rumahnya di Senawang.
“Selepas memotong treler itu, saya terpaksa memperlahankan kenderaan kerana terdapat banyak kereta di hadapan saya sebelum dilanggar kenderaan berat tersebut yang meluru laju,” katanya yang cedera di dahi selepas terhantuk pada stereng.

Penjaga gol kebangsaan didenda khalwat


ZAITON (kiri) dan Mohd. Farizal selepas dijatuhkan hukuman kerana berkhalwat oleh Mahkamah Rendah Syariah di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam selepas mengaku salah berkhalwat dengan seorang jurumekap yang masih berstatus isteri orang pada tahun lalu.
Selain Mohd. Farizal, 26, yang turut menjaga gawang Negeri Sembilan, turut dikenakan hukuman serupa ialah pasangannya, Zaiton Othman, 29, yang kini telah bergelar ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak.
Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar turut mengarahkan kedua-duanya dihukum penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Pasangan itu yang datang berasingan membayar denda tersebut di kaunter mahkamah sejurus prosiding berakhir.
Mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah bilik di sebuah rumah milik rakan Zaiton di 3A-02, Blok A, Shang Villa Condo, No. 2A, Jalan SS7/15, Kelana Jaya di sini pada pukul 3.40 pagi 12 Oktober 2011.
Pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes yang diakui kedua-dua tertuduh, sewaktu pintu bilik dibuka, Zaiton berseluar panjang hitam dan baju T ketat warna merah jambu dalam keadaan meniarap manakala Farizal yang juga memakai baju T dan berseluar pendek berada dalam keadaan berselimut di atas katil.
Terdahulu, Mohd. Farizal mendakwa dirinya insaf dan kesal dengan kesilapan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.
"Sejak kes ini keluar surat khabar, ia menjejaskan reputasi saya dan keluarga, orang ramai mula mencemuh, mungkin salah saya," katanya yang memberitahu sudah mempunyai perancangan untuk menikahi Zaiton kelak.
Sehubungan itu, anak kelima daripada tujuh beradik itu memohon hukuman denda yang ringan kerana perlu menanggung adik-beradik yang bersekolah serta ibu bapa pula sudah tidak bekerja.
"Saya juga hanya bekerja kontrak dan bukannya tetap. Selepas apa yang terjadi, saya bimbang sekiranya kontrak saya tidak disambung pada musim depan," katanya dalam nada perlahan.
Sementara itu, Zaiton yang kelihatan sebak turut insaf dan memohon hukuman ringan kerana sejak bergelar ibu tunggal, dia perlu menyara dua orang anak serta membayar pelbagai pinjaman peribadi dengan pendapatan bulanan yang tidak tetap.
Katanya lagi, dia masih trauma dengan perceraian yang berlaku hampir setahun lalu akibat kejadian tersebut.
Farizal diturunkan semasa perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Vietnam Selasa lalu yang menyaksikan pasukan kebangsaan dibolosi 2-0.

Mati diikat, dibunuh perompak


ANGGOTA polis mengangkat mayat Peck Lan yang ditemui mati dalam keadaan terikat di dalam bilik rumahnya di Pelabuhan Klang kelmarin.


PELABUHAN KLANG – Seorang adik yang pergi ke rumah kakaknya selepas risau mengenai wanita itu yang tidak menjawab panggilan telefon terkejut apabila mendapati mangsa dibunuh perompak dalam kejadian di sebuah rumah teres setingkat di Jalan Seroja di sini kelmarin.
Mayat Lim Peck Lan (gambar kecil), 65, ditemui pada pukul 6.30 petang dalam keadaan mulut, tangan dan kakinya diikat menggunakan pita pelekat di dalam bilik belakang rumahnya.
Difahamkan, adik perempuan mangsa yang tinggal berhampiran terus pergi ke rumah kakaknya yang menetap bersendirian selepas dua panggilan telefon yang dibuatnya pada pukul 2.30 dan 3.30 petang tidak dijawab mangsa. Kali terakhir mangsa dilihat ialah enam jam sebelum itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan Perundangan) Selangor, Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, selain diikat, mulut mangsa turut berdarah namun tiada kesan tikaman dan kecederaan lain ditemui.
“Siasatan percaya mangsa telah dibunuh oleh penjenayah yang menceroboh rumahnya melalui pintu belakang berdasarkan kesan umpil.
“Rumah mangsa berselerak dan pemeriksaan mendapati kad pengenalan dan telefon bimbitnya lesap,” katanya.
Tambahnya, mayat wanita terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali berkata, mangsa seorang yang baik dan pernah menyelamatkan nyawanya ketika dia diserang penjenayah baru-baru ini.
“Jeritan mangsa telah membuatkan lelaki yang tidak dikenali itu lari selepas menetak tangan dan kaki saya dengan parang,” ceritanya.
Difahamkan, mangsa ada memelihara dua ekor anjing dan ketika kejadian, kedua-dua ekor haiwan berkenaan dikatakan telah hilang.

Muka bernanah selepas rawatan di pusat kecantikan


PEAK CHENG menunjukkan gambar wajahnya yang dipenuhi bintik-bintik merah dan bernanah (kiri) pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang pemilik kedai salun rambut terpaksa menanggung derita apabila mukanya bernanah selepas dia mendapat perkhidmatan mencuci muka di sebuah pusat kecantikan di Banting, Selangor pada bulan Januari lalu.
Mangsa, Hong Peak Cheng, 31, berkata, mukanya kini dipenuhi bintik merah dan jeragat serta bernanah sehingga dia tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana mukanya terasa sakit setiap kali disentuh.
"Seorang pakar kulit memberitahu bahawa muka saya telah dijangkiti kuman dan perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya enam bulan yang menelan belanja sebanyak RM8,000.
"Lebih malang lagi apabila pusat kecantikan itu enggan menanggung bayaran tersebut malah mencabar saya supaya melaporkan masalah itu kepada pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, wakil peguam MCA, P.Y Leong dan James Ee serta suami mangsa, Yao Chee Wee, 37.
Mengimbau kembali kejadian tersebut, Peak Cheng yang tinggal di Banting berkata, dia mendapatkan perkhidmatan di pusat kecantikan itu selepas disyorkan oleh adik iparnya.
"Bintik-bintik merah timbul selepas muka saya dicuci buat kali kedua. Seorang pekerja pusat berkenaan memberitahu bahawa ia perkara biasa malah meminta saya terus menggunakan produk mereka," jelasnya.
Ceritanya lagi, ekoran percaya dengan jaminan pekerja pusat berkenaan, dia terus mendapatkan perkhidmatan itu sehinggalah dia mengalami kesakitan serius pada muka walaupun telah membelanjakan sebanyak RM1,704 termasuk kos pembelian produk kecantikan.
"Apabila saya mengemukakan perkara itu kepada pusat kecantikan terbabit, mereka mendakwa saya mengalami masalah ketidakseimbangan hormon yang mereka dakwa sebagai satu fenomena biasa.
"Apabila masalah semakin serius, saya terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar kulit sekali setiap dua minggu," ujarnya yang telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Banting pada 10 September lalu.
Peak Cheng berkata, kehidupannya terjejas kerana dia mengalami tekanan emosi dan malu setiap kali berhadapan dengan orang ramai ekoran masalah pada mukanya itu.

Membujang hingga akhir hayat


SENI (kiri) bersama adiknya, Akmal menunjukkan gambar Ahmad yang ditemui mati akibat diserang penyakit jantung di Taman Pelangi, Johor Bahru kelmarin.


KUALA TERENGGANU - "Setiap kali kami bertanyakan mengenai soal jodoh, dia asyik memberikan jawapan tak perlu tergesa-gesa, tak perlu gaduh-gaduh. Tak sangka impian untuk melihatnya berkahwin tidak kesampaian."
Demikian rintih Seni Hassan, 66, kakak pegawai kastam, Ahmad, 54, yang meninggal dunia akibat diserang sakit jantung selepas mengalihkan keretanya di kuarters kastam Taman Pelangi, Johor Bahru kelmarin.
Kata Seni, dia tidak menyangka adiknya yang merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Pematuhan Kastam, Larkin, Johor akan membujang hingga ke akhir hayatnya.
"Dia anak ketiga dari sembilan beradik dan ibu bapa kami sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Kami ingin sangat melihat dia mendirikan rumah tangga tetapi dia kerap memberikan jawapan tunggulah dulu, tak payah gaduh-gaduh (terburu-buru).
"Jawapannya itu membuatkan kami tidak lagi membicarakan mengenai soal jodoh dan akur sahaja dengan kehendaknya," ceritanya ketika ditemui di Kampung Wakaf Che Kapur dekat sini semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, dalam kejadian pukul 4.11 pagi itu, Ahmad ditemui terbaring dan tidak bernyawa selepas mengalihkan keretanya jenis Honda Civic kira-kira 30 meter dari rumahnya apabila mendapati kediaman jirannya terbakar akibat dilempar dengan bom petrol.
Menurut Seni, adiknya yang pendiam tidak menunjukkan perubahan sikap ketika ditemui di kampung mereka pada sambutan hari raya lalu.
Tambahnya, dia bercuti selama seminggu pada lebaran lalu dan adiknya tidak menjawab panggilan selepas pulang ke Johor.
"Biasanya dia akan telefon semula tetapi entah kenapa dia langsung tidak berbuat demikian," katanya.
Sementara itu di Johor Bahru, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun pada pukul 4 pagi semalam di kawasan Gelang Patah bagi membantu siasatan.

140 bayi luar nikah diselamatkan



MUAR - Seramai 140 bayi luar nikah di negeri ini berjaya diselamatkan daripada digugur atau dibuang oleh ibu mereka yang kebanyakannya remaja bawah umur berusia di antara 13 hingga 18 tahun sepanjang empat tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai (gambar) berkata, rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejak 2009 menunjukkan bayi yang dapat diselamatkan meningkat setiap tahun setelah ibunya ditempatkan di pusat-pusat perlindungan remaja hamil luar nikah.
Katanya, daripada jumlah itu, 23 bayi diselamatkan pada 2009 dengan Johor Bahru mencatatkan bilangan tertinggi iaitu lima bayi diikuti Muar dan Kluang masing-masing empat bayi, Kota Tinggi (3) dan Segamat serta Batu Pahat masing-masing dua bayi, selebihnya di daerah lain.
"Pada tahun 2010, jumlahnya meningkat apabila 39 bayi berjaya diselamatkan iaitu Johor Bahru (10), Muar, Pontian dan Kota Tinggi masing-masing lima bayi manakala Segamat, Muar dan Kluang masing-masing empat bayi dan di Mersing pula dua bayi.
"Bagi 2011, bilangan bayi yang diselamatkan melonjak kepada 70 orang iaitu Johor Bahru (15), Segamat (empat), Batu Pahat (tiga), Kulaijaya (satu) dan selebihnya di daerah lain.
Sehingga Julai lalu pula, sebanyak lapan bayi dari Johor Bahru berjaya diselamatkan dan daerah lain masih belum ada laporan diterima.
"Pada tahun 2009 dan 2010, semua yang diselamatkan adalah bayi berketurunan Melayu manakala pada 2011 terdapat empat bayi Cina dan dua bayi India sementara selebihnya bayi Melayu. Pada tahun ini pula semuanya melibatkan bayi Melayu," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di Sungai Balang di sini kelmarin.
Katanya, bayi-bayi tersebut dapat diselamatkan apabila remaja yang mengandung luar nikah atau ibu bapa mereka mempunyai kesedaran lalu menghantar anak-anaknya ke pusat-pusat kebajikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang itu memberitahu, di pusat-pusat kebajikan berkenaan, remaja bawah umur yang hamil itu akan dijaga dengan baik sehingga selamat melahirkan anak mereka.
Jelasnya, penghuni pusat itu juga dilatih sepenuhnya mengenai proses penjagaan bayi, selain diberi latihan dan kemahiran sebagai bekalan bagi meneruskan kehidupan selepas meninggalkan pusat itu.
Ujarnya, terdapat tiga pusat penjagaan di negeri ini yang semuanya terletak di Johor Bahru dan pihaknya bercadang membina sebuah lagi di daerah ini bagi menampung bilangan remaja hamil luar nikah yang jumlahnya meningkat saban tahun.

Mayat rentung di dalam semak


ANGGOTA polis memeriksa satu mayat rentung yang ditemui di dalam semak di Jempol semalam.


JEMPOL - Hajat seorang lelaki Orang Asli untuk membuang air kecil di dalam semak terbantut selepas dia terkejut apabila menemui satu mayat rentung di pusat pembuangan sampah di Kilometer 9 Jalan Jelai-Rompin berhampiran Ladang Bukit Tinggi, Rompin di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, mayat itu ditemui pada pukul 8.30 pagi oleh penoreh getah berusia 21 tahun tersebut ketika dia hendak membuang air kecil.
"Sebaik sampai di tempat kejadian, dia hairan apabila melihat ada kesan lalang terbakar. Selepas diamatinya, dia terkejut apabila menemui mayat yang rentung lebih 50 peratus di kawasan tersebut.
"Dia kemudian bergegas memberitahu rakannya sebelum menghubungi polis. Pemeriksaan mendapati mayat lelaki itu rentung menyebabkan identiti dan jantinanya sukar dikenal pasti," katanya di sini semalam.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mayat mangsa kemungkinan telah dibakar di tempat kejadian dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui. Jarak mayat dijumpai dari jalan besar ialah kira-kira 30 meter.
Menurut Hamzah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat dan kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

15 orang maut, 24 cedera minum arak haram di Republik Czech

PRAGUE - Pihak berkuasa Republik Czech mengumumkan situasi darurat selepas sekurang-kurangnya 15 orang maut dan 24 lagi dimasukkan ke hospital selepas mereka meminum arak murah jenis vodka dan rum yang dicampurkan metanol.
Metanol merupakan bahan toksik yang digunakan untuk menguatkan lagi alkohol yang digunakan dalam pasaran gelap bagi membolehkan pengeluar arak haram mengaut keuntungan lebih tinggi.
Polis menyatakan, mereka telah menyerbu 410 kios dan pasar di seluruh negara dan mendapati sekitar 70 pekedai menjual arak haram.
Sebahagian mangsa menjadi buta manakala sebahagian lagi diletakkan dalam keadaan koma dengan harapan doktor-doktor dapat menyelamatkan mereka.
Perkembangan tersebut mendorong Perdana Menteri Petr Necas menggesa rakyat Republik Czech supaya tidak meminum arak yang tidak diketahui asal-usulnya. - AP

Anjing Great Dane tertinggi di dunia

AP
ANJING Great Dane, Giant George yang pernah memegang rekod anjing tertinggi di dunia bersama tuannya, David Nasser di San Diego, Amerika Syarikat.


LONDON - Seekor anjing baka Great Dane setinggi 2.2 meter apabila haiwan itu berdiri dengan menggunakan kaki belakangnya dinamakan anjing tertinggi di dunia dalam edisi terbaharu Guinness Book of World Records semalam.
Edisi ke-57 buku rekod global berkenaan menyatakan, anjing jantan seberat 70.3 kilogram bernama Zeus dari negeri Michigan di Amerika Syarikat itu memakan 14 kilogram makanan setiap hari.
Tinggi anjing tersebut dari hujung kaki sampai ke tulang bahu mamalia tersebut adalah 1.18 meter.
Haiwan tersebut merupakan anjing tertinggi pernah direkodkan oleh Guinness Book of World Records.
Berjudul Guinness World Records 2013, buku berkenaan memberitahu, anjing itu 2.54 sentimeter lebih tinggi berbanding pemegang rekod sebelum ini iaitu seekor baka Great Dane bernama Giant George.
"Pertanyaan biasa yang diajukan kepada kami adalah itu seekor anjing ke kuda?" kata pemilik haiwan berkenaan, Denise Doorlag. - AFP

Misteri pengarah filem hina nabi

REUTERS
ORANG ramai melarikan diri apabila polis melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan protes terhadap filem anti-Islam di luar Kedutaan AS di Sanaa, Yemen semalam.


LOS ANGELES - Seorang lelaki dari negeri California mengaku dia memainkan peranan di sebalik pembikinan filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sekali gus mencetuskan bantahan hebat umat Islam terutamanya di Mesir dan Libya kelmarin.
Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley Nakoula yang mengamalkan ajaran Kristian Koptik dan pernah didapati bersalah kerana melakukan jenayah kewangan memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa dia memainkan peranan mengurus dan membekalkan logistik untuk produksi tersebut.
Lelaki berusia 55 tahun itu turut mengaku dia adalah pengurus syarikat yang menerbitkan filem berjudul Innocence of Muslims itu.
Namun, dalam satu temu bual dekat sini kelmarin, Nakoula menafikan dia mengarahkan filem biadap itu.
Sebaliknya, dia menyatakan mengenali penulis dan pengarah Innocence of Muslims, Sam Bacile.
Bagaimanapun, nombor telefon yang dihubungi AP pada Selasa lalu untuk menelefon Bacile didapati menggunakan alamat sama dengan lokasi di mana Nakoula ditemui.
Rekod mahkamah persekutuan AS menunjukkan Nakoula mempunyai beberapa nama lain termasuk Nicola Bacily dan Erwin Salameh.
Lelaki itu menyatakan bahawa Bacile menyokong kebimbangan berhubung layanan buruk umat Islam terhadap penganut Kristian Koptik.
Namun, Nakoula menafikan dia menyamar diri sebagai Bacile.
Semasa temu bual tersebut di luar rumahnya, lelaki itu menunjukkan lesen memandunya untuk mengesahkan identitinya tetapi dia menggunakan ibu jari untuk menutup nama tengahnya, Basseley.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang paderi yang mencetuskan kemarahan umat Islam dengan membakar beberapa naskhah al-Quran, Terry Jones menyatakan, dia sempat berbual dengan Bacile melalui telefon kelmarin.
Jones berkata, lelaki berkenaan menghubunginya beberapa minggu lalu untuk mempromosikan filem tersebut.
"Saya tidak menemui dia. Sam Bacile bukan nama sebenarnya.
"Saya cuma bercakap dengannya melalui telefon. Dia tentu bersembunyi dan tidak mendedahkan identitinya," kata Jones.
Bacile sebelum ini menyatakan dia dilahirkan di Israel, berusia 56 tahun dan berketurunan Yahudi.
Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu kelmarin bahawa Bacile merupakan nama samaran pengarah filem tersebut dengan dia seorang penganut Kristian.
Terdahulu, beberapa pegawai di Israel berkata, tiada rekod ditemui menyatakan Bacile seorang rakyatnya.
Menurut Klein, sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem Innocence of Muslims.
"Kebanyakan mereka enggan memberitahu nama sebenar kerana mereka takut," kata Klein.
Sementara itu, YouTube telah menarik balik klip video filem itu di Mesir dan Libya kelmarin. Namun, video berkenaan masih boleh diakses di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa Libya membuat beberapa tangkapan berhubung serangan ke atas Kedutaan AS di Benghazi
"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kehakiman telah memulakan siasatan dan mengumpulkan bukti dengan beberapa orang telah ditangkap," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wanis Al-Sharif.
Namun, beliau enggan memberikan butiran terperinci berhubung bilangan orang yang ditangkap atau latar belakang mereka kerana tidak mahu menjejaskan siasatan. - Agensi

No comments:

Post a Comment