Nasib malang bekas jutawan LBJ
|
SEREMBAN – Seorang bekas jutawan Felda Lyndon B Johnson (LBJ) di Labu dekat sini disaman anak perempuannya sendiri yang mahu me nuntut sebahagian hasil pengambilan sebidang tanah seluas 3.6 hektar oleh kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 1998 yang bernilai RM1.6 juta.
Norzay Rashid, 44, turut menuntut mahkamah supaya mengisytiharkan rumah milik bapanya itu yang kini sebagai harta sepencarian dengan arwah ibunya yang sudah meninggal dunia.
Beliau mengemukakan tuntutan ke atas bapanya itu yang kini berkerusi roda di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Kamal Basha Muhammad.
Hakim Kamal menetapkan 12 Oktober ini untuk membuat keputusan.
Dalam tuntutan tersebut, Norzay memohon perintah mahkamah bahawa separuh daripada sebidang tanah milik bapanya, Rashid Jani, 75, yang dianggarkan bernilai RM160,000 diisytiharkan sebagai harta sepencarian bagi pihak ibunya, Allahyarham Kering Aman.
Alyah cedera dihempap lampu
PETALING JAYA – Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Hati, Alyah atau nama sebenarnya Norhasliah Abu Hassan terpaksa dikejarkan ke hospital semalam selepas mengalami kecederaan pada bahagian belakang akibat dihempap sebuah lampu tumpu (spotlight).
Kejadian berlaku ketika dia menghadiri majlis rumah terbuka anjuran stesen radio Hot FM di Sri Pentas di sini apabila lampu tersebut yang berukur lilit satu meter tiba-tiba terjatuh dan terkena pada bahagian belakang penyanyi itu.
Alyah, 31, yang merupakan salah seorang jemputan pada majlis tersebut dikatakan baru tiba pada majlis berkenaan.
Bagaimanapun, lebih kurang pukul 9.30 pagi, lampu tumpu yang ditempatkan di ruang legar kawasan majlis berkenaan dikatakan telah dilanggar secara tidak sengaja oleh seorang tetamu lain sebelum terjatuh dan menghempap bahagian belakang tubuh Alyah.
Kejadian itu disaksikan oleh para hadirin dan wartawan yang hadir.
Tauke kedai tayar mati dibunuh
KAJANG – Seorang lelaki terkejut apabila menemui mayat rakannya yang mati dibunuh bersama seorang wanita ketika dia datang untuk mencari mangsa di sebuah rumah di Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras di sini kelmarin.
Mayat Leong Kian Sheong, 37, dan Vivien Wong, 20, ditemui pada pukul 10 malam dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah akibat ditikam serta dikelar di beberapa bahagian badan. Kian Sheong merupakan pengusaha sebuah kedai tayar manakala Vivien tidak bekerja.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6 pagi Khamis lalu namun ia hanya disedari kelmarin selepas rakan Kian Sheong yang gagal menghubungi mangsa sepanjang hari datang ke rumah mencarinya.
Mayat kedua-dua mangsa yang lengkap berpakaian itu ditemui di dalam bilik bacaan di tingkat bawah rumah teres berkembar. Pintu utama rumah juga tidak berkunci ketika rakannya tiba.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang suspek dan mangsa mati akibat ditetak dengan parang. Senjata itu ditemui di dalam rumah tersebut.
Syabu diseludup dalam pasir
KUALA LUMPUR – Taktik satu sindiket dadah antarabangsa menyeludup syabu bercampur pasir ke negara ini terbongkar apabila polis menyerbu sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong, Selangor pada Selasa lalu.
Dalam serbuan pada pukul 7.35 malam itu, polis merampas 13 buah tong plastik warna biru yang berisi pasir bercampur syabu. Jumlah kesemua pasir dan dadah yang dirampas seberat 861.5 kilogram.
Ini merupakan taktik pertama sindiket dadah antarabangsa yang dikesan menyeludup barang terlarang tersebut dengan mencampurkannya bersama pasir.
Ketika serbuan, kesemua tong berisi syabu bercampur pasir yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit tersebut disusun di atas palet kayu dan plastik.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, serbuan ke atas kilang kosong yang dijadikan stor menyimpan dadah dibuat selepas polis menahan empat lelaki Iran berusia 31 hingga 36 tahun.
Difahamkan, keempat-empat suspek terbabit ditahan tidak jauh dari kilang tersebut.
Menurut beliau, dadah tersebut dipercayai dibawa dari Mexico melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan mengisytiharkan barang itu sebagai pasir.
Rumah mampu milik ditakrif
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti soal penakrifan berkaitan rumah mampu milik di sekitar Kuala Lumpur.
Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, DBKL juga sedang berbincang dengan pihak pemaju berkaitan bantuan dan kaedah yang sesuai bagi menyediakan rumah mampu milik tersebut.
"Dengan cara ini kita akan dapat pastikan pihak yang layak memperolehnya di samping memudahkan pemaju merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik ini," katanya selepas menyerahkan kunci kondominium Sentul Utama di sini semalam.
Ahmad Phesal berkata, langkah itu juga selaras dengan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi membolehkan mereka yang berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah mampu membeli rumah yang berharga tidak melebihi RM400,000 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rusuhan terburuk bantah hina Rasulullah di Mesir
|
KAHERAH - Sejumlah 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis dekat Kedutaan Amerika Syatrikat (AS) di sini semalam kerana marahkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Media tempatan melaporkan seramai 224 orang cedera sejak keganasan tercetus di ibu negara Mesir itu di sini sejak Rabu lalu kerana membantah filem biadab itu.
Satu tunjuk perasaan besar-besaran kemudian diadakan di seluruh Mesir semalam. Protes tersebut dianjurkan oleh pergerakan Islam terbesar di negara itu, Ikhwanul Muslimin.
Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan di bandar Khartoum, Sudan menyerbu Kedutaan Britan dan Jerman ekoran filem tersebut.
Kedua-dua kedutaan itu dibakar dan mengalami kerosakan, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Para penunjuk perasaan turut bertempur dengan polis di Yemen menyebabkan seorang meninggal dunia manakala 15 lagi cedera apabila perkarangan Kedutaan AS di negara berkenaan diserbu kelmarin.
Filem anti-Islam, Innocence of Muslims dipersalahkan berhubung serangan ke atas konsulat AS di bandar Benghazi, timur Libya yang meragut nyawa Duta AS, Chris Stevens dan tiga warganegara kuasa besar itu pada Selasa lalu.
Di Nigeria, polis negara itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga manakala tahap keselamatan di sekitar kedutaan asing turut dipertingkatkan.
Tindakan tersebut dilakukan selepas kumpulan Islam Boko Haram membunuh beratus-ratus orang dalam penentangan yang tercetus di Nigeria pada tahun ini.
Bantahan turut diadakan di wilayah Palestin dengan beribu-ribu orang berkumpul di Genting Gaza manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmuqaddis.
Kumpulan penunjuk perasaan berkenaan bertempur dengan polis Israel di Baitulmuqaddis.
Di Gaza, penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad Islam serta membakar beberapa bendera AS sambil melaungkan slogan meminta as dan Israel dihapuskan.
Di Pakistan, beratus-ratus orang menunjuk perasaan di beberapa bandar raya utama di negara berkenaan untuk mengutuk filem Innocence of Muslims dengan sebahagian mereka mahukan penerbit filem tersebut dibunuh.
Sebahagian lagi penunjuk perasaan menuntut supaya diplomat-diplomat AS di Pakistan diusir.
Di bandar Lahore, timur Pakistan, ketua pertubuhan amal Jamaat-ud-Dawa, Hafiz Saeed mengetuai protes yang disertai oleh 500 orang bagi membantah filem tersebut.
AS sebelum ini menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM31.1 juta) ke atas Hafiz.
Dia menggesa pemerintah Pakistan supaya memanggil Duta AS bagi membantah filem anti-Islam itu.
"Kami mengutuk konspirasi menerbitkan filem anti-Islam ini. Tindakan keji ini merupakan konspirasi antarabangsa dari AS dan kami tidak akan menerimanya," kata Hafiz dalam protes tersebut.
Selain Pakistan, bantahan turut merebak ke seluruh Asia Barat termasuk Bangladesh, Indonesia, Malaysia, Kashmir, Iraq, Israel, Kuwait, Sudan dan Tunisia. - Agensi
Rakyat bantah filem hina Nabi
KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh negara menyatakan bantahan mereka terhadap filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW menerusi tunjuk perasaan secara aman selepas solat Jumaat semalam.Pengerusi Gabungan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya mengetuai beratus-ratus orang yang menganggotai pertubuhan bukan kerajaan itu (NGO) mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini petang semalam.
Aminuddin bersama 15 lagi NGO lain membawa sepanduk yang mengecam tindakan penerbit kerana menghasilkan sebuah filem yang terang-terang menghina Islam.
Anggota-anggota polis turut berkawal di hadapan kedutaan tersebut bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku.
Gambar separuh bogel isteri Putera William tersebar
LONDON - Pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William dan isterinya Kate Middleton berang semalam selepas sebuah majalah Perancis menyiarkan gambar separuh bogel wanita berkenaan.
Perbuatan tersebut membangkitkan kembali insiden gangguan yang dilakukan oleh pihak media terhadap ibu William, mendiang Puteri Diana.
Middleton memakai gelaran Duchess of Cambridge selepas berkahwin dengan William.
Beberapa pegawai Istana St James di sini berkata, pasangan diraja berkenaan yang kini berada di Malaysia sedang berunding dengan beberapa peguam berhubung tindakan majalah Closer versi Perancis itu.
Mereka menyifatkan perbuatan majalah itu sebagai pencerobohan privasi yang melampau.
Gambar eksklusif itu menunjukkan Catherine, 30, memakai seluar dalam manakala William menyapu krim matahari pada belakang badannya ketika isterinya sedang berbaring.
"Pasangan diraja berkenaan amat sedih dan marah kerana satu penerbitan Perancis dan seorang jurugambar menceroboh privasi mereka secara melampau dan tanpa sebarang justifikasi," kata kenyataan Istana St James.
"Insiden itu mengimbau kembali perbuatan melampau media cetak dan jurugambar paparazi semasa Diana masih hidup," tambah kenyataan tersebut.
Foto separuh bogel Middleton itu yang dirakamkan dari jauh disiarkan oleh majalah berkenaan semalam.
Penerbitan tersebut mendakwa gambar itu dirakamkan di atas sebuah rumah rehat di selatan Perancis semasa Middleton dan William bercuti pada bulan ini.
Penyiaran gambar kontroversi itu merupakan cabaran getir pertama yang dicetuskan oleh media cetak terhadap pasangan diraja itu selepas Diana mati dalam satu kemalangan kereta di Paris ketika beliau dikejar beberapa paparazi.
Gambar itu disiarkan selepas portal hiburan dan akhbar The Sun di Britain menyiarkan gambar bogel adik William, Putera Harry baru-baru ini.
Harry berbogel dengan seorang wanita semasa mereka berada di dalam sebuah bilik hotel di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Sementara itu, William semalam mengaku bahawa beliau bukan peminat durian selepas merasa raja buah itu semasa lawatan beliau ke Malaysia.
William dan isterinya dihidangkan dengan buah durian semasa menghadiri majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setibanya pasangan itu di Malaysia untuk lawatan tiga hari kelmarin.
Namun, semasa menghadiri satu lagi majlis makan tengah hari bersama sejumlah eksekutif perniagaan di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur semalam, bakal Raja Britain itu memberitahu: "Saya cuma mahu menyatakan betapa sedapnya makan tengah hari ini dan saya gembira kerana durian tidak terkandung dalam menu kali ini."
"Selepas merasa buah ini (durian) semalam, saya bimbang akan keselamatan mereka yang saya temui selepas itu," katanya.
Ucapan lucu William disambut dengan gelak ketawa para hadirin yang terdiri daripada lebih 1,000 ahli perniagaan.
Durian popular di Malaysia dan beberapa negara jirannya kerana rasa buah berkenaan yang lazat dan unik.
Namun, ramai tidak tahan dengan bau buah itu.
William dan Kate sedang dalam rangka lawatan ke seluruh dunia pada tahun ini bagi meraikan pemerintahan 60 tahun nendanya, Ratu Elizabeth II. - Agensi
Ratusan orang terapung di Laut Mati
TEL AVIV - Ratusan orang terapung di Laut Mati yang mengandungi kandungan tinggi garam dekat resort Ein Boqeq, Israel kelmarin.
Mereka menyertai tunjuk perasaan bagi membangkitkan kesedaran tentang kualiti alam sekitar di kawasan laut tersebut.
Para aktivis alam sekitar menuntut laut tersebut tersebut memerlukan perlindungan daripada masyarakat antarabangsa dan pemerintah Israel bagi mengelak ia mengalami kemusnahan. - Agensi
Zeus anjing tertinggi di dunia
OTSEGO, Michigan - Guinness World Records kelmarin mengiktiraf Zeus of Otsego yang berusia tiga tahun sebagai anjing paling tinggi di dunia.
Menurut agensi berita AP semalam, pengiktirafan itu dibuat dalam buku The Guinness World Records 2013.
Anjing itu setinggi 1.120 meter dari kaki ke bahu haiwan tersebut.
Ketika anjing baka Great Dane itu berdiri, ketinggiannya ialah 2.25 meter.
Haiwan itu milik seorang wanita, Denise Doorlag dari sini.
Ketinggian Zeus hanya 2.5 sentimter daripada Giant George yang sebelum ini merupakan anjing paling tinggi di dunia.
Berat Zeus ialah 70 kilogram.
Menurut Doorlag, dia terpaksa menggunakan van untuk mengangkut anjingnya itu. - Agensi
Google enggan padam video hina Rasulullah
SAN FRANCISCO – Syarikat enjin pencari gergasi, Google yang juga pemilik laman perkongsian video Youtube, kelmarin menegaskan pendirian mereka untuk tidak memadam video menghina Nabi Muhammad SAW walaupun ia telah mencetuskan protes di kebanyakan negara di rantau Arab.
Dalam satu kenyataan, Google juga menolak tuntutan banyak pihak yang menggesa syarikat Internet gergasi itu untuk mengeluarkan video menyinggung perasaan orang Islam tersebut.
Bagaimanapun, susulan daripada protes ganas pada Selasa lalu Google memutuskan untuk menyekat akses filem anti-Islam tersebut di Mesir dan Libya bagi tempoh sementara.
Difahamkan, di bawah prosedur Google, pengguna Youtube boleh melaporkan kandungan tidak senonoh atau tidak sesuai kepada kumpulan pemerhati syarikat itu di seluruh dunia.
Sehingga semalam, tiada sebarang tindakan diambil dan video tersebut telah ditonton lebih 122,000 pengguna.
Sementara itu, Ketua Pengarah di Kementerian Komunikasi di Afghanistan mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menyekat akses video yang mempersendakan sifat Rasulullah tersebut.
“Tindakan itu diambil selepas Presiden Hamid Karzai mengutuk filem tersebut yang dianggap biadab dan menghina Islam. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan tunjuk perasaan ganas merebak ke negara ini,” kata Aimal Marjan.
Afghanistan menjadi negara pertama menyekat akses video itu kerana khuatir insiden protes ganas awal tahun lalu akan berulang. Februari lalu, sekumpulan penunjuk perasaan mengadakan tunjuk perasaan yang akhirnya bertukar ganas sebagai membantah tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) membakar al-Quran di penjara Bagram, utara Kabul. – Reuters
No comments:
Post a Comment