Monday, September 10, 2012

KES2 ZINA...BUANG ANAK....PELACURAN...MASIH TAK SELESAI ...NI TAMBAH LAGI MASALAH GAY...MUNGKIN LESBIAN DLL...KES BUNUH...CURI ...DADAH DAN MACAM2 LAGI...TAMBAH ADA...KURANG TAK ADA...ADAKAH NI BALA@MUSIBAH DARI ALLAH KERANA KEINGKARAN KITA

Gelora nafsu songsang

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

PASANGAN SONGSANG...dua remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.
PASANGAN SONGSANG...dua remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.
KUANTAN: Aksi jijik dua lelaki homoseksual yang asyik melepaskan gelora nafsu songsang mereka di kawasan rekreasi Taman Gelora, di sini, terbantut apabila mereka dicekup penduduk tempatan yang melakukan rondaan bagi mencegah perlakuan itu, awal pagi kelmarin.
Seorang daripada penduduk terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Fairuz, 30, berkata, dua remaja lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu dicekup jam 2 pagi selepas intipan dilakukan 15 minit.
Menurutnya, penduduk kawasan perumahan berhampiran Taman Gelora kerap melakukan rondaan untuk mencekup pasangan homoseksual selepas tidak sanggup melihat taman rekreasi itu menjadi lubuk maksiat golongan terbabit.

Fairuz berkata, ketika dia dan seorang rakan melakukan rondaan awal pagi kelmarin, mereka mengesan aksi mencurigakan dua individu yang dilihat asyik memadu asmara.

‘Tak sempat brek’

Oleh Riadz Radzi, Mohd Shukor Amin dan Suzaini Sulaiman
am@hmetro.com.my

REMUK...anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
REMUK...anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
SABAK BERNAM: “Ngeri saya melihat kepala seorang daripada mangsa pecah dan otaknya terkeluar,” kata S Kumar, 30, pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta mengakibatkan lima maut termasuk tiga sekeluarga di Kilometer 70, Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Kampung Parit Tujuh, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Kumar yang memandu lori tiga tan bersama kelindannya dikenali sebagai Sivakumar, 25, dalam perjalanan ke Pantai Remis, Perak, selepas menghantar muatan telur ayam di Klang.

Tiga beranak yang terbunuh ialah Yeap Chin Hing, 52; anak lelakinya, Yeap Soon Keong, 19, dan anak perempuan, Yeap Chin Maei, 25. Turut maut dalam kejadian itu ialah dua wanita yang juga rakan Soon Keong iaitu Ling Siew Mooi, 26, dan Ling Lee Min, 26.
Empat daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Chin Maei meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang.

Kumar berkata, sebelum kemalangan dia melihat sebuah kereta Honda City dinaiki lima mangsa dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kereta lain.

“Ketika memotong, ia bergesel dengan sebuah Honda CRV dari arah bertentangan sebelum hilang kawalan dan menuju ke arah lori.
“Kejadian terlalu pantas dan saya tak sempat mengelak atau membrek. Kereta itu terus merempuh bahagian depan lori.

Kumar berkata, walaupun impak rempuhan itu kuat, dia dan kelindannya bersyukur tidak cedera.
“Sebaik turun dari lori saya lihat kelima-lima mangsa dalam kereta itu tidak bergerak. Saya tidak berani nak tolong kerana kecederaan mereka yang terlalu parah,” katanya yang kemudian menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, kejadian berlaku apabila kereta Honda City dari arah Sabak Bernam yang dipandu Chin Hing cuba memotong sebuah kereta lain sebelum bergesel dengan sebuah Honda CRV di laluan bertentangan.

“Kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum ia merempuh lori berkenaan. Semua mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, di sini, manakala seorang lagi mangsa iaitu Chin Maei yang parah dibawa ke Hospital Tanjung Karang. Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di wad kecemasan hospital berkenaan.

Noor Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

30 pondan lari digempur

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

CEKUP...sebahagian pondan yang menyertai pertandingan ratu cantik ditahan, kelmarin.
CEKUP...sebahagian pondan yang menyertai pertandingan ratu cantik ditahan, kelmarin.
SUNGAI PETANI: Lebih 30 pondan bergaya dalam pertandingan ratu cantik mak nyah di sebuah hotel berhampiran Taman Ria Jaya, di sini, bertempiaran lari selepas sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) menyerbu tempat berkenaan, malam kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan anggota PADKM menerima maklumat orang awam yang memaklumkan satu pertandingan ratu cantik mak nyah berlangsung di dewan hotel berkenaan.

Pegawai Penguat Kuasa PADKM, Zaiferi Zainul Abidin, berkata serbuan membabitkan seramai 21 anggota terdiri anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK), penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Jabatan Imigresen.
Katanya, kehadiran pihak berkuasa dikesan pengawal keselamatan yang berjaga di hadapan pintu dewan berkenaan yang segera bertindak memberitahu pihak penganjur menyebabkan semua pondan terbabit cuba meloloskan diri melalui pintu belakang.

“Ketika intipan dibuat semua pondan terbabit sedang bergaya bagi merebut beberapa kategori yang dipertandingkan iaitu Miss Favourite, Best Hair, Best National Costume, Body Beautiful, Miss Cute, Best Make Up dan Catwalk. “Dalam keadaan kelam-kabut itu hampir 30 pondan yang cuba meloloskan diri sanggup berkaki ayam serta terjun dari tangga bagi mengelak ditahan.

“Semua pondan itu lari ke kawasan padang golf dan tasik berhampiran hotel itu dan terus menghilangkan diri di dalam gelap, namun kami menahan lapan mak nyah terbabit dalam acara berkenaan selepas gagal melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dewan terbabit disewa penganjur terbabit bagi mengadakan Pertandingan Ratu Antarabangsa 2012, di mana pesertanya membabitkan mak nyah yang datang dari negeri ini dan negeri lain.

“Semua mak nyah yang ditahan itu dibawa ke pejabat PADKM dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan seorang penjamin.
“Mereka akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1948 iaitu lelaki berpakaian perempuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kereta jadi tilam

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

RAMPAS...anggota penguat kuasa KPDNKK merampas  barangan elektrik dan tilam jed dalam serbuan, semalam.
RAMPAS...anggota penguat kuasa KPDNKK merampas barangan elektrik dan tilam jed dalam serbuan, semalam.
KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan ratusan ringgit, sebuah syarikat ‘gores dan menang’ mengaut keuntungan mencecah RM200,000 sehari hasil penipuan.
Mereka menjanjikan hadiah kereta mewah seperti dipamerkan pada kad yang diserahkan kepada mangsa untuk mencuba nasib, bagaimanapun sebaik mangsa menyerahkan wang tunai, mereka menukarkan hadiah kepada tilam jed yang hanya bernilai RM200.

Itu antara taktik syarikat terbabit yang turut merekrut beberapa kakitangannya bagi mengaburi mata pelanggan mereka.
Namun, kegiatan mereka tumpas sebaik pejabat latihan dan stor simpanan di tingkat satu Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Lama, di sini, diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jam 12 tengah hari, semalam.

Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, serbuan terbabit dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak beberapa bulan lalu.

“Serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan, Amran Daud bersama empat anggota lain dan mendapatkan waran geledah berikutan premis terbabit tidak berpenghuni.
“Hasil serbuan, kami menemui sebuah stor simpanan yang ditempatkan tersorok di belakang almari. Anggota kami mengalihkan almari itu sebelum menemui pelbagai barangan seperti kad gores dan menang, tilam jed, mesin jahit, mesin urut kaki dan dapur elektrik,” katanya.

Menurut Abu Samah, premis itu dijadikan pejabat urusan dan pusat latihan kakitangan syarikat terbabit berdasarkan dokumentasi yang ditemui selain dijadikan stor simpanan.
“Sebelum ini KPDNKK sudah menyerbu tiga premis di Bandar Tasik Permaisuri, Sungai Besi dan Kuchai Maju 8 yang dipercayai didalangi kumpulan sama berdasarkan modus operandi dan dokumen yang ditemui,” katanya.

Perbetul kecelaruan identiti



KUANTAN: “Mereka ini golongan rosak minda yang perlu diberi kaunseling serta pendekatan agama untuk memperbetulkan kesilapan mereka,” kata Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Khaidir Ismail.
Beliau berkata, hanya dengan pendekatan psikologi serta pendekatan agama dapat ‘menyembuhkan’ gejala homoseksual yang kini menjadi barah dalam masyarakat.

“Mereka mengalami kecelaruan identiti dalam diri dan sukar membezakan apa yang betul dan salah walaupun sesetengahnya golongan profesional,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, kebiasaannya kecenderungan golongan itu lebih terserlah apabila usia meningkat ketika di universiti.

“Ketika di bangku sekolah mereka masih boleh mengawal perasaan itu, namun bila memasuki alam universiti mereka seakan ‘melepas geram’.

“Ditambah pula apabila diri mereka berasa ada orang lain lebih mengambil berat khususnya pelajar senior yang digelar abang selain keadaan persekitaran yang turut menyumbang kepada gejala itu,” katanya.
Dr Khaidir berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan perlu memantau perkembangan anak-anak ketika di sekolah.

Penyerang dipenjara 26 bulan



JEMPOL: Seorang daripada empat lelaki yang menyerang tiga beradik menggunakan parang di Bahagian Kecemasan Hospital Jempol, minggu lalu, dijatuhi hukuman penjara 26 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau, di sini, semalam.
Majistret Ala’uddin Baharom, menjatuhkan hukuman itu terhadap B Ruben, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Ala’uddin turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti fakta kes, hujah Timbalan Pendakwa Raya dan rayuan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Ruben bersama-sama, C Ghopalan Nair, 26, yang juga tertuduh pertama, S Shangkar, 21, dan B Ragavan, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap B Sasithiran, 27; Partiban, 20, dan Ushah Nanthini, 18, dengan melibas parang pada kepala mereka.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Kecemasan Hospital Jempol kira-kira jam 8.55 malam, 2 September lalu.

3 stesen minyak disamun geng bermotosikal



BUKTI...rakaman CCTV menunjukkan suspek memecah pintu stesen minyak.
BUKTI...rakaman CCTV menunjukkan suspek memecah pintu stesen minyak.
TANJUNG MALIM: Sekumpulan penjenayah Mat Rempit dikesan bermaharajalela melakukan kes samun bersiri di daerah ini dengan menjadikan tiga stesen minyak sebagai sasaran utama membabitkan kerugian RM142,000.
Dalam kejadian awal pagi Sabtu dan Ahad lalu, penjenayah berusia 20-an bertindak berani apabila terlebih dulu menghentam cermin pintu stesen minyak hingga pecah menggunakan tukul besi sebelum menyerang kaunter pembayaran.

Sumber polis berkata, kejadian pertama dilaporkan berlaku jam 5 pagi, Sabtu lalu apabila kumpulan suspek menyerang sebuah stesen minyak di pekan Tanjung Malim, di sini.
“Penjenayah mendapatkan wang RM2,000, komputer riba serta telefon bimbit milik pekerja di stesen minyak berkenaan. Suspek kemudian menuju stesen minyak di Behrang sebelum melakukan rompakan sama 20 minit kemudian.

“Bagaimanapun, penjenayah tidak sempat menyerbu masuk dalam stesen minyak kedua apabila loceng penggera di premis itu berbunyi sebaik pintu kaca dipecahkan suspek,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penjenayah sama dipercayai melakukan rompakan sama di stesen minyak di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Hulu Bernam di Lebuhraya Utara-Selatan jam 5.20 pagi kelmarin sebelum melarikan wang RM140,000.
Mangsa yang juga pekerja stesen minyak di Tanjung Malim, Devenlee Gopang, 30-an, berkata, rompakan berlaku ketika dia duduk di kaunter bayaran.

Menurutnya, enam motosikal ditunggang sekumpulan lelaki muncul namun tidak dihiraukan berikutan dia menyangka kumpulan lelaki terbabit berkonvoi dan berhenti rehat.
“Bagaimanapun, seorang daripada suspek memukul pintu stesen minyak menggunakan tukul besi hingga roboh. Empat lagi suspek lelaki masuk dalam premis dan memecahkan pintu pejabat.

“Suspek mengugut saya menyerahkan wang dalam laci. Saya terpaksa menyerahkan semua wang RM2,000 sebelum penjenayah turut melarikan komputer riba dan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nannyan mengesahkan pihaknya menerima laporan kes rompakan stesen minyak terbabit.

Menurutnya, polis kini meneliti rakaman kamera litar tersembunyi (CCTV) yang memaparkan adegan suspek merompak stesen minyak itu.

Ugut terjun cinta hampa

Oleh Riaty Abada
hmkk@hmetro.com.my

SANDAKAN: Gagal dalam percintaan dipercayai menjadi punca seorang wanita duduk sambil menangis di luar tingkap di tingkat enam sebuah hotel, dipercayai cuba membunuh diri sebelum berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba dalam kejadian di Jalan Labuk, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi, perbuatan gadis terbabit disedari orang ramai sebelum menghubungi bomba bagi memaklumkan kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin berkata, mangsa berusia 32 tahun baru saja mendaftar masuk ke hotel itu bersama seorang rakannya.

“Bomba menerima panggilan kecemasan jam 9.40 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Berdasar maklumat, seorang wanita memanjat keluar melalui tingkap hotel di tingkat enam, dipercayai untuk membunuh diri,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Nenek rugi RM10,000 ditipu 2 ‘pekerja TNB’

ALOR GAJAH: Seorang warga emas kerugian kira-kira RM10,000 apabila diperdaya dua penyangak yang menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di rumahnya di sebuah kampung di Lubok Cina, di sini.
Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi Selasa lalu, mangsa yang juga ibu tunggal berusia 79 tahun berada di rumahnya seorang diri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, wanita itu didatangi dua lelaki menaiki Perodua Myvi berwarna putih dengan mendakwa dari TNB Alor Gajah dan memberitahu mahu melakukan pemeriksaan elektrik di setiap rumah. “Mangsa yang tidak mengetahui niat sebenar suspek membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumah untuk melakukan pemeriksaan pada peralatan elektrik.
“Seorang suspek berpura-pura melakukan pemeriksaan peralatan elektrik di dalam rumah, manakala rakannya mengambil gambar dalam dan luar rumah,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, seorang suspek kemudian menyuruh wanita itu mengambil kad pengenalan untuk direkodkan ke dalam buku catatan sebelum pemeriksaan selanjutnya dilakukan.

Katanya, tanpa berfikir panjang, mangsa masuk ke dalam bilik dan mengambil kad pengenalan dalam beg sebelum meletakkan semula beg itu di atas katil.
“Mangsa menyerahkan kad pengenalannya kepada seorang suspek yang bertindak mengisi butirannya. Selepas 15 minit di sekitar rumah mangsa, kedua-dua suspek menyatakan tugas mereka sudah selesai lalu meminta diri sebelum menghilangkan diri.

“Beberapa minit selepas suspek beredar, mangsa masuk ke dalam biliknya dan mendapati wang dalam sampul surat berjumlah RM750 hilang,” katanya.
Menurutnya, selain wang tunai, satu rantai leher, dua rantai tangan dan dua bentuk cincin emas disimpan dalam beg turut lesap.

Umar berkata, wanita itu mengalami kerugian dianggarkan RM10,000 selepas wang tunai dan barang kemasnya dilarikan dua lelaki terbabit.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkulit cerah, seorang daripadanya memiliki susuk tubuh kurus dan tinggi, manakala rakannya berbadan rendah.

“Polis menasihatkan orang ramai berhati-hati sekiranya didatangi individu berkenaan dan segera menghubungi balai polis berhampiran atau talian 06-5562222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Maut dilanggar bantu lelaki kemalangan



BENTONG: Seorang warga emas sempat membantu mengeluarkan seorang lelaki yang tersepit dalam kenderaan akibat kemalangan sebelum dia terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan menuju ke keretanya di Kilometer 74, Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam, mangsa Ariffin Hamid, 63, dari Felda Bukit Damar, Lanchang, dekat Temerloh, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Karak akibat kecederaan parah di kepala.

Sebelum kejadian, mangsa bersama menantunya berusia 40-an yang menaiki Perodua Alza dalam perjalanan ke Lanchang dari Kuala Lumpur dikatakan berselisih dengan satu kemalangan kecil membabitkan sebuah Proton Saga yang terbabas melanggar besi pembahagi jalan dan berhenti untuk membantu mangsa.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, selepas membantu mengeluarkan pemandu kereta itu, mangsa melintas menuju ke kenderaannya yang terletak di seberang jalan, tetapi tiba-tiba sebuah Proton Wira putih dari arah Kuala Lumpur terus melanggar mangsa.

Katanya, akibat rempuhan itu, mangsa tercampak sebelum kenderaan yang melanggarnya memecut meninggalkan tempat kejadian.

“Orang awam termasuk menantu mangsa bergegas mengangkat warga emas itu dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Karak sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan hingga kini pemandu Proton Wira berkenaan masih belum membuat laporan polis,” katanya, di sini, semalam.

Penyamun parah kena belasah



KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki menyamun seorang wanita di sebuah apartmen di Chow Kit, di sini, memakan diri apabila dia bukan saja dicekup orang ramai, malah dilaporkan kritikal selepas dibelasah puluhan lelaki, semalam.
Lelaki berusia 30 tahun itu mengalami pendarahan teruk di muka dan kepala selain patah kaki kanan dalam kejadian di Apartmen Hock Ann, pada jam 12 tengah hari.

Kejadian berlaku selepas lelaki itu menyamun seorang wanita berusia 33 tahun dalam lif apartmen berkenaan.
Difahamkan, suspek meminta wang daripada mangsa, tetapi wanita itu melawan menyebabkan dia dicekik sebelum beberapa barang berharga seperti rantai, cincin dan telefon bimbit mangsa, diragut.

Saksi kejadian, Kamal Ngah, 57, berkata, dia terdengar jeritan meminta orang ramai menahan lelaki berkenaan yang ketika itu sedang berlari kerana didakwa peragut.

“Suasana bertukar kecoh dan semua orang yang berada di warung membantu menahan lelaki itu,” katanya.

Culik kawan lama

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Demi memperoleh RM4,000, seorang lelaki dibantu lima rakan jenayahnya berusia 30 tahun bukan saja sanggup memerangkap rakan baiknya sendiri yang bertemu semula selepas 10 tahun, sebaliknya turut menyeksa mangsa hampir tujuh jam selepas dikurung di sebuah flat di Chow Kit, di sini.
Dalam kejadian bermula pada jam 10 malam, 4 September lalu, mangsa berusia 32 tahun disebat dengan wayar elektrik selain dipukul dengan batang mop.

Malah, mangsa dibogelkan sebelum gambarnya dirakam menggunakan telefon bimbit.

Tambah keji, sepanjang ditawan, mangsa disuntik sejenis cecair dipercayai dadah sebelum suspek meminta RM4,000 sebagai syarat pembebasannya.

Mangsa bagaimanapun, berjaya melarikan diri pada jam 7 pagi keesokannya ketika dibawa dua suspek ke pejabatnya untuk mengambil wang yang dituntut.

Lelaki tertua meninggal



JERTIH: Lelaki paling tua di Besut, Abdul Rahman Bakar, 117, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Denger, dekat sini, kelmarin.
Allahyarham yang dikenali sebagai Pak Man meninggal dunia di pangkuan isteri kelapan, Saadiah Hamat, 71, dan seorang anaknya, Mohamad Deraman, 56.

Anaknya, Arina, 46, seorang guru berkata, bapanya meninggal dunia kerana sakit tua selepas tidak berselera makan dan minum sejak dua bulan lalu.
“Ayah sebelum ini sihat, tetapi mengadu tiada selera makan pertengahan Ramadan lalu menyebabkannya tidak dapat meneruskan ibadat puasa,” katanya.

Abdul Rahman sebelum ini menarik perhatian masyarakat apabila kisah hidupnya yang pernah beristerikan lapan wanita dan kekal sihat pada usia lebih seabad disiarkan akhbar.

Allahyarham yang mengamalkan memakan sayur setiap hari dan tidak pernah merokok antara faktor mampu mengekalkan usia tua hingga menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

‘Bawa ke peringkat lebih tinggi’



KOTA BHARU: “Penderitaan kami belum berakhir. Kami akan bawa kes ini ke peringkat lebih tinggi dan berharap pembunuh anak saya menerima hukuman setimpal,” kata Rohana Seman, 47, ibu kepada Mohd Ramzi Ibrahim, 24, yang terbunuh selepas diserang dengan senjata tajam oleh sekumpulan 30 lelaki dalam kejadian pada 16 Mei 2007.
Rohana menyifatkan kematian anaknya masih belum terbela apabila suspek yang membunuh anaknya itu hanya dijatuhi hukuman penjara 10 tahun manakala tujuh lagi suspek dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, 3 September lalu.

Mengimbau kembali kejadian lima tahun lalu itu, ibu kepada tujuh anak itu berkata, dia sekeluarga trauma apabila terkenangkan peristiwa anak sulungnya itu dibelasah dan ditetak tanpa belas kasihan.
“Peristiwa berdarah itu masih segar dalam ingatan. Tiada siapa tahu rintihan keluarga kami sepanjang lima tahun menunggu keputusan mahkamah, malah kami kecewa kerana seorang saja dijatuhkan hukuman manakala yang lain dibebaskan.

“Ibu mana sanggup melihat anaknya mati dibelasah serta ditetak oleh 30 lelaki dan jika ibu bapa di luar sana berada di tempat saya, bolehkah mereka melupakan kejadian seperti itu? Adakah mereka rela pembunuh anak mereka menerima hukuman tidak setimpal selain ada pula dibebaskan,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya bersama suaminya, Ibrahim Harun, 52, di Jalan Kebun Sultan, di sini, semalam.

Menurutnya, biarpun menyedari risiko bakal diancam individu tertentu, dia sudah melantik peguam untuk merayu semula hukuman berkenaan.

‘Status PR tak boleh miliki lesen niaga’



KUALA LUMPUR: Memegang taraf penduduk tetap (PR) negara ini belum melayakkan mana-mana individu untuk memiliki lesen perniagaan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bagaimanapun, mereka boleh menjadi pembantu jualan. Bagi perniagaan yang dijalankan bersama keluarga, ahli keluarga yang berstatus warga negara boleh memohon lesen itu.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, bagi PR yang sudah berkahwin misalnya, anak mereka yang dilahirkan di Malaysia mendapat status warga negara.
Justeru, katanya, keluarga terbabit boleh memulakan perniagaan dengan memohon lesen atas nama anak dengan syarat umurnya sudah mencecah 18 tahun.

“Bagi kedai, kami memang sewakan kepada sesiapa saja tak kira warga negara ini atau asing kerana didaftarkan atas nama syarikat. Asalkan peniaganya ada nama syarikat yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lot kedai kosong boleh disewakan,” katanya.

Minta tebusan RM26,000

KUALA LUMPUR: Malang bagi seorang lelaki warga Pakistan berusia 20-an yang menaiki bas ke Taiping, Perak, selepas terpedaya dengan tawaran kerja di negeri itu sebelum dia diculik selama lebih seminggu.
Mangsa diselamatkan Khamis lalu oleh sepasukan polis yang menjalankan siasatan sebaik menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, operasi menyelamatkan mangsa dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur pada jam 11 pagi di sebuah rumah di Kampung Datuk Haji Hashim, Simpang, Taiping.
“Polis turut menahan empat lelaki senegara berusia antara 22 hingga 28 tahun.

“Keempat-empat suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mangsa sebelum itu menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali menawarkan pekerjaan di Taiping dan memintanya datang ke tempat berkenaan. Ku berkata, lelaki itu menaiki bas di Pudu Sentral, di sini, untuk ke tempat dimaksudkan sebelum diculik sebaik tiba pada 29 Ogos lalu.
“Adik mangsa menerima panggilan daripada suspek meminta wang tebusan 800,000 Rupee (RM26,000) sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Maut jatuh tingkat 12



KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas sempat menjamah biskut ketika bersarapan pagi sebelum dia ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat 12 kediamannya di Apartmen Abdullah Hukum, Bangsar, di sini, semalam.
Abdul Khalid Salleh, 60, yang mengalami masalah kemurungan sejak 2008 parah di kepala dan badan, mati di tempat kejadian selepas dia keluar dari kediaman ketika isterinya berada dalam tandas sebelum terjatuh.

Isteri mangsa, Faridah Omar, 58, berkata, suaminya yang sudah seminggu demam meminta biskut untuk bersarapan pagi sebelum dia memberi lelaki itu ubat antikemurungan.
“Sebaik selesai bersarapan, saya masuk ke tandas sementara suami pula masuk ke bilik tidur. Saya ingin berehat namun tidak menyangka dia keluar semula dan terjatuh ke bawah.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu pada jam 8 pagi selepas diberitahu anak lelaki yang kebetulan berada di rumah ketika itu.

“Suami mengalami kemurungan sejak 2008, namun sudah beransur sembuh. Baru-baru ini penyakitnya datang semula selepas dia demam.
“Sejak seminggu lalu suami tidak dapat tidur lena dan sering terjaga. Dia juga selalu termenung dan meracau,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Faridah berkata, minggu lalu, keluarganya membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan dan doktor memberi ubat serta meminta mereka membawanya semula pada minggu ini untuk rawatan susulan.
“Malam tadi (kelmarin), arwah mengunjungi majlis hari raya di kawasan berhampiran dan membawa kunci rumah sendiri.

“Kemungkinan pagi ini (semalam), dia keluar dari rumah menggunakan kunci itu kerana pintu sudah dikunci,” katanya.

Mangsa yang juga pesara Telekom Malaysia Berhad yang sudah lima tahun menetap di sini meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata, mangsa yang mengalami masalah kemurungan terjatuh dari tingkat 12 dan maut di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian ini tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke PPUM untuk bedah siasat.

Lelaki Arab sorok monyet dalam seluar



NEW DELHI: Kastam India menahan seorang lelaki yang cuba menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi bersama seekor monyet terancam disorok dalam seluar dalamnya, kata pegawai agensi itu, semalam.
Suspek berasal dari Emiriah Arab Bersatu kini ditahan bersama dua rakannya.

Menurut jurucakap kastam, suspek tiba dari Bangkok dan sepatutnya menaiki penerbangan Jet Airways ke Dubai. “Kastam mengesan monyet itu ketika membuat pemeriksaan badan,” katanya. Monyet berukuran 17 sentimeter itu - dikenali sebagai loris - hidup di India dan Asia Tenggara, dianggap mempunyai khasiat bagi menguatkan tenaga batin. Ia adalah spesies terancam di dunia. Seekor lagi monyet itu ditemui ditinggalkan dalam tong sampah lapangan terbang berkenaan. - AFP

Gordon-Brown mahasiswa termuda



WALAUPUN bergelar mahasiswa, Gordon-Brown masih mengikuti kelas persekolahan seperti biasa.
WALAUPUN bergelar mahasiswa, Gordon-Brown masih mengikuti kelas persekolahan seperti biasa.
LONDON: Seorang budak berusia 12 tahun yang mendapat markah A bagi subjek matematik dalam peperiksaan sekolah menengah kini menjadi mahasiswa termuda Britain.
Berdasarkan umurnya, Xavier Gordon-Brown mungkin terlalu muda untuk dibenarkan membuka akaun di Facebook, namun pada masa sama, dia kini mengikuti kursus matematik bagi peringkat ijazah.
Gordon-Brown layak mengikuti pengajian peringkat universiti selepas lulus ujian Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) pada 2009 dan menjadikan dia calon termuda memperoleh markah A dalam subjek berkenaan.

Kini, Gordon-Brown mengikuti kelas pengajian di Universiti Terbuka di Grinstead Timur dua atau tiga kali sebulan.

Disebabkan usianya juga, Gordon-Brown terpaksa ditemani ibunya setiap kali dia pergi ke dewan kuliah.

Berasal dari Haywards Heath di Sussex, Gordon-Brown masih meneruskan persekolahannya seperti biasa, selain menyertai pelbagai aktiviti seperti belajar bermain klarinet, piano dan biola.

Di sekolah, Gordon-Brown mempelajari empat bahasa asing dan aktif bermain bola.

Dia mengikuti kuliah apabila tiada sesi persekolahan atau aktiviti berkaitan dengannya.

Ibu Gordon-Brown, Erica, berkata dia amat bangga dengan pencapaian anak bongsunya itu.

Walaupun ada ibu bapa yang memastikan anak mereka membesar di kalangan rakan sebaya, dia berpendapat, Gordon-Brown boleh menyesuaikan diri bergaul dengan mahasiswa yang jauh lebih dewasa daripadanya.

“Adalah baik untuk Gordon-Brown dapat berkawan dengan seseorang yang memiliki tahap intelektual setara dengannya,” katanya.

Minat Gordon-Brown kepada angka bermula sejak awal.

Kata Erica, anaknya itu mula menguasai kemahiran sifir sebelum berusia empat tahun dan mampu menyelesaikan soalan aritmetik mental walaupun belum bersekolah.

“Setahun selepas mencatat kejayaan di peringkat GCSE, Gordon-Brown lulus peperiksaan A-level,” katanya. - DM

Mayat lelaki misteri ditemui berkecai dekat Lapangan Terbang Heathrow



LONDON: Mayat misteri yang ditemui di kawasan meletak kereta berhampiran Lapangan Terbang Heathrow semalam mungkin seorang warga asing yang terjatuh dari pesawat yang melintas di ruang udara kawasan berkenaan, kata polis.
Mayat lelaki itu - dipercayai berusia 20-an dan dari Afrika Utara - ditemui orang awam di Mortlake kira-kira jam 7.55 pagi. Jurucakap polis berkata, mereka tidak menolak kemungkinan lelaki itu menyelinap masuk ke bahagian bawah pesawat tertentu dan terjatuh sejurus sebelum ia mendarat.

Menurut penduduk di situ, lelaki terbabit mengalami pelbagai kecederaan dan sebahagian daripada anggota badannya berkecai dan cebisannya ditemui kira-kira enam meter dari situ.
Seorang saksi berkata, kecederaan pada badan lelaki itu “seperti tembikai yang dipukul.” Mortlake terletak di selatan Sungai Thames berhampiran Barnes dan Kew Gardens, manakala Lapangan Terbang Heathrow terletak hanya kira-kira 16 kilometer dari situ.

Kawasan itu juga menjadi laluan kepada banyak pesawat antarabangsa. Billy Watson, 26, yang tinggal di kawasan itu berkata, mayat berkenaan “hancur” dan lelaki terbabit mungkin berketurunan Albania atau Maghribi. “Kepalanya berpusing ke satu arah dan kakinya seperti dipulas ke arah bertentangan.

“Punggungnya tercabut, manakala satu daripada tangannya berada dalam posisi tidak sepatutnya,” katanya. - DM

Luah hasrat berhenti belajar



SABAK BERNAM: “Dia pernah beritahu saya mahu berhenti belajar kerana tidak seronok,” kata Lim Min Sin, 76, datuk kepada Yeap Soon Keong, 19, seorang daripada lima yang maut dalam kemalangan di Kilometer 70, Jalan Klang - Teluk Intan berhampiran Kampung Parit Tujuh, di sini, semalam.
Turut maut dalam kejadian jam 2 petang itu ialah menantu Lim yang juga bapa Soon Keong iaitu Yeap Chin Hing, 52, dan seorang lagi cucu perempuannya, Yeap Chin Maei, 25. Dua lagi mangsa wanita iaitu Ling Siew Mooi, 26, dan Ling Lee Min, 26, adalah rakan kepada Soon Keong.

Min Sin berkata, Soon Keong pelajar dalam bidang solar di sebuah universiti di Taiwan dan baru tamat percutian selama dua bulan.
Menurutnya, ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan menghantar Soon Keong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan penerbangannya ke Taiwan dijadualkan petang semalam.

No comments:

Post a Comment