Sunday, September 9, 2012

BILA AJARAN ISLAM KITA LEMAH...MUNGKIN LEMAH AMALAN...MUNGKIN TAK PERNAH HADIR KEMAJLIS ILMU DISURAU2 ATAU MASJID2

Ali memang setan

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

LAPOR...Jamil menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
LAPOR...Jamil menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KHURAFAT...minyak wangi yang didakwa bomoh terbabit boleh menghalau syaitan.
KHURAFAT...minyak wangi yang didakwa bomoh terbabit boleh menghalau syaitan.
JOHOR BAHRU: Tertipu dengan dakyah karut bomoh yang kononnya boleh meramal kematian dan menebus dosa, seorang lelaki dan keluarganya membuat pinjaman bank untuk membayar wang pengeras sebanyak RM12,000.
Lebih mengaibkan, mangsa yang mahu dikenali sebagai Jamil, 25, berkata, ibarat dipukau, dia dan ibu bapa turut membenarkan adik perempuannya tinggal bersama bomoh itu selama seminggu.
Katanya, dia terpengaruh mendapat khidmat bomoh yang dikenali sebagai Ali, 40-an, selepas lelaki itu mengakui dirinya ustaz dan menjalankan rawatan secara tradisional mengikut cara Islam.

“Saya bersama ibu, ayah dan adik perempuan berusia 20 tahun berjumpa bomoh itu bagi merawat ibu yang menghidap penyakit lemah badan dan kemurungan,” katanya ketika ditemui.

Dia berkata, bomoh itu mendakwa boleh mengubat secara ghaib, termasuk berhubung terus dengan Allah menerusi jin yang menurun dalam badan pembantu peribadinya.

Selidik latar belakang pengamal perubatan

JOHOR BAHRU: “Orang ramai mesti selidik latar belakang seseorang pengamal perubatan tradisional sebelum mendapatkan khidmat mereka,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Johor (JAJ), Yosree Ikhsan, mengenai aduan seorang lelaki dikenali sebagai Jamil, 25, yang kerugian sehingga RM12,000 untuk membayar pengeras kepada seseorang bomoh.
Yosree mengesahkan pihaknya menyiasat kes berkenaan selepas Jamil membuat aduan kepada Jabatan Mufti Negeri Johor.

“Kami akan menyiasat aduan itu secepat mungkin dan menjalankan siasatan sesuai. Kes seumpama ini biasa berlaku dan pernah dilaporkan beberapa mangsa,” katanya ketika dihubungi. Menurutnya, pengamal perubatan tradisional yang mengamalkan cara perubatan bercanggah hukum syarak boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk didenda dan penjara.
Dia berkata, tindakan itu boleh dikenakan mengikut Seksyen 3 (Pemujaan Salah), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997, dengan sabit kesalahan seseorang itu boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

“Hukuman itu boleh dikenakan kepada mana-mana orang yang memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan berkaitan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana manusia, haiwan, tempat atau benda dengan cara menyalahi hukum syarak,” katanya.

Malah, mengikut enakmen itu, katanya, mahkamah boleh memerintahkan sebarang peranti, barang atau peralatan digunakan dalam proses pemujaan dilucut hak dan dimusnahkan, walaupun tiada mana-mana individu disabitkan atas kesalahan itu.

Bocor skandal apabila mabuk

Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my

MALANG...mangsa menerima rawatan di Hospital Miri selepas diserang dengan kapak oleh rakan sekerjanya, kelmarin.
MALANG...mangsa menerima rawatan di Hospital Miri selepas diserang dengan kapak oleh rakan sekerjanya, kelmarin.
MIRI: Perbualan dua rakan sambil minum arak di sebuah rumah sewa di Riam di sini, kelmarin, berakhir tragedi berdarah apabila seorang daripada mereka menerima lebih lima jahitan di kepala akibat ditetak dengan kapak.
Kejadian jam 10.30 malam itu dikatakan berlaku apabila seorang daripada mereka secara tidak sengaja mendedahkan dia menjalin hubungan dengan isteri rakannya itu.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa, seorang buruh binaan berusia 40-an, menjemput rakan sekerjanya ke rumah sewanya untuk minum bersama.

“Suspek yang juga berusia 40-an itu tiba di rumah rakannya itu seawal jam 9 malam, namun sejam selepas sesi meneguk arak, berlaku pertengkaran antara mereka apabila suspek secara tidak sengaja mendedahkan dia menjalin hubungan dengan isteri mangsa,” katanya.

Sumber itu berkata, pada mulanya hanya berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek, tetapi mangsa yang berang dengan pendedahan itu, memukul suspek.

Tertiarap tepi kereta

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my

CARI BUKTI...anggota unit forensik polis menyiasat tempat kejadian.
CARI BUKTI...anggota unit forensik polis menyiasat tempat kejadian.
KAJANG: “Saya ingatkan dia pengsan kerana mabuk, tetapi sebaik memperlahankan kereta, saya lihat kepalanya berdarah,” kata Abdul Karim Ibrahim yang menemui mayat seorang lelaki dipercayai mati akibat dipukul dengan kayu besbol di Jalan Mahkota 1, Batu 5 1/2 Bangi, dekat sini, semalam.
Mayat Won Sin Keong, 42, ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap di tepi kereta BMW miliknya ketika Abdul Karim, 35, bersama isteri dan anaknya melalui jalan itu untuk keluar bersarapan kira-kira jam 7 pagi.
Menurutnya, mulanya dia tidak mengesyaki sebarang kejadian pelik kerana menyangkakan pemandu kereta itu berhenti untuk tidur atau berehat ketika lalu di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, apabila kami lalu semula di jalan sama untuk pulang ke rumah pada jam 7.50 pagi, saya mula mula curiga apabila mendapati kereta itu masih berada di situ.

“Sebaik memperlahankan kenderaan, saya terkejut apabila ternampak seorang lelaki terbaring dengan kepala berdarah,” katanya yang menghubungi polis untuk memaklumkan perkara itu.

Padah lakonan kaku

Oleh Mohamad Naufal Mohamad Idris
am@hmetro.com.my

DITAHAN...pendatang asing yang ditahan dalam Ops 6P di Pasar Besar Klang, semalam.
DITAHAN...pendatang asing yang ditahan dalam Ops 6P di Pasar Besar Klang, semalam.
KLANG: Tindakan seorang majikan mengarahkan seorang pekerja warga asingnya menyamar pelanggan warga tempatan di gerai menjual ikan miliknya di Pasar Besar Klang, Jalan Meru, di sini, semalam bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen gagal apabila lakonan lelaki Bangladesh itu tidak menjadi.
Padah memaparkan ‘lakonan’ kaku serta gerak-geri mencurigakan, warga Bangladesh berusia 39 tahun itu ditahan Jabatan Imigresen dalam Ops 6P selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.

Turut ditahan majikannya yang juga penjual ikan atas kesalahan melindungi pekerja warga asing.
Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, lelaki Bangladesh itu antara 68 warga asing berusia 22 hingga 45 tahun yang ditahan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan.

“Mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki pasport, melanggar syarat Imigresen dan menetap di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan,” katanya.

Katanya, mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari itu terdiri daripada 24 warga Myanmar, Indonesia (21), Bangladesh dan Nepal masing-masing lapan serta empat warga India. Turut ditahan dua lelaki warga China dan seorang lelaki warga Thailand kerana mengemis di situ.
“Daripada jumlah itu, 10 wanita warga asing turut ditahan,” katanya. Othman berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk siasatan lanjut.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah bekerja dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, lelaki berusia 40-an yang juga majikan seorang daripada pekerja warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 55B akta sama kerana mengambil orang asing bekerja dengan memiliki pas pekerja sah.

Maut dirempuh lori ais



BAYAN LEPAS: Seorang remaja perempuan yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menemui rakannya di Bayan Lepas maut akibat tersepit selepas dirempuh sebuah lori ais di Jalan Bayan Lepas/Bukit Belah, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa, Nur Syazana Azemi, 17, dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Desa Mutiara, Balik Pulau.

Jurucakap polis berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal mangsa, sebuah motosikal lain dan lori ais.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun cuba memotong sebuah kereta lain sebelum hilang kawalan dan melintang di tengah jalan.

Katanya, dua motosikal dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh pintu kiri kereta itu sebelum sebuah lori ais dari arah sama merempuh kedua-dua penunggang motosikal menyebabkan seorang terpelanting ke tepi jalan manakala Nur Syazana tersepit antara kereta dan lori.

“Motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk dan terperosok di bawah lori dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala penunggang sebuah lagi motosikal parah dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HBP) untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk dan mayat mangsa sudah dituntut keluarganya dan dibawa pulang ke rumahnya untuk urusan pengebumian.
Katanya, polis sudah mengambil keterangan daripada semua yang terbabit kecuali penunggang motosikal yang parah dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Temui bayi beralas kain batik berdarah



YAN: “Hati saya tersentuh sebaik melihat bayi lelaki masih bertali pusat dalam dalam keadaan kesejukan ditemui hanya dialas kain batik yang penuh darah hampir kering dalam tandas lelaki di masjid ini.
“Bagaimanapun, bayi itu langsung tidak menangis walaupun bahagian mukanya dihurung semut, malah ada jemaah perempuan yang baik hati sempat menyusukan bayi itu yang kelaparan dan dibawa ke dalam masjid untuk diazankan,” kata Naharah Saad, 57.

Naharah antara individu awal yang menemui bayi lelaki itu dalam tandas Masjid Al Falah, Sungai Daun Atas, dekat sini, jam 6 petang pada 23 Ogos lalu iaitu pada hari raya ke-4 Aidilfitri yang dipercayai ditinggalkan sejurus selepas dilahirkan.
Ini berikutan bayi yang dilahirkan seberat 2.94 kilogram itu ditemui masih bertali pusat, manakalanya urinya dipotong tetapi ditinggalkan tanpa sebarang nota atau dokumen.

Naharah berkata, bayi itu ditemui seorang lelaki bersama keluarganya dipercayai dari Baling yang singgah di masjid berkenaan untuk menunaikan solat terkejut apabila melihat bayi itu berada di belakang pintu tandas ketika mengambil wuduk.

Menurutnya, dia yang ketika itu berbual dengan keluarga terkejut apabila menantunya, Nasir Ghani, 30-an yang ketika itu hendak keluar ke pekan berpatah balik memberitahu ada bayi ditemui di belakang pintu tandas lelaki masjid berkenaan yang terletak 200 meter dari rumahnya.
“Saya tidak sampai hati melihat bayi berkenaan dan anak perempuan saya memberikan kain lampin bayinya menyelimut tubuh bayi itu dan terus menghubungi polis memaklumkan kejadian.

“Ketika dibawa ke dalam masjid, bayi itu membuka matanya, tetapi tidak menangis menyebabkan saya sebak mengenangkan nasibnya yang ditinggalkan ibunya,” katanya.
Katanya, ini kali pertama penemuan bayi di kampung berkenaan, malah dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana sebelum ini hanya menonton di televisyen dan membacanya di akhbar.

Sementara itu, Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Yan, Norliza Azezool, berkata bayi lelaki berkenaan diberi nama Muhammad Fitri, 18 hari, diserahkan kepada Hospital Yan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mendapat rawatan.

Menurutnya, Muhammad Fitri dibenarkan keluar hospital, semalam dan diserahkan semula kepada pihak JKM bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk jagaan sementara.

Katanya, perintah jagaan sementara itu diberi selama sebulan bermula semalam sehingga 8 Oktober depan bagi memberi peluang kepada waris atau ibu bapa kandungnya menuntut semula bayi berkenaan untuk urusan dokumentasi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Akta Kanak-kanak 2001 dan pihak kami sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini pagi tadi (semalam) di Balai Polis Guar Chempedak.

“Justeru, keluarga atau waris bayi berkenaan boleh menghubungi JKM di talian 04-4619510 atau 04-4619512 untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Kari selamat suami

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

IPOH: Seorang buruh parah dan nyaris putus telinga kiri selepas ditetak dengan parang oleh seorang jiran tidak berpuas hati dengan teguran mengenai anjing peliharaannya.
Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin di Kampung Kobin, Menglembu, di sini, mangsa S Nagalingam, 41, parah dan dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas diserang dua suspek dipercayai jirannya.

Sumber polis berkata, mangsa yang berehat di pekarangan rumahnya didatangi dua jiran berusia 30-an lalu bertengkar sebelum seorang suspek menyerang mangsa menggunakan parang.

“Mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri bermandi darah selepas diserang bertalu-talu suspek yang tidak berpuas hati dan naik berang dengan teguran mangsa.

“Dia cuba mengelak dan mendapat bantuan ketika diserang suspek, namun tidak terdaya kerana cedera teruk,” katanya.

Koleksi motosikal dikumpul selama sedekad musnah



KUALA SELANGOR: Seorang pemandu lori hanya mampu menggigit jari selepas koleksi tujuh motosikal yang dibelinya sejak 10 tahun lalu musnah dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Bukit Kucing Tengah, Jeram, di sini, pagi kelmarin.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, rumah didiami mangsa, Mohd Azli Amir, 37, bersama ibu, bapa, isteri dan empat anaknya turut musnah dalam kejadian jam 9 pagi itu mengakibatkan keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

Mohd Azli ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka motosikal yang dibeli dan dijadikan koleksi sejak 10 tahun itu musnah sekelip mata mengakibatkan dia kerugian lebih RM100,000 termasuk barangan serta rumah berkenaan.
Katanya, motosikal berkenaan terdiri daripada dua Yamaha RX, Yamaha RX-S (dua), Yamaha V-80 serta masing-masing sebuah Yamaha RX-Z dan Modenas Kriss.

Mohd Azli berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Dengkil untuk menghantar barang sebelum dihubungi saudaranya memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya bergegas pulang dan terkejut melihat segalanya musnah dijilat api menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang.
“Paling menyedihkan, selain pakaian dan dokumen penting, tujuh motosikal kesayangan saya yang diletakkan di bawah rumah musnah sama sekali,” katanya.

Namu, katanya, dia bersyukur semua anggota keluarga selamat tanpa sebarang kecederaan dan reda dengan ketentuan Ilahi.
Dalam pada itu, ibunya, Mashitah Md Noh, 72, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya, Amir Ari Kandang, 72, serta menantu dan empat cucu mereka berada di luar rumah selepas bersarapan.

“Saya terdengar cucu saya yang berusia tujuh tahun menjerit-jerit mengatakan ada api dari belakang rumah. Waktu itu barulah saya nampak api mula merebak di tingkat atas rumah.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa tetapi sempat berkumpul ke tempat yang selamat,” katanya.

Mashitah berkata, angin kuat ketika kejadian menyebabkan api marak dengan cepat.

“Ini rumah pusaka kami dan dibina sejak 30 tahun lalu sedikit demi sedikit. Namun apa saja yang berlaku ini pasti ada hikmahnya dan saya perlu reda,” katanya.

Mayat reput berseluar dalam

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Md Fuzi Abd Lateh
am@hmetro.com.my

KUALA KUBU BHARU: Misteri penemuan cebisan pakaian, kasut dan jam tangan yang hangus terbakar di Bukit Belata, Sungai Sabai, Kalumpang petang kelmarin terjawab apabila polis yang menjalankan pemeriksaan menemui satu ‘kubur’ di lereng bukit hutan itu.
Difahamkan, hasil penemuan kubur sedalam 60 sentimeter itu menyebabkan pasukan polis yang menjalankan siasatan menggalinya sebelum menemui satu mayat reput hanya berseluar dalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mayat terbabit dipercayai milik seorang lelaki berketinggian kira-kira 175 sentimeter dan dipercayai ditanam lebih seminggu lalu.

Norel berkata, penemuan tulang itu dimaklumkan oleh pemilik tanah berkenaan kira-kira jam 3 petang kelmarin ketika membersihkan kawasan tanahnya.

Menurutnya, pengadu memberitahu menemui dua tulang tangan yang timbul di permukaan tanah setelah dipercayai dikorek binatang buas.

Suspek dera kanak-kanak ada 12 rekod jenayah



MELAKA: Polis masih memburu seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian kanak-kanak berusia enam tahun, Noor Sofia Syaqira Abdullah yang disyaki didera di Taman Seri Telok Emas, di sini, Ahad minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pihaknya percaya suspek dikenali sebagai Amiezul Al-Ikram Mohamed, 32, dari Gombak, Selangor yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau itu masih berada di dalam negara.

“Siasatan terhadap kes ini masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Bagaimanapun, kami percaya lelaki yang juga teman lelaki kepada ibu angkat kanak-kanak itu belum keluar dari negara ini,” katanya.

Akhbar ini pada 8 September lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menemui ajal dipercayai didera teman lelaki ibunya di Taman Seri Telok Emas, 2 September lalu.

Insiden itu terbongkar selepas pihak Hospital Melaka (HM) membuat laporan polis jam 7.55 pagi hari kejadian apabila mendapati mangsa, Noor Sofia Syaqira Abdullah dalam keadaan tidak bernyawa dan mempunyai kesan kecederaan di seluruh badannya.
Kanak-kanak terbabit dihantar keluarga kekasih ibu angkatnya berusia 35 tahun yang mengesyaki mangsa sudah meninggal dunia.

Dalam perkembangan lain, Raja Shahrom berkata, pihaknya juga masih mengesan Khairul Nordin, 41, suspek kes tikam abang ipar hingga maut di Kampung Serkam Pantai, dekat sini, bulan lalu.
“Suspek juga tidak menyerah diri meskipun rayuan dibuat oleh isteri dan anaknya melalui akhbar beberapa hari selepas kejadian yang berlaku pada 22 Ogos lalu.

“Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Khairul Nordin, 41, dan Amiezul Al-Ikram diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Rawatan luar biasa Mok Yam

Oleh Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

TUMPAT: Walaupun mengalami masalah pendengaran, seorang warga emas berusia 81 tahun di Kampung Bukit, di sini, menjadi buruan pesakit barah, jantung dan individu yang gagal memperoleh zuriat hingga pernah satu ketika kediamannya ‘diserbu’ sehingga 30 orang.
Mariam Isa atau lebih dikenali sebagai Mok Yam yang masih petah bercakap terkenal dengan kaedah rawatan meletak tapak tangan pada anggota badan bermasalah sambil membaca beberapa ayat al-Quran, bukan saja menerima pesakit dari negara ini, malah warga Singapura dan Brunei turut mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, warga emas itu mendakwa sebelum dianugerahkan kebolehan membantu merawat penyakit berkenaan 14 tahun lalu, dia terlebih dulu menerima musibah apabila mengalami masalah pendengaran selepas enggan merawat pesakit.

Katanya, musibah itu menimpanya selepas mendapat beberapa ayat al-Quran menerusi mimpi sebelum merujuk kepada arwah bapanya yang meminta dia memanfaatkan ayat al-Quran berkenaan untuk merawat orang sakit.

“Beberapa hari selepas menerima mimpi itu, ada seorang jiran mengalami sakit perut tetapi saya tidak mahu merawatnya. Keesokan harinya, tiba-tiba saya mengalami masalah pendengaran dan hanya boleh mendengar jika seseorang itu bercakap dengan kuat.

Tiada masalah selagi tidak bertentangan hukum Islam



KOTA BHARU: “Dalam sesuatu perubatan, selagi tidak menggunakan bahan berunsur haram, najis dan makhluk halus, tiada sebarang masalah dengan cara rawatan dijalankan,” kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebolehan Mariam Isa, 81 atau lebih dikenali sebagai Mok Yam dari Kampung Bukit, Tumpat yang mampu membantu merawat pesakit barah, jantung serta individu yang gagal memperoleh zuriat dengan menyentuh anggota badan bermasalah menggunakan tapak tangan sambil membaca beberapa ayat al-Quran. Pesakit yang sudah mendapatkan rawatan turut diminta menyapu kunyit hidup dicampur beberapa tumbuhan herba seperti daun setawar bisa, daun ribu dan daun ketam guri pada anggota badan bermasalah.

Menurutnya, bukan sesuatu yang luar biasa jika seseorang itu dianugerahkan kelebihan termasuk kemampuan mengubati pesakit seperti dilakukan pengamal perubatan tradisional.
Katanya, jika terbukti anugerah diberikan itu mampu menyembuhkan pesakit, ia tidak menjadi masalah selagi tidak bertentangan hukum Islam, apatah lagi jika menggunakan tumbuh-tumbuhan.

“Setiap sesuatu yang Allah jadikan ada kegunaannya tersendiri, contohnya besi boleh dijadikan parang, begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan,” katanya.
CARA MUDAH MENGENAL
1. JIKA NABI@ RASUL ALLAH KURNIAKAN MUKJIZAT
2. WALI@KEKASIH ALLAH....ALLAH KURNIAKAN KAROMAH
3. ORANG2 SOLEH@TAAT PADA ALLAH....ALLAH KURNIAKAN MAUNAH
4. JIKA FASIK@JAHAT@TAK SOLAT DLL...INI DIPANGGIL SIHIR ATAU IDTIDRAJ

Kutuk sami sokong penghapusan etnik



PUTRAJAYA: Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) dan Majlis Gerakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Asean menyelar tindakan sekumpulan sami Buddha yang mengadakan perarakan bagi menyokong usaha penghapusan dan pengusiran etnik Rohingya dari Arakan, Myanmar.
Setiausaha Ikiam, Mohd Shamsuddin Damin berkata, pihaknya dukacita dengan tindakan kumpulan sami terbabit kerana nyata mengganggu dan mempengaruhi proses siasatan dilakukan oleh suruhanjaya siasatan ditubuhkan kerajaan negara berkenaan.

Menurutnya, perarakan itu menunjukkan kumpulan terbabit tidak menghormati hak kemanusiaan dan hubungan baik dengan umat Islam.
“Kumpulan itu mahu umat Islam Rohingya dihapuskan dan diusir dari Arakan dan Myanmar. Jelas kumpulan itu menyeleweng daripada amalan ajaran Buddha. “Sepatutnya kumpulan sami Buddha terbabit menyeru kerajaan Myanmar mengintegrasikan penduduk Muslim Rohingya dengan seluruh rakyat. Mereka sewajarnya menjadi penggerak perdamaian, bukannya penghalang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Laporan baru-baru ini menyatakan ratusan sami Buddha di Myanmar mengadakan perarakan dengan membawa sepanduk berbunyi “Selamatkan tanah air kamu dengan menyokong presiden”. Mohd Shamsuddin berkata, dalam menyelesaikan isu berkenaan pihaknya turut menggesa NGO Buddha di Malaysia yang menikmati kesejahteraan dan kemewahan tampil membantu dengan cuba mempengaruhi kumpulan sami di negara berkenaan.

‘Macam artis’

Oleh Abdullah Wahab dan Md Fuzi Abd Lateh
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Selepas pendedahan Harian Metro Sabtu lalu...riuh sekampung. Malah, kehidupan kami macam artis, ada saja panggilan telefon dan orang datang ke rumah, mahu bertemu anak saya,” kata Jamaluddin Hamzah, 48, ketika dihubungi, semalam.
Muka depan akhbar ini melaporkan, anak sulungnya, Mohd Adam, 13, mempunyai kelebihan luar biasa kerana kulitnya tidak melecur ketika dibakar dan langsung tidak berdarah apabila dicucuk dengan objek tajam.

Jamaluddin berkata, dia sekeluarga mendapat kejutan luar biasa apabila ramai rakan lamanya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dulu menghubunginya ingin tahu lebih lanjut ‘kuasa’ luar biasa dimiliki anaknya.

“Bukan saja rakan, orang kampung juga telefon dan datang ke rumah kerana ingin tahu dan lihat dengan lebih dekat kehebatan Adam.

“Tetapi saya berulang kali ingatkannya supaya jangan takbur. Ia adalah kuasa Allah dan pemberian itu akan datang dan pergi sekiranya kita riak dan takbur,” katanya.

13 kali hamil anak orang lain



CAROLE menunjukkan kandungan terbarunya yang kini berusia dua bulan.
CAROLE menunjukkan kandungan terbarunya yang kini berusia dua bulan.
CAROLE menunjukkan gambar bayi yang pernah dilahirkanya.
CAROLE menunjukkan gambar bayi yang pernah dilahirkanya.
LONDON: Dalam tempoh tujuh bulan lagi Carole Horlock akan bersalin dan bayi itu akan diserahkan kepada pasangan warga Itali tanpa perlu menunggu dia menggendongnya walaupun untuk seketika.
Dalam keadaan begitu, Carole tidak berasa apa-apa, malah gembira kerana sekali lagi dia berjaya membantu pasangan suami isteri yang tidak memiliki zuriat. Wanita Britain berusia 45 tahun itu menjadi ibu tumpang paling prolifik di dunia dan kini hamil untuk kali ke-13.

Kata Carole, pasangan yang tidak mempunyai anak dibantunya sangat menghargai pertolongan sedemikian.
“Anda boleh lihat kegembiraan di wajah pasangan terbabit sebaik saja menyentuh bayi mereka untuk kali pertama.

“Melihat kepada perasaan teruja dan penuh emosi itu mendorong saya menjadi ibu tumpang,” katanya. Lahir di Stevenage, Carole mempunyai dua anak perempuan - kini berusia 22 dan 19 tahun - hasil hubungannya dengan dua lelaki berbeza. Kata Carole, dia mengetahui mengenai ibu tumpang itu selepas membaca satu rencana di akhbar pada 1995 ketika bekerja di kedai dobi.

“Walaupun berusia 20-an, saya menjadi ibu tunggal dan membesarkan dua anak perempuan.

Bom meletup dalam rumah



JAKARTA: Seorang suspek militan cedera parah apabila sebutir bom dipercayai dibuat untuk serangan pengganas meletup di sebuah kediaman dekat bandar raya ini, kata polis semalam.
Sekurang-kurangnya tiga lagi penduduk yang tinggal berhampiran cedera bersama dua suspek yang melarikan diri. Skuad elit antikeganasan memburu dua lelaki yang melarikan diri itu selepas satu letupan kuat berlaku malam kelmarin di Depok, bandar di pinggir Jakarta, kata jurucakap polis nasional, Mejar Jeneral Anang Iskandar. Letupan berlaku hanya beberapa hari selepas polis menyerbu satu lagi kediaman di Jakarta, di mana alat membuat bom sama ditemui berhubung dengan kumpulan pengganas yang didakwa merancang untuk membunuh polis dan mengebom Parlimen negara itu.

“Kerajaan menyesali dan mengutuk mereka yang menyebabkan letupan itu,” kata seorang pemimpin tinggi keselamatan, Djoko Suyanto kepada wartawan sambil menambah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah dimaklumkan mengenainya ketika menghadiri Persidangan Ekonomi Asia Pasifik di Vladivostok, Russia. “Presiden mengerahkan pemburuan terhadap dua suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian dan itu yang sedang kami lakukan,” katanya. Ketua Polis Nasional, Jeneral Timur Pradopo berkata, dua suspek itu cedera parah di tangan. Dia memberi amaran kepada orang ramai supaya berjaga-jaga terhadap sesiapa yang mengalami kecederaan seumpamanya. - Jakarta Post

No comments:

Post a Comment