Simpan kereta curi di hospital
KLANG – Taktik kumpulan penjenayah yang menjadikan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini sebagai tempat menyembunyikan kereta curi terbongkar selepas polis menemui lima buah kereta curi di kawasan tempat letak kereta di premis itu Sabtu lalu.
Ketika ditemui pada pukul 12 tengah hari itu, salah sebuah kereta terbabit didapati dijadikan tempat untuk suspek menyembunyi enam bilah parang, enam topeng ski, enam sarung tangan getah dan tiga helai jaket disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pembongkaran bermula apabila polis menjalankan rondaan di hospital itu sejak dua minggu lalu.
Katanya, polis kemudian membuat pemeriksaan selepas curiga apabila mendapati kereta itu tidak beralih di tempat letak kereta terbuka itu selama seminggu.
“Semakan mendapati kereta yang tidak berkunci dan menggunakan nombor pendaftaran palsu itu dicuri di Batu 9 Cheras, Kajang, Bestari Jaya dekat sini dan Nibong Tebal, Pulau Pinang.
“Sebuah kereta Proton Waja pula mengandungi peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, kumpulan terbabit dipercayai menjadikan HTAR sebagai tempat meletakkan kereta curi sebelum dijual atau digunakan untuk melakukan jenayah.
Menurut Mohamad, pihaknya masih belum membuat tangkapan dan masih menyiasat mengapa penjenayah memilih hospital untuk meletakkan kereta curi itu.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohamad berkata, polis menahan lima pencuri kereta mewah dan merampas 10 paket syabu, sebuah kereta Honda Accord, 11 keping nombor plat kenderaan dan dua rangkai anak kunci kereta Jaguar dan Porsche Ahad lalu.
Tangkapan pertama dilakukan di sebuah hotel di Taman Chi Liung di sini bersama kereta Honda Accord yang dicuri di Pudu, Kuala Lumpur sebelum polis menahan empat lagi termasuk seorang wanita di sekitar Klang.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dua rakan ditemui lemas
PUTATAN - Kebimbangan seorang bapa mengenai keselamatan anaknya yang dilaporkan tidak ke sekolah menjadi kenyataan apabila kanak-kanak itu ditemui lemas bersama rakannya ketika mandi-manda di pantai Kuala Laut berhampiran Taman Teluk Villa dekat sini kelmarin.
Mayat Mohammad Nurrabbiyel Ismail dan Sufian Sahide, kedua-duanya berusia sembilan tahun, ditemui pada pukul 6 petang dalam keadaan terapung di tebing berhampiran taman tersebut.
Ketika ditemui, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Putatan itu lengkap memakai seragam sekolah dan berkasut.
Bapa Nurrabbiyel, Ismail Ahmad, 40, memberitahu, sebelum mayat anaknya ditemui, dia merasa tidak sedap hati apabila dimaklumkan yang anak bongsu daripada enam beradik itu tidak masuk ke kelas ketika dia datang untuk menjemputnya.
"Biasanya, saya yang akan menjemput anak saya setiap kali sesi persekolahan tamat. Saya terus mencarinya di kawasan sekitar sebaik dimaklumkan mengenai Nurrabbiyel yang tidak ke sekolah.
"Berderau darah saya apabila dimaklumkan terdapat kejadian lemas membabitkan kanak-kanak di kawasan taman perumahan dan apabila saya pergi, memang sah ia melibatkan anak saya," ceritanya dalam nada sebak ketika ditemui.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa telah dilarang mandi di kawasan berkenaan oleh sekumpulan nelayan ekoran cuaca buruk yang menyebabkan laut bergelora.
Sementara itu, saksi kejadian, Abdul Malik Abdul Raup, 40, berkata, mayat dua kanak-kanak itu pada mulanya disangka tunggul oleh sekumpulan remaja yang menemuinya.
"Saya bersama penduduk kampung kemudian pergi ke tempat yang dimaksudkan sebelum mendapati objek yang disangka tunggul itu merupakan mayat kanak-kanak itu," kata guru SK Putatan itu.
CCTV rakam rompakan kedai emas
IPOH – Siasatan berhubung satu kes rompakan sebuah kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput dekat sini 3 September lalu memasuki episod baharu apabila polis menemui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari salah sebuah premis berhampiran lokasi kejadian.
Rakaman kurang tiga minit tersebut jelas menunjukkan empat lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun dilihat melakukan jenayah tersebut pada pukul 8 pagi, 2 September lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, penelitian pada CCTV itu mendapati tiga lelaki keluar dari kedai emas manakala seorang lagi menunggu di lorong belakang kedai.
Katanya, suspek yang di luar didapati memegang sebuah telefon bimbit dipercayai untuk memantau keadaan sekeliling.
“Polis mengesyaki rompakan itu didalangi individu berpengalaman berikutan modus operandi yang digunakan sangat teliti selain mengetahui susun atur keadaan dalam premis terbabit.
“Terdapat kemungkinan orang dalam turut terlibat kerana penjenayah bagaikan tahu kedudukan CCTV dan menebuk dinding yang menempatkan peti besi menyimpan barangan kemas dengan tepat,” katanya selepas perhimpunan bulanan Polis Perak di sini semalam.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mengenali lelaki-lelaki tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput menerusi talian 05-598 2222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Othman di talian 019-254 9135.
Kosmo! pada 4 September lalu menyiarkan pemilik kedai kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput kerugian ratusan ribu ringgit selepas hampir kesemua barangan kemas di premis berkenaan dilarikan perompak.
Maut angkara cinta ditolak
|
|
KUALA LUMPUR - Seorang gadis yang kecewa apabila cintanya tidak dibalas sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon maaf kepada rakan-rakan dan kenalan lelakinya sebelum dia maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 23 di Kondominium PV13, Jalan Genting Klang, Setapak di sini semalam.
Kejadian pukul 4 pagi itu mengakibatkan Nurul Syafika Jamaluddin, 24, maut akibat cedera parah di kepala dan badan. Mangsa dikatakan baru menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Mayat mangsa ditemui oleh seorang penghuni kondominium yang terdengar bunyi seperti objek terjatuh dan sebaik ditinjau, dia terkejut apabila menemui mangsa yang lengkap berpakaian dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah.
Difahamkan, mangsa menyewa bersama abangnya di Seri Kembangan, Selangor dan datang ke premis itu untuk bertemu dengan teman lelakinya yang menetap di tingkat 23. Mereka berkenalan sejak tiga bulan lalu dan lelaki itu merupakan seorang kerani di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya.
"Ketika kejadian, lelaki berusia 24 tahun tersebut tiada di rumah dan mangsa memasuki rumah berkenaan dengan menggunakan kunci pendua.
"Siasatan awal percaya mangsa terjatuh kerana mempunyai masalah peribadi selepas cintanya ditolak namun motif sebenar kejadian masih disiasat," kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Muar, Johor dikatakan sempat menghantar SMS kepada abangnya memaklumkan dia akan pulang ke rumah. Mangsa turut menghantar SMS memohon maaf kepada rakan-rakan termasuk kenalan lelakinya itu.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, dia menyedari kejadian itu ketika bangun untuk menunaikan solat dan terdengar bunyi kecoh di luar bangunan.
"Saya tidak pernah nampak dia (mangsa) sebelum ini, tetapi difahamkan dia terjatuh ketika berada di tingkat 23," dakwanya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Ubat seks haram dirampas
KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merampas pelbagai ubat perangsang seks haram dan aksesori seks bernilai RM6,330 dalam serbuan di Medan Ilmu, Jalan Dato' Pati di sini Jumaat lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, serbuan melibatkan Pegawai Penguat Kuasa Farmasi dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu dibuat selepas mendapat aduan daripada orang ramai.
Menurut beliau, gerai jualan tersebut dimiliki oleh seorang pesara kerajaan berusia 50-an dan rekod menunjukkan dia merupakan merupakan pesalah tegar dan sudah beberapa kali dikenakan tindakan di atas kesalahan yang sama.
"Kami memandang serius hal ini dan bertindak terhadap aduan yang dibuat oleh orang awam kerana ia memberi imej buruk kepada negeri ini dan masyarakat.
"Ubat-ubatan perangsang seks yang dirampas tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ada sebahagiannya merupakan ubat terkawal," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Ahmad Razin, tahun ini sahaja sebanyak empat serbuan telah dibuat bagi mencegah penjualan ubat seks haram antaranya di beberapa lokasi berhampiran Pasaraya Chin Seng, Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Tapak Kuliah Pagi Jumaat di Dataran Ilmu dan beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu.
Melalui rampasan itu, sejumlah RM39,455 nilai keseluruhan barangan berjaya dirampas.
Katanya, penjual barangan tersebut melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan seseorang yang didakwa boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai perlu tahu bahawa penggunaan ubat-ubatan haram ini boleh mendatangkan kemudaratan terutama yang mengandungi ubat kawalan Sildenafil.
"Pengambilan tanpa kawalan dan nasihat doktor boleh menimbulkan kesan sampingan seperti tekanan darah rendah, sakit otot terutama otot belakang, gangguan pada perut, muntah, gangguan penglihatan, radang pundi kencing dan sesak nafas yang boleh membawa kepada kematian," katanya.
Pelajar tidak dibenar ambil UPSR
RAWANG - Seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung di sini mendakwa telah dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula semalam kerana dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi dan imej sekolah tersebut.
Bapa pelajar berkenaan, Mahadzir Mokhtar, 42, berkata, dia amat terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan guru besar sekolah itu bahawa anaknya, Muhammad Faiz, 12, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.
"Saya telah menghubungi pihak sekolah semalam (kelmarin) untuk bertanyakan status UPSR anak saya dan berkesempatan berbual dengan salah seorang guru dan kemudian disambungkan kepada guru besar terbabit namun jawapan yang diberikannya itu cukup mengejutkan," katanya ketika ditemui di sekolah tersebut semalam.
Tambah Mahadzir, pada hari yang sama, anaknya juga telah menemui guru besar berkenaan dan diberitahu tidak perlu hadir ke sekolah.
Disebabkan sikap guru besar tersebut, anak ketiganya itu katanya, enggan hadir menduduki UPSR meskipun telah beberapa kali dipujuk.
"Perkara ini jelas menafikan hak anak saya menduduki UPSR namun lebih mengecewakan adalah sikap guru besar tersebut yang seolah-olah anak saya sahaja yang akan menjejaskan imej sekolah berkenaan.
"Saya akui Muhammad Faiz kerap tidak hadir ke sekolah kerana menghadapi beberapa masalah termasuk masalah kesihatan namun itu tidak boleh dijadikan alasan melarangnya daripada menduduki UPSR," tegasnya.
Kecewa dengan insiden tersebut, Mahadzir yang juga seorang perunding tuntutan di sebuah firma guaman telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa dan mengemukakan aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim ketika dihubungi memberitahu, beliau telah dimaklumkan berkenaan isu tersebut tetapi masih menunggu laporan lanjut mengenainya.
Pada tahun lepas, lima pelajar dari Sekolah Kebangsaan Teluk Sara, Baling, Kedah dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas.
Kejadian yang sama turut berlaku di Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor, Sarawak apabila tiga orang pelajar telah dilarang untuk mengambil peperiksaan tersebut.
Takungan 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis
BAITULMUQADDIS - Beberapa pakar arkeologi menemui sebuah takungan air kuno di sini yang digunakan oleh jemaah semasa ke kota suci bangsa Yahudi, Temple Mount atau dikenali sebagai Haram Ash-Sharif oleh orang Islam.
Akhbar MailOnline melaporkan bahawa takungan yang dinamakan cistern itu boleh menyimpan sebanyak 250 kubik meter air.
Tempat simpanan air itu dipercayai dibina pada era Tempat Ibadat Pertama sekitar 3,000 tahun dahulu.
Menurut kitab Bangsa Yahudi, Tempat Ibadat Pertama dibina oleh Nabi Sulaiman pada kurun ke-10 sebelum masihi (S.M.) sebelum dimusnahkan 400 tahun kemudian.
"Penemuan ini menjelaskan bahawa sumber air pada era Tempat Ibadat Pertama bukan sahaja bergantung kepada mata air tempatan tetapi juga takungan awam," kata ketua ahli arkeologi Pihak Berkuasa Alam Semulajadi dan Taman Israel, Tvika Tsuk.
Menurutnya, tapak Tempat Ibadat Pertama yang dibina oleh Nabi Sulaiman kini berada di bawah Dome of the Rock atau Masjid Kubah Emas di sini. - Agensi
Ketua nombor dua Al-Qaeda di Yemen maut
|
|
SANAA - Ketua nombor dua rangkaian Al-Qaeda di Yemen, Saeed Al-Shihri dan enam orang bersamanya di dalam sebuah kereta maut dalam satu serangan udara kelmarin, kata beberapa pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Yemen.
Beberapa pegawai tentera berkata, Saeed yang merupakan warga Arab Saudi dan pernah berperang di Afghanistan sebelum dipenjarakan selama enam tahun di penjara tentera AS di Teluk Guantanamo mati terkena tembakan peluru berpandu di wilayah Hadramaut, selatan Yemen.
Peluru berpandu itu dipercayai ditembak oleh sebuah pesawat kawalan jauh AS atau dron. Kematian orang kanan Al-Qaeda itu disahkan oleh dua pegawai kanan AS. - AP
Menteri Pertahanan Yemen selamat dalam serangan bom
|
|
SANAA - Menteri Pertahanan Yemen, Mohammed Nasser Ahmed terselamat dalam satu serangan bom kereta semalam yang menjadikan konvoinya sebagai sasaran.
Insiden itu bagaimanapun membunuh 13 orang termasuklah tujuh pengawal keselamatan.
Serangan itu berlaku selepas sehari laman web Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa pemimpin kedua Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), Saeed Al-Shihri terbunuh dalam satu operasi ketenteraan di timur negara tersebut.
"Menteri Pertahanan menjadi sasaran," kata seorang pegawai keselamatan, sambil memberitahu tiga lagi mangsa yang terbunuh masih belum dapat dikenal pasti. Agensi berita Saba melaporkan satu letupan kuat menggegarkan kawasan sekitar bangunan pejabat kerajaan.
Pada Mei lalu, AQAP mengaku bertanggungjawab atas satu serangan berani mati di Sanaa yang mengakibatkan hampir 100 orang askar terbunuh. - AFP
Freeman nafi dakwaan meninggal dunia
|
|
LOS ANGELES - Aktor terkenal Hollywood, Morgan Freeman sekali lagi menjadi mangsa di internet minggu ini apabila khabar angin mengenai kematiannya tersebar di laman sosial Facebook, lapor portal hiburan TheWrap.com kelmarin.
Ia tersebar melalui sebuah akaun Facebook yang kemudian disukai oleh lebih 842,000 individu.
Agensi berita Reuters kelmarin melaporkan laman sosial berkenaan mendakwa Freeman meninggal dunia selepas mengalami masalah arteri.
"Sekitar pukul 5 petang waktu tempatan pada Khamis, aktor kesayangan kita Morgan Freeman meninggal dunia akibat saluran arteri pecah," tulis akaun Facebook berkenaan.
Bagaimanapun, jurucakapnya ketika memberitahu TheWrap.com menafikan berita tersebut selain mengesahkan Freeman masih hidup dan berada dalam keadaan sihat.
Aktor berusia 75 tahun itu pernah memenangi anugerah Oscar pada tahun 2004 menerusi filem Million Dollar Baby.
Dia turut membintangi filem terbaharu Batman, The Dark Knight Rises.
Pada tahun 2010, Freeman pernah menjadi mangsa dalam laman sosial apabila berita dia meninggal dunia di kediamannya tersebar.
Pada awal tahun ini, Freeman juga menjadi sasaran khabar angin yang lebih menjijikkan, apabila laporan media mendakwa dia merancang untuk berkahwin dengan cucu perempuan tirinya, E'Dena Hines. - Agensi
Shakira disaman bekas kekasih
BOGOTA - Penyanyi terkenal dari Colombia, Shakira disaman bekas kekasih yang juga ejennya ekoran beberapa kontrak tertunggak selepas hubungan mereka berakhir, kata peguam bintang pop itu kelmarin.Menurut peguam Ezequiel Camerini dalam satu kenyataan, Antonio de la Rua memfailkan saman tersebut pada Julai lalu dan menuntut aset-aset bank dibekukan.
Camerini tanpa memberi butiran lanjut berkata, permohonan Antonio untuk pembekuan aset bank itu ditolak, tetapi kes asas masih berjalan.
Minggu lalu, media Colombia melaporkan Antonio menuntut saman berjumlah AS$250 juta (RM767.55 juta) dan harta sepencarian yang dikongsi mereka selama 11 tahun bersama.
Antonio, 38, merupakan anak bekas Presiden Argentina, Fernando de la Rua yang berkhidmat dari tahun 1999 hingga 2001.
Beberapa hari kemudian, seorang peguam Antonio menafikan terdapat sebarang tindakan saman diambil.
Menurutnya, pasangan tersebut hanya membubarkan sebuah syarikat yang pernah mereka miliki bersama.
Namun, Camerini kelmarin menafikan terdapat sebarang usahasama sedemikian antara Shakira dan Antonio.
Penyanyi berusia 34 tahun itu kini menjalin hubungan dengan bintang bola sepak pasukan Barcelona, Gerard Pique.
Shakira pernah menjadi penyanyi lagu Waka Waka yang menjadi lagu tema pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010. - AFP
Restoran 80 meter di bawah tanah
LOHJA - Seorang cef pemenang anugerah membuka sebuah restoran baharu yang unik di Finland pada kedalaman 80 meter di bawah tanah.
Menyajikan pelbagai hidangan istimewa seperti ikan salmon masin, daging anak lembu dan siput dimasak bersama epal cincang, restoran itu berada di dalam lombong batu kapur Tytyri di sini, sekitar 60 kilometer ke barat ibu kota Finland, Helsinki.
Harga makan malam merangkumi empat hidangan di restoran Muru Pop Down itu hanya AS$160 (RM497) termasuk kos pengangkutan pergi balik ke lombong itu dari Helsinki.
"Saya seronok bekerja di restoran bawah tanah ini kerana anda jauh dari dunia luar, jadi, anda tiada gangguan untuknya memasak," kata cef berkenaan, Timo Linnamaki.
Seorang pengunjung ke restoran tersebut, Olli-Pekka Jantti berkata, makanan yang disediakan amat lazat.
"Saya juga sukakan kelainan apabila makan di restoran ini, anda berada jauh di dalam bumi, anda berasa amat pelik," katanya.
Lombong berkenaan yang berusia 115 tahun memiliki kedalaman 380 meter.
Sebahagian lombong tersebut masih beroperasi dengan kebanyakan galian itu digunakan dalam industri kimia. - AP
Seni Bangku tarikan warga Tokyo
TOKYO, Jepun - Orang ramai terkejut melihat patung selebriti dan watak animasi termasuk pemenang pingat Olimpik London untuk sukan ping pong, Ai Fukuhara dipamerkan di daerah perniagaan Marunouchi di sini.
Sejumlah 20 buah patung diletakkan di atas bangku pada jarak sejauh 1.2 kilometer di daerah perniagaan berkenaan dalam pameran itu yang dikenali sebagai Seni Bangku.
Seorang pengunjung, Yoshimi Murayama mengambil kesempatan untuk duduk di atas bangku di sebelah patung Fukuhara.
"Patung ini bukan 100 peratus menyerupai Fukuhara tetapi saya kini berasa lebih dekat dengan seni," kata Murayama. Pameran berkenaan berlangsung hingga 14 Oktober depan.
Beberapa patung lain yang dipamerkan termasuk wira sains fiksyen, Kamen Rider dan juara sumo, Hakuho.
Pameran itu diadakan sempena ulang tahun ke-10 pembinaan semula bangunan Marunochi yang merupakan pusat perniagaan di sini di samping meraikan pembukaan sejumlah kedai dan restoran di dalam mercu tanda itu. - Agensi
Majalah ritual menghalau hantu pertama di dunia
|
|
WARSAW, Poland - Susulan peningkatan aktiviti menghalau hantu di Poland, paderi-paderi Roman Katholik di sini bergabung tenaga dengan seorang penerbit untuk melancarkan sebuah majalah bulanan pertama di dunia yang memfokuskan secara eksklusif tentang cara menghalau syaitan.
"Peningkatan aktiviti menghalau hantu daripada empat kepada lebih 120 kes dalam tempoh 15 tahun di Poland merupakan petanda (untuk menerbitkan majalah berkenaan)," kata Paderi Aleksander Posacki.
Posacki merupakan seorang profesor dalam bidang falsafah, teologi dan hal ehwal syaitan serta penghalau hantu terkenal di Poland.
Komen itu dikeluarkan sempena majlis pelancaran majalah berkenaan, Egzorcysta, dalam satu sidang media di sini kelmarin.
Menurutnya, isu pertama majalah setebal 62 muka surat itu termasuk artikel bertajuk New Age - the spiritual vacuum cleaner dan Satan is real mula dijual bulan ini pada harga 2.34 euro (RM9.24) senaskhah.
Paderi berkenaan percaya peningkatan rasukan syaitan berpunca daripada perubahan kepercayaan sebahagian masyarakat Poland yang kini lebih berpegang kepada pasaran bebas kapitalisme dan menolak ajaran Katholik.
"Ia secara tak langsung disebabkan perubahan dalam sistem ekonomi. Kapitalisme mencipta lebih peluang untuk melakukan perniagaan merangkumi ilmu hitam. Malah kini, menelek nasib juga dikategorikan sebagai pekerjaan dan dikenakan cukai," kata Posacki kepada AFP.
"Jika orang ramai boleh membuat keuntungan dengan menggunakan elemen ilmu hitam, gangguan rohani turut berkembang," tambahnya.
Posacki yang turut berkhidmat dengan panel pakar penghalau hantu antarabangsa menjelaskan bahawa rasukan merupakan tingkah laku ekstrem yang gagal dirawat melalui kaedah psikologi, psikiatri dan terapi konvensional.
"Rasukan berlaku akibat kejahatan. Mencuri, membunuh dan pelbagai dosa lain," katanya kepada wartawan.
Jelasnya, roh jahat yang merasuk pesakit akan diusir dengan menggunakan panduan mantera yang diluluskan oleh ketua mazhab Roman Katholik, Pope John Paul II. - AFP
Staf wanita lebih teliti servis spa kereta
|
HIMPUNAN kereta mewah jenama Porsche memenuhi ruang parkir Porsche PDI Centre di Glenmarie Shah Alam, Selangor. Semuanya sedang menunggu untuk menjalani proses pemeriksaan sebelum dihantar kepada pemiliknya.
Di bahagian dalam pusat itu, sebuah kereta sport Porsche Boxster berwarna merah terang dan Porsche Cayennes rona putih sedang diperiksa oleh beberapa pekerja wanita.
Salah seorang daripadanya ialah Marinael Diaz, gadis berusia 23 tahun yang berasal dari Manila, Filipina. Riak wajahnya serius ketika melakukan tugas-tugas akhir memeriksa bahagian dalaman jentera tersebut.
Setelah hampir enam bulan bekerja di pusat berkenaan, Marinael kini semakin cekap dan mahir menjalankan tugas sebagai gadis pengilat kereta.
Walaupun pada awalnya dia langsung tiada sebarang kelulusan dalam bidang itu, namun ia bukan penghalang untuknya menguasai kerja-kerja yang diklasifikasikan sebagai tugas spa untuk kereta.
"Memang saya akui ketika mula-mula sampai di Malaysia, saya tiada sebarang pengalaman dalam bidang pekerjaan. Ini merupakan kerja pertama saya. Justeru, saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberi oleh majikan untuk menonjolkan potensi diri.
|
|
"Melalui kursus dan latihan yang disediakan, saya dapat belajar cara-cara dan teknik yang betul untuk mencuci, mengilat atau melicinkan kereta.
"Lama-kelamaan saya jatuh cinta dengan kerjaya ini. Ia sesuatu yang seronok dan mengujakan. Apatah lagi apabila dapat memeriksa kenderaan mewah sebegini," ujar Marinael sambil tangan mulusnya tekun mengelap cermin hadapan Porsche Boxster itu.
Tambah Marinael, setiap hari dia akan memeriksa, mengilat atau melicinkan antara tiga hingga empat buah kereta Porsche. Tugas itu akan dilakukan secara bersama dengan empat rakan sekerja.
|
|
Pilih staf wanita
Pengurus Besar Porsche PDI Centre, Md. Reza Ali berkata, pihaknya mengambil inisiatif menggunakan kakitangan wanita bagi menjalankan kerja-kerja kecantikan dalaman kereta.
"Ini kerana, bahagian dalaman sesebuah kenderaan mewah bersifat sensitif. Tangan lelaki biasanya agak kasar berbanding wanita. Di sinilah fungsi pekerja wanita dalam memastikan kecantikan dalaman kenderaan yang dihantar terjaga rapi.
|
|
"Setakat ini, Marinael dan seorang lagi kakitangan wanita menunjukkan prestasi kerja yang sangat baik. Mereka amat teliti dalam setiap perkara yang dilakukan. Malah, mereka tidak pernah jemu untuk mempelajari perkara baharu," jelas Md. Reza sambil memberitahu mereka menggunakan produk penjagaan kereta antarabangsa, Sonax yang merupakan jenama terkemuka dari Jerman.
Menurut Md. Reza, syarikat Automail (M) Sdn. Bhd. yang mengendalikan pusat tersebut merupakan pengedar tunggal produk Sonax di Malaysia.
"Sonax merupakan jenama produk penjagaan kereta nombor satu di Eropah. Ia mempunyai lebih 150 variasi produk dan dipasarkan di lebih 94 buah negara di seluruh dunia.
"Lantaran itu, penggunaan produk ini memberi nilai tambah kepada penjagaan kecantikan sesebuah kenderaan tidak kira sama ada ia kereta mewah atau sederhana," ungkap beliau lagi.
Perkara itu diakui oleh pemilik Muz Garage Auto Detailing, Irwan A. Rahman yang menggunakan produk tersebut dalam menawarkan perkhidmatan penjagaan kereta profesional kepada khalayak.
|
|
Modal RM80,000
Beroperasi sejak bulan Julai 2011, Muz Garage Auto Detailing boleh dianggap antara pusat spa kecantikan kenderaan terbaik bagi mereka yang mahu memastikan jentera masing-masing berada dalam keadaan bergaya.
Apa tidaknya, Muz Garage Auto Detailing hari ini bukan sahaja dikunjungi pelanggan kereta biasa, bahkan pemilik jentera mewah.
"Di sini, kami menyediakan penjagaan kenderaan lengkap luaran dan dalaman seperti mencuci, menggilap dan melicinkan. Ini termasuklah baik pulih lampu hadapan, perapi kerusi kulit kenderaan, fogging serta cucian enjin," tegas Irwan, usahawan muda Melayu yang berkecimpung dalam perniagaan spa kenderaan kerana minatnya terhadap dunia permotoran.
|
|
Menurut Irwan lagi, perancangan untuk membuka sebuah spa kenderaan mewah sedemikian tercetus selepas berhenti kerja di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai pegawai media pada tahun 2010.
Tambahan pula, dia memang peminat setia dunia permotoran. Oleh itu, selepas berhenti kerja, Irwan mengambil masa selama empat bulan untuk membuat penyelidikan berkaitan bidang tersebut.
Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM80,000 hasil wang simpanan yang dimiliki, akhirnya dia berjaya membuka Muz Garage Auto Detailing secara rasmi pada bulan Julai tahun lalu. Bagaimanapun ungkapnya, tempoh enam bulan pertama yang dilalui merupakan waktu eksperimental bagi sesebuah perniagaan baharu.
"Pada awalnya, saya berdepan banyak cabaran untuk membangunkan perniagaan ini terutama dalam aspek mendapatkan pelanggan. Maklumlah kedai baharu beroperasi memang sukar untuk meraih kedatangan pelanggan.
"Tambahan pula tidak ramai anak Melayu yang terlibat dalam perniagaan sebegini. Namun, ia bukan alasan untuk saya mengaku kalah. Rintangan yang datang saya anggap sebagai proses mematangkan diri dalam jatuh bangun dunia bisnes," jelas beliau lebih lanjut.
|
|
Ternyata kesusahan yang dilalui akhirnya membuahkan hasil yang boleh dibanggakan. Jika dahulu hanya kereta kecil dan sederhana yang mendapatkan servis di Muz Garage, kini situasi sudah jauh berubah.
Himpunan kereta mewah dan berprestij semakin banyak mengunjungi premis tersebut. Jenama terkemuka seperti BMW, Mercedes, Audi, atau Wolkswagen bersilih ganti menggunakan servis yang ditawarkan.
Untuk perkhidmatan spa kereta di Muz Garage Auto, pakej yang ditawarkan bermula serendah RM200 hingga RM800.
"Alhamdulillah, ia satu perkembangan yang sangat memberangsangkan. Insya-Allah, saya bercadang untuk melebarkan sayap perniagaan ini dengan membuka beberapa cawangan Muz Garage di destinasi berbeza," kata Irwan penuh harapan.
No comments:
Post a Comment