Jamalul Kiram dakwa ada pihak mahu bunuhnya
|
MANILA - Satu pasukan asing didakwa tiba di negara ini untuk membunuh pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III, kata jurucakapnya, Abraham Idjirani.
Menurut akhbar Philippine Daily Inquirer semalam, skuad itu juga didakwa akan membunuh penasihat Jamalul Kiram Pastor 'Boy' Saycon.
Pada satu sidang media semalam, Idjirani mendedahkan, seorang kolonel tentera asing bersama empat komando dan tiga pembunuh upahan tempatan didakwa akan membunuh Jamalul Kiram dan para pengikutnya.
Idjirani meminta pihak Biro Siasatan Kebangsaan dan polis tentera Filipina untuk menyiasat maklumat perisikan masing-masing bahawa skuad bunuh itu kini tinggal di Hotel Maxim di bandar Pasay.
Idjirani berkata, seorang peguam yang dikatakan didekati anggota-anggota skuad berkenaan telah memberitahu Saycon mengenai plot tersebut.
Para pengikut Jamalul Kiram sebelum ini menceroboh Lahad Datu, Sabah untuk menuntut tanah nenek moyang Kesultanan Sulu pada 12 Februari lalu.
Pertempuran kemudian berlaku melibatkan para pengikut itu dengan anggota-anggota keselamatan Malaysia yang melibatkan sejumlah kematian. - Agensi
Bashar didakwa guna senjata kimia
ISTANBUL - Pihak penentang Syria semalam menafikan tuduhan pemerintah bahawa mereka menggunakan senjata kimia.
Tentera Pembebasan Syria (FSA) itu sebaliknya menyalahkan rejim Presiden Bashar Al-Assad berhubung serangan roket yang menyebabkan orang awam mengalami masalah pernafasan.
"Kami difahamkan tentera menyerang kawasan Khan Al-Assal di bandar Aleppo menggunakan peluru berpandu jarak jauh dan maklumat awal kami mendapati ia ialah senjata kimia," kata jurucakap FSA, Louay Muqdad.
"Banyak nyawa terkorban dan ramai yang cedera pula sukar bernafas," katanya di Istanbul.
Beliau menafikan dakwaan oleh agensi berita SANA bahawa FSA melancarkan beberapa roket mengandungi senjata kimia ke arah Khan Al-Assal yang meragut 15 nyawa.
"Kami tiada peluru berpandu jarak jauh atau senjata kimia dan jika ada pun, kami tidak akan membedil kumpulan kami sendiri," katanya.
Beberapa penganalisis tentera menyatakan, stok senjata kimia Syria adalah yang terbesar di rantau Asia Barat.
Lebih 70,000 orang terbunuh sejak penduduk bangkit menentang pemerintahan rejim Bashar pada Mac 2011 kerana menuntut demokrasi dan kebebasan bersuara. - AFP
Tanah runtuh ragut 17 nyawa di Brazil
RIO DE JANEIRO - Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam beberapa kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di sebuah kawasan pergunungan di Brazil, kata pihak berkuasa semalam.
Berpuluh-puluh penduduk lagi hilang tempat tinggal sejak Ahad lalu dalam bencana yang menimpa Petropolis dan kawasan sekitarnya.
Bekas bandar diraja itu terletak 68 kilometer ke utara Rio Janeiro.
Menurut seorang pegawai tempatan, antara yang terbunuh termasuk dua petugas keselamatan.
Gabenor Rio, Sergio Cabral meminta penduduk yang terjejas berlindung di penempatan-penempatan sementara ekoran hujan semakin lebat.
Pada masa yang sama, Datuk Bandar Petropolis, Rubens Bomtempo pula menggesa penduduk setempat agar tidak keluar rumah.
Beliau memberi amaran lebih banyak tanah runtuh diramal berlaku.
Satu kenyataan pertahanan awam menyatakan, hujan lebat turut menjejaskan beberapa bandar lain di negeri Rio termasuk Angra dos Reis, Mangaratiba, Niteroi dan Te resopolis.
Pada Januari 2011, lebih 900 orang terbunuh di negeri itu selepas hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh. - AFP
Lohan dihukum berada 90 hari di pusat pemulihan
LOS ANGELES - Aktres bermasalah Amerika Syarikat, Lindsay Lohan kelmarin dihukum memasuki sebuah pusat permulihan selama 90 hari.
Pelakon berusia 26 tahun itu menjalani hukuman tersebut selepas dia bersetuju menerima perjanjian rayuan berhubung kes kesalahan kecil kemalangan kereta.
Lohan juga dihukum berada di bawah pemerhatian selama dua tahun selepas dia tidak membuat sebarang pengakuan dalam kes kemalangan kereta tersebut di San Monica pada Jun 2012.
Aktres itu juga perlu menjalani kerja-kerja komuniti selama 30 hari.
Kerja-kerja tersebut boleh dilakukannya di New York yang merupakan tempat tinggalnya.
Lohan yang tiba lewat hampir sejam juga dikehendaki menjalani psikoterapi selama 18 bulan.
Aktres itu tiba lewat kerana dia terlepas pesawat dari New York ke Los Angeles.
Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, James Dabney berkata, pelakon itu perlu mengikuti program selama 90 hari di pusat pemulihan tersebut.
"Adakah anda memahami dan menerima semua syarat pemerhatian dalam kes itu?", soal Dabney.
"Ya, tuan," kata Lohan.
Hakim itu memberitahu kepada peguam Lohan, Mark Heller bahawa aktres berkenaan perlu membuktikan bahawa tubuhnya tidak mengandungi dadah atau alkohol.
Dabney juga mahu Lohan tidak menggunakan sebarang dadah atau ubat yang dihadkan penggunaannya ke atas para pesakit tertentu sahaja.
Kes kemalangan kereta di Santa Monica itu melibatkan kereta Porsche yang dipandunya. Kereta tersebut melanggar sebuah trak di Lebuh Raya Pantai Pasifik.
Lohan pada mulanya mendakwa dia merupakan penumpang di dalam kereta tersebut.
Bagaimanapun, siasatan mendapati dia kemudian pemandu kereta berkenaan.
Selepas kemalangan itu, Lohan didakwa menghalang seorang pegawai polis, memberi keterangan palsu dan memandu dengan cuai.
Dakwaan itu sekali gus menunjukkan aktres itu melanggar syarat-syarat pemerhatian selepas dia dihukum kerana mencuri seutas rantai leher pada tahun 2011. - Agensi
Pejabat Peguam minta 38 pengganas Sulu diikat jamin
MANILA - Pejabat Peguam Awam (POA) semalam meminta Mahkamah Perbicaraan Wilayah Tawi-Tawi untuk membenarkan 38 orang yang didakwa sebagai anggota tentera Kesultanan Sulu dibenarkan diikat jamin atas tuduhan menghasut untuk berperang.Menurut portal berita Inquirer.net, Ketua POA, Persida Rueda-Acosta berkata, pihaknya kini berada di Tawi-Tawi untuk menfailkan permohonan itu.
Pihak POA itu mahu memohon mahkamah untuk mengarahkan Jabatan Kehakiman bagi menyiasat semula kes tersebut.
Sebanyak 38 orang itu didakwa melanggar Artikel 118 Kanun Keseksaan kerana menghasut untuk berperang atau memberi motif untuk bertindak balas.
Mereka juga telah melanggar peraturan membawa senjata api.
Kesemua tertuduh kini berada di sebuah kem tentera laut di bandar Panglima Sugala di Tawi-Tawi.
Pada pagi 20 Mac lalu, seramai 38 orang itu yang terdiri daripada seorang wanita menaiki dua buah bot selepas mereka melarikan diri dari Sabah.
Dua buah bot yang dinaiki mereka dipintas dua bot tentera laut Filipina di selatan negara ini.
Kumpulan itu melarikan diri selepas anggota-anggota keselamatan Malaysia melancarkan serangan untuk memerangi pengganas Sulu.
Sejumlah senjata api termasuk M16 dan senapang patah turut ditemui di dalam bot tersebut.
Mereka menceroboh Lahad Datu selepas mengikut ketua gerombolan pengganas Sulu di Sabah Azzimuddie Kiram.
Azzimuddie merupakan adik pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram. - Agensi
Kenderaan robotik rakam warna di dalam batu Marikh
FLORIDA - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin menyiarkan gambar-gambar yang menunjukkan warna yang terdapat dalam seketul batu Sutton Inlier di planet Marikh.
Batu itu pecah selepas kenderaan robotik Curiosity melanggarnya di planet tersebut.
Para saintis kini memikirkan apakah warna sebenar bahagian dalam batu itu jika mereka berada di Marikh.
Batu tersebut terdapat di kawasan Kawah Gale.
Tanah di kawasan itu kurang berwarna merah berbanding di tempat lain planet Marikh. - AFP
Ujian kapal angkasa lancar satelit kecil pada 2017
GENEVA - Sebuah syarikat Switzerland, Swiss Space System-S3 akan mula melakukan ujian terhadap misi melancarkan satelit kecil di angkasa lepas pada tahun 2017.
Kos untuk melancarkan satelit kecil itu dengan menggunakan kapal angkasa milik syarikat tersebut hanya AS$10.5 juta (RM42.45 juta).
Ia merupakan empat kali lebih murah daripada kos sebenar.
Kapal angkasa itu boleh melancarkan satelit yang seberat 250 kilogram. Syarikat itu dimiliki oleh seorang angkasawan Switzerland, Claude Nicollier. - Agensi
Pelancong wanita terjun hotel takut dirogol
NEW DELHI - Seorang pelancong wanita Britain bertindak nekad melompat keluar dari tingkap tingkat tiga bilik hotelnya kerana takut diperkosa pemilik hotel tersebut.
Wanita itu memberitahu polis, pemilik hotel itu cuba memecah masuk ke biliknya selepas menawarkan untuk mengurutnya.
Wanita itu memberitahu polis, pemilik hotel itu terus mengetuk pintunya dan cuba untuk membukanya selepas dia enggan menerima tawaran mengurut secara percuma daripada pemilik hotel berkenaan.
Seorang pegawai polis, Sushant Gaur berkata, mangsa cedera di kaki selepas dia bertindak terjun dari hotel tersebut.
Susulan kejadian itu, katanya, polis menahan pemilik hotel tersebut di Agra yang menempatkan Taj Mahal, antara lokasi pelancongan popular di India.
Menurutnya, setakat ini tiada dakwaan dikenakan terhadap pemilik hotel tersebut.
Insiden itu berlaku selepas seorang pelancong Switzerland dirogol bergilir-gilir pada Jumaat lalu.
Enam lelaki telah ditangkap berhubung serangan itu.
FBI tahu pencuri larikan 13 lukisan RM1.5 bilion
|
BOSTON - Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kelmarin menyatakan, ia telah menyelesaikan misteri selama berdekad-dekad berhubung siapa yang mencuri 13 buah lukisan bernilai AS$500 juta (RM1.5 bilion) daripada Muzium Isabella Stewart Gardner di sini.
Lukisan yang dicuri pada 18 Mac 1990 selepas tengah malam itu meliibatkan lukisan yang dihasilkan pelukis terkenal, Rembrandt dan Vermeer.
Dua orang yang menyamar sebagai pegawai polis mencuri lukisan-lukisan tersebut dalam tempoh 81 minit.
Ketua FBI di Boston, Richard DesLauriers berkata, ejen-ejen biro itu mengesahkan bahawa identiti pencuri yang memasuki muzium tersebut dan pihak yang bersekutu dengannya.
Beliau yang membuat pendedahan itu pada satu sidang akhbar di sini menyatakan terdapat perkembangan yang penting dalam siasatan tersebut.
Bagaimanapun, pencuri-pencuri yang memasuki muzium tersebut dengan memakai pakaian seperti pegawai polis itu akan terlepas daripada pendakwaan.
Para pencuri itu mengikat dua pengawal sebelum mereka mencuri lukisan tersebut.
Pencuri-pencuri tersebut terlepas daripada dakwaan kerana lukisan itu dicuri 23 tahun lalu.
Menurut Peguam Negeri, Garmen Ortiz, para pencuri itu terlepas kerana undang-undang tidak membenarkan suspek pencuri didakwa dalam kes yang berlaku 23 tahun lepas.
DesLauriers menyatakan, FBI percaya para pencuri itu bekerja untuk sebuah pertubuhan penjenayah yang berpangkalan di New England dan di beberapa negeri-negeri di timur Amerika Syarikat.
Namun, identiti pencuri itu tidak didedahkan.
Pihak FBI juga setakat ini masih belum mengetahui lokasi lukisan-lukisan tersebut disembunyikan. - Agensi
Julia Perez jalani hukuman penjara
JAKARTA - Penyanyi dangdut dan pelakon terkenal, Julia Perez semalam menjalani hukuman penjara tiga bulan di Penjara Pondok Bambu di sini kerana kesalahan mencederakan seorang lagi artis, Dewi Persik.Perez yang merupakan artis seksi yang popular dengan nama Jupe itu dilihat memakai pendakap leher ketika dibawa ke penjara itu dari Pejabat Pendakwa Raya Daerah Jakarta Timur.
Dia sebelum ini ditempatkan sementara di pejabat pendakwa tersebut.
Jupe atau nama sebenarnya Yuli Rahmawati dibawa ke Pejabat Pendakwa Raya dari kediamannya di kawasan perumahan Raffles Hills Cluster Spring, Cibubur, Jakarta Timur malam kelmarin.
Artis kontroversi itu sebelum ini telah dua kali gagal menyerah diri ke pejabat itu pada 14 dan 25 Februari lalu untuk menjalani hukumannya.
Jupe dihukum penjara tiga bulan oleh mahkamah selepas didapati bersalah mencederakan Persik yang juga seorang penyanyi di lokasi penggambaran filem Arwah Goyang Kerawang pada tahun 2010.
Perbuatan tersebut dilakukan ketika mereka berdua sedang melakonkan satu adegan pergaduhan dalam filem seram itu.
Persik yang turut dijatuhkan hukuman penjara dua bulan oleh mahkamah kerana terlibat dalam pergaduhan itu belum lagi menjalani hukumannya. - Bernama
No comments:
Post a Comment