Gempur empat pengganas
LAHAD DATU: Satu pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dengan sekumpulan pengganas di sebuah rumah tinggal di Kampung Kembara Sakti Felda Sahabat tengah malam tadi.
Menurut sumber, pasukan keselamatan menggempur rumah berkenaan yang menjadi tempat persembunyian sekumpulan empat pengganas bersenjata yang dilaporkan menawan seorang suri rumah selama dua jam, petang semalam untuk mencari makanan.
Sehingga awal pagi ini, tiada pengesahan daripada pihak berkuasa tentang jumlah kematian atau tangkapan pengganas terbabit, bagaimanapun sumber pasukan keselamatan mengesahkan usaha dijalankan bagi menumpaskan kumpulan pengganas bersenjata yang dikatakan lolos daripada kepungan di zon merah itu.
Terdahulu petang semalam, sekumpulan empat lelaki bersenjata dipercayai saki baki pengganas yang melarikan diri daripada kepungan pasukan keselamatan bertindak mengikat tangan dan kaki seorang wanita di Kampung Kembara Sakti selama kira-kira dua jam sebelum menggeledah rumah mangsa bagi mencari makanan.
Ketika kejadian, kira-kira jam 2 petang itu, suri rumah berusia 40-an sedang berada di dalam rumah manakala suaminya keluar bekerja.
Menurut jiran mangsa dikenali sebagai Mutiya Mambalusah, 41, kemunculan empat lelaki bersenjata itu secara tiba-tiba mengejutkan jirannya itu kerana kampung berkenaan terletak kira-kira 25 kilometer dari Kampung Tanduo dan tidak dikategorikan dalam zon merah sebaliknya diisytihar sebagai kawasan selamat.
“Sebaik memasuki rumah, seorang daripada lelaki itu yang boleh berbahasa Melayu meminta makanan manakala dua yang lain bersembunyi di atas loteng mungkin sebagai persediaan jika ada orang lain memasuki rumah.
“Apabila dimaklumkan tiada makanan, mereka terus mengikat kaki dan tangan jiran saya sebelum menggeledah rumah itu untuk mencari makanan,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, jirannya itu berjaya membuka ikatan berkenaan dua jam kemudian sebelum bertindak melarikan diri ke rumahnya.
“Saya yang terkejut dengan kejadian itu kemudian terus membantunya melarikan diri sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis. Ketika itu tidak diketahui sama ada kumpulan terbabit masih berada dalam rumah jiran saya itu,” katanya.
Mutiya berkata, sebaik laporan polis dibuat, pasukan keselamatan kemudian mengarahkan semua penduduk berpindah ke masjid berhampiran.
‘Saya diarah, dibayar seseorang’
Tawau: “Saya diarah dan dibayar oleh seseorang. Saya amat bodoh kerana melakukan semua ini,” kata Holland Kalbi.
Dia dan tujuh lagi lelaki warga Filipina berusia 17 hingga 66 tahun menyatakan demikian sewaktu didakwa di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, atas tuduhan menjadi kumpulan pengganas ketika ditahan dalam Op Daulat.
Bagaimanapun, Ravinthran berkata, kenyataan Holland tidak akan dipertimbangkan tetapi hanya direkodkan mahkamah.
ANGGOTA polis mengawal rapi seorang daripada lapan penggganas di Mahkamah Tinggi Tawau, semalam.
Mengikut pertuduhan, Holland dan lima tertuduh lain iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad H Manuel, Lin Mad Salleh, Habil Suhaili dan Timhar Hadir didakwa menjadi anggota pengganas di Kampung Tanjung Labian, Kampung Tanduo, Jalan Kastam, di Lahad Datu, dekat sini
Bawa lembu naik Persona
Alor Gajah: Tindakan seorang lelaki menjual seekor lembu yang baru beberapa jam dicuri kepada rakannya memakan diri apabila kedua-dua mereka dibelasah penduduk di sebuah kampung di sekitar Masjid Tanah, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, seorang penduduk di Kampung Seri Tanjung di sini, menyedari kehilangan seekor lembu betinanya kira-kira jam 8.30 pagi sebelum berjaya mengesan semula binatang berkenaan, empat jam kemudian.
“Menyedari kehilangan itu, mangsa kemudian meminta beberapa rakannya mencari lembu berkenaan dengan meninjau beberapa kandang di sekitar Masjid Tanah dan berjaya mengesan binatang itu diikat di kandang di depan rumah seorang daripada suspek.
LEMBU yang hilang ditemui semula.
“Apabila ditanya, suspek berdegil mendakwa lembu itu kepunyaannya hingga menyebabkan penduduk membelasahnya dan menjadikan peraih lembu berkenaan sebagai umpan memerangkap pencuri sebenar,” katanya di sini, semalam.
3 bulan tak ke sekolah
Bachok: Meskipun tidak hadir ke sekolah selama tiga bulan kerana mengalami kemurungan dan tekanan yang sukar diramal dikenali sebagai ‘panic disorder’ ia tidak menghalang seorang pelajar untuk meraih 6A dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan, semalam.
Mohamad Hakimi Mamat, 18, meraih keputusan A dalam Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan dan Fizik manakala B dalam Biologi serta dua C dalam Bahasa Inggeris dan Kimia.
“Selepas mengalami masalah tekanan, saya akui tidak boleh berada di sesuatu tempat yang ramai orang kerana menyebabkan saya menjadi cepat panik dan berpeluh.
MOHAMAD Hakimi mencium ibunya selepas memperoleh 6A dalam SPM.
“Ekoran keadaan itu, saya tidak boleh belajar di sekolah bersama rakan lain. Namun begitu, setiap kali peperiksaan guru akan mengirimkan kertas soalan melalui rakan supaya saya menjawabnya,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, di sini, semalam.
Budak nyaris rentung main pemetik api
Ibu kanak-kanak itu, Wan Saaudah Wan Saidon, 27, berkata, dalam kejadian jam 4 petang itu, anaknya Muhammad Muhaimin Haiqal Muhammad Muamar bermain dalam bilik tidur seorang diri.
“Bimbang Haikal terperangkap dalam bilik itu, kami cuba memadamkan kebakaran menggunakan air sambil dibantu jiranyang datang sebaik melihat kepulan asap dan api keluar melalui tingkap rumah,” katanya.
WAN Saaudah bersama anaknya Muhammad Muhaimin melihat keadaan bilik yang musnah terbakar.
Wan Saaudah berkata, ibunya, Che Wan Muteh Che Wan Alim, 57, juga bertindak menjerit meminta tolong sambil memanggil nama Haiqal, sebelum seorang jiran menemui Haiqal dalam keadaan ketakutan tidak jauh dari rumah.
‘Tak cukup duit belajar’
Klang: “Saya berkerja di tempat cuci kereta untuk menampung kehidupan harian di Malaysia dan membayar kos pengajian,” kata seorang warga Nigeria ketika ditahan pihak berkuasa di sebuah tempat mencuci kereta.
Dia antara tujuh individu warga asing ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam Ops 6P di dua tempat mencuci kereta di Taman Sentosa, di sini, semalam.
Lelaki dikenali sebagai Augustine, 25, berkata, dia terpaksa berkerja di tempat mencuci kereta itu menampung pengajiannya di sebuah kolej swasta di Ampang, Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia sudah belajar di kolej itu sejak setahun lalu dan menghabiskan hampir RM5,000 untuk membiayai pengajiannya.
“Sekarang saya terpaksa menangguhkan pengajian kerana saya tidak cukup duit untuk belajar,” katanya.
WARGA Pakistan yang ditahan dalam operasi di sebuah tempat mencuci kereta di Taman Sentosa.
Operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil bersama 11 anggota itu membabitkan penahanan lima lelaki warga India dan masing-masing seorang lelaki warga Pakistan dan Nigeria.
Othman berkata, semua yang ditahan berusia 25 hingga 47 tahun dan mereka ditahan kerana tinggal lebih masa, tidak memiliki pas perjalanan sah dan melanggar pas lawatan sosial.
“Semua yang ditahan akan dibawa Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau dikenakan enam sebatan,” katanya.
Mati kena 4 das
Kuala Lumpur: Seorang wanita ditemui polis dalam keadaan tergamam dan hanya mampu menangis apabila kekasihnya mati ditembak empat das di dalam kereta BMW dinaiki mereka di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu mangsa yang berusia 31 tahun itu mati akibat cedera parah di dada, leher, tangan dan rusuk kiri.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, kejadian disedari anggota polis yang bertugas berdekatan tempat kejadian dan terdengar bunyi letupan sebelum bergegas ke lokasi.
“Pada masa sama, ada empat individu dipercayai lelaki menaiki dua motosikal Yamaha LC memecut meninggalkan tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, mangsa dan teman wanitanya baru saja mendaftar masuk di hotel berkenaan kira-kira 20 minit sebelum kejadian berlaku.
Zainuddin berkata, hasil pemeriksaan terhadap mangsa, polis menemui beberapa peket disyaki dadah jenis syabu, Eramin 5 dan juga Ecstacy.
“Semakan terhadap kenderaan dinaiki mangsa turut mendapati kereta BMW itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan disamun dalam satu kejadian pecah rumah di Brickfields, Selasa lalu.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh,” katanya.
‘Ibu lihatlah ini’
Cyberjaya: “Saya mahu bertemu ibu dan menunjukkan slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini kepadanya. Hanya itu impian dan hadiah paling bermakna buat saya,” kata Alia ‘Armani Ahmad Sazali seorang daripada 14 pelajar cemerlang Sekolah Seri Puteri di sini yang berjaya mendapat keputusan 9A+ dalam SPM.
Alia ‘Armani berkata, dia terpisah dengan ibu kandungnya, Aishah Othman, 41, sejak berusia 10 tahun, namun sangat berharap dapat menunjukkan keputusan SPM kerana mahu berkongsi kegembiraan dengan insan yang melahirkannya.
Menurutnya, dia terpisah dengan ibu kandung disebabkan masalah keluarga, namun yakin wanita itu tidak pernah melupakan dirinya.
ALIA ‘Armani (kiri) dan Siti Hajar menunjukkan slip keputusan masing-masing.
“Walaupun saya tidak bertemu dengannya sejak kecil, saya percaya ibu sangat menyayangi, mendoakan kejayaan dan berharap saya menjadi anak yang baik.
Dilahir tanpa tulang kering
Kaki baru Ted Johnson, 3, mempunyai jari tidak seperti beberapa kaki palsunya yang lain. Minggu ini, dia cuba memakai kaki palsu kaca gentian baru berwarna biru buat kali pertama di gelanggang bola keranjang di Hospital Kanak-Kanak Diraja di Melbourne.
Mesin pengimbas gagal mendedahkan Ted mengalami keadaan yang jarang berlaku tibial hemimelia ketika dalam kandungan ibunya, Abbie.
Kanak-kanak itu sebelum ini dilengkapi dengan dua lagi jenis kaki palsu tetapi ini adalah set kaki palsu pertama lengkap dengan jari kaki.
Dan sebaik saja kaki kaca gentian baru berwarna biru itu dipasang pada Velkro, Ted sudah boleh bergerak. Ibunya berkata: “Dia sangat hebat - tiada apa yang boleh menghalangnya.
JOHNSON tanpa kaki palsu.
Polis kecewa mangsa kemalangan tak mati
Laura Thomas mengalami retak di kepala, patah tiga tulang di tengkuk dan belakang badan serta tiga pendarahan otak akibat kemalangan itu.
Ketika dia koma, seorang anggota polis yang menyiasat kejadian itu menghantar e-mel dalaman kepada seorang anggota lain dari cawangan siasatan kenderan.
Bapa Laura, Darren Thomas hanya mengetahu mengenai e-mel itu selepas mengemukakan permohonan Kebebasan Maklumat untuk melihat semua dokumen berkait dengan kemalangan itu.
Thomas dari Bilton berkata: “Saya terkejut melihat e-mel itu. Saya begitu tertekan dan marah. “Anggota polis itu seolah-olah kecewa anak saya tidak mati.” Laura, kini 22, cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan di Yorkshire itu empat tahun lalu.
“Saya dan keluarga berdepan dengan masalah besar sejak kemalangan itu. Kami bertambah tertekan apabila mengetahui mengenai e-mel berkenaan,” kata Laura.-DM
Penggal adik kerana insurans
Chen Chia-fu, 37, dipercayai membunuh adiknya itu kerana mahu menuntut bayaran insurans.
Laporan media tempatan merujuk kejadian itu sebagai ‘kes kepala jeruk’ kerana kepala mangsa ditemui dalam bungkusan plastik dengan disapu beberapa lapisan garam. Setakat ini, hanya kepala mangsa saja ditemui.
Rakaman kamera pengawasan menunjukkan Chen membawa beberapa beg mengandungi objek yang tidak dapat dikenal pasti. Dia juga membeli sekurang-kurangnya empat polisi insurans untuk adiknya yang akan membolehkan dia memperoleh sejumlah besar wang jika wanita itu mati. Chen yang ditangkap semalam menafikan tuduhan membunuh. Bahagian lain mayat mangsa dan senjata yang digunakan untuk membunuh masih belum ditemui. - Daily Mail
No comments:
Post a Comment