Wednesday, March 20, 2013

KAN ELOK KITA BUAT KERJA2 KEBAJIKAN BUKAN SEBALIKNYA

Lapan pengganas Sulu didakwa

PASUKAN keselamatan IPD membawa seorang tertuduh masuk ke bilik mahkamah di Lahad Datu semalam untuk didakwa.


LAHAD DATU - Lapan lelaki warga Filipina yang disyaki pengganas Sulu didakwa di Mahkamah Majistret di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sini semalam atas pertuduhan melakukan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130 K(A) Kanun Keseksaan kerana melancarkan keganasan dan Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kedua-dua pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Suluk dan Bajau.
Jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 130 kesemua tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup manakala bagi pertuduhan mengikut Seksyen 121 pula mereka boleh djatuhi hukuman mati.
Lapan tertuduh itu ialah Basad H. Manuel, Atik Hussin Abu Bakar, Holland Kalbi, Lin Mad Saleh, Timhar Hadir, Habil Suhaili, Kadir Buyong dan Lating Tiong.
Basad dan Atik dituduh atas kedua-dua pertuduhan iaitu melakukan keganasan dan melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Baki empat lagi tertuduh, didakwa melakukan keganasan. Kesemua tertuduh berumur 17 hingga 66 tahun.

Mayat 28 pengganas dikebumi


PASUKAN tentera yang terlibat dalam Ops Daulat membuat rondaan memburu saki-baki pengganas di Kampung Tanjung Batu semalam.


LAHAD DATU - Kesemua 28 mayat pengganas yang selesai dibedah siasat dan dilakukan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau akan dikebumikan sementara di sini bagi mengelak kekurangan ruang menyimpan mayat di kedua-dua buah hospital tersebut.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar kecil) berkata, identiti kesemua mayat pengganas lelaki itu telah dikenal pasti dan akan dikebumikan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, keputusan mengebumikan sementara kesemua mayat tersebut dibuat hasil mesyuarat khas melibatkan beberapa agensi seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Interpol pada 18 Mac lalu.
Khalid bagaimanapun tidak menyatakan lokasi pengebumian mayat-mayat itu.

Pelakon wanita didakwa cederakan bekas suami


SHARIFAH NADIA bersama peguamnya keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam selepas didakwa atas tuduhan mencederakan bekas suaminya.


PETALING JAYA - Seorang pelakon wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencederakan bekas suami dengan mencubit dan mencakar tangan ahli perniagaan itu dalam satu pergaduhan berhubung jagaan anak tahun lalu.
Sharifah Nadia Yusnita Abd. Haniff, 32, yang popular dalam drama Mahligai Gading mengaku tidak bersalah.
Dia didakwa mencederakan Lob Mahadir Abdul Syukur, 40, di Dewan Tan Sri Jefry Chia, Sekolah Kebangsaan Chee Wen USJ di sini pada pukul 10.30 pagi 25 November 2012.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Jangan burukkan nama saya - Rita Rudaini

KUALA LUMPUR - Pelakon Rita Rudaini menempelak tuduhan bapa mertuanya yang kecewa kerana dia gagal menghantar wakil dalam jawatankuasa pendamai bagi proses permohonan cerai pasangan itu di Mahkamah Syariah Seremban, Negeri Sembilan kelmarin.
Kata Rita, dia tidak harus dipersalahkan kerana peguamnya telah menghantar surat kepada peguam suaminya dan mahkamah terlebih awal memberitahu dia tidak dapat hadir kerana berada di luar daerah.

Tiga maut kereta rempuh treler


BEGINILAH keadaan kereta Proton Saga Aeroback yang remuk selepas bertembung dengan sebuah treler dalam nahas ngeri.


SUNGAI SIPUT - Sepasang suami isteri dan jirannya maut selepas kereta jenis Proton Saga Aeroback yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 41.3, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Kampung Setia dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 9 malam itu mengakibatkan Romlan Ros Abdul Bakar, 52, isteri, Haniza Hussin, 46, dan jirannya, Mohd. Ridzuan Mohd. Nor, 55, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, isteri Mohd. Ridzuan, Zaharah Abdullah, 52, pula cedera parah.
"Semua mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara dalam perjalanan ke Ipoh dari Felda Bersia, Gerik. Sewaktu melalui lokasi kejadian, kereta yang dipandu Romlan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Pentadbiran berjalan seperti biasa

SEREMBAN - Urusan pentadbiran Negeri Sembilan tetap berjalan seperti biasa di bawah kerajaan sementara sekali pun Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik Selasa ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembubaran DUN itu hanya melibatkan kuasa politik wakil-wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya, namun kuasa pentadbiran negeri masih wujud.
"Kerajaan sementara mesti ada (walaupun DUN terbubar) untuk menjaga kepentingan rakyat, sehingga satu pilihan raya diadakan dan kerajaan baharu yang dipilih oleh rakyat ditubuhkan.
"Tetapi dalam tempoh DUN dibubar sehingga pilihan raya, kerajaan sementaralah yang akan menjaga negeri. Orang mesti faham ini sebab jangan nanti ada yang persoal kenapa Menteri Besar masih ada selepas DUN bubar," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.
Katanya, di negara ini apabila DUN atau Parlimen bubar, sama ada secara automatik atau tidak, kerajaan yang sama akan mengambil alih pentadbiran sebagai kerajaan sementara.

Tangisan di tempat pembunuhan


MILNAH (kiri) dan Roselyn tidak dapat menahan sebak ketika meninjau kawasan Dirang ditemui mati dan mayatnya dibakar di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Suasana pilu menyelubungi kawasan rumah terbengkalai di Nusa Damai di sini apabila ahli keluarga kanak-kanak yang dibunuh sebelum mayatnya dibakar, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang sebak ketika mengikuti rombongan Mahkamah Tinggi ke situ semalam.
Ibu Dirang, Roselyn Alan, 26, dan nenek mangsa, Milnah Jul, 57, dilihat menitiskan air mata sebaik mereka menjejakkan kaki ke lokasi mayat Dirang ditemui terbakar pada 8 Mac tahun lalu.
Dua wanita itu berada di situ kerana mengikuti Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman dan beberapa pegawai lain ke kawasan jenayah untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian tersebut.
Lawatan pada pukul 10.50 pagi itu turut disertai Ketua Pendakwa Raya Johor, Umar Saifuddin Jaafar, Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar dan dua peguam yang mewakili tertuduh, Mohd. Daud Ismail serta Mohamad Abd. Kadir.
Kesemua rombongan mahkamah dibawa melihat sebuah lubang dengan kesan terbakar, tempat rangka Dirang, 5, ditemui sebelum melawat kawasan tasik berhampiran yang dipercayai digunakan suspek untuk mandi dan membasuh motosikal miliknya selepas membakar mangsa.

Ribuan bangkai udang terdampar di pantai


SEORANG penduduk mengambil sejumlah daripada ribuan udang yang ditemui mati di sebuah pantai di bandar Coronel kelmarin.-REUTERS


CORONEL - Ribuan bangkai udang terdampar di sebuah pantai di sini, kira-kira 540 kilometer ke barat daya Santiago, Chile kelmarin.
Udang tersebut mati ekoran pencemaran yang berlaku di kawasan habitatnya dekat pantai tersebut.
Pencemaran itu berlaku selepas air yang digunakan untuk menyejukkan dua loji termoelektrik dilepaskan ke laut tersebut. - Reuters

Tentera Malaysia didakwa mahu bunuh Jamalul Kiram

GAMBAR fail menunjukkan Jamalul Kiram minum air di dalam rumahnya di bandar Taguig, Manila pada 5 Mac lalu.-AP


MANILA - Tentera Malaysia didakwa merancang untuk membunuh pemimpin pengganas Sulu, Jamalul Kiram III dan para pengikutnya, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam.
Seorang anak perempuan kepada Jamalul Kiram, Jacel Kiram berkata, seorang peguam, Mario Lozada telah berjumpa dengan seorang lelaki bernama Sunny Ng yang dipercayai sebagai pegawai tentera Malaysia berpangkat kolonel di restoran Genting Palace di kompleks kasino Resorts World, bandar Pasay pada Isnin lalu.
Menurutnya, pertemuan itu diatur oleh seorang ahli perniagaan Malaysia bernama Kenneth Lee yang mempunyai kaitan dengan sebuah firma Malaysia, tempat Lozada bekerja sebagai penasihat undang-undang.
"Mereka membayangkan kepada Lozada bahawa kedatangan ke sini adalah untuk membunuh Jamalul Kiram dan para pengikutnya (termasuk penasihat Jamalul Kiram, Pastor Boy Saycon)," dakwa Jacel pada satu sidang media di kediamannya di bandar Taguig.
Jacel berkata, Biro Siasatan Kebangsaan dan beberapa pegawai tentera Filipina memberi komitmen untuk menyiasat dakwaan untuk membunuh Jamalul Kiram.
"Malaysia berani untuk bertindak radikal kerana kenyataan Presiden Filipina, Benigno Aquino III yang pro-Malaysia," katanya.
Kelmarin, jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani mendakwa Ng dan empat orang 'komando' telah tiba di negara ini.
Menurutnya, mereka mahu membunuh Jamalul Kiram dan para pengikutnya.
Idjirani turut mendakwa Ng mengupah tiga anggota Tentera Rakyat Baharu untuk melakukan misi tersebut.
Sebelum ini Jacel pernah menipu dengan menunjukkan sekeping gambar palsu yang didakwanya sebagai anggota keselamatan Malaysia yang mati selepas bertempur dengan pengikut bapanya.
Menurut akhbar dalam talian GMA News, gambar itu sebelum ini telah diterbitkan di muka hadapan akhbar Philippine Star.
Selepas dimaklumkan oleh beberapa orang pembaca, pihak GMA News kemudian turut mengesahkan imej tersebut sebenarnya palsu.
Gambar itu merupakan askar-askar Thailand yang terkorban pada tahun 2007 yang disiarkan di internet.
Sementara itu,Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika dihubungi Kosmo! menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) menyifatkan tuduhan terbaharu itu sebagai mengarut.

Doktor mati ditembak pesakit kerana bil rawatan

MARSEILLE - Seorang doktor pergigian wanita di sini ditembak mati kelmarin oleh seorang pesakit berusia 71 tahun yang kemudian menembak dirinya.
Timbalan Pendakwa Raya Marseille, Christophe Barret ketika memberitahu pemberita berkata, pesakit itu muncul di klinik gigi berkenaan dengan membawa dua pucuk senjata api.
Lelaki terbabit mengarahkan seorang pesakit yang dirawat keluar dari bilik rawatan sebelum dia segera menembak doktor pergigian berusia 50-an itu.
Tembakan tersebut menyebabkan bangunan yang menempatkan klinik itu dikosongkan dan pihak polis dihubungi.
Pembunuh terbabit dilaporkan menembak dirinya selepas dia melepaskan dua das tembakan terhadap anggota polis.
Menurut satu sumber polis, lelaki berkenaan dipercayai bertengkar dengan doktor itu kerana dia tidak membayar bil perubatan berjumlah kira-kira 100 euro (RM404). - AFP

Anggota Parlimen Ukraine bergaduh


SEJUMLAH wakil rakyat bergaduh di dalam bangunan Parlimen di Kiev kelmarin.


KIEV - Sejumlah wakil rakyat di Parlimen Ukraine bertumbuk dan menarik rambut sesama mereka semasa satu sesi perdebatan berlangsung di sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku apabila seorang ketua wakil rakyat daripada sebuah parti pemerintah, Oleksandr Yefremov berucap dalam bahasa Rusia.
Yefremov kemudian disindir oleh wakil rakyat pembangkang yang mahu dia bercakap dalam bahasa Ukraine.
Wakil rakyat pembangkang dan pemerintah kemudian saling sindir-menyindir menyebabkan pergaduhan tersebut berlaku.
Speaker Parlimen, Volodymyr Rybak kemudian menjerit meminta pergaduhan tersebut dihentikan.
Bagaimanapun, sesi perbahasan itu disambung semula selepas sejam ditangguhkan ekoran kejadian itu setelah semua wakil rakyat berkenaan berhenti bergaduh. - Agensi

Pekerja zoo beri seekor kambing untuk dimakan biawak komodo


DUA pekerja membaling bangkai seekor kambing ke dalam kurungan biawak komodo naga di Zoo Surabaya, Surabaya semalam.- AFP


SURABAYA - Dua pekerja membaling seekor kambing yang telah mati untuk dimakan oleh beberapa ekor biawak komodo naga di Zoo Surabaya di sini semalam.
Lima ekor biawak kemudian mengerumuni bangkai kambing itu di dalam kurungan haiwan tersebut selepas ia dibaling oleh dua pekerja berkenaan.
Haiwan tersebut merupakan biawak paling besar di dunia.
Ia boleh membesar sehingga tiga meter panjang dengan berat sehingga 70 kilogram.
Biawak itu amat popular dalam kalangan pengunjung zoo. - AFP

Remaja AS dihukum penjara seumur hidup

ARDON, Ohio - Seorang remaja, T.J. Lane, 18, (gambar) yang didapati bersalah membunuh tiga orang pelajar di kantin sekolah di Chardon, Ohio, Amerika Syarikat (AS) semalam dijatuhi sebanyak tiga hukuman penjara seumur hidup tanpa dibenarkan parol.
Dia mengaku bersalah pada bulan lepas dalam kejadian tembakan yang berlaku pada Februari tahun lalu.
Beberapa penyiasat berkata, Lane menyatakan tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian.
Sebelum kes itu dibicara di mahkamah awam, seorang hakim mahkamah juvana memutuskan Lane waras dan boleh dibicarakan biarpun ada bukti mendakwa dia mengalami halusinasi, psikosis dan fantasi. - AP

Lukisan berusia lebih 17,000 tahun dipamerkan


SALINAN lukisan yang dipamerkan itu menunjukkan haiwan seperti lembu.-AFP


CHIGACO, Amerika Syarikat - Muzium Field di sini mempamerkan salinan beberapa lukisan yang berusia lebih 17,000 tahun kepada orang ramai bermula semalam.
Lukisan tersebut ditemui di sebuah Gua Lascaux di Perancis.
Gua tersebut ditutup kepada orang awam pada tahun 1963 sebagai usaha untuk memulihara lukisan tersebut.
Penutupan tersebut menyebabkan salinan lukisan itu dibuat untuk dipamerkan kepada orang awam.
Pelbagai gambar orang dan haiwan terdapat pada lukisan itu.
Bagaimanapun, pakar-pakar masih belum dapat mentafsirkan makna lukisan tersebut.
Terdapat hampir 2,000 lukisan di dalam gua itu. - Agensi

Bashar buat lawatan mengejut


BASHAR (kiri) dikerumuni wanita semasa beliau tiba di sebuah pusat pendidikan di Damsyik semalam.-AFP


DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar Al-Assad membuat kemunculan mengejut di sebuah pusat pendidikan di sini semalam.
Menurut laman web rasmi Presiden itu di Facebook, beliau menemui beberapa keluarga bagi memberi penghormatan kepada mereka.
Anggota-anggota keluarga itu yang merupakan pelajar terbunuh ekoran serangan yang dilakukan golongan penentang.
Ia merupakan kemunculan pertama Bashar di khalayak awam selepas beliau bersolat di sebuah masjid pada 24 Januari lalu bagi memperingati ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menyiasat mengenai penggunaan senjata kimia di negara ini.
Komander Tertinggi Tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Laksamana James Stavridis berkata di Washington, pihaknya kini menimbang untuk menggunakan pendekatan ketenteraan ke atas Syria.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang campur tangan hanya akan berlaku dengan persetujuan Majlis Keselamatan PBB dan 28 anggota NATO.
Pertempuran di Syria bermula pada Mac 2011 selepas pihak tentera bertempur dengan kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan.
Para penentang itu mahu menggulingkan Bashar dengan menganggapnya gagal untuk membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan bersuara. - Agensi

Serangan siber berlaku di Korea Selatan


SEORANG lelaki (kiri) cuba untuk menggunakan sebuah Mesin Teler Automatik semasa serangan siber berlaku di Seoul.-AP


SEOUL - Rangkaian komputer di dua bank utama dan tiga stesen penyiaran televisyen terkenal di negara ini digodam semalam.
Serangan tersebut menyebabkan mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang lumpuh di seluruh Korea Selatan.
Agensi Keselamatan Maklumat menyatakan, serangan siber itu berlaku pada pukul 2 petang waktu tempatan apabila imej tengkorak muncul pada sejumlah skrin komputer.
Menurut pihak polis dan para pegawai Korea Selatan yang menyiasat kes itu menyatakan punca serangan tersebut masih belum jelas.
Namun, terdapat spekulasi bahawa serangan siber itu dilakukan oleh Korea Utara. Sebahagian komputer mula beroperasi selepas lebih dua jam dan 30 minit tergendala.
Kejadian itu berlaku selepas Korea Utara dikenakan sekatan barang mewah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana melakukan ujian nuklear pada Februari lalu.
Sebuah kumpulan yang tidak dikenali yang bernama Whois Team mengaku menggodam komputer-komputer itu.
Komputer-komputer yang terjejas itu ialah milik rangkaian televisyen YTN, MBC dan KBS.
Ia turut menjejaskan komputer Bank Shinhan dan NongHyup.
Di sebuah kedai kopi Starbucks di sini, para pelanggan diminta untuk membayar tunai manakala terdapat barisan di mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang semasa kejadian tersebut berlaku.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan, ekoran kejadian itu, pihak tentera meningkatkan tahap berjaga-jaga berhubung serangan siber.
Bagaimanapun, para pegawai pertahanan melaporkan tiada tanda-tanda serangan siber berlaku pada rangkaian komputer kementerian tersebut. - Agensi

No comments:

Post a Comment