Wednesday, March 20, 2013

CAKAP KEMAIN...HEBAT2...RASA BANYAK MENYOKONG...TAPI TAK BUBAR2 JUGA...SEBENARNYA KITA TAHU...BAHAWA RAKYAT DAH TAK SUKA

Rita: Hero Sekarang Banyak Jambu Bukan Lembut

Posted on the March 18th, 2013 under Artis by admin
KUALA LUMPUR, 18 MAC 2013: Menerusi akhbar Harian Metro baru-baru ini, ada isu mengatakan kebanyakan pelakon lelaki masa kini terdiri daripada kalangan lelaki lembut. Bagaimanapun, Rita Rudaini yang telah mengikuti isu berkenaan langsung tidak mempersetujui mengenai pandangan itu seratus-peratus.
“Bagi Rita, hero sekarang bukannya lembut tetapi mereka semua memiliki wajah yang jambu. Mungkin sebab itulah mereka semua disifatkan lelaki lembut.
“Terus-terang, Rita lebih suka bergandingan dan menonton cerita yang dilakonkan pelakon lelaki yang berwajah Melayu. Rita suka tengok hero yang wajah Melayu dan memiliki aura jantan.

“Tidak kisahlah pelakon itu kacak atau pun tidak. Malah, Rita juga gemar aktor yang berkulit sawo matang. Kalau kulit putih sangat nanti nampak jambu,” katanya kepada murai.com.my.
Meneruskan pendapat mengenai isu ini, Rita mengakui tidak suka menonton drama atau filem yang menampilkan pelakon lelaki yang berwajah jambu.
“Kalau saya tengok drama atau filem, saya tidak suka tengok hero jambu. Biarlah hero itu hitam manis tetapi maskulin. Rita lebih suka tengok hero seperti Rosyam Nor dan Remy Ishak,” ujarnya.
Menyentuh tentang kes yang melibatkan dirinya dan pelakon Lisdawati, ibu kepada dua orang anak ini kalau boleh tidak mahu mengungkit kisah yang lama.
“Rita tidak kisah berlakon dengan dia. Rita juga tidak suka buat hal. Rita tidak mahu kisah lama diungkit lagi. Benda yang lama janganlah disebut lagi. Rita tidak selesa. Perkara itu sudah pun selesai. Rita pun tidak ada masalah pergi shooting dengan dia,” jelasnya.
Murai

Video GlobalWitnes di Sarawak: SPRM kena siasat segera

Posted on the March 20th, 2013 under Politik by admin

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta bertindak segera terhadap pendedahan yang dibuat oleh Global Witnes melalui satu klip video yang kini menjadi video paling panas di Malaysia.
Anggota Lembaga dan Penal SPRM, Salahudin Ayub membuat desakan ini ekoran pendedahan yang dibuat oleh klip video berkenaan.
“Saya meminta SPRM membuat tindakan segera. Lagi lambat tindakan diambil lagi rosak nama baik kita (SPRM),” kata Salahudin (gambar) kepada Harakahdaily.

Sehingga berita ini ditulis, sudah lebih 135,221 orang menonton klip video Bahasa Inggeris tetapi mempunyai terjemahan yang baik dalam Bahasa Malaysia ini. Sudah 2,337 penonton video ini menyatakan ‘like’ kepada video ini.
Video klip ini mendedahkan bagaimana keluarga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Taib Mahmud mengumpul kekayaan untuk mereka dengan menipu dan melanggar undang-undang negara.
Klip bertajuk ‘Di sebalik bayang-bayang sebuah negeri di Malaysia – sebuah filem oleh Global Witnes’ mengisahkan cerita seorang aktivisnya yang menyamar untuk melabur di Sarawak.
Ia berupa kisah korupsi yang berlaku dalam sebuah keluarga elit yang memerintah Sarawak yang mengeksloitasi segala hasil dan rakyat negerinya untuk kepentingan mereka.
“Dengan menyamar sebagai pelabur, Global Witnes telah ke Sarawak untuk menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana perniagaan ini dijalankan dan ke manakah wang itu disalurkan,” kata Global Witnes di awal video ini.
Ekoran itu, mereka telah bertemu dengan pegawai kerajaan yang bertugas bagi membolehkan pelaburan dibuat.
Namun, pegawai ini telah memperkenalkan mereka dengan keluarga Taib Mahmud untuk menjalan perniagaan ini termasuklah sepupu Taib, Fatimah Abdul Rahman.
Dari situlah Global Witnes mendedahkan segala-galanya tentang apa yang berlaku di Sarawak.

 

Harakahdaily.net


Kisah Seorang Anak Derhaka Hadapi Sakaratul Maut

Posted on the March 20th, 2013 under Tempatan by admin

Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.
“Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni,” kata salah seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai. Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.
“Apa sakitnya ni?” tanya saya. “Entahlah ustaz, doktor pun tak tau.”Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya menakutkan dan menyedihkan.

“Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak, sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya.” Berserta raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya? “Panggil ibunya segera,” kata saya. Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.
“Kenapa ni?” tanya saya. Dengan perlahan abang Jalal bersuara, “Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas.” “Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat membantu,” kata saya berterus terang.
Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan Jalal.”Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku.” “Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami,” jawab salah seorang daripada mereka.
Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat hati saya. Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka, Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya.
Nasihat dan teguran ibunya pula dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya. Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak disyarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi semakin parah.
Walau di syarikat manapun yang Jalal bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.
“Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga,” katanya kasar. “Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu,” jawab si ibu. “Ahhh, saya tak kira.” “Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang,” jawab ibunya.
Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat menyedihkan.
Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di lantai, rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada Jalal. Bermulalah azab dalam hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang dihadapinya.
Jalal sebaliknya meraung, menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih. Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.
“Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain,” kata saya. Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan. “Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah.”
Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya dengan ‘ke situ’? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa ‘ke situ’ dan apa yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa dibogelkan.Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, “Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini, insya-Allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak…” Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi.
Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit saya berdering. “Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak,” kata si abang. Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka.
Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara serentak.
Di bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata, peluh serta najisnya. Selepas ‘rentapan’ itu, Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.
Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka. Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratulmaut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya. Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat sangat.
Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah kelengkangnya.
Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai barat semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak.
Van yang cuma membawa lima orang, mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu, boleh patah shock absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil kami. Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul525950_508145219206512_1757148171_n – tidak ada van atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya.
Apa yang membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke atasnya.
Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga Allahyarham. “Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz.” “Apa masalahnya itu?” tanya saya. “Kubur adik saya berlubang ustaz.” Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan. Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula.
“Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi,” kata saya. Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah, masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.
“Begini sajalah,” kata saya. “Mulai malam ini buatlah majlis Yassin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali.”
Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali tibanya hari raya aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya.
Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah. Amin.
Halim Islam

Cerita Ngeri Ketua Kampung Kutip Mayat Pengganas Sulu

Posted on the March 20th, 2013 under Tempatan by admin
mayat-pengganas-565x551
PERISTIWA enam pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia dibunuh dan diseksa di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Maclalu tidak mungkin dapat dilupakan oleh seluruh rakyat di negara ini.
Dalam kejadian itu, tiga pengganas militan Sulu juga berjaya ditembak mati.

Namun, disebabkan faktor keselamatan, tiga mayat pengganas tersebut tidak dapat dikeluarkan dalam insiden tersebut.
Memandangkan ia terbiar agak lama, mayat-mayat ketiga-tiga pengganas itu mula membusuk hingga meresahkan penduduk di kampung berkenaan.
Perkara tersebut kemudian disampaikan kepada ketua kampung, Ramlee Saraman.
Walaupun marah dengan pengganas yang terbunuh itu, namun Ramlee sedar sebagai orang Islam, mayat itu harus disempurnakan seperti yang dituntut syarak.
” Memang saya marah dengan yang mati itu, tetapi saya kena rasional dan tak boleh terikut-ikut dengan emosi…yang mati itu seagama dengan saya, saya tak boleh biarkan ia terus di situ, mayat mereka mesti diuruskan, bab dosa dan pahala mereka adalah urusan Allah.
” Lagipun saya faham benar keluh resah penduduk, bayangkan anak-anak mereka menggunakan laluan yang sama untuk ke sekolah, trauma mereka jadinya nanti.
” Bab bau jangan ceritalah, bukan seorang, tetapi tiga!,” katanya ketika ditemui wartawan Mynewshub.my di sini semalam.
Ramlee bersyukur kerana pihak keselamatan memahami keresahan beliau dan penduduk kampung.
Malah, katanya, Ketua Polis Daerah sendiri bersedia menawarkan perlindungan keselamatan kepada beliau dan penduduk kampung sekiranya mereka mengambil keputusan untuk menguruskan mayat-mayat itu.
Menurut Ramlee, beliau kemudiannya bermesyuarat dengan penduduk kampung terutama pihak surau untuk mengangkat mayat-mayat itu dari lokasi kejadian.
Tetapi, katanya, seperti mana pasukan keselamatan, beliau dan penduduk kampung juga merasai kebimbangan yang sama, terutama memikirkan ‘perangkap’ yang mungkin dibuat oleh pengganas -pengganas Sulu yang lain ketika kerja mengangkat mayat itu dilakukan.
Apatah lagi, katanya, bila mengenangkan kemungkinan ada ‘pengkhianat’ di situ yang mungkin hendak membalas dendam terhadap kematian rakan-rakan mereka.
” Saya akhirnya nekad, dengan airmata yang berlinang, saya merayu kepada mereka yang ada di situ agar memberikan kerjasama dan tidak melakukan apa-apa kepada kami yang hendak mengangkat mayat yang terbujur kaku itu.
” Saya kata pada mereka, sebagai orang Islam, adalah menjadi tuntutan kita semua untuk menyelesaikan urusan kematian pengganas-pengganas Sulu ini, kita tidak boleh membiarkan kehadiran mayat-mayat itu menganggu kehidupan kita di kampung ini, ” katanya.
Ketika diminta menceritakan proses mengeluarkan mayat-mayat itu, Ramlee berkata, hanya Allah yang tahu betapa sukarnya mereka untuk berbuat demikian.
Menurutnya, kerja-kerja itu mungkin nampak mudah tetapi keadaan mayat yang mula membusuk telah merumitkan keadaan.
Tambahnya, mereka bimbang sekiranya ia tidak dilakukan secara berhati-hati, akan ada anggota tubuh pengganas ini yang akan ‘lerai’ kerana ia sudah membengkak.
” Selepas mayat itu kami angkat, kami letakkannya di simpang jalan…lalu saya hubungi pihak berkuasa yang kemudiannya membawa mayat-mayat itu ke hospital.
” Saya sempat melihat wajah-wajah mereka, ternyata ia bukan penduduk kampung ini, malah tiada siapa pun mengenali mereka kecuali mayat yang dalam sampan itu, ada penduduk mendakwa pernah melihat dia solat Jumaat di kawasan berhampiran, entah betul entahkan tidak,” katanya.
Dalam pertemuan kami itu, Ramlee turut meminta semua pihak agar tidak terus melabelkan kampungnya sebagai ‘kawasan hitam’ hanya kerana berlakunya insiden tersebut.
Katanya, beliau sedih kerana banyak pihak mula melabelkan kampung mereka sebagai sarang pengganas dan sebagainya.
Jelasnya, insiden tersebut adalah satu perbuatan yang tidak dapat dimaafkan tetapi tidak adil untuk menghukum semua yang ada di situ.
” Kampung ini banyak sejarahnya, ia telah mula dibuka sejak tahun 1939 dan sejak itu, kami semua hidup dalam aman dan harmoni.
” Benar, ada penduduk yang datang secara haram tetapi perkara begini bukan hanya berlaku di kampung ini…tetapi apa boleh buat, hidup mesti diteruskan.
” Mengenai pandangan banyak pihak yang mahu kampung kami dirobohkan, saya harap kalau ia benar-benar dilaksanakan, kebajikan penghuni perlu diambil kira, kami ini kebanyakannya nelayan, sebab itu rumah kami dibuat di tepi laut…kalau ia dibuat di lokasi yang terlalu jauh, ia sudah tentu menyukarkan keadaan,” jelasnya. – Mynewshub.my

PMO: Khabar angin Parlimen bubar hari ini tak benar

Posted on the March 20th, 2013 under Politik by admin

Pejabat Perdana Menteri hari ini menafikan bahawa perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen hari ini.
“Khabar angin yang menyatakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, oleh Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak) tidak benar sama sekali,” kenyataan pejabat berkenaan dipetik.
Kenyataan itu disiarkan di Twitter pada kira-kira jam 1 petang, selepas khabar angin berkenaan tersebar luas melalui SMS dan juga di laman sosial.

Wartawan Malaysiakini juga dihujani pertanyaan daripada pembaca yang ingin mendapat pengesahan mengenai khabar angin berhubung pembubaran parlimen itu.
Ramai pihak menjangkakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, selepas Najib membentangkan kad laporannya berhubung Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam siaran langsung di kaca TV pada malam tadi.
DUN Negeri Sembilan merupakan dewan undangan pertama yang akan dibubarkan, pada 26 Mac.
Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini menjangkakan bahawa Parlimen akan dibubarkan pada 25 Mac, sehari sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan.
Lim bagaimanapun berkata, Parlimen juga mungkin dibubarkan lima hari lebih awal daripada 25 Mac.
Tempoh pentadbiran kerajaan persekutuan berakhir pada 28 April dan pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan bahawa pilihan raya akan diadakan serentak untuk kerusi Parlimen dan kerusi DUN.
Kenyataan PMO hari ini turut menjadi perhatian memandangkan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menafikan, pada 12 Februari 2008, bahawa Parlimen akan dibubarkan pada keesokan harinya.
Abdullah secara rasminya mengumumkan parlimen dibubarkan pada tengahari, 13 Februari 2008 untuk mengadakan pilihan raya ke-12.
Malaysiakini

Sabah: Pakatan tolak tuntutan Misuari

Posted on the March 20th, 2013 under Politik by admin
KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) menegaskan pihaknya sama sekali tidak merestui tuntutan pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari ke atas Sabah.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tuntutan yang dikemukakan itu merupakan pandangan peribadi Misuari sedangkan pendirian PR adalah berbeza.
“Pakatan Rakyat tidak pernah mempersoalkan setiap inci bumi Sabah kerana ia adalah hak milik Malaysia. Pakatan Rakyat turut menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah dan menolak tuntutan keluarga Sultan Sulu terhadap Sabah,” kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nur Misuari yang mendakwa Sabah dikuasai Malaysia.
“Itu pandangan beliau (Nur Misuari) tentang penguasaan Kuala Lumpur terhadap Sabah. Pakatan Rakyat tidak bersetuju kerana ini soal dalaman negara dan Pakatan Rakyat akan tetap perjuangkan,” katanya.
Tegas Anwar, kenyataan Nur Misuari yang ingin menghantar askarnya untuk merampas Sabah awal bulan lalu juga tidak boleh diterima.
“Jika ingin mengadakan rundingan seperti biasa, mungkin boleh diteruskan tetapi yang Pakatan Rakyat tentang ialah bila ada jenayah, pencerobohan ke atas Sabah dan menggugat keselamatan bumi Malaysia.
“Malah Pakatan Rakyat turut menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah dan tidak akan berkompromi dalam mana-mana perkara membabitkan soal keselamatan negara.
“Pakatan Rakyat juga menolak tuntutan keluarga Sultan Sulu terhadap Sabah,” katanya lagi.
Sinar

Biografi: Rosmah nafi kaitan dengan Altantuya

Posted on the March 20th, 2013 under Politik by admin

KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor menafikan sebarang penglibatan dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tujuh tahun lalu.
Beliau berkata demikian dalam biografinya yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.
Dalam biografi setebal 180 muka surat itu, Rosmah berkata, beliau menghadiri sesi berbuka puasa bersama Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam di Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2006 iaitu hari Altantuya dibunuh.

“Saya berada di bangunan Tabung Haji dari petang hingga tengah malam. Ada ramai saksi di sana,” kata beliau di muka surat 140 dalam biografinya yang dijual dengan harga RM150.
“Saya takut jika cicak jatuh ke atas saya. Saya juga takut gelap. Kenapa pula saya nak panjat bukit di tempat pembunuhan?” kata Rosmah dalam buku tersebut.
Dipetik The Malaysian Insider, Rosmah menambah, beliau “disoal siasat” selama enam jam di Bukit Aman sebagai respons dari “tuduhan” ke atasnya.
Biografi tersebut menceritakan perjalanan hidup Rosmah dari remaja hingga menjadi isteri Najib.
Apabila melancarkan biografi tersebut, Dr Mahathir berkata, buku tersebut akan diedarkan ke sekolah-sekolah sebagai panduan kepada generasi akan datang “100 atau 200 tahun dari sekarang”.
“Saya selalu kata pemimpin kita harus menulis pengalaman dan pemerhatian mereka. Ini adalah buku yang baik dan akan menjadi panduan kepada generasi akan datang 100 hingga 200 tahun dari sekarang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, penulisan biografi oleh pemimpin harus digalakkan kerana ia boleh menjadi sebahagian penulisan sejarah untuk merekodkan iklim keadaan yang berlaku pada ketika itu.
Beliau berkata, penulisan biografi juga penting sebagai rujukan masa depan dan untuk memberi pandangan dari sudut seseorang pemimpin itu mengenai sesuatu isu dan pengalaman.
Justeru, katanya, penulisan sedemikian juga dapat memberi peluang kepada pembaca untuk mengetahui penjelasan dari sudut pandangan orang yang menjadi sasar, dan kemudiannya membuat keputusan secara adil mengenai sesuatu isu itu.
Dipetik Bernama, katanya, buku biografi Rosmah itu akan sedikit sebanyak membantu mejelaskan tohmahan yang dibuat ke atas isteri Perdana Menteri itu.
“Buku ini mampu memberi penjelasan kepada orang ramai tentang apa yang berlaku dari sudut sasaran. Ia akan membolehkan pembaca membuat penilaian sendiri,” kata beliau.
Biografi kulit keras setebal 180 muka surat itu mempunyai 12 bab yang mengisahkan perjalanan hidup beliau dari zaman kanak-kanak sehingga sekarang.
Ia turut memuatkan jawapan Rosmah terhadap pelbagai persoalan yang disering dikaitkan dengan beliau.
Buku itu ditulis oleh penggiat teater dan novelis Siti Rohayah Attan dan Noraini Abd Razak dan diterbitkan oleh Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM).
Pengerusi YAPM Shamsulbahrin Ludin berkata buku itu sepatutnya dipasarkan Januari lepas, tetapi ditangguh untuk memasukkan bahan serta gambar tambahan terkini, termasuk lawatan beliau ke Gaza bersama Perdana Menteri awal tahun ini.
Sementara itu, Rosmah memberitahu pemberita selepas sesi tandatangan buku itu, bab kegemaran beliau dalam biografi itu ialah ‘Pandangan Kenalan’ dan ‘Menjawab Persoalan’ kerana ia memberi peluang untuk beliau menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Biografi itu dijual pada harga RM150 senaskhah dan setakat ini, 500,000 naskhah telah dijual dengan 50 peratus daripada hasil jualan didermakan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana.
Sinar

No comments:

Post a Comment