Monday, March 18, 2013

BILA MALANG SIPEJAHAT2...ORANG JAHAT ALLAH AKAN HUKUM JUA...MEREKA NAK LARI MANA

Seorang lagi pengganas ditembak

 AKANUNIT TINDAKAN KHAS menaiki trak dari Balai Polis Cenderawasih untuk menyertai Ops Daulat di Kampung Tanjung Batu semalam.


LAHAD DATU – Angka kematian puak pengganas terus meningkat kepada 62 orang selepas pasukan keselamatan menembak mati seorang lagi musuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu dekat sini semalam.
Ini merupakan pertempuran terbaharu selepas seorang anggota tentera maut manakala seorang lagi cedera dalam pertempuran di Sungai Nyamuk pada Rabu lalu. Dalam pertempuran tersebut, empat pengganas Sulu mati ditembak.
Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, pasukan keselamatan yang menjalankan operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Batu semalam terserempak dengan sekumpulan pengganas sebelum berlaku kejadian berbalas tembakan.
Menurut beliau, pertempuran pertama berlaku pada pukul 9.55 pagi sebelum kumpulan pengganas itu yang dipercayai seramai empat orang berundur dan melarikan diri.
“Pasukan keselamatan sekali lagi bertempur dengan kumpulan musuh pada pukul 10.15 pagi sebelum berjaya menembak mati seorang daripada empat pengganas,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Zulkiple berkata, baki tiga lagi musuh dalam kumpulan itu sempat melarikan diri dan gagal dikesan pasukan keselamatan.

Wanita Sulu direkrut jadi penembak tepat

LAHAD DATU – Percaya atau tidak, kumpulan penembak tepat pengganas Sulu dipercayai turut melibatkan wanita.
Satu sumber memberitahu, kumpulan wanita Sulu yang berusia lingkungan awal 20-an itu difahamkan amat arif dalam penggunaan senjata dan mereka hanya mengambil masa singkat untuk mempelajari selok-belok penggunaan senapang.
“Kumpulan pengganas itu didakwa menggunakan tenaga penembak tepat wanita bagi memberi laluan kepada golongan lelaki untuk bertempur dengan pasukan keselamatan,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.
Kata sumber itu lagi, senjata yang digunakan oleh pasukan penembak tepat pengganas Sulu itu kebanyakannya daripada jenis rifel M14 dan M1 yang turut digunakan oleh askar-askar Amerika Syarikat.
Saiz peluru yang digunakan bagi rifel M14 dan rifel M1 adalah sebesar 7.62 milimeter.
“Mungkin ada antara kumpulan penembak tepat wanita itu mengalami kecederaan ketika bertempur dengan pasukan keselamatan,” tambah sumber itu.
Bagaimanapun, jelas sumber itu lagi, sehingga semalam belum ada mayat pengganas wanita ditemui.

Wanita hamil lapan bulan dijel


NORHASLIZA diiring keluar selepas dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana kesalahan memiliki dadah oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Perbuatan seorang wanita yang memiliki pelbagai jenis dadah tahun lalu berbalas apabila dia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Nik Habri Muhamad memerintahkan Norhasliza Muhamad, 30, yang sedang mengandung lapan bulan menjalani hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak dari Kampung Guchil di sini itu dituduh memiliki 0.17 gram pil kuda, 0.12 gram heroin, 2.18 gram ganja dan 0.01 gram eramin 5.
Dia diberkas di sebuah rumah di Jalan Pondok Pasir Tumboh, Kampung Machang, Limbat, di sini pada pukul 6.45 petang, 2 September tahun lalu bersama tiga lelaki lain.

Perompak parah disimbah asid


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di kedai emas yang dirompak empat lelaki di Melaka semalam. Gambar kecil sarung tangan perompak yang tertinggal.


MELAKA – Empat perompak sebuah kedai emas terpaksa pulang ke sarang penjenayah dengan membawa kenangan pahit apabila tangan salah seorang daripada mereka cedera disimbah asid oleh pemilik dan pekerja premis itu dalam kejadian di Taman Seri Duyong, Seksyen 2 di sini semalam.
Kejadian pukul 11.30 pagi itu berlaku apabila empat lelaki berusia lingkungan 20-an bersenjatakan pistol dan tukul serta memakai topi keledar bertutup penuh memasuki kedai emas tersebut sebelum menghalau dua pelanggan yang sedang berurusan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek kemudian telah memecahkan cermin pameran sebelum mengaut barang kemas untuk dimasukkan ke dalam sebuah beg.
“Pemilik kedai dan pekerjanya kemudian nekad menyimbah cecair asid ke arah perompak dan terkena pada tangan salah seorang penjenayah.
“Suspek yang berang kemudian telah melepaskan satu das tembakan namun tersasar ke dinding sebelum mereka bergegas meninggalkan premis,” katanya yang masih menyiasat jumlah kerugian.
Difahamkan, sarung tangan suspek yang terkena asid itu turut tercicir.
Tambahnya, ketika hendak menaiki dua buah motosikal jenis Yamaha LC untuk melarikan diri, salah seorang suspek melepaskan satu das lagi tembakan untuk menakutkan orang ramai.

Keldai dadah India diberkas


SARIP (dua dari kanan) menunjukkan ketamin dan rokok kretek yang dirampas pada sidang akhbar di Kuantan semalam.


KUANTAN – Cubaan seorang wanita India untuk menyeludup lima kilogram ketamin bernilai RM175,000 gagal apabila dia diberkas ketika diperiksa di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) di sini baru-baru ini.
Pengarah Kastam Diraja Malaysia Pahang, Datuk Sarip Ismail berkata, suspek berusia 49 tahun tersebut diberkas pada pukul 1.30 petang 14 Mac lalu apabila pihaknya merasa curiga dengan kandungan bagasi yang dibawanya ketika diimbas.
“Sebaik beg itu dibuka, kita menemui lima kilogram ketamin disembunyikan di bawah pelapik bagasi yang telah diubah suai.
“Kita dapati modus operandi suspek sama dengan seorang lelaki India yang telah ditahan pada 26 Disember lalu. Kita masih menyiasat kaitan mereka ini sama ada dijadikan keldai dadah oleh sindiket yang sama atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Lagi keganasan di Selatan Thai

BEBERAPA pegawai polis memeriksa kereta yang dinaiki Mayi remuk selepas terbabas akibat menjadi sasaran serangan gerila pemisah di daerah Si Sakhon, Narathiwat semalam.


NARATHIWAT - Seorang anggota pertubuhan pentadbiran mukim Tamayung, Mayi Adae, 64, terbunuh dalam satu serangan bersenjata di daerah Si Sakhon di sini pagi semalam, kata polis.
Menurut akhbar Bangkok Post, jurucakap Balai Polis Si Sakhon, Preecha Ratchayotha berkata, serangan itu berlaku pada pukul 10 pagi di Jalan Rueso-Si Sakhon di mukim Sako.
Menurut beberapa saksi, ketika Mayi dalam perjalanan pulang dari pasar di Si Sakhon ke rumahnya, dia telah diekori sebuah trak Nissan berwarna hitam.
Beberapa orang yang berada di belakang trak bertindak melepaskan tembakan ke arah kereta mangsa dengan menggunakan selaras senjata AK-47.
Tembakan itu mengenai kepala dan badan Mayi.
Kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik.
Salah seorang penyerang berjalan ke keretanya dan melepaskan satu lagi tembakan ke kepala mangsa untuk memastikan dia mati sebelum melarikan diri.
Pada Jumaat lalu, satu letupan kuat bom tepi jalan telah meragut nyawa tiga anggota polis di daerah Ruso, Narathiwat.
Serangan terbaharu itu berlaku dua minggu menjelang rundingan damai pihak berkuasa Thai dengan gerila-gerila Barisan Revolusi Nasional berlangsung di Malaysia.
Bom seberat 90 kilogram yang disembunyikan di kaki sebuah jambatan meletup menyebabkan trak berkenaan musnah.
Jurucakap tentera di selatan negara ini, Kolonel Pramote Promin berkata, serangan itu dipercayai dilakukan oleh gerila-gerila yang menentang dialog damai itu yang akan di adakan di Malaysia pada 28 Mac ini.
"Terdapat anggota-anggota pemisah yang tidak bersetuju ketua mereka menyertai proses damai itu. Justeru, mereka cuba mencetuskan lebih banyak kekacauan," katanya.
Penentangan kerana menuntut autonomi lebih besar meletus di beberapa wilayah di selatan negara ini yang bersempadan dengan Malaysia sejak sembilan tahun lalu.
Kejadian tembakan dan pengeboman berlaku hampir setiap hari di selatan negara ini. - Agensi

Aquino kritik dalang ceroboh Sabah


AQUINO (tengah) tiba pada majlis tamat latihan anggota-anggota kadet Akademi Tentera Filipina di bandar Baguio semalam.


MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino III semalam bertindak mengkritik dalang yang mencetuskan ketegangan di Lahad Datu, Sabah, lapor akhbar dalam talian Rappler.com.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan majlis tamat latihan 124 orang kadet di Akademi Tentera Filipina di bandar Baguio.
Aquino melemparkan kritikan terbaharunya itu terhadap mereka yang merancang operasi menawan Sabah apabila pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III menghantar kira-kira 180 hingga 400 pengikutnya pada Februari lalu.
Beliau membidas Jamalul Kiram dan mendakwa tindakannya itu sebahagian daripada konspirasi.
Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) telah memulakan siasatan dan bertindak menghantar sepina kepada jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani bagi memberi keterangan berhubung siasatan konspirasi di Sabah.
Bagaimanapun, Idjirani tidak hadir sebaliknya memberikan surat mengenai sebab dia tidak dapat datang untuk memberikan keterangan pada minggu lalu.
Penasihat Jamalul Kiram, Pastor 'Boy' Saycon turut dipanggil dan telah memberikan keterangan kepada para pegawai NBI.
Dalam ucapannya itu, Aquino mengkritik Jamalul Kiram kerana pentingkan diri sendiri dan menjadi punca kepada semua masalah yang berlaku.
"Adakah dalang-dalang terbabit berfikir bahawa tindakan mereka akan menjejaskan penduduk majoriti?" tanya Aquino.
Menurut Presiden itu, tindakan Jamalul Kiram telah menyebabkan kira-kira 800,000 nyawa rakyat negara ini di Sabah dalam keadaan bahaya.
"Adakah dalang-dalang tersebut menimbangkan sebarang perkara itu semasa melakukan hasutan dan membesar-besarkan situasi semasa mereka mengumpulkan dana yang diperlukan untuk membeli bot, minyak, makanan, senjata dan peluru?
"Kamu (semua kadet itu) sepatutnya tahu fakta itu menerusi kelas logistik. Kamu mengetahui berapa banyak persediaan yang diperlukan untuk menghantar 200 orang bagi menyeberangi laut dan melengkapkan mereka dengan senjata. Apa yang difikirkan mereka di sebalik insiden itu?," katanya.
Beliau berkata, sebagai penjaga keamanan negara, anggota-anggota tentera tidak sepatutnya membiarkan emosi mempengaruhi pertimbangan mereka.
Presiden itu berkata, pendekatan yang dilakukan Jamalul Kiram bagi menuntut Sabah dengan kekerasan tidak akan menyelesaikan isu dengan Malaysia tetapi hanya akan meningkatkan konflik itu.
"Masalah akan menjadi lebih banyak masalah jika anda cuba untuk menyelesaikannya dengan cara paksaan dan kebencian.
"Kita memerlukan keikhlasan dan perbincangan yang mendalam jika kita mahu untuk mencapai penyelesaian yang betul.
"Kita tahu betapa kompleksnya isu ini. Adakah Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) dengan mudah akan memberikan Sabah (kepada Filipina) yang telah lama berada di bawah pemerintahan negara itu?," soalnya.
Aquino berkata, sesiapa yang menjadi dalang dengan merancang untuk memulakan krisis itu di Sabah sepatutnya menggunakan pendekatan berlandaskan undang-undang dan keamanan.
Krisis di Sabah itu bermula apabila sekumpulan pengikut Jamalul Kiram menuntut tanah yang dianggap sebagai warisan nenek moyang mereka di Lahad Datu.
Pertempuran kemudian meletus dengan mengakibatkan sejumlah kematian selepas para pengganas tersebut bertempur dengan pasukan keselamatan Malaysia sejak Februari lalu. - Agensi

Penumpang terapung di dalam pesawat


BEBERAPA penumpang gembira semasa mereka membuat pelbagai pergerakan ketika terapung.


BORDEAUX - Sejumlah penumpang mengalami pengalaman terapung di dalam sebuah pesawat Airbus A330 Zero-G di Perancis pada Jumaat lalu.
Mereka mengalami pengalaman itu dalam tempoh 22 saat selepas pesawat tersebut terbang dalam keadaan mendongak sebelum ia menurun semula ke arah bumi.
Setiap penumpang membayar tiket yang berharga kira-kira 6,000 euro (RM24,482) untuk menaiki pesawat tersebut yang berlepas dari Lapangan Terbang Bordeaux-Merignac di sini.
Ia merupakan penerbangan graviti sifar pertama pernah dibuat di Eropah.
Para penumpang itu bukan terdiri daripada angkasawan dan saintis sebaliknya merupakan orang awam.
Penerbangan graviti sifar itu sebelum ini pernah ditawarkan kepada orang awam di Amerika Syarikat dan Rusia. - Agensi

Kasut tumit tinggi Kate Middleton tersangkut


KATE memegang tangan William semasa beliau hendak membetulkan kasutnya yang tersangkut di celah lubang penutup longkang di Berek Mons, Aldershot semalam. - Agensi


ALDERSHOT, England – Kasut tumit tinggi Kate Middleton yang merupakan isteri kepada pewaris kedua takhta England, Putera William tersangkut di celah lubang penutup longkang di sini semalam.
Ketika kejadian, beliau dan suaminya menghadiri majlis perarakan askar-askar Batalion Pengawal Ireland di Berek Mons.
Kate, 31, yang memakai gelaran Catherine, Duchess of Cambridge selepas berkahwin dengan William pada 2011 membongkokkan badannya untuk membetulkan kasut tumit tingginya itu.
Sejumlah tetamu yang menghadiri majlis tersebut turut melihat kejadian tersebut.
Kate memegang tangan William, 30, semasa beliau membetulkan kasutnya itu.
Kasut itu tersangkut semasa beliau berdiri di atas penutup longkang tersebut.
Kate yang ketika ini hamil anak William turut tersenyum semasa tangannnya membetulkan kasutnya yang tersangkut di celah lubang itu.
William yang merupakan cucu pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II ialah pewaris kedua takhta Britain selepas bapanya, Putera Charles. – Agensi

No comments:

Post a Comment