Tiada dendam pada Norman, Memey
Oleh Murni Wan Omar
2010/09/04
2010/09/04
Pereka bentuk, Mohd Yusri Abdul Khasan, 55, dalam keterangannya menafikan tindakannya memanggil wartawan ketika serbuan khalwat terhadap pasangan itu dan membuat kenyataan media bukan untuk mengaibkan sebaliknya mahu menegakkan kebenaran.
“Saya tidak ada rasa dengki, marah atau bermusuh dengan tertuduh sebaliknya menjalankan tanggungjawab kepada komuniti Islam di sana. Memang benar saya ada marah, tetapi saya marah kerana lihat terlalu banyak pembohongan yang dilakukan Norman dan Memey, saya perlu tegakkan kebenaran.
“Sebagai orang Islam saya bercakap benar. Siapa makan cili, dia yang terasa pedasnya,” katanya ketika menjawab soalan peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Bagaimanapun, Mohd Yusri yang pejabatnya berjiran dengan Norman, tidak menafikan jika dia menangkap pelakon itu pada malam kejadian apabila dia mendakwa lihat lelaki itu lari ke tingkat atas pejabat, kes itu akan lebih kukuh.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, dibicarakan atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini pada jam 3 pagi, 30 Oktober 2008
Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala pendakwaan terhadap Memey dibuat mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama dan berhadapan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun dan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
FAKHRUL: Sepanjang masa tertuduh menyewa premis bersebelahan, adakah kamu pernah bercakap dengannya?
FAKHRUL: Bagaimana dengan tertuduh kedua (Memey)?
YUSRI: Pernah sekali saya sedang mengecat dinding di atas dan dia lalu, saya tanya perkembangan lakonan dia.
FAKHRUL: Dalam keterangan kamu yang lalu, kamu kata mahu cegah kemungkaran, tetapi dalam keterangan hari ini, saya dapati kamu tidak pernah tegur atau cakap kepada kedua-dua tertuduh sendiri.
YUSRI: Saya ada beri sindiran kepada abang Norman.
FAKHRUL: Tapi kamu tidak pernah cakap sendiri kepada tertuduh sebaliknya terus kepada penguat kuasa?
YUSRI: Ya.
FAKHRUL: Pada masa sama kamu ada memanggil wartawan Rudy Imran Shamsudin ?
YUSRI: Ya.
FAKHRUL: Saya katakan dalam mencegah kemungkaran, kehadiran wartawan tidak diperlukan?
YUSRI: Saya ada sebab tersendiri.
FAKHRUL: Dalam pengetahuan kamu, setiap kali tangkapan khalwat dibuat ada kehadiran media atau tidak?
YUSRI: Saya rasa ada saya tidak pasti.
FAKHRUL: Dalam perjumpaan kamu dengan pihak penguat kuasa, ada mereka kata mahu memanggil media ketika membuat tangkapan?
YUSRI: Tidak ada.
FAKHRUL: Kehadiran media hasil usaha kamu?
YUSRI: Ya.
FAKHRUL: Pada masa tangkapan kita tidak akan tahu sama ada seseorang itu bersalah atau tidak sehingga mahkamah menentukannya?
YUSRI: Kalau begitu, betullah.
FAKHRUL: Saya katakan, apabila kamu tidak tahu sama ada tertuduh bersalah atau tidak dan kamu memanggil media adalah kerana kamu mahu mengaibkan mereka?
YUSRI: Saya tidak setuju.
FAKHRUL: Kalau kamu sendiri ditangkap dan masih tidak disabitkan sama ada bersalah atau tidak, ada wartawan dan keluar di media, kamu rasa malu atau tidak? Aib atau tidak?
YUSRI: Saya akan aib dengan perbuatan saya.
FAKHRUL: Selepas mereka di dakwa di mahkamah kamu ada beri kenyataan dalam rancangan Melodi?
YUSRI: Ada.
FAKHRUL: Setuju dengan saya perbuatan kamu memberi kenyataan ini mendahului mahkamah?
YUSRI: Setuju.
FAKHRUL: Tindakan kamu panggil wartawan dan buat kenyataan menunjukkan kamu marah dan bermusuh dengan tertuduh?
YUSRI: Tidak, ia tanggungjawab pada komuniti Islam di sana.
FAKHRUL: Tadi kamu kata tidak marah, jika saya mainkan rakaman di Youtube menunjukkan kamu marah, bagaimana?
YUSRI: Ya saya marah kerana mereka menipu.
FAKHRUL: Pada malam kejadian, kamu tutup penghawa dingin, lampu dan membuka pintu belakang, saya katakan ia tidak munasabah?
YUSRI: Tidak setuju.
FAKHRUL: Saya katakan kamu mengintai atau mengintip?
YUSRI: Tidak, saya mengintip untuk penguat kuasa.
FAKHRUL: Kamu tutup semua penghawa dingin dan lampu kerana tidak mahu orang tahu kamu yang mengadu dalam kes ini?
YUSRI: Ya.
FAKHRUL: Tetapi tindakan kamu itu tidak konsisten dengan tindakan kamu pergi kepada media?
YUSRI: Media yang merayu kepada saya.
FAKHRUL: Kamu tidak mahu jadi saksi di mahkamah, tetapi sanggup pergi kepada media?
YUSRI: Ini soal agama, lagipun ini yang media mahu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Hakim Salehan Yatim bersambung 24 September depan ini
No comments:
Post a Comment