Adam, Kyra dunia Misha
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my
2010/09/05
shakilawati@hmetro.com.my
2010/09/05
Muhammad Adam Emir Abdullah, 4 tahun 3 bulan dan Kyra Arissa Abdullah, 3 tahun 10 bulan, anugerah terindah buat Misha Omar dan kakaknya, Mimie Omar. Tiada kesalan memikul tanggungjawab sebagai ibu pada usia muda, bahkan dia bahagia memilih jalan ini biarpun belum berumah tangga.
Itulah luahan ikhlas anak jati Kota Bharu, Kelantan ini ketika sesi fotografi bersama SELEBRITI baru-baru ini.
Menurut Misha yang anggun berkurung moden merah, tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bahagianya dia apabila menyediakan persiapan lebaran untuk anak manjanya.
“Setiap kali menjelangnya lebaran, perkara yang saya utamakan adalah persiapan anak, ibu bapa dan adik beradik. Sebelum puasa, saya beli baju untuk Adam dan Kyra. Untuk diri sendiri saya tak kisah sangat, boleh pakai balik baju yang digunakan ketika sesi fotografi bersama media.
“Paling saya suka di Hari Raya adalah melihat keletah anak. Bukan main seronok lagi mereka bila balik kampung, dapat bermain di luar rumah bersama saudara mara. Saya kena sediakan baju lebih untuk mereka sebab cuaca di kampung panas. Bila berpeluh, kena cepat-cepat salin.
“Kali ini saya sediakan mereka dua pasang baju Melayu dan dua baju kurung. Selebihnya baju kasual.
“Saya bersyukur kerana ibu dan ayah masih sihat. Mereka sangat suka bila dapat menghabiskan masa dengan cucu, apatah lagi sekarang Adam dan Kyra pandai bertanya itu ini. Mereka faham apa yang kita cakap dan pasti raya ini lebih terasa daripada tahun sebelumnya,” katanya yang menyifatkan Aidilfitri sebagai momen paling istimewa apabila dapat berkumpul dengan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.
Berbicara soal juadah, jadi kelaziman setiap kali raya, ibunya menyediakan nasi minyak berlaukkan kuzi ayam atau daging tiga hari berturut-turut yang turut dihidangkan bersama roti jala, nasi dagang dan beraneka kuih muih.
Usai solat sunat Aidilfitri, keluarganya berkumpul untuk bermaaf-maafan dan menikmati juadah yang tersaji indah di atas meja. Berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai juga menjadi kemestian kerana ketika inilah dapat bersua muka serta bertanya khabar sambil mengimbas kembali kenangan lalu.
“Lebih menarik, pada Hari Raya ketiga saya akan menghadiri kenduri kahwin seorang teman. Tidak sabar rasanya bertemu kawan sekampung, maklumlah bukan selalu dapat berkumpul, pasti banyak cerita menarik mengenai diri masing-masing dapat dikongsi.
“Seminggu sebelum raya, saya akan hantar anak pulang ke kampung dan kembali semula ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan rakaman program Sehati Sejiwa hingga 8 September. Lepas berbuka, baru saya bertolak pulang ke Kelantan.
“Risau juga memikirkan keadaan jalan raya nanti. Masih ingat lagi, saya pernah terperangkap dalam kesesakan jalan raya selama 13 jam. Harap-harap kali ini OK tetapi apapun saya tetap sediakan makanan untuk bersahur dalam kereta. Manalah tahu perkara serupa berulang,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai Adam dan Kyra, ibu penyayang ini berkata, kehadiran dua anak cilik itu menjadikannya insan lebih bertanggungjawab dan bermatlamat. Sesungguhnya zuriat itu menjadi keutamaan dalam hirarki hidupnya.
“Seronok melihat mereka membesar depan mata. Apa yang dilalui ibu bapa lain, saya juga melaluinya. Terus-terang, saya tidak sedikitpun menyesal memilih jalan ini, malah gerak hati diberi Allah adalah keputusan tepat buat saya. Setidak-tidaknya pada usia muda, saya belajar erti tanggungjawab.
“Kalau ikutkan hati, saya mahu tambah anak lagi tetapi hasrat itu tidak dipersetujui ibu. Dia risau memikirkan saya belum berkahwin dan meragui kemampuan saya untuk besarkan ramai anak. Sejak ambil Adam, ramai nak bagi saya anak. Disebabkan ibu tidak bagi lampu hijau, saya serahkan kepada rakan yang mahukan anak.
“Adam dan Kyra anak manja. Walaupun lima bulan muda dari Adam, Kyra cepat matang dan suka mengusik abangnya. Adam pula sejak kecil dididik supaya beralah dengan adik. Dia kena jaga adik sebab dia anak sulung saya.
“Kedua-dua mereka membesar seperti mana yang saya mahukan. Mereka sudah bersekolah dan insya-Allah apabila genap usia lima tahun, saya akan hantar Adam dan Kryra mengikuti kelas agama pula sebagai persediaan menjadi umat Islam yang baik,” katanya.
Diusik mengenai jodoh, dalam nada serius Misha berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada Ilahi. Memang terdetik di hatinya mahu berumah tangga, namun hingga kini belum bertemu insan sesuai.
Dua kali putus cinta sebelum ini tidak membuatkannya berputus asa, sebaliknya dia percaya satu hari nanti akan bertemu jodoh kerana lumrah manusia dicipta untuk hidup berpasang-pasangan.
“Saya kena positifkan minda. Mungkin Allah mahu saya fokuskan perhatian terhadap Adam. Bila berkahwin, saya kena uruskan suami dan pasti mahu anak lagi. Jadi ada hikmahnya bila lambat bertemu jodoh. Setidak-tidaknya bila berkeluarga nanti, tidaklah Adam rasa tersisih sebab saya sudah puas manjakan dia,” katanya.
Beralih ke topik kerjaya, ulas Misha, Ramadan ini dia terikat dengan latihan teater muzikal Tun Mahathir. Biarpun muncul dalam satu babak sebagai Datuk Rosnah Majid yang mewawancara Tun Mahathir selepas 100 hari bergelar Perdana Menteri Malaysia, dia komited menghadiri sesi latihan bersama barisan pelakon lain.
“Saya terharu terpilih menjayakan pementasan ini. Biarpun hanya satu babak, ia sangat bermakna. Saya mengagumi Tun Mahathir dan bersetuju untuk terbabit dalam teater ini kerana kecintaan terhadapnya.
“Besar kemungkinan selepas raya saya akan masuk studio untuk merakam album The Best of Misha Omar terbitan Sony Music. Selain memuatkan lagu yang pernah menaikkan nama saya, ada tiga lagu baru dalam album ini.
“Dalam masa sama saya mencari material untuk album baru. Insya-Allah hujung tahun saya akan muncul dengan single baru,” katanya.
Misha bersama Mimie juga rancak merealisasikan impian terbabit dengan perniagaan pakaian berasaskan kain kapas menggunakan jenama Benang.
“Setakat ini kami menghasilkan beberapa koleksi kurung moden yang diperincikan dengan manik dan batu hiasan berkualiti tinggi.
“Selain baju kurung, kami akan hasilkan kaftan di bawah jenama Benang. Jadi hasrat kami mewujudkan satu pusat hentian di mana orang ramai dapat membeli koleksi ciptaan kami dan mendapatkan khidmat solekan jurusolek kegemaran saya, Chomel.
“Tahun ini saya ada banyak projek yang sudah dan masih berjalan dan dengan adanya rezeki ini insya-Allah bisnes Benang akan jadi kenyataan. Buat masa ini kami perkenalkan koleksi Benang kepada rakan, tetapi jika ada yang berminat boleh menghubungi Mimie,” katanya sambil memeluk mesra Adam dan Kyra
No comments:
Post a Comment