Saturday, December 4, 2010

ADAKAH ARTIS2 SUSAH HENDAK BERTUDUNG.....SEDANGKAN BERTUDUNG ITU WAJIB SERTA PERKARA2 YANG WAJIB DITINGGALKAN...YANG HARAM DALAM HUKUM ISLAM...ADAKAH PENGIAT2 SENI INI BERANI DIMASUKAN DALAM NERAKA JIKA MEMBUAT PERKARA DILARANG ALLAH SWT

Bekas Permaisuri Agong Fail Saman Ke Atas Uncle Seekers 
KUALA LUMPUR: Portal berita Utusan Malaysia lewat petang Jumaat melaporkan bekas Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman telah memfailkan saman terhadap pakar paranormal, Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau lebih dikenali sebagai "Uncle Seekers" kerana telah bertindak melanggar maklumat peribadi baginda.
Siti Aishah yang bertindak sebagai plaintif turut memfailkan saman ke atas bapa kepada Syed Abdullah iaitu Syed Hussein Al-Attas yang dinamakan sebagai defendan kedua.
Menurut Utusan Online, tarikh pendengaran interparte telah ditetapkan pada 22 Disember ini di Temerloh, Pahang.
Kata Utusan Online lagi, dalam saman tersebut, Siti Aishah memohon perintah injuksi bagi melarang defendan pertama, Syed Abdullah dan defendan kedua, Syed Hussein untuk tidak mendedahkan sama ada secara lisan atau dalam blog-blog, surat khabar atau wakil-wakil mereka sebarang maklumat mengenai plaintif.
Beberapa portal berita sebelum ini telah memetik laman blog Syed Abdullah yang memaparkan coretan peribadinya berhubung hubungan "cintanya" dengan Siti Aishah sejak beberapa bulan lalu.
Syed Abdullah juga turut memuatkan beberapa keping gambar yang menunjukkan Siti Aishah dan dirinya dalam keadaan yang sangat intim malah beliau berjanji untuk mendedahkan dengan lebih lanjut perhubungan "cintanya" dengan bekas Permaisuri Agung itu.


Balu Shamrin Lahirkan Bayi Lelaki

Shamrin meninggal pada 11 November lalu.
PETALING JAYA: Balu penyanyi Shamrin (Fotograf) selamat melahirkan bayi lelaki bernama Muhammad Akmal Shamrin pada 1 Disember lalu di Hospital Serdang.
Jazriatul Akma Abu Saman selamat melahirkan anaknya yang ketiga di Hospital Serdang pada 1 Disember lalu.
Semasa majlis pengebumian Shamrin pada 12 November lalu, Jazriatul Akma Abu Saman,29, sempat memberitahu, dia akan menamakan anak ketiganya itu dengan nama Shamrin sempena nama arwah suaminya.
Shamrin atau nama sebenarnya Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, meninggal dunia pada 11 November lalu setelah rebah di padang bola ketika bermain bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Doktor mengesahkan Allahhyarham meninggal dunia akibat sakit jantung.
Hasil perkahwinan dengan Jazriatul, mereka turut dikurniakan dua anak lelaki iaitu Akmal Danish,5 dan Akmal Shamim, 18 bulan.
Selain itu, Shamrin turut mempunyai seorang lagi anak bernama Siti Najwa,17, hasil perkahwinan pertamanya.


Zaibo Tamat Zaman Bujang Pada Usia 54 Tahun

Zaibo menyarungkan cincin kepada isterinya, Hawa selepas sah dinikahkan di Batu Pahat, Jumaat. - Foto oleh RAHMAN EMBONG
BATU PAHAT: Pelawak Zainal Ariffin Abd Hamid atau Zaibo menamatkan zaman bujangnya pada usia 54 tahun apabila selamat bernikah dengan Siti Hawa Shawal, 45, di Pejabat Agama Islam, Batu Pahat, Jumaat.
Dengan dua kali lafaz, pelakon veteran yang dikenali dengan gelaran Pak Selamat menerusi sitkom Spanar Jaya itu bernikah dalam satu majlis tertutup yang ringkas di kampung pengantin perempuan dengan dihadiri oleh rakan dan saudara terdekat.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya saya menemui teman hidup pada usia sekarang. Inilah yang dikatakan jodoh,” ujar Zaibo yang mengenali isterinya selama 10 tahun lalu.
Siapa sangka, hubungan yang pada mulanya sekadar abang dan adik akhirnya membawa pasangan ini ke jinjang pelamin.
Hawa tidak mampu menahan rasa sebaknya apabila sah bergelar isteri Zaibo. - Foto oleh LINA FARHANA LOKMAN
“Pada mulanya, saya menganggap dia sebagai adik saya dan begitu juga dia tetapi Tuhan mempunyai perancangan lain untuk kami. Kami mula rapat beberapa tahun lalu dan memutuskan untuk berkahwin pada Ramadan lalu,” kata pelakon teater Caught In The Middle, Tun Mahathir, Penyu Menangis, TokPerak, Anak Tanjung, I remember ....The Rest House dan Demi Zaitun itu.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Zaibo dan yang kedua bagi Hawa.
Hasil perkahwinan pertama, Hawa dikurniakan sembilan orang anak berusia antara 3 hingga 26 tahun.
Bagaimanapun, pelakon popular itu enggan menghebahkan jumlah wang hantaran mahu pun dulang hantaran yang diberikan kepada isterinya.
“Saya boleh katakan, penyanyi Aishah menguruskan semua hantaran manakala selebriti Habsah Hassan dan Rubiah Suparman turut memberikan sumbangan lain. Biarlah hantaran yang diberikan kepada isteri saya menjadi rahsia,” ujar aktor kelahiran Perlis yang pernah berlakon lebih 15 buah filem termasuk Soalnya Siapa?, Putera, Soal Hati, Senario Asam Garam, Cuti-cuti Cinta, Magika, Lu Pikirlah Sendiri dan Pontianak Harum Sundal Malam 2.
Zaibo rasa gembira kerana sudah bergelar seorang suami sekarang.
Ditanya tentang destinasi bulan madu, Zaibo menjawab: “Itu sangat rahsia. Bagaimanapun, saya akan sibuk dengan penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki dan terlibat dengan program masakan Pelik Tapi Sedap musim kedua bermula minggu depan.”
Zaibo telah menetapkan untuk mengadakan majlis perkahwinan ringkas tanpa upacara persandingan.
Antara hantaran pengantin.
Biarpun begitu, selepas upacara akad nikah, pasangan itu diraikan dalam satu resepsi kecil di rumah pengantin perempuan pada sebelah petangnya di mana tetamu dihiburkan dengan persembahan kuda kepang.
“Saya rasa gembira kerana telah bergelar seorang suami sekarang. Gelaran ini datang dengan maruah dan saya akan menggalas tanggungjawab perkahwinan dengan sebaiknya,” janji pengacara Pelik Tapi Sedap ini yang turut muncul dalam drama Tari Tirana dan Under One Roof.



Ayu Raudhah Tidak Edar Kad Kahwin Kepada Pekin

Ayu Raudhah bakal bernikah dengan Zaquan Adha pada 20 Januari 2011. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN
PETALING JAYA: Aktres Ayu Raudhah belum mengedarkan kad undangan perkahwinannya dengan pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak.
Mereka dijadual bernikah pada 20 Januari depan.
Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan bekas kekasihnya, pelakon Pekin mengatakan dia telah menerima kad undangan daripada Ayu seperti yang dilaporkan sebuah akhbar, Jumaat.
“Saya belum menempah kad undangan kerana semuanya masih dalam proses. Jadi, saya agak terkejut apabila dia mengeluarkan dakwaan seperti itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.
Namun Ayu berkata dia masih menganggap Pekin sebagai kawannya dan tidak menolak jika lelaki itu mahu menghadiri majlis perkahwinannya nanti.
Ini kerana, dalam sebuah akhbar melaporkan Pekin berharap untuk hadir ke majlis bersejarah itu jika mempunyai kelapangan dan tiada penggambaran drama dan filem.
“Saya belum membuat keputusan sama ada akan menjemput dia atau tidak tetapi saya rasa tiada masalah untuk menjemputnya kerana kami tidak pernah bermusuh,” jelas Ayu lagi.
Majlis pernikahan akan berlangsung di rumah pengantin perempuan di Taman PKNK, Alor Setar Kedah manakala majlis resepsi pula akan berlangsung sehari selepas itu di lokasi yang sama.
Sementara majlis sambut menantu (sebelah lelaki) dijangka berlangsung pada 29 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan.
Pasangan itu secara rasmi bertunang pada 17 Oktober lalu dalam satu majlis merisik di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya, Selangor.



Pelayar Facebook Upin & Ipin Paling Popular Di Malaysia

Upin dan Ipin menduduki carta pertama Facebook 50 paling popular di Malaysia.
PETALING JAYA: Laman Facebook siri animasi Upin Ipin mendahului carta 50 laman paling popular di Malaysia.
Menurut GreyReview, Upin Ipin yang diterajui oleh syarikat Les’ Copaque Production Sdn Bhd itu menduduki carta pertama dengan jumlah peminat seramai 3,884,016 orang.
Sementara stesen radio Hot FM menduduki carta ketiga dengan mengumpul 598,733 orang peminat, stesen televisyen TV3 tempat keenam (448,575), pawagam Golden Screen Cinemas tempat ketujuh (414,247), drama bersiri Korea percuma Maaduu (355,089), program realiti tarian 8TV Showdown (143,489).
Turut berada dalam carta adalah stesen radio Hitz.fm berada di tempat ke-22 (120,305), stesen radio Suria FM tempat ke-31 (103,615), filem pendek sosio-politik 15Malaysia tempat ke-32 (103,409), Astro tempat ke-41 (78,850).
Jumlah keseluruhan menunjukkan seramai 8.8 juta pengguna Facebook di Malaysia yang memasuki laman yang dicipta oleh syarikat tempatan dan luar negara tersebut sejak 1 November lalu.
Bagaimanapun, senarai ini tidak termasuk orang kenamaan seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan jumlah lebih 800,000 peminat atau Lisa Surihani dengan lebih 900,000 peminat di laman Facebook masing-masing.

No comments:

Post a Comment