Saturday, December 4, 2010

BETULKE....RAKYAT TERIMA TAK TERIMA...PILIHANRAYA NANTI TUNGGU....

Rakyat wajar terima

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Rakyat perlu menerima bahawa penyelarasan subsidi bahan api dan gula semalam adalah sesuatu yang tidak dapat dielak serta mampu membawa kebaikan jangka panjang kepada negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau secara peribadi berpendapat subsidi diberikan kerajaan selama ini harus dikurangkan sedikit demi sedikit agar lebih banyak dana dapat disalurkan kepada pembangunan negara.
"Kita kena terima bahawa kenaikan harga ini bukan kerana kita. Kesemua barang itu diimport dan kita tiada kuasa untuk menurunkan harga barangan import.
"Memang kita ada subsidi tetapi perlu diingat bahawa ia hanyalah sebagai tampungan (support) saja. Kalau semua wang negara dihabiskan ke situ, pembangunan lain tidak perlulah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat ke Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.
Turut mengiringi beliau, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum serta Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Badruddin Amiruldin.
Mengambil England sebagai contoh, Dr. Mahathir berkata, negara itu bukan saja tidak memberi subsidi malah mengenakan cukai terhadap minyak kerana menyedari lebih baik wang negara digunakan untuk pembangunan berbanding pemberian subsidi.


Pengurangan subsidi tak jejas rakyat

PULAU PINANG 4 Dis. - Pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON 95 dan diesel, lima sen setiap kilogram gas asli Cecair (LPG) dan 20 sen sekilogram bagi gula diyakini tidak akan membebankan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (gambar) berpendapat, ini kerana langkah tersebut adalah untuk memastikan kerajaan sentiasa memberi fokus kepada kualiti hidup rakyat di masa akan datang.
''Sebagai kerajaan yang mesra dan mengutamakan rakyat, saya yakin kerajaan tidak akan mengambil apa-apa langkah yang boleh menyusahkan mereka dan tindakan yang diambil selepas mengambil kira semua aspek.
''Jadi, pengurangan subsidi itu adalah sedikit sahaja dan pasti ia tidak akan menjejaskan perbelanjaan harian rakyat," katanya ketika diminta mengulas mengenai pengurangan subsidi bahan tersebut oleh kerajaan berkuat kuasa hari ini.
Nor Mohamed berkata demikian selepas melancarkan buku bertajuk Cities, People & The Economy-A Study On Positioning Penang yang diterbitkan Khazanah Nasional Berhad di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, harga petrol RON95 adalah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 sekilogram dan gula pula RM2.10 sekilogram berkuat kuasa hari ini.
Pengumuman tentang rasionalisasi subsidi itu dibuat melalui kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.
Menurut kenyataan itu, penyelarasan harga runcit bagi semua barangan berkenaan di Malaysia masih rendah berbanding negara-negara jiran iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand

No comments:

Post a Comment