Saturday, December 4, 2010

KALAU BOLEH JAGALAH ANAK KITA SENDIRI....MEMANG KITA PERLU WANG...WANITA INI WAJIB KERJA IA JIKA TIADA SUAMI ATAU HARTA UNTUK MENANGGUNG HIDUPNYA....TIDAK WAJIB KERJA SEMATA2 UNTUK BERMEWAH DAN KAYA RAYA....MATI HARTA ITU TINGGAL...SILAP2 JADI REBUTAN ORANG YANG HIDUP....KERJA BAGI WANITA ITU HARUS DENGAN TIADA UNSUR HARAM DALAN SEGI SYARAK

Wartawan wanita lawan perompak

Oleh Jamilul Anbia Md Denin dan Muhaamad Hafis Nawawi

CEDERA...kaki mangsa yang luka.
CEDERA...kaki mangsa yang luka.
GOMBAK: Seorang wartawan wanita sebuah akhbar harian mengalami detik cemas lebih 15 minit apabila terpaksa bertarung dengan dua penjenayah ‘geng langgar dan rompak.
Kumpulan penjenayah terbabit sengaja melanggar belakang kereta wanita itu bagi memperdaya mangsa memberhentikan kereta sebelum merompak wartawan berkenaan yang keluar dari kenderaan bagi melihat kerosakan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 27, berkata, ketika kejadian dia memandu bersendirian dari Batang Kali ke Jalan Sungai Dua, Ulu Yam, di sini, kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Menurutnya, dia bercuti panjang dan ingin pulang ke rumahnya dengan memandu kereta Honda City yang baru dibelinya pada Mei lalu.

“Namun, sebaik sampai ke satu kawasan cerun, saya terlihat sebuah kereta Toyota Vios berwarna perak mengekori saya dengan laju. Bimbang berlaku pelanggaran menyebabkan saya memberikan lampu isyarat kecemasan bagi memberi laluan kenderaan terbabit memotong.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila bahagian belakang kereta saya dirempuh kereta terbabit menyebabkan saya terkejut dan membunyikan hon,” katanya

Menurutnya, dia memberhentikan keretanya di bahu jalan tidak jauh dari kereta Toyota Vios terbabit yang dinaiki dua lelaki itu.

“Saya melihat kerosakan di bahagian bumper sebelum menuntut dua lelaki berusia 20-an dan 40-an terbabit bertanggungjawab dan membayar ganti rugi terhadap kesan kemek itu.
“Pada mulanya saya langsung tidak mengesyaki ia bermotifkan rompakan kerana menyangka ia kemalangan biasa. Berikutan itu, saya mengambil gambar nombor plet pendaftaran kenderaan Toyota terbabit untuk tujuan laporan polis selepas suspek seolah-olah tidak mahu memenuhi tuntutannya,” katanya.

Menurutnya, tanpa disedari seorang daripada lelaki terbabit menghampirinya dari belakang sebelum menutup mulutnya menggunakan tapak tangan.

“Saya cuba meronta bagi melepaskan diri sebelum bergelut dengan penjenayah terbabit. Dalam keadaan cemas itu, kaki dan muka saya luka selain dipukul penjenayah.

“Penjenayah terbabit mengikat tangan saya sebelum seorang daripada suspek berusia 20-an merampas kunci kereta saya selain mengambil beg komputer riba,” katanya. Menurutnya, penjenayah terbabit melarikan diri dengan membawa keretanya dan dia ditinggalkan di tepi jalan.

Difahamkan kawasan berlaku kejadian terbabit agak sunyi menyebabkan tiada saksi atau orang awam membantu mangsa ketika kejadian.

“Saya pergi ke balai polis berhampiran membuat laporan rompakan berkenaan. Agak mengejutkan apabila polis mendakwa nombor plet kenderaan penjenayah palsu,” katanya.

NEGARA


5,000 dapat peluang belajar percuma


ANTARA kursus yang ditawarkan secara percuma di Kolej Universiti Segi ialah Diploma Kejuruteraan Automotif. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR - Kira-kira 5,000 rakyat khususnya di kalangan belia tercicir kini berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Segi mulai 15 Disember ini berserta dengan tawaran subsidi pendidikan sebanyak RM15,000.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, peluang itu ekoran daripada kerjasama pihaknya dan kolej itu bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan tetapi berazam meningkatkan diri melalui pelajaran.
"Kita menyasarkan kepada pelajar-pelajar dari luar bandar yang tidak berkemampuan atau mereka yang tercicir dalam pelajaran tanpa mengira latar belakang keluarga, agama dan bangsa selaras dengan konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Universiti Segi berkaitan program itu di sini semalam.


Dua anak ‘ghaib’ ikut ibu saudara


GOMBAK: “Saya rayu pulangkan kembali anak saya, tiada apa diharapkan kecuali melihat mereka di depan mata. Hanya sebelah selipar ini saja yang tinggal sebagai kenangan sejak kehilangan mereka,” kata Yusmawati Muhammad, 28.
Yusmawati berkata, dua anaknya Mohammad Fadzil Ashari berusia 3 tahun dan kakaknya Nur Fadilah Ashari, 4, hilang sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, dia hanya menyedari kehilangan anaknya kira-kira jam 8 malam selepas mendapati mereka tiada di rumah.
“Sebelum itu mereka bermain di padang di bawah flat, saya pula menjaga kedai runcit.

“Kemudian anak saudara, Khairulnisa Mutalib, 18, membawa dua anak saya naik ke atas rumah selepas menyuruh dia menidurkan mereka,” katanya yang tinggal di Taman Sri Batu Caves.

Bagaimanapun katanya, dia tidak menyangka itu kali terakhir dia melihat dua anaknya yang dipercayai dilarikan Khairulnisa


“Saya tidak sangka dia sanggup berbuat demikian. Selama ini saya anggap dia seperti anak sendiri. Lagipun sudah lima bulan dia menetap bersama kami,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata polis kini meneruskan siasatan dan meminta pemandu teksi yang membawa kanak-kanak terbabit tampil membantu siasatan.
“Kami akan teruskan siasatan dan percaya kanak-kanak terbabit masih bersama Khairulnisa,” katanya.

Mereka yang mengetahui mengenai kehilangan kanak-kanak itu atau pernah berjumpanya boleh menghubungi Isramie di talian 012-2599753 atau Ashari (016-3155002).



Boleh pulih seperti biasa



KUALA LUMPUR: Wajah Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, yang cedera teruk akibat disimbah asid oleh bapanya, Ogos lalu, berpeluang untuk pulih seperti sedia kala menerusi kaedah pembedahan plastik dan rawatan dermatologi yang mungkin menelan belanja ribuan ringgit.
Pakar Kulit, Dr Ko Chung Beng berkata, Nurul Dahyatul Fazlinda hanya perlu dirujuk kepada mana-mana pakar kulit tempatan untuk dinilai tahap kecederaannya sebelum keputusan dapat dibuat sama ada dia perlu menjalani pembedahan atau rawatan dermatologi.

“Teknologi perubatan makin berkembang memungkinkan rawatan seperti ini ditawarkan kepada semua pesakit dan menerusi pembedahan, semua daging akibat melecur dibuang dan rawatan dermatologi menekankan suntikan serta laser. “Suntikan ini untuk melembutkan kembali daging yang keras dan lebihan yang menyebabkan tak sama rata supaya dapat mengecut sekali gus kembali asal, manakala laser bagi mengurangkan merah pada wajah serta menyamakan warna kulit pesakit.
“Bagaimanapun, tahap kesempurnaan wajah selepas menjalani mana-mana satu daripada kaedah ini bergantung kepada sejauh mana seriusnya kecederaan dialami dan ia boleh mencakupi sehingga 90 peratus walau tidak sempurna seperti wajah asal,” katanya ketika dihubungi.

Dr Ko yang menguruskan Klinik Pakar Kulit Ko Sdn Bhd di Klang memberitahu, pihaknya menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada mana-mana pihak memerlukan dan kos bagi rawatan dermatologi untuk kecederaan sebesar 50 sen boleh melebihi RM100.

Sementara itu, Pensyarah Perubatan Psikiatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Muhammad Mohsin Ahmad Zahari, memberitahu Nurul Dahyatul Fazlinda perlu dihantar menjalani rawatan psikiatri untuk mengembalikan keyakinan dirinya akibat insiden itu.

Katanya, beliau bimbang sekiranya kanak-kanak malang terbabit tidak dirawat secara berterusan akan menyebabkannya berisiko menghadapi gangguan mental iaitu kemurungan ketika memasuki awal dewasa pada usia 20-an hingga 30-an.

“Sedangkan dewasa yang berdepan kejadian traumatik ini menghadapi Kecelaruan Imbauan Kejadian Lepas dan simptom kemurungan menyerang, inikan pula kanak-kanak yang lebih sensitif dan perkembangannya menjadi terganggu akibat kecederaan fizikal,” katanya.



Kementerian tiada peruntukan khas


KUALA LUMPUR: “Kementerian memang tiada peruntukan khas untuk kes begini, tapi atas dasar kemanusiaan saya bercadang bantu dia (Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9) segera,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi (gambar).
Menurutnya, kanak-kanak malang yang mengalami kecederaan serius pada muka akan dibantu bagi memulihkan kembali wajahnya, dengan kos perubatan ditanggung menerusi tabung khas yang ditubuhkan kelak.

Katanya, beliau sendiri mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman mengenal pasti hospital sesuai untuk pembedahan terbabit berserta jumlah kosnya.
“Saya minta Ahmad Razif semak segera prosedur melakukan pembedahan ini dan yang penting kosnya,” katanya.


Larang keluar mayat



IPOH: Seorang ibu muda terus rebah dan hampir pengsan sebaik dimaklumkan pihak hospital yang jenazah anaknya tidak dibenar dibawa keluar dari Bilik Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam bagi membolehkan bedah siasat dilakukan untuk mengenal pasti punca kematiannya.
Budak perempuan hiperaktif berusia dua tahun dikenali sebagai Nur Amira Natasya Abdulah itu meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Kampung Talang, Parit, awal pagi semalam sebelum dibawa ke Hospital Changkat Melintang (HMC) dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Lebih menyulitkan, usaha ahli keluarga membawa pulang jenazah kanak-kanak itu tidak dapat dilakukan kerana pakar forensik belum menjalankan bedah siasat bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan untuk mengesan punca kematian.
Nenek kanak-kanak itu, Rohani Abd Hamid, 54, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Nyiur, Tanjung Blanja, Parit semalam sedih dengan kejadian menimpa cucu kesayangannya itu.

Menurutnya, kali terakhir dia menemui arwah jam 9 malam kelmarin untuk memberikan bekalan susu dan lampin kepada pengasuhnya.

“Bagaimanapun, ketika itu, Nur Amira Natasya sedang tidur dalam buaian sambil menghisap susu. Kira-kira jam 10 malam, saya terus pulang ke rumah tanpa sempat bermanja dengannya
“Kira-kira jam 2 pagi, pengasuh datang ke rumah memaklumkan cucu meninggal dunia. Saya hampir pitam sebaik dimaklumkan berita itu,” katanya.

Katanya, dia kesal dengan tindakan pengasuh terbabit yang menghantar cucunya ke HCM tanpa memaklumkannya terlebih dulu.
Rohani berkata, sebelum ini, dia bertanggungjawab menjaga cucunya itu sejak kecil sebelum menyerahkannya kepada pengasuh terbabit kerana bekerja sebagai operator kilang di Ipoh.

“Sejak itu, cucu dijaga pengasuh dari Isnin hingga Jumaat dan dia akan mengambil alih menjaganya pada hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Khas Adun Blanja, Khairul Saleh Baharudin ketika ditemui selepas melawat keluarga berkenaan meminta masyarakat setempat tidak membuat tanggapan awal yang boleh memburukkan keadaan mengenai kejadian menimpa keluarga itu.

No comments:

Post a Comment