Sunday, February 12, 2012

ANTARA YANG SELESA DAN YANG KURANG SELESA@NEGARA YANG DALAM PEPERANGAN...

Diserang sampai parah

PETALING JAYA - Belum tahu puncanya, seorang lelaki cedera parah selepas dia disyaki terlibat dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan yang bersenjatakan parang, kapak, kayu dan topi keledar di Taman Desa Ria Fasa 5A, Taman Medan di sini semalam.
Difahamkan, kejadian pukul 8.30 pagi itu terjadi apabila berlaku perselisihan faham di antara dua kumpulan tersebut yang terdiri daripada 10 dan 20 orang penduduk di kawasan perumahan tersebut.
Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Salmah, 40-an memberitahu, ketika dia hendak pulang ke rumah di tingkat bawah pangsapuri lima tingkat itu, dia ternampak empat lelaki sedang bergaduh.
"Ketika itu saya baru selesai membantu jiran yang hendak membuat kenduri kahwin. Salah seorang mereka cedera parah akibat dikelar di dada.
"Tidak lama kemudian, datang lagi 10 lelaki dan terus bergaduh tetapi lelaki yang cedera parah itu melarikan diri ke blok berhampiran," ceritanya.
Tambahnya, pergaduhan itu bukan sahaja menyebabkan beberapa kereta penduduk rosak malah kusyen dan baju ahli keluarganya yang disidai di halaman rumah turut terkena darah.
Menurut Salmah, pergaduhan kecil sering berlaku di situ dan kejadian semalam merupakan yang paling buruk pernah terjadi.

Polis lemas bersama anak tiri



ANGGOTA bomba mengangkat mayat Muhammad Hasryzam yang ditemui lemas ketika mandi manda di Pantai Cherating, Kuantan semalam.



KUANTAN - Sangkaan mandi di Pantai Cherating di sini lebih selamat berbanding Teluk Chempedak yang dilanda ombak kuat nyata meleset apabila seorang anggota polis dan anak tirinya ditemui mati lemas manakala seorang lagi masih hilang.
Kejadian di antara pukul 4.45 dan 6.50 petang kelmarin menyebabkan Lans Korporal Mohd. Asri Kamis, 28, yang bertugas di bahagian pentadbiran Balai Polis Mentakab, Temerloh, dan anak tirinya, Muhammad Hasryzam Hasri, 15, mati.
Mayat Mohd. Asri ditemui berhampiran kuala Sungai Cherating iaitu kira-kira lima kilometer dari pantai tersebut pada pukul 6.50 petang. Mayat Muhammad Hasryzam pula ditemui pada 3.10 petang semalam di muara Sungai Baging kira-kira tujuh kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.
Adik Muhammad Hasryzam, Muhammad Hairulnizam, 13, yang dikhuatiri lemas dalam kejadian itu masih belum ditemui.
Isteri mangsa, Norsharulizam Osman, 32, berkata, mereka ke situ selepas ajakan anak sulungnya untuk mandi di Teluk Chempedak ditolak oleh suaminya atas alasan pantai itu bahaya.
Katanya, suaminya kemudian mencadangkan mereka ke Pantai Cherating kerana ia lebih selamat.
"Sebaik sampai, kedua-dua anak saya terus mandi dan berenang jauh dari pantai. Saya risau sebelum meminta suami pergi mendapatkan mereka.
"Namun, selepas menunggu lama, suami dan anak-anak saya masih belum kembali sebelum saya membawa dua anak perempuan saya, Siti Nurafzani Hasri, 11, dan Nurul Nabila Natasya Mohd. Asri, 6, ke bilik mandi. Kami seterusnya menunggu mereka berhampiran kereta pada pukul 5.30 petang," ceritanya.

Restoran turut jadi sarang GRO



SEBAHAGIAN pengunjung dan GRO sebuah kelab malam memberi kerjasama kepada polis ketika proses mengambil keterangan dilakukan.



KUALA LUMPUR - Polis mendedahkan bahawa siasatan terhadap segelintir pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing yang ditahan mendapati wanita-wanita itu telah sewenang-wenangnya keluar masuk Malaysia sehingga 10 kali walaupun pernah ditangkap atas kesalahan melacur.
Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan soal siasat terhadap GRO yang pernah ditahan sebelum ini dan wanita-wanita yang ditahan dalam serbuan serentak di tiga tempat sekitar ibu negara semalam.
Katanya, selain itu, antara cabaran dan kesukaran untuk mengekang kegiatan GRO asing adalah kerana mereka datang ke negara ini atas kapasiti sebagai pelancong.
"Saya akan mencadangkan kepada Jabatan Imigresen supaya membuat saringan lebih ketat di pintu masuk negara ke atas mana-mana wanita yang mempunyai rekod salah guna pas lawatan sosial dan bekerja sebagai GRO.
"Kita tidak boleh menyekat kemasukan pelancong, namun jika ada saringan lebih ketat ia dapat mengurangkan kegiatan tidak bermoral itu," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan polis yang menahan 104 GRO dalam serbuan serentak di tiga premis di Serdang, Jalan Pudu dan Bukit Bintang di sekitar ibu negara kelmarin.
Kesemua GRO dari China, Thailand, Vietnam serta Uganda berusia di antara 16 dan 35 tahun itu ditahan ketika sedang asyik melayan pelanggan masing-masing di dua buah pusat hiburan dan sebuah restoran di tiga lokasi itu.

Israel bedil kandang lembu


KANDANG lembu yang musnah akibat terkena bedilan peluru berpandu pesawat tentera Israel di bandar Gaza semalam.



GENTING GAZA - Satu serangan tentera udara Israel semalam membedil kandang lembu milik seorang penduduk Palestin di sini.
Beberapa ekor haiwan itu cedera dan terbunuh akibat serangan berkenaan.
Dalam serangan itu, seorang penduduk Palestin dilaporkan terbunuh.
Tentera Israel menyatakan serangan tersebut dilancarkan bagi membalas dendam terhadap satu serangan roket yang dilakukan para pejuang Palestin.
Pertubuhan Pusat Palestin Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di bandar Gaza menyatakan, penduduk yang maut itu ialah seorang petani, Wyad Abdul Hadi Rajab yang berusia 71 tahun.
Menurut pertubuhan itu, dia merupakan pemilik kandang lembu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sempadan Israel.
Kandang lembu itu diserang dengan peluru berpandu.
Menurut pertubuhan tersebut, semasa serangan, petani itu berada di dalam biliknya yang musnah.
Seorang anak lelakinya mengalami luka.
Beberapa ekor haiwan ternakan lain turut terbunuh manakala beberapa peralatan lain juga musnah.
Pada Sabtu lalu, satu serangan roket yang dilancarkan para pejuang Palestin mengenai bandar Ashkelon, selatan Israel menyebabkan seorang wanita negara itu cedera ringan. - Agensi

Katil juruterbang dalam pesawat Boeing



KATIL untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat Boeing 787 baharu yang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura di Singapura semalam.



SINGAPURA - Pesawat penumpang baharu Boeing 787 Dreamliner mempunyai ruang rehat untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat itu.
Ia juga mempunyai ruang rehat yang sama untuk kru penerbangan lain seperti pramugara dan pramugari.
Menurut laporan Bernama, pesawat Dreamliner itu mempamerkan keupayaan jarak jauhnya beberapa hari lepas, terbang tanpa henti dari Boeing Field di Seattle, Amerika Syarikat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok dengan jarak 12,358 kilometer.
Pesawat itu yang membawa hampir 300 penumpang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura yang bermula esok sehingga 17 Februari depan. - Agensi

No comments:

Post a Comment