Tuesday, February 14, 2012

BILA KES MENIPU KIAN MENINGKAT..JANGAN TERPERANGKAP DENGAN TAWARAN HARGA MURAH....

Menang RM17j nyawa terancam

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dia mungkin seorang pakar permainan judi komputer apabila menang pertaruhan RM17 juta, namun kemenangan itu bukan saja gagal menjadikannya jutawan, malah nyawanya terancam sehingga memaksa dia mendapatkan perlindungan.
Itu nasib lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Alwi, 35, apabila dia kini diburu serta diancam bunuh anggota kumpulan kongsi gelap selepas tauke pusat siber tempat dia bermain berang dengan tindakannya menuntut wang kemenangan RM17 juta itu.
Alwi berkata, segala-galanya bermula apabila dia bermain satu permainan judi komputer dikenali sebagai ‘Football Fever’ dengan nilai pertaruhan RM50 di sebuah pusat siber di Taiping, hujung bulan lalu.

“Hasil pertaruhan RM50 itu, saya menang RM1,400 dan menggunakan semua wang itu sebagai pertaruhan untuk terus bermain sehingga mengumpulkan RM140, 000 dalam masa kurang setengah jam.


“Walaupun jumlah wang kemenangan itu sudah banyak, tapi saya tak mengambilnya atau istilah yang sering digunakan ‘cuci duit’. Sebaliknya saya gunakan sebagai pertaruhan hingga menang lebih RM17 juta,” katanya.


Pesan IPhone 4s dapat berus cat

Oleh Nor Hazwani Hamat
am@hmetro.com.my

IMPIAN MUSNAH...Faizal menunjukkan berus cat terpakai, komik berbahasa Cina serta telefon mainan yang diterimanya.
IMPIAN MUSNAH...Faizal menunjukkan berus cat terpakai, komik berbahasa Cina serta telefon mainan yang diterimanya.
JOHOR BAHRU: “Saya terkejut selepas membuka kotak dikirim apabila mendapati ia hanya mengandungi berus cat terpakai, komik berbahasa Cina serta telefon mainan dan bukannya iPhone 4s yang menjadi idaman,” kata Faizal Hussin, 41, dari Taman Impian Jaya di sini, semalam.
Faizal yang juga pengurus sebuah syarikat swasta di sekitar bandar raya ini berkata, dia kerugian RM1,750 selepas diperdaya sindiket penjualan telefon bimbit terbabit yang beroperasi menerusi laman web.
Mengimbau kejadian, Faizal berkata, ketika melayari portal pengiklanan sindiket terbabit pada 3 Januari lalu, dia tertarik dengan iPhone 4s yang ditawarkan pada harga RM1,750 seunit oleh Jay One Communication and Services memandangkan harganya lebih murah berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM2,400.

“Saya menghubungi nombor tertera untuk membuat pertanyaan berkaitan telefon bimbit berkenaan sebelum diminta memasukkan bayaran ke akaun bank tertera nama Yow Wei Xian.


“Telefon bimbit berkenaan pula dijanjikan dalam tempoh dua hari menerusi Poslaju. Kiriman itu tiba dua hari kemudian iaitu pada 5 Januari lalu, namun saya terkejut mendapati ia hanya berus cat terpakai, komik serta telefon mainan,” katanya.

Faizal mendedahkan perkara itu pada prosiding Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), semalam.

Menyambung keterangannya, Faizal berkata, dia berusaha mengesan alamat syarikat terbabit berdasarkan nombor akaun bank penerima bayaran berkenaan iaitu di Muar.

“Saya ke premis itu dan mendapati ia rumah yang disewa beberapa lelaki Melayu.

“Pada 10 Januari lalu, saya terkejut apabila membaca laporan Harian Metro yang mendedahkan seorang bekas pegawai bank menerima lesung batu selepas membayar RM3,250 untuk membeli tiga unit telefon pintar daripada syarikat sama,” katanya.

Faizal memfailkan tuntutan berkenaan kepada TTPM dengan harapan mendapat pembelaan sewajarnya dan menamakan Jay One Communication and Services dan penama akaun, Yow dalam tuntutannya bagi mendapatkan ganti rugi berikutan penipuan itu.

Presiden TTPM, Maznah Haron kemudian memerintahkan penentang kedua iaitu Yow selaku pemegang akaun yang menerima wang pembelian telefon bimbit terbabit mengembalikan RM1,750 kepada mangsa dalam tempoh 14 hari.

Tuntutan yang difailkan terhadap Jay One Communication and Services pula dibatalkan. Ketika prosiding, Jay One Communication and Services dan Yow tidak hadir untuk mengemukakan hujah bagi mengetepikan tuntutan difailkan terhadap mereka.

Maznah turut menasihatkan Faizal supaya membuat laporan polis berkaitan kes itu selain lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan barangan yang ditawarkan pada harga murah terutama ketika berurusan menerusi Internet.

Berulang kali disimbah cat

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my

Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi Che Mat
KOTA BHARU: Selepas dipalit kontroversi dan menjadi mangsa fitnah, penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (gambar), 23, atau Apek, berdepan pula ancaman pihak tertentu apabila bangunan pejabat syarikat miliknya, Khairul Fahmi Resources Sdn Bhd (KFR), di sini, disimbah cat hitam.
Pengurus KFR, Seiyed Ahmad Mohamad Yusoff berkata, bangunan terletak di Jalan Seri Cemerlang, Dusun Raja itu disimbah cat hitam tiga kali.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku antara 3 dan 4 Februari, diikuti kejadian kedua pada 9 Februari lalu dan terbaru Sabtu lalu.

Kejadian itu mendorong Seiyed Ahmad membuat laporan polis bersama Khairul Fahmi di Balai Polis Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 1.33 tengah hari, kelmarin dan berharap mereka yang bertanggungjawab akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.


“Ketika kejadian pertama antara 3 hingga 4 Februari lalu, saya menyangka ia (simbahan cat) perbuatan budak nakal, namun selepas kejadian sama berulang, saya terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan Apek dan kakitangan.

“Kami tidak mahu menuduh sesiapa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. Kami tidak mahu berlembut lagi kerana kejadian ini menjejaskan reputasi syarikat dan mengancam keselamatan orang lain terutama Apek,” katanya ketika ditemui di pejabat KFR di sini, semalam.

Menurut Seiyed Ahmad, satu bungkusan plastik mengandungi cat hitam turut ditemui di hadapan pintu masuk pejabat KFR pada Sabtu lalu dan bungkusan itu sudah diserahkan kepada polis sebagai bahan bukti.

Katanya, pihaknya akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) selain memantau sebarang pergerakan mencurigakan.

Dalam pada itu, Khairul Fahmi ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam, enggan mengulas dan menyerahkan kepada pengurusan KFR untuk membuat kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Mayat pelajar lemas ditemui di pesisir pantai Batu Buruk



KUALA TERENGGANU: Mayat Ahmad Saibi Amir Muslim, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Ladang yang lemas petang semalam ditemui kira-kira jam 7.42 pagi tadi di pesisir pantai Batu Buruk, di sini.
Mayat mangsa yang tinggal di Bukit Besar, di sini ditemui Pasukan Bomba dan Penyelamat yang baru bersiap untuk memulakan gerakan mencari mangsa selepas operasi dihentikan 8 malam tadi.

Nenek mangsa Madihah Othman, 58, ketika ditemui berkata dia terkilan kerana tidak sempat menunaikan janji untuk membawa mangsa ke Kuala Lumpur minggu depan.

Katanya semasa kejadian dia berada di rumah dan terlewat untuk menjemput mangsa yang selesai menghadiri Kelas Agama Fardhu Ain di sekolah kira-kira jam 4.30 petang.


"Saya tidak tahu dia ke pantai bersama dua kawannya, kerana menyangkakan arwah masih di sekolah namun terkejut setelah dimaklumkan oleh seorang saudara yang tinggal berhampiran tentang kejadian lemas itu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Madihah berkata beliau pernah mengingatkan cucunya agar tidak mandi di pantai itu dan berkata jika cucunya berdegil, beliau akan meletaknya di dalam plastik hitam.

"Tak sanga pula dia betul-betul dibalut dengan plastik hitam hari ini," katanya pilu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang semalam Ahmad Saibi dikatakan sedang mandi bersama dua lagi rakannya apabila tiba-tiba pelampung yang digunakan mangsa pecah dilambung ombak besar setinggi dua meter.

Dua rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

Mangsa sempat menjerit meminta tolong bagaimanapun tenggelam dan dibawa arus deras. - Bernama

Hilang nyawa kerana dompet

mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my>

DI KAWASAN inilah Lai Wiang diserang oleh dua lelaki hingga mengakibatkan dia mati dalam kejadian di Taman Abad, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang terlibat dalam pertengkaran di sebuah restoran sepatutnya telah selamat pulang tetapi tindakannya kembali ke premis itu untuk mengambil dompetnya yang tertinggal telah menyebabkan dia diserang hingga mati semalam."
Kejadian pukul 4 pagi di sebuah restoran di Jalan Harimau, Taman Abad di sini itu mengakibatkan Song Chai Lai Wiang @ Ah Tiam dari Kedah mati selepas diserang dua lelaki bersenjatakan pisau dan kayu pemukul di restoran berkenaan.
Difahamkan, kejadian itu berpunca apabila kedua-dua suspek telah bertengkar dengan mangsa selepas berang kerusi mereka dilanggar secara tidak sengaja.
Rakan mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sebaik melihat pertengkaran itu semakin serius, dia terus menarik Lai Wiang meninggalkan restoran berkenaan.
"Tujuan saya ialah untuk meredakan keadaan. Tidak lama selepas kami beredar, mangsa mengatakan yang dia ingin kembali ke restoran itu untuk mengambil dompetnya yang tertinggal.
"Saya menahannya untuk pergi tetapi dia tetap berkeras. Semasa Lai Wiang berjalan ke arah restoran, dia telah diserang kedua-dua lelaki berkenaan menggunakan pisau dan kayu pemukul," ceritanya.

No comments:

Post a Comment