Saturday, February 18, 2012

SKRIP..PENGARAH DAN YANG TERLIBAT LEBIH POWER DARI HUKUM ALLAH....APA KOMEN MUFTI2...DAN USTAZ2@USTAZAH2 TERSOHOR...KADANG2 SYOK JUGA JADI SYAITAN BISU...

Tayang badan ikut skrip


DAVID TEO (tiga dari kiri) bersama barisan karyawan filem Hantu Dalam Botol Kicap semasa majlis tayangan perdana filem seram arahan Azahari Zain di TGV Cinemas, Petaling Jaya baru-baru ini.


HANTU Dalam Botol Kicap, filem yang menemukan Mikail Andre Nazrul Andre, 20, dan Md. Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek atau nama komersialnya, Zalif Sidek, 27, dan sudah memulakan tayangannya di pawagam seluruh negara minggu lalu.
Filem komedi seram arahan sulung Azahari Zain itu juga buat pertama kalinya memaparkan aksi tayang badan pelakon baharu, Mikail Andre dan Zalif Sidek dalam beberapa adegan.
Antaranya ketika babak mandi-manda di sebatang tali air dan sewaktu berlawan dengan hantu dengan melumurkan badan mereka dengan kicap di penghujung jalan cerita.
Mungkin bagi sesetengah penonton menganggap aksi itu tidak keterlaluan memandangkan perihal babak itu mustahil untuk dilakonkan berbaju.
Namun, persoalannya tidakkah mereka sebagai pendatang baharu perlu menjaga sedikit sebanyak norma masyarakat kita yang adakalanya kurang selesa melihat pelakon tayang badan ketika menonton.
Menjawab isu itu, ujar Zalif yang memulakan karier lakonan bersama Metrowealth Productions Sdn. Bhd. (MIG) milik David Teo dengan filem Bini Biniku Gangster tahun lalu, aksi tayang badan dilakukan mengikut kehendak pengarah dan penghayatan watak selaku remaja berusia 14 tahun dalam filem itu.
"Jujur saya katakan saya seorang yang pemalu apatah lagi untuk beraksi buka-buka baju. Tapi ternyata itu kehendak pengarah yang mahukan saya lebih mendalami karakter sebagai seorang remaja berusia 14 tahun.
"Malah, kelakar sekiranya memakai baju untuk mandi di tali air, itu perwatakan saya dan saya selesa. Apabila kita masuk ke alam usia seperti watak Epul, itu perkara biasa.
"Saya tidak merasakan diri dieksploitasi, buka baju saya sekadar mengikut kehendak watak," jawabnya yang ditemui sewaktu sidang akhbar dan tayangan perdana filem Hantu Dalam Botol Kicap di Sunway Pyramid, Subang, Selangor, baru-baru ini.
Zalif yang sebelum ini pernah muncul juga dalam filem Papa I Love You melakukan rujukan watak untuk filem Hantu Dalam Botol Kicap menerusi filem Home Alone dan katanya amat berpuas hati dengan lakonannya kali ini.
"Ini filem ketiga saya, banyak yang sudah dipelajari daripada filem lakonan saya sebelum ini. Jelas sekali saya dapat rasa perbezaan berbanding filem terdahulu, hubungan kami sesama pelakon juga amat rapat," ujarnya yang bakal muncul dengan filem Tujuh Petala Cinta dan baru selesai menjalani penggambaran filem Aji Boy.
Mikail tumpang populariti
Salah seorang pelakon utama filem Hantu Dalam Botol Kicap, Mikail Andre, melihat perkara tayang badan bukan isu utama untuk dibangkitkan.
Malah katanya, babak tayang badan dalam filem ketiganya selepas Al-Hijab dan Tokak itu menghidangkan lebih banyak cabaran selaku pelakon yang masih muda dan diberi kepercayaan menggalas peranan utama.
"Cabaran sebagai pendatang baharu memang sukar. Banyak yang saya perlu belajar dan perlu diberikan tunjuk ajar sama ada daripada pengarah mahupun pelakon senior.
"Mengenai isu tayang badan saya tak selesa sangat. Saya terpaksa buat disebabkan kerjaya dan memandangkan itu kehendak skrip, maka saya turutkan. Takut nanti orang cakap saya diva.
"Tapi ada batasan untuk setiap aksi yang saya lakonkan, ia bergantung pada pengarah untuk mendidik pelakon berdasarkan aksi dan karakter yang dibawa"," katanya yang turut menjadi tenaga produksi belakang tabir dalam filem Al-Hijab arahan Pierre Andre.
Mikail yang baru usai penggambaran filem aksi Satu Lawan Satu mengakui sedikit sebanyak menumpang populariti abang dan ibunya, Khatijah Tan yang kedua-duanya melakar nama menerusi bidang lakonan.
"Melihat abang saya menceburi bidang lakonan kadangkala buat saya cemburu. Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya mula perlahan-lahan dengan kerja belakang tabir.
"Kemudian baru cuba berlakon sebagai watak sampingan sehinggalah filem Hantu Dalam Botol Kicap memberikan peluang memegang watak utama.
"Apabila berlakon sendiri, saya rasa puas! Banyak inspirasi saya datangnya daripada abang saya dan saya meletakkan dia sebagai guidance sebab dia yang membimbing saya masuk ke dalam industri. Sedikit sebanyak ada juga menumpang nama mereka untuk peminat mengenali saya," singkapnya.
Ujar Mikail lagi, Pierre dan Khatijah juga banyak menjadi pembimbing untuknya berkarier.
"Di rumah ibu yang ajar teknik berlakon dan menjiwai watak secara tidak langsung. Selain itu, abang yang ajar saya kaedah untuk bergaul dengan orang ramai dan menjadi pelakon yang serba boleh. Mereka ibarat coach tak berbayar!" cerita Mikail lebih lanjut.
Mikail dalam pada itu terlibat dalam filem Chantek lakonan Pierre dan Nurul Ekasari yang bakal ditayangkan tidak lama lagi selain membintangi filem Taikun lakonan Along dan Angah Raja Lawak.
Mon Ryanti merempit
Mon Ryanti, salah seorang pelakon baharu yang sedang mendaki tangga populariti turut terlibat dalam filem keduanya selepas Keramat.
Mendukung watak utama sebagai seorang kakak bernama Rina, gadis berumur 18 tahun yang sosial, ujar Mon, filem Hantu Dalam Botol Kicap pertama kali mengajarnya cara memproses ayam selepas disembelih.
"Filem ini mengajar saya cara memproses ayam yang disembelih, sebelum ini saya tidak pernah tahu kaedah tersebut," tuturnya diiringi ketawa mengekeh.
Malah, ujar Mon lagi dalam filem ini dia dibenarkan menunggang motor dengan lasak di kawasan kampung.
Anak kedua daripada tiga beradik ini bakal muncul bersama filem Nongkrong, Hacks (Hanya Aku Cinta Kau Seorang) dan Assalamualaikum Cinta.

Lemas ketika lari daripada polis


ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat mangsa lemas dalam Sungai Golok di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan semalam.


TUMPAT - Seorang lelaki mati lemas selepas terjun ke dalam Sungai Golok, ketika dipercayai cuba melarikan diri daripada polis dalam satu operasi cegah jenayah di sebuah pangkalan haram Kampung Tanjung dekat sini, malam kelmarin.
Mayat Mat Ridzuan Anuwa, 29, ditemui kira-kira pukul 10.25 pagi semalam selepas gerakan mencari dan menyelamat dilakukan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor dengan kerjasama Pasukan Gerakan Marin (PGM).
Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Shariffuddin Yusoff berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui berhampiran jeti Jabatan Kerja Raya, Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor.
Menurut beliau, kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika anggotanya menjalankan tugas rondaan dan terserempak dengan lelaki terbabit di kawasan berkenaan.
"Menyedari kehadiran anggota polis, lelaki itu bertindak melarikan diri dan terjun ke dalam sungai. Anggota kita kemudian cuba mencari di sekitar kawasan tersebut tetapi gagal lalu meminta bantuan PGM untuk menjalankan gerakan mencari.
"Mayat mangsa yang ditemui dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya," katanya.

Masalah pengundi muda serius


RAKYAT Malaysia perlu mengikis sikap tidak mahu menggunakan hak mengundi semasa pilihan raya. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Keselesaan menjalani kehidupan tanpa sebarang ancaman keselamatan menjadi punca 3.7 juta rakyat Malaysia tidak mendaftar sebagai pengundi.
Pensyarah Politik dan Pentadbiran Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kira-kira 60 peratus daripada jumlah tersebut merupakan golongan muda yang berusia 21 hingga 30 tahun.
"Faktor utama kegagalan 3.7 juta rakyat mendaftar sebagai pengundi dipengaruhi oleh usia mereka yang masih muda dan kebanyakan mereka masih sibuk belajar dan mencari pekerjaan.
"Anak pasca-kemerdekaan tidak nampak perjuangan politik dalam negara dan ada sesetengah daripada mereka menganggap politik itu hanya merupakan hal ibu bapa," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Ahmad Atory, mereka yang membesar pada zaman perjuangan kemerdekaan berlumba-lumba mengundi untuk memilih parti terbaik bagi memerdekakan negara, tidak seperti sikap negatif generasi sekarang.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang menganggarkan seramai 3.7 juta rakyat Malaysia yang mencapai usia 21 tahun dan ke atas dijangka tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan keengganan mereka mendaftar sebagai pemilih.

Penculik belasah mangsa dicari


MANOHARAN menunjukkan gambar Mohd. Haikal (kiri) dan Syukri yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes culik seorang peniaga di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Polis mencari dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes culik melibatkan seorang peniaga bulan lalu.
Mereka ialah Syukri Mohamad Abiah, 30, dari Felda Bukit Goh, Kuantan, Pahang dan Mohd. Haikal Rasdi, 27, dari Pasir Puteh, Kelantan. Syukri juga dikehendaki bagi kes bunuh di Kemaman dan kes samun di Kuantan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kejadian berlaku di Padang Midin dekat sini apabila mangsa berusia 38 tahun diculik pada pukul 10.40 malam pada 14 Januari lalu.
Katanya, ketika itu, mangsa bersama seorang rakannya yang menaiki sebuah kereta telah diekori oleh dua buah kenderaan pacuan empat roda.
“Suspek kemudian telah mengarahkan mangsa dan rakannya keluar sebelum membelasah mereka dan membawa lelaki itu bersama manakala kawannya ditinggalkan di tepi jalan.
“Mangsa kemudian telah dikurung dan dibelasah lagi di sebuah rumah di Beris Lalang, Pasir Puteh, Kelantan dan pada masa sama, penculik menghubungi isteri mangsa untuk meminta wang RM200,000,” katanya yang memberitahu penculikan itu bermotifkan urusan perniagaan.
Tambahnya, selepas sembilan hari dikurung, mangsa kemudian berjaya melarikan diri sebelum memandu kereta suspek untuk membuat laporan polis di Kubang Kerian, Kelantan pada 22 Januari lalu.

'Bini marah jika tahu saya pergi'


ANGGOTA polis cuba menenangkan seorang lelaki yang mengamuk selepas sebuah pusat hiburan diserbu polis di Puchong, Selangor semalam.


PUCHONG - Seorang pemilik bengkel yang mempunyai perangai 'takut bini' sanggup mencederakan diri dan cuba merasuah polis dengan harapan dia tidak ditahan sekali gus dapat menutup tembelangnya mengunjungi premis hiburan daripada pengetahuan isterinya.
Bukan itu sahaja, lelaki itu turut memarahi anggota polis yang membuat serbuan sebelum berlari ke sana sini.
Dia juga cuba mencederakan dirinya dengan memecahkan botol-botol arak dan hendak merasuah RM150 kepada polis agar dia dilepaskan kerana bimbang akan dimarahi isteri jika kegiatannya terbongkar.
Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 35 tahun itu langsung tidak memberi kesan kepada sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang menyerbu premis berkenaan di Bandar Puteri di sini pada pukul 12.30 pagi semalam.
Ketua Unit D7 Bukit Aman, Asisten Superintendan Shahrul Nizam Jaafar berkata, untuk meredakan keadaan, pihaknya terpaksa menahan lelaki itu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
"Ketika serbuan dibuat, dia sedang minum arak bersama seorang rakannya dan bertindak agresif apabila pemeriksaan dibuat.
"Pada awalnya, rakannya cuba menenangkannya namun gagal apabila dia mula hilang kawalan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sel garam ciptaan pelajar MRSM


MOHD. SYAFIQ (kiri), Muhammad Dhiyauddin Asyraf dan Mohamad Nazmi menunjukkan pingat emas yang dimenangi di Sungai Udang, Melaka semalam.


MELAKA - Tiga pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Sungai Udang berjaya menghasilkan sel garam bagi menjana tenaga elektrik.
Muhammad Dhiyauddin Asyraf Abd. Jalal, Mohd. Syafiq Abd. Aziz dan Mohamad Nazmi Mohamad Norrizal menghasilkan sel gram itu sebagai alternatif kepada bateri sel kering yang digunakan kini.
Hasil ciptaan mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas di Pameran Reka Cipta Pemuda Antarabangsa, Taiwan pada 11 hingga 13 Februari lalu.
Ketua pasukan, Muhammad Dhiyauddin berkata, idea untuk menghasilkan sel garam timbul akhir tahun lalu selepas melihat penggunaan bateri sel kering sebagai membazir wang dan mencemar alam.
"Sel garam ini hanya menggunakan magnesium, tembaga dan air garam untuk menghasilkan tenaga elektrik melalui tindak balas kimia.
"Penggunaannya lebih mudah kerana ia boleh dicaj semula dengan menukar air garam lama kepada yang baharu. Menghasilkannya juga mudah iaitu mencampurkan garam biasa dengan air," katanya ketika ditemui di sini semalam.

No comments:

Post a Comment