Wednesday, February 15, 2012

JANGAN KITA NAK DUIT ATAU KAYA ...TAK KIRA HALAL HARAM...ADAKAH KITA MEMILIH MENJADI BAHAN PEMBAKARAN DALAM NERAKA ALLAH...

Kereta terhumban, anak tercampak


SEORANG pegawai polis melihat keadaan kereta Perodua Kancil yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan Siti Nurnajwa maut di Alor Gajah, Melaka semalam.


ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak perempuan menemui ajal dalam keadaan mengerikan manakala abangnya parah selepas masing-masing tercampak dari kereta dipandu bapa mereka dalam kemalangan di Kilometer 213.2 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.
Kejadian pukul 1 pagi itu mengakibatkan Siti Nurnajwa Nordin,7, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka manakala abangnya, Amir Haziq, 12, mengalami kecederaan parah di kepala selepas tercampak dari kereta jenis Perodua Kancil tersebut.
Bapa mangsa, Nordin Mohamad Shukor, 36, dan ibu mereka, Siti Aisyah Othman, 36, cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.
Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan ke Parit Sulong, Muar dari ibu negara.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, kejadian berlaku apabila Nordin yang memandu kereta hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali lalu terbabas dan terhumban ke dalam longkang.

Lebih cerah kulit lebih mahal

SEMAKIN comel seseorang bayi, semakin tinggi harga yang akan diletakkan sindiket jual bayi kepada pelanggannya. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Harga serta permintaan yang tinggi bagi bayi dikatakan merupakan antara punca kegiatan menjual bayi masih berleluasa.
"Polis percaya sindiket penjualan bayi yang sudah lama wujud ini semakin berleluasa kerana terdapat permintaan yang sangat tinggi terutamanya bagi pasangan yang tidak mempunyai zuriat," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan kepada Bernama.
Beliau turut berkata, seorang bayi boleh mencapai harga melebihi RM20,000 berdasarkan kesempurnaan dan kecerahan warna kulit.
"Harga menjadi lebih tinggi sekiranya disertakan dengan dokumen pengenalan diri seperti Sijil Kelahiran semasa pembelian," katanya.
Abdul Jalil menjelaskan, kebanyakan bayi dijual pada lingkungan umur satu hingga tiga bulan namun ada juga kanak-kanak berusia sehingga enam tahun turut dijual.
"Kegiatan terancang ini bermula dengan penjagaan rapi yang diberikan kepada ibu-ibu yang mengandung di pusat penjagaan haram, bagi menghasilkan bayi yang sihat demi mendapatkan nilai jualan yang tinggi.

Lelaki cedera parah diserang penyokong bola Selangor


TUAN ROZAIMI yang cedera dibaling batu-bata masih belum sedarkan diri ketika ditemui di PPUKM, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang penyokong pasukan bola sepak Kelantan didakwa menjadi mangsa serangan peminat fanatik Selangor apabila dahi dan tengkoraknya retak dibaling dengan batu-bata sebaik sahaja perlawanan di antara kedua-dua pasukan itu tamat di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini kelmarin.
Ekoran kejadian itu, Tuan Mohd. Rozaimi Tuan Kuning, 37, terpaksa menerima 10 jahitan dalam kejadian yang didakwa berlaku pada pukul 11 malam.
Ejen sebuah syarikat pelancongan itu kini berada dalam keadaan separuh sedar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras di sini. Dalam perlawanan itu, Selangor menang dengan keputusan 2-1.
Rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Zulkifli, 30-an, memberitahu, sebelum kejadian, dia bersama mangsa dan sebilangan penyokong Kelantan berjalan keluar ke pintu pagar selepas perlawanan tamat.
Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar bunyi benda dibaling dan apabila ditoleh dia melihat Tuan Rozaimi terduduk sambil memegang dahinya.
"Saya juga lihat sebiji batu-bata bergolek di sebelahnya. Pada masa sama, darah mengalir keluar melalui hidung dan luka di dahi Tuan Rozaimi.

Haram main Forex Internet


URUS NIAGA Forex di Internet ditetapkan sebagai haram di sisi Islam berikutan wujud beberapa isu yang melanggar hukum syarak. - Gambar hiasan


KOTA BHARU - Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan aktiviti perdagangan mata wang asing (Forex) melalui Internet dan perkhidmatan broker bagi urus niaga itu sebagai haram.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya melaksanakan kajian dan mendapati ada beberapa isu yang meragukan.
"Ia antara lain tidak memenuhi syarat jual beli dalam Islam, tidak ada kontrak dan mendatangkan spekulasi yang besar. Seseorang boleh untung dan rugi pada suatu masa. Justeru, kami meminta orang Islam supaya tidak menyertai program atau perniagaan Forex di Internet, setakat ini ia haram," tegasnya ketika ditemui selepas Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-98 di sini semalam.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya mendapati perdagangan Forex melalui bank dan pengurup wang yang sah masih dibenarkan kerana semua transaksinya jelas dan tidak melibatkan spekulasi.
"Terdapat tiga jenis perdagangan Forex; pertama, bank ke bank, yang keduanya, menerusi pengurup wang, dan yang ketiga ialah perdagangan di Internet atau broker.

Maut terjatuh dari tingkat 14


ANAK panah menunjukkan arah Tong Sing terjatuh dari tingkat 14 di PPR Seri Semarak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Selepas dikejutkan dengan kejadian 14 buah motosikal hangus angkara perbuatan khianat kelmarin, penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak sekali lagi tersentak dengan penemuan mayat seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat 14 semalam.
Mayat Wong Tong Sing, 69, ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di Blok B kawasan perumahan itu pada pukul 11.30 pagi oleh penduduk.
Mayat Tong Sing ditemui lengkap berpakaian dan dia mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Difahamkan, mangsa hidup sebatang kara dan isterinya juga gagal dikesan selepas wanita itu melarikan diri dari pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menurut jiran, sebelum terjatuh, dia ternampak Tong Sing menuju ke tingkat paling atas itu sebelum berbaring di atas tembok sambil menghadap ke luar bangunan.
Katanya, dia yang mengesyaki sesuatu yang buruk bakal berlaku kemudian telah menjerit ke arah lelaki itu supaya turun, namun tidak dipedulikan mangsa.

Dilema nenek si gadis sunti 15 tahun


PUAN menunjukkan MyKad yang menyatakan dia dilahirkan pada tahun 1996 atau berusia 15 tahun sedangkan cucunya, Siti Noor Atikah Mat Yusop pula berusia 21 tahun di rumah mereka di Sanglang, Perlis semalam.


KANGAR – Seorang warga tua dari Kampung Padang Keria, Simpang Empat di sini yang memiliki 47 orang cicit kini tidak sanggup lagi menghadapi dilema usia beliau hanya 15 tahun 10 bulan berdasarkan catatan dalam MyKad.
Puan Ahmad yang mendakwa usianya kini melebihi 90 tahun berkata, masalah itu berlaku selepas MyKad yang diperolehnya pada tahun 1996 tertera dengan nombor 960412-02-0558*.
Dia juga bingung melihatkan wujud tanda * pada penghujung nombor MyKad itu.
Puan kini kecewa kerana mendakwa masalah itu menyebabkan dia terlepas peluang mendapat banyak kemudahan khusus untuk golongan warga emas selain gagal memohon wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Saya sudah rujuk masalah nombor MyKad ini kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis pada tahun lalu tapi mereka minta saya terus guna kad yang sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Puan yang kini mempunyai empat orang anak, 19 cucu dan 47 cicit, dilahirkan di Tasik Melati, Padang Besar pada tahun 1920-an.
Katanya, masalah itu berlaku selepas dia memohon kad pengenalan baharu di JPN Kuala Nerang, Kedah, beberapa tahun lalu.

Mahathir nasihat Shahrizat jangan sayang jawatan


MAHATHIR


SERDANG - Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dibelenggu isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) agar jangan 'sayang kepada jawatan'.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO harus mengambil tindakan sewajarnya demi kepentingan parti.
"Saya tak suruh dia meletak jawatan tetapi kita harus sentiasa fikir berkenaan masalah yang kita timbulkan kepada parti. Sebab itu, saya sendiri pun bila sudah terlalu lama dan orang naik bosan, saya letak jawatan

Wanita Iran berlatih seni ninja


WANITA Iran ini mengimbangi badan dengan meletakkan kedua-dua belah kaki di atas badan dua rakannya dalam latihan di sebuah kelab Ninjutsu di Karaj pada Isnin lalu.


TEHERAN, Iran - Sekumpulan wanita Iran menyertai kelas seni mempertahankan diri Jepun, Ninjutsu di negara ini, lapor agensi berita Reuters.
Kira-kira 3,000 hingga 3,500 wanita Iran berlatih di kelab-kelab Ninjutsu yang dikendalikan secara persendirian di Iran yang dipantau oleh Kementerian Persekutuan Sukan Seni Mempertahankan Diri.
Ninjutsu merupakan cabang ninja yang memerlukan seseorang pelatih itu melakukan pengintipan, penyusupan, sabotaj dan pembunuhan.
Antara latihan yang diikuti wanita di Iran itu ialah mereka berlari di atas dinding dan menggunakan pedang semasa berlawan. - Agensi

Bekas penjual mesin taip beli 230 pesawat Boeing


SEBUAH pesawat Boeing 747-400 milik Lion Air berada di sebuah landasan di Lapangan terbang Sukarno-Hatta di Tangerang semalam. Gambar kecil Rusdi Kirana.


SINGAPURA - Seorang bekas penjual mesin taip, Rusdi Kirana mencipta kejutan apabila beliau membeli lebih 230 pesawat Boeing dalam satu urus niaga yang dimuktamadkan pada minggu ini.
Beliau yang kini bergelar Ketua Eksekutif Lion Air mengasaskan syarikat penerbangan domestik dan tambang murah terbesar di Indonesia bersama abangnya, Kusnan lebih sedekad lalu.
Selain potongan rambut pendek, misai penuh dan senyuman keanak-anakan, tidak banyak yang diketahui tentang usahawan berusia 49 tahun dari Indonesia itu.
Namun, nama Rusdi menjadi sebutan media pada Pameran Udara Singapura kelmarin.
Pada pameran itu, beliau memuktamadkan pembelian 230 buah pesawat Boeing pada harga keseluruhan AS$22 bilion (RM66.8 bilion).
"Orang ramai perlu faham bahawa mereka tidak patut memandang rendah terhadap seseorang dari negara Dunia Ketiga. Hanya kerana kami usahawan Dunia Ketiga, ia tidak bermakna kami tidak mampu membuat pembelian besar seperti ini," kata Rusdi.
Urus niaga tersebut turut melibatkan sebuah model baharu Boeing yang dijadualkan memulakan perkhidmatan pada 2017.
Menurutnya, pembiayaan bagi pembelian tersebut disokong oleh agensi kredit eksport Amerika Syarikat, bank ExIm.
Selain pembelian mega tersebut, Rusdi juga merupakan antara segelintir usahawan Dunia Ketiga yang berpeluang menemui Presiden AS, Barack Obama. - Agensi

No comments:

Post a Comment