Monday, April 16, 2012

NI LAH NATIJAH JADI ANAK SENI....

Komplot anak kurung ibu

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Marah ibu mereka berkahwin lain, dua beradik perempuan bertindak melampau apabila mengurung ibu mereka lebih sebulan dalam sebuah rumah di Sentul, di sini, bagi menghalang wanita berusia 49 tahu itu berjumpa suami barunya.
Dua beradik berusia 19 dan awal 20-an itu bertindak demikian kerana menganggap suami baru ibu mereka yang dikahwini sejak empat bulan lalu tidak sesuai serta mempunyai niat jahat terhadap wanita itu.
Menurut sumber, dua beradik itu merancang tindakan mereka apabila menjemput mangsa ke rumah mereka sebelum ‘mengurung’ wanita berkenaan sejak lebih sebulan lalu.

“Sepanjang tempoh dikurung, mangsa diberi makan oleh anaknya, tapi telefon bimbitnya dirampas dan dia tidak dibenarkan berhubung dengan orang lain,” katanya.


Menurutnya, biarpun bapa tiri mereka datang untuk menjemput isterinya pulang, dua beradik terbabit tidak membenarkannya masuk atau membenarkan ibu mereka keluar berjumpa suami barunya.

Bob Kuman dakwa produksi tak kisah

RAWAT...keadaan terkini Bob Kuman.
RAWAT...keadaan terkini Bob Kuman.
PETALING JAYA: “Saya terkilan dengan sikap syarikat produksi yang enggan mengambil tahu masalah kesihatan saya sehinggakan hutang tertunggak di sebuah hospital swasta pun terpaksa dilangsaikan pihak lain,” kata pelakon dan pelawak, Husin Mohd Rawi, 40, atau lebih dikenali dengan Bob Kuman.
Itu kekesalan diluahkan Bob selepas dia yang juga pelakon drama TV Jangan Pandang Belakang Congkak kini bertarung dengan penyakit bengkak kaki selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama berkenaan di Hulu Langat penghujung 2010.

Akibat insiden terbabit, Bob sesak nafas selepas miang buluh memasuki saluran pernafasan dan hidungnya mengalami pendarahan yang banyak, namun menurutnya, pihak produksi langsung tidak mempedulikan sehingga dia berkejar ke hospital di ibu kota sendirian.
“Selepas keluar hospital saya dikehendaki melunaskan bayaran RM6,500, namun kerana tiada wang saya berhutang seketika sebelum membayarnya sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, selepas beberapa minggu saya membayarnya dan kini masih berhutang lebih RM3,000.

“Apa membuatkan saya kecewa adalah produksi mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai majikan. Biarpun dalam keadaan sakit saya masih berusaha menamatkan lakonan terakhir, namun produksi hanya melepaskan batuk di tangga dan langsung tidak menjenguk saya apa lagi menanggung kos rawatan,” katanya.

Kisah penderitaan di tanggung Bob semalam, didedahkan dalam blog milik personaliti TV3, Mazidul Akmal Sidik sebelum tersebar di beberapa blog hiburan lain.

Bob ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara, dekat sini, semalam memberitahu ketika itu dia hanya mempunyai RM76 di dalam akaun Maybank miliknya.

“Bukan saya tiada duit ketika itu, cuma ada masalah teknikal bersama pihak bank menyebabkan akaun saya dibekukan kerana terlalu banyak transaksi dalam masa sehari. Atas keprihatinan Mazidul menyiarkan masalah saya di blog, banyak sumbangan diterima, terima kasih semua,” katanya.
Menurut Bob, selepas keluar hospital, syarikat produk kesihatan, Nur Lizz menawarkannya sebagai duta produk dan menjaga kebajikan serta masalah kesihatannya tidak seperti syarikat produksi drama dibintanginya.

 


Dibelasah tanpa sebab

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

CEDERA...mangsa menerima tiga jahitan di kepala.
CEDERA...mangsa menerima tiga jahitan di kepala.
KUALA LUMPUR: Tanpa motif atau sebab tertentu, remaja lelaki dibelasah dengan batang mop hingga patah tangan kiri serta menerima tiga jahitan di kepala, selain dibogelkan dua lelaki yang dipercayai mabuk.
Dalam kejadian di Jalan Klang Lama, di sini jam 2 petang kelmarin, mangsa yang berusia 14 tahun sebelum itu diajak rakannya ke kedai runcit di blok kediaman rumah mereka.
Dia yang enggan mendedahkan identitinya berkata, selepas ke kedai rakannya mengajaknya ke kolam renang pula.

“Saya mengikutnya ke kolam renang tanpa syak tetapi apabila sampai, saya terkejut melihat ada dua lelaki berusia 30-an di situ seolah-olah menunggu kedatangan kami.


“Saya kenal dua lelaki itu kerana mereka juga tinggal di kawasan perumahan kami. Sebaik melihat dua lelaki itu, rakan saya tiba-tiba meninggalkan saya bersendirian di kawasan kolam renang itu,” katanya kepada Harian Metro semalam.


Mekanik paut bonet 15 meter

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

SUBANG JAYA: Seorang mekanik seperti berlakon aksi lagak ngeri apabila dia dilanggar sebuah kereta dan berpaut pada bonet kereta berkenaan sejauh 15 meter sebelum tercampak atas jalan raya di hadapan sebuah pusat beli-belah di USJ 1, di sini.
Dalam kejadian Jumaat lalu, lelaki berusia 25 tahun itu dilanggar kereta Toyota Vios dinaiki dua lelaki ketika cuba berbincang dengan mereka berikutan berlaku kemalangan kecil antara mereka lima minit sebelum itu.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa yang memandu Proton Tiara seorang diri di Persiaran Kewajipan menghala Bandar Sunway dipintas kereta suspek dan melanggar bahagian kanan kenderaannya.
“Tidak puas hati dengan kejadian itu, mangsa mengejar dan memintas kereta terbabit sebelum mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan 10 meter dari tempat kemalangan berkenaan.

“Suspek memberhentikan kenderaan, namun mereka tidak turun sebaliknya menurunkan cermin tingkap kereta,” katanya.

Menurut sumber, sebaik mangsa bertanya mengenai perbuatannya tadi, suspek menaikkan cermin tingkap dan menekan pedal minyak lalu melanggar mangsa yang ketika itu berada di hadapan keretanya menyebabkan lelaki terbabit tercampak atas bonet serta terpaksa berpaut padanya.

“Selepas 15 meter dari tempat kejadian, suspek menekan brek menyebabkan mangsa tercampak sejauh lima meter ke atas jalan raya manakala pemandu Toyota Vios itu memecut keretanya meninggalkan mangsa.

“Mangsa dibantu orang ramai yang berada di situ dan dibawa ke klinik berdekatan untuk rawatan akibat cedera,” katanya.
Sejurus selepas menerima rawatan, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis USJ 8.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan mangsa pada jam 12.30 malam, hari kejadian.

“Kami sudah mengenal pasti dua suspek yang berusia 20-an serta gerakan memburu mereka giat dijalankan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah,” katanya

Lelaki tinggal pasangan lepas ‘kantoi’ mencuri

PETALING JAYA: Seorang lelaki tergamak meninggalkan pasangannya sendirian untuk diberkas polis selepas mereka ‘kantoi’ ketika mencuri barangan kosmetik di sebuah farmasi di pusat beli-belah di Bandar Utama di sini, kelmarin.
Perbuatan pasangan terbabit mengambil pelbagai barangan kosmetik di farmasi berkenaan tanpa membayarnya disedari pekerja premis itu lalu memaklumkannya kepada pengurusnya jam 5.45 petang.

“Pasangan itu meninggalkan farmasi tanpa membeli barangan, tetapi pekerja berkenaan mendapati barangan dalam raga tiada lalu mengesyaki dicuri pasangan terbabit,” katanya.
Pengurus farmasi itu dan pekerjanya mencari pasangan terbabit di sekitar pusat beli-belah itu dan menemui suspek wanita lalu menahannya, manakala suspek lelaki melarikan diri.

Wanita itu dibawa ke ke bilik pengurusan pusat beli-belah itu dan disoal.

Pemeriksaan dalam beg wanita itu menemui sekotak kosmetik berjenama bernilai RM109.90 serta beberapa seluar jeans yang masih bertanda harga.

Sumber berkata, wanita terbabit menafikan dia mencuri dan memberi alasan barangan itu milik adiknya sebelum pengurus berkenaan meminta wanita itu menghubungi pasangannya datang ke bilik pengurusan untuk menyelesaikan masalah itu. “Namun, selepas sejam menunggu, lelaki terbabit tidak muncul menyebabkan pengurus farmasi itu menghubungi polis dan menyerahkan wanita terbabit kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed yang mengesahkan menerima laporan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Putus tunang RM1.3j

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Satu pasangan yang putus ikatan pertunangan pada 12 April 2010 membuat tuntutan ganti rugi RM1.3 juta - jumlah yang mungkin terbesar dalam sejarah perundangan syariah negara.
Mereka yang merancang mendirikan rumah tangga pada 28 Mei tahun sama, dikatakan memutuskan pertunangan atas sebab peribadi dan masing-masing menfailkan saman menuntut ganti rugi dan teladan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, 21 Ogos 2010.

Bagaimanapun, kes berkenaan dirujuk ke Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru semalam, namun kes ditunda hingga 3 Julai ini berikutan seorang peguam tidak dapat hadir.
Datuk Zulkipli Shamsudin, Datin Normah Mohd Yunus dan Zuhaira Nadia Zulkipli, 24, selaku plaintif memfailkan tuntutan RM400,000.

Sementara itu, pihak defendan, Kamarul Eddyhazli Zakaria, 30-an membuat tuntutan balik ganti rugi membabitkan RM900,000 terhadap bekas tunangnya itu atas dakwaan apa dilakukan plaintif tidak berasas.

Zuhaira diwakili peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Norfaizah Zainudin, manakala Kamarul diwakili peguam bela, Muhammad Nur Hafiz Roslan dan Hafez Zalkapli.

Muhammad Nur Hafiz yang ditemui di luar pekarangan mahkamah berkata, peguam bela Zuhaira (Zainul Rijal) tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menghadiri kursus berkaitan perundangan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pihak kami (defendan) sudah mengumpul semua bukti kukuh bagi menyangkal dakwaan plaintif mengatakan pertunangan ini diputuskan anak guam kami.
“Jika tuntutan ganti rugi am RM500,000 dan tuntutan ganti rugi teladan RM300,000 serta beberapa kos lain dengan jumlah keseluruhan RM900,000 dibuat kami ini berjaya dan dibenarkan mahkamah, ia akan menjadi antara kes terawal di negara ini yang membenarkannya,” katanya.

Sementara itu, Zainul Rijal ketika dihubungi Harian Metro berkata, pihaknya tidak dapat hadir semalam atas alasan kukuh dan sudah memaklumkannya terlebih dulu kepada mahkamah.

“Kita tunggu saja 3 Julai nanti, saya akan mengemukakan semua hujah dan keterangan membuktikan anak guam saya di pihak benar.

“Jika mereka (defendan) benar mengapa tidak mengemukakan tuntutan ganti rugi terlebih dulu, sebaliknya mula melakukan (tuntutan) selepas menerima tuntutan daripada kami,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Eddyhazli ketika ditemui Harian Metro semalam berkata, tuntutan dibuat kerana dakwaan dilakukan bekas tunangnya itu tidak berasas.

Katanya, pertunangan diputuskan pihak perempuan dan bukan dirinya, tetapi dia disaman dengan alasan memutuskan pertunangan.

Kamarul Eddyhazli, dari Kuala Lumpur dan Zuhaira Nadia dari Johor Bahru, mengikat tali pertunangan pada 20 Februari 2010 dan dijadual melangsungkan perkahwinan, 28 Mei tahun sama. Bagaimanapun, menurut Kamarul, pada 12 April 2010, ikatan pertunangan mereka terputus atas dasar masalah peribadi.

Kelar janda enggan rujuk

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Hanya kerana enggan berbaik dengan bekas suaminya, seorang wanita menerima 15 jahitan di leher selepas dikelar dengan pisau oleh lelaki terbabit dalam kejadian di rumahnya di sebuah pangsapuri di Jalan Tanjong Tokong, di sini.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari Khamis lalu, mangsa yang berusia 28 tahun dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas polis menerima maklumat daripada penghuni rumah di kawasan berkenaan yang melihatnya dalam keadaan berlumuran darah.

Menurut sumber, sehari sebelum kejadian, mangsa dikatakan bertemu dengan bekas suaminya di sebuah restoran makanan segera berhampiran rumahnya untuk berbincang mengenai perhubungan mereka.

“Bagaimanapun, sejurus sampai mangsa ditampar bekas suaminya itu membuatkannya terpinga-pinga kerana tidak mengetahui apa yang berlaku.


“Mangsa kemudian bertanya mengapa dia ditampar dan lelaki terbabit memberitahu dia berang kerana mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain,” katanya.

‘Nak kurus jadi gila’

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

IPOH: Impian untuk kurus dengan segera boleh mendedahkan pengguna terhadap risiko penyakit gila dan maut apabila sejenis produk minuman kesihatan terkenal didapati dicampurkan kimia beracun diharamkan.
Kewujudan kimia berbahaya sibutramine itu turut mencetuskan persoalan apabila pemilik syarikat mendakwa produk berkenaan dihasilkan 100 peratus daripada kandungan teh hijau dan pelbagai herba botani terpilih.

Produk minuman pelangsingan tubuh itu bagaimanapun dirampas selepas serbuan serentak di seluruh negara terhadap syarikat dan stokis produk itu oleh pegawai Bahagian Penguat kuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pagi semalam.

Dalam pemeriksaan di pejabat syarikat itu di Greentown, di sini, sepasukan tiga pegawai BPF melakukan soal siasat sebelum menemui 465 peket produk pelangsingan tubuh itu.


Jurucakap BPF berkata, produk milik syarikat terkemuka itu dijual dengan harga RM40 sekotak dan didakwa boleh memberi kesan menurunkan berat badan selepas satu hingga dua minggu penggunaannya.

‘Saya janji tak buat lagi’

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

PASIR GUDANG: “Saya minta maaf dan berjanji tidak akan meninggalkan abang, tidak kira senang atau susah. Selepas ini saya akan hidup bersama abang (suami) dan dua anak kami.
“Saya bukan lepas tangan, tetapi runsing apabila mengalami pelbagai tekanan hidup,” kata wanita dikenali sebagai Wati, 35, semalam, yang mengakui membiarkan suami kurang upaya serta dua anak perempuannya di sebuah pondok usang di Kampung Sungai Rinting.

Menurutnya, dia terkejut apabila kisah keluarganya disiarkan akhbar ini Jumaat lalu, dan atas nasihat beberapa rakan serta jiran, dia mengambil keputusan berhenti kerja di kebun sayur di Ulu Tiram bagi menjaga suaminya berusia 55 tahun.

Katanya, pada masa sama, dia bersyukur kerana suaminya yang lumpuh separuh badan sanggup memaafkan kesilapan dilakukan.


“Akibat kesempitan wang, saya akui menggunakan bantuan dihulurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk bagi menampung kos perjalanan pergi balik dari rumah keluarga ke tempat kerja dua kali sebulan.

No comments:

Post a Comment