Saturday, May 26, 2012

BILA MANUSIA TIDAK BERPERAGAI MANUSIA...

Kanak-kanak luka seluruh badan dipercayai didera


KANAK-KANAK malang yang menjadi mangsa dera masih mengalami trauma di HRPB, Ipoh semalam.


IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami kesan gigitan dan luka di seluruh badannya dipercayai akibat didera di rumah mereka di Chui Chak, Langkap dekat sini.
Kanak-kanak malang itu dibawa ke klinik apabila bapa mangsa mendapati anaknya mengalami keguguran rambut dan apabila diperiksa kanak-kanak berkenaan mempunyai kesan lebam, luka dan gigitan di seluruh badannya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie yang melawat mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berkata, kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital berkenaan pada 19 Mei lepas untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
“Pada tubuh kanak-kanak itu ada luka lama dan baharu. Ibu saudaranya selama ini tidak perasan kesan luka berkenaan kerana kanak-kanak itu selalu dipakaikan baju berlengan panjang dan seluar panjang.
“Ini dipercayai dilakukan supaya orang lain tidak sedar kesan luka itu,” katanya di HRPB semalam.

Masih guna kad pengenalan lama


Mek Mastura Ismail (kanan) menunjukkan kad pengenalan lamanya di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian, Kelantan semalam. Di sebelahnya ialah Azlina.


KOTA BHARU – Ketika majoriti rakyat negara ini sudah lama menggunakan MyKad, seorang warga emas di Wakaf Stan di sini agak ketinggalan apabila masih menggunakan kad pengenalan lama bagi sebarang urusan.
Tidak seperti MyKad yang mempunyai cip, kad pengenalan lama itu yang memaparkan cap ibu jari tangan pemilik di kiri dan kanan kad yang sepatutnya ditukar dengan MyKad pada tahun 2001.
Belum menggantikannya dengan MyKad seperti yang diperuntukkan undang-undang, Mek Mastura Ismail, 61, mendakwa masalah kesihatannya serta kesempitan hidup menyebabkan dia gagal berbuat demikian.
Meskipun begitu, kad pengenalan warga emas itu yang berusia lebih 40 tahun masih berkeadaan baik.
“Bukan saya tidak mahu menukarnya tetapi masalah kesihatan menyebabkan saya tidak boleh menukarnya.
“Lagi pun hidup susah, duit tidak berapa ada untuk ke pejabat pendaftaran terdekat,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Stan di sini semalam.

Gerudi ATM larikan RM100,000


ANGGOTA polis memeriksa sebuah ATM yang digerudi perompak dalam kejadian di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bertindak licik dengan memecahkan pintu belakang sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Stesen Aliran Ringan Universiti di Bangsar di sini sekali gus dapat melarikan wang lebih RM100,000.
Kejadian itu hanya disedari pada pukul 1 petang semalam apabila seorang juruteknik, Rahim Nasir, 29, melakukan pemeriksaan sebaik menerima laporan wang di dalam mesin berkenaan lesap.
Katanya, sebaik tiba, dia dapati papan kekunci di belakang ATM tersebut telah diumpil dan pencuri menggunakan mesin gerudi untuk memecahkan dinding konkrit yang menempatkan peti besi.
“Penjenayah juga mematikan alat penggera yang dipasang di peti besi tersebut.
“Dia juga dapat melengah-lengahkan pihak berkuasa untuk mengesan jenayah itu dengan memecahkan bahagian belakang mesin tidak seperti kes-kes sebelum ini yang dirosakkan di depan,” ceritanya.

Amah Surabaya terima balasan


SULISMAWATI


PETALING JAYA – Seorang pembantu rumah Indonesia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana melarikan diri bersama sejumlah barangan kemas milik anak perempuan Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Azizah Abd. Samad pada Isnin lalu.
Amah yang hanya dikenali sebagai Sulismawati, 30, disabitkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.
Tertuduh didakwa mencuri barang-barang kemas milik Zalilawati Osman, 33, yang bernilai kira-kira RM50,000 di No. 44, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya di sini pada pukul 3.15 petang, 21 Mei lalu.
Barang-barang kemas yang dicuri itu berupa seutas rantai leher, sebentuk loket, seutas rantai kaki, seutas gelang tangan, empat bentuk cincin bertatah berlian dan sepasang anting-anting berlian.

56 ubat perangsang seks dirampas


CHANDRA (dua dari kanan) menunjukkan ubat perangsang seks yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah semalam.


KOTA KINABALU – Sebanyak 56 botol dan paket ubat perangsang seks pelbagai jenis yang nilainya dianggarkan mencecah ribuan ringgit dirampas dalam operasi bersepadu di empat buah premis di Kampung Air di sini kelmarin.
Kesemua ubat perangsang seks, antaranya dikenali sebagai Golden Fly dan Fly Water dirampas di sebuah kedai runcit, dua buah pasar malam dan dalam sebuah kenderaan.
Bagaimanapun, dalam serbuan serentak pada pukul 8 malam itu, tiada tangkapan kerana pemilik barangan itu sempat melarikan diri sebaik melihat kelibat kakitangan dan anggota penguat kuasa.

Hotel nafi pelihara ‘ulat’ teksi


JAMES (kiri) dan Mohamad Amin menunjukkan keratan akhbar Kosmo! mengenai kegiatan ulat teksi haram di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan sebuah hotel menafikan dakwaan beberapa pemandu teksi baru-baru ini, terdapat kegiatan ‘ulat’ dalam kalangan pekerja hotel sendiri di sekitar kawasan Bukit Bintang di sini.
Pengurus Residen Hotel Alpha Genesis, James Ong berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan menafikan ada pelayan atau Bell Boy hotel terlibat dalam kegiatan terbabit.
“Ia boleh mencemarkan imej hotel-hotel di sini di mata pelanggan yang majoritinya pelancong asing.
“Kebajikan dan keselamatan pelanggan merupakan keutamaan kami dan adalah mustahil kegiatan itu dibenarkan untuk berlaku di hotel ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
James berkata, pihaknya mempunyai undang-undang yang tegas bagi membanteras kegiatan ulat daripada berlaku di hotel tersebut.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan beberapa pemandu teksi mendakwa segelintir Bell Boy hotel di Bukit Bintang menjadi ‘ulat’ dengan mencadangkan teksi haram kepada pengunjung dan mereka meraih komisen sebanyak 20 peratus daripada tambang yang dikenakan.

Calon Ikhwanul Muslimin dahului pilihan raya Mesir

CALON Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi melambai tangan kepada penyokongnya sewaktu berkempen di Kaherah pada 30 April lalu. - Agensi


KAHERAH, Mesir - Calon pergerakan Ikwanul Muslimin, Mohammed Morsi mendahului pilihan raya presiden Mesir yang cukup sengit berdasarkan keputusan tidak rasmi semalam.
Sementara bekas perdana menteri, Ahmed Shafiq dan bekas komander tentera udara, Hamdeen Sabahi bersaing untuk menduduki tempat kedua serta merebut peluang menjadi pemimpin Mesir.
Morsi setakat ini mendahului dengan 28 peratus undi, lapor akhbar bebas Al-Masry Al-Youm. Jumlah itu dilihat cukup untuk membawanya ke pusingan penentuan.
Pada awalnya, akhbar tersebut melaporkan bahawa Syafiq mendapat 21 peratus undi dan Sabahi dengan 20 peratus undi. Namun, Sabahi kemudian mencipta kejutan apabila menang di bandar Iskandariah.
"Keputusan ini menunjukkan bahawa rakyat mahukan alternatif ketiga.
Kedua-duanya mewakili golongan yang bimbang dengan pentadbiran Islam tetapi tidak mahu rejim bekas Presiden Hosni Mubarak kembali memerintah negara," kata jurucakap kempen Sabahi, Hossam Mounis.
Pilihan raya penentu akan diadakan pada 16 hingga 17 Jun depan yang menyaksikan dua pemenang daripada pusingan pertama berentap.
Pemenangnya akan diumumkan pada 21 Jun depan.
Pilihan raya itu merupakan hasil daripada kebangkitan rakyat menumbangkan Mubarak.
Pilihan raya ini merupakan medan pertarungan sengit antara calon berfahaman Islamik dan pemimpin sekular yang berasal daripada rejim Mubarak. - Agensi

No comments:

Post a Comment