Wednesday, May 23, 2012

ORANG SEKARANG MUDAH KENA TIPU...HANYA JANJI2 MANIS....ALLAH BOLEH HILANGKAN APA SAJA....BOLEH TURUNKAN BALA APA SAJA...MAKA BERTAQWALAH...

Janda tua kaya rugi RM5 juta

RUMAH banglo seorang janda tua yang terletak tidak jauh dari Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur telah dijual untuk mendapatkan wang bagi diserahkan kepada anggota sindiket penipuan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Demi cinta terhadap seorang 'Jeneral Tentera Amerika Syarikat' yang dikenali menerusi internet, seorang janda tua sanggup menjual harta dan menyerahkan wang miliknya yang kesemuanya berjumlah RM5 juta kepada kekasihnya itu yang merupakan ahli sindiket penipuan.
Ibu tunggal warga tempatan berusia 63 tahun itu mengenali suspek pada 2010 menerusi satu ruangan sembang sebelum mangsa dijerat dengan kata-kata manis warga asing itu yang dipercayai didalangi oleh warga negara Afrika.
Mangsa yang memiliki sebuah firma audit di ibu negara dipercayai turut tergoda dengan ahli sindiket itu selepas suspek menunjukkan gambar-gambar wajahnya yang kacak dan mendakwa berusia 50-an.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, dalam perkenalan itu, suspek mengambil kesempatan menawarkan peluang pelaburan di luar negara kononnya menjanjikan pulangan berlipat ganda.
Mangsa yang teruja untuk mendapat kekayaan segera telah menyerahkan wang walaupun tidak pernah menemui suspek.
"Kesemua wang tersebut dimasukkan secara berperingkat sebanyak 30 kali ke dalam beberapa akaun sebelum wang itu dipindahkan ke akaun sindiket," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Izany, kali terakhir mangsa membuat transaksi sebanyak RM50,000 ke dalam akaun suspek adalah pada Ahad lalu.

Budak hilang dipercayai dibaham buaya


SEORANG penduduk rumah panjang menunjukkan lokasi Peter Heerema mandi di tepi Sungai Linggang sebelum hilang dipercayai dibaham buaya di Engkilili, dekat Sri Aman, Sarawak kelmarin.


SRI AMAN – Operasi mencari dan menyelamat seorang budak lelaki yang dipercayai diserang buaya di Sungai Linggang, Engkilili dekat sini lewat petang kelmarin terpaksa diteruskan selepas mayatnya yang timbul seketika hilang semula dihanyutkan arus.
Mayat Peter Heerema Sadan, 13, pada mulanya dilihat terapung pada pukul 6.55 petang semalam, namun gara-gara takutkan buaya yang banyak menghuni sungai itu, penduduk setempat sekadar membiarkannya sahaja sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.
Sewaktu menunggu, mayat mangsa kembali hilang dihanyutkan arus dan gagal ditemui sehingga operasi mencari diteruskan pada pukul 8 malam.
Sumber polis memberitahu, sebelum itu mereka telah dimaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan oleh penduduk kampung.
“Kami akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat sehingga mayat mangsa dijumpai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam kejadian petang kelmarin, Peter Heerema dan adiknya, Clement Bayang Man, 11, pergi ke tebing sungai yang jaraknya hanya lima meter dari kawasan rumah panjang mereka untuk mandi-manda.

Curi berlian kerana anak sakit


Lis dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam untuk direman.


PETALING JAYA - Seorang amah warga Indonesia yang melarikan sejumlah barangan kemas milik majikannya di Kelana Jaya pada Isnin lalu mendakwa dia bertindak demikian kerana terdesak untuk mendapatkan wang bagi merawat anaknya yang sakit.
Difahamkan, anak wanita itu berada di Surabaya, Indonesia.
Jurucakap polis berkata, perkara itu diceritakan oleh suspek yang berusia 29 tahun selepas dia ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sebuah rumah di Pangsapuri Idaman, Kampung Melayu Subang kelmarin.
Amah terbabit yang dikenali sebagai Lis kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membolehkan polis menjalankan siasatan ke atasnya mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Perintah tahanan reman yang akan berakhir Sabtu ini dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid di Mahkamah Majistret di sini.
Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan, Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Azizah Abd. Samad mendakwa, barangan kemas milik anaknya dilarikan oleh seorang amah dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari di rumahnya di SS7/4, Kelana Jaya.

Penganggur dera Danish didakwa

KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur yang mempunyai 10 rekod jenayah membabitkan kes curi, rusuhan dan dadah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan cuba membunuh anak kekasihnya dengan mendera mangsa sehingga koma pada bulan lalu.
Azhar Jusoh (gambar kecil), 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.
Berikutan kejadian dera itu juga, tertuduh bersembunyi lebih tiga minggu sebelum dia berjaya ditahan di warung ibunya di Kampung Tualang, Manir di sini pada 16 Mei lalu.
Azhar didakwa mendera dengan menampar di bahagian muka dan kepala menggunakan tangan dengan niat menyebabkan kematian Muhamad Danish Aiman Abdullah, 2.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor 204, Kampung Tualang, Manir pada pukul 9 malam pada 20 April lalu.
Azhar berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun kerana cubaan membunuh.
Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Wan Fadhilah menetapkan 27 Jun depan ini untuk sebutan kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh

Bekas peguam, kerani dituduh menipu RM280,000

KUALA LUMPUR - Seorang bekas peguam dan bekas kerani di sebuah firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu dalam urusan pembelian tanah bernilai RM2.3 juta membabitkan kerugian RM280,000 empat tahun lalu.
Zainudin Maksom, 40, bekas peguam dan G. Narayanen, 56, bekas kerani, didakwa menipu pengarah sebuah syarikat pembinaan dan hartanah, Elite Perspective Sdn. Bhd., Lim Seng Kok, 54, berhubung satu urusan pembelian tanah di Mukim Damansara, Petaling di sini yang bernilai RM2.3 juta.
Tindakan itu mendorong Seng Kok untuk memasukkan deposit berjumlah RM280,000 ke dalam akaun bank CIMB Syarikat Zainudin Wan Nadzim Chua & Mazlinda dengan tertuduh pertama merupakan rakan kongsi syarikat itu sedangkan mereka mengetahui tanah tersebut tidak boleh dijual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah firma guaman, S N Fam & Co. beralamat di No. 10-5-5, Quene Aveneu, Jalan Bayam di sini, antara Oktober 2008 dan Disember 2008.
Kedua-dua tertuduh yang kini tidak bekerja, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.

3 kampung gempar dilanda ribut


KEADAAN bumbung rumah seorang penduduk yang rosak dalam kejadian ribut di Kampung Terang, Balik Pulau semalam.


BALIK PULAU - Kira-kira 100 penduduk di tiga buah kampung di sini cemas apabila rumah mereka rosak teruk terutamanya di bahagian bumbung akibat diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut awal pagi semalam.
Malah, beberapa buah rumah ditimpa pokok sehingga beberapa keluarga terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk menyelamatkan diri.
Lebih 20 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di Kampung Terang, Kampung Genting dan Kampung Perlis.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut yang berlaku pukul 1.45 pagi.
Seorang mangsa, Zahrah Youb Ahmad, 43, dari Kampung Genting berkata, kejadian itu berlaku cukup pantas dan dia yang terjaga sempat mengejutkan dua anaknya sebaik terdengar bunyi angin yang kuat sebelum bergegas keluar.

Suami dakwa anak dilarikan bekas isteri

NADARAJAH menunjukkan laporan polis dan gambar Anusha yang didakwa dilarikan oleh bekas isterinya di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Kampung Pandan Indah di sini mendakwa, anak kesayangannya itu telah dilarikan oleh bekas isterinya sejak 31 Januari lalu.
Bapa malang itu, G. Nadarajah, 37, berkata, anak perempuannya, N. Anusha (gambar kecil) yang belajar di Sekolah Kebangsaan Convent, Jalan Peel di sini tidak pulang ke rumah setelah tamat sesi persekolahan pada petang hari kejadian.

Dia yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma swasta di ibu kota berkata, kejadian itu berlaku pada hari ulang tahun kelapan anaknya itu.
Katanya, dia juga telah membuat persiapan untuk menyambut hari jadi Anusha bersama isteri keduanya di kediamannya.
Bagaimanapun menurutnya, selepas sesi persekolahan tamat pukul 6.20 petang, dia telah ke sekolah untuk mengambil Anusha tetapi kelibat anaknya tidak kelihatan bersama murid-murid lain.
“Saya yang bimbang terhadap keselamatan Anusha terus bergegas ke pejabat guru besar sekolah itu untuk mengadu tentang kehilangan anak saya.

Tasik lima kilometer hilang kurang 24 jam


DUA gambar menunjukkan Tasik Cachet II di Dataran Tinggi Patagonia, Chile. Gambar bawah dirakam pada 2 April lalu.


SANTIAGO, Chile - Dalam tempoh kurang 24 jam Tasik Cachet II di Dataran Tinggi Patagonia, selatan Chile 'ghaib' dengan hanya meninggalkan beberapa lopak besar dan kawasan dasar yang luas.
Air tasik berkenaan berasal daripada ais cair dari Glasier Colonia yang terletak di padang ais Patagonia Utara, sekitar 2,000 kilometer ke selatan ibu kota Chile, di sini.
Glasier berkenaan bertindak sebagai empangan yang menakung air tasik tersebut tetapi peningkatan suhu menyebabkan dinding glasier itu pecah sebanyak dua kali iaitu pada 27 Januari dan 31 Mac lalu.
Menjelang 2 April lalu, tasik seluas lima kilometer persegi bertukar kontang.
Sejumlah 200 juta liter padu air Tasik Cachet II mengalir ke dalam sungai berhampiran, Sungai Baker.
"Apabila kami bangun, kami terkejut melihat lembah di bawah kami dibanjiri air dan ketulan ais," kata seorang pembantu penyelidik, Daniela Carrion.
Saintis berkenaan melakukan kajian di kawasan sekitar tasik Cachet II bersama sekumpulan penyelidik apabila tasik tersebut kering. - AFP

No comments:

Post a Comment