Yusry reka banglo untuk Lisa Surihani
|
KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon Yusry Abdul Halim, 39, mengakui dia mencipta sendiri banglo yang dibina khusus untuk isterinya, Lisa Surihani, 26, yang dijadual siap menjelang Julai ini di kawasan kediaman elit di Country Height Resort, Kajang dekat sini.
Menurut Yusry, dia ada meminta pandangan Lisa mengenai rekaan mahupun hiasan di dalam banglo tersebut tetapi isterinya itu tidak mahu mengambil tahu kerana ketika itu mereka baru merancang untuk berkahwin.
“Rumah itu mula dibina pada bulan November tahun lepas sebelum kami berkahwin. Ketika itu saya dan Lisa baru merancang mahu berkahwin. Bila saya beritahu fasal rumah padanya, dia tidak mahu tahu sangat mungkin dia fikir masa itu kami belum ada ikatan yang sah.
“Bila dah kahwin, tidak sangka pula cita rasa kami serasi. Jadi, tiada masalah. Kami membeli perabot bersama dan semua cita rasa kami serasi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam
Kem PLKN Tangkas Kendiri disita
KUALA LUMPUR - Seramai 248 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak akan dipindahkan ke kem lain berikutan notis sita oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 22 Mei lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pengusaha kem berkenaan diarah mengosongkan kem itu kerana gagal membayar hutang kepada sebuah syarikat pembekal.
"Syarikat itu meminta perintah mahkamah untuk menyita kem berkenaan berikutan pengusaha kem itu tidak dapat melunaskan hutang kepada syarikat berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis latihan koordinasi senaman tari sempena Himpunan Jutaan Belia di padang Zetro, Wangsa Maju di sini semalam.
Abdul Hadi menambah, kesemua pelatih akan dipindahkan ke kem yang paling hampir dengan kediaman masing-masing pada 28 Mei ini.
Beliau memberitahu, walaupun notis mahkamah itu diterima pada 22 Mei lalu, program di kem itu tidak terjejas kerana hanya peralatan dan kelengkapan kem yang disita.
Rahsia terbongkar di atas katil
MELAKA – Siapa sangka rahsia seorang keldai dadah Nigeria yang telah beberapa kali berjaya meloloskan diri menyeludup bahan khayal itu ke negara ini akhirnya terbongkar selepas dia terbuang air besar di atas katil Hospital Melaka setelah tiga jam dirawat.
Tembelang lelaki berusia 33 tahun tersebut terbongkar pada pukul 3 pagi kelmarin apabila petugas hospital yang cemas melihat keadaannya hairan sebaik ternampak 11 objek pelik turut terkeluar bersama najis di atas katil.
Bagaimanapun, selepas diteliti, mereka mendapati ia merupakan kapsul dadah yang telah ditelan oleh suspek untuk diseludup dan dijual kepada penagih syabu di negeri ini.
Selepas ujian X-ray dilakukan, doktor mengesahkan sebanyak 16 kapsul dadah lagi masih berada di dalam perutnya. Ia kemudian dapat dikeluarkan pada pukul 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, pembongkaran berlaku apabila suspek yang mendakwa dirinya pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur ditahan ketika berkelakuan seperti orang tidak siuman berhampiran Rumah Batik, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada pukul 10.30 malam.
Ketua Perkhidmatan Rahsia AS minta maaf
WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Ketua Perkhidmatan Rahsia AS memohon maaf kelmarin berhubung skandal seks di Colombia yang mencemarkan imej pasukan keselamatan elit itu ketika semakin banyak tuduhan salah laku timbul.
Anggota Perkhidmatan Rahsia didakwa melanggan pelacur sebelum Presiden AS, Barack Obama menghadiri Persidangan Kemuncak Amerika di Cartagena, Colombia.
Akibatnya, lebih 24 anggota ejen Perkhidmatan Rahsia dan tentera yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan menjelang lawatan Obama telah dihantar pulang. Sementara sembilan lagi ejen meninggalkan agensi terbabit.
"Saya sangat kecewa dan memohon maaf atas salah laku anggota-anggota ini. Kami tiada alasan untuk perbuatan ini. Apa yang boleh saya beritahu adalah kami bertindak dengan cepat," kata Mark Sullivan (gambar) kepada Senat AS dalam penampilan awam pertamanya sejak skandal itu tercetus.
Dalam perkembangan lain, empat anggota Perkhidmatan Rahsia mengambil keputusan untuk mencabar pemecatan mereka dengan mendakwa telah dijadikan kambing hitam untuk tingkah laku yang sebelum ini tidak diambil kisah oleh agensi tersebut. - AFP
Pengadil dituduh atur perlawanan Liga Super
SINGAPURA – Pengadil Malaysia, Shokri Nor bersama seorang lagi rakyat Malaysia, Thana Segar Sinnaiah didakwa di mahkamah Singapura semalam atas tuduhan mengatur keputusan perlawanan Liga Super antara Lions XII menentang Sarawak di republik itu pada Selasa lalu.
Shokri, 48, dan Thana, 38, yang merupakan seorang usahawan dituduh melakukan kesalahan itu pada 19 Mei lepas di sebuah bilik hotel di Pulau Pinang selepas mereka didakwa bersetuju menerima suapan RM15,000 setiap seorang.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin $50,000 (RM123,272) seorang sebelum kes itu disebut semula pada 31 Mei ini.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga $100,000 (RM246,537) atau lima tahun penjara atau kedua-duanya mengikut undang-undang Singapura.
Shokri yang berasal dari Kedah ditahan anggota Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura sebelum bermulanya perlawanan itu yang menyaksikan tuan rumah, Lions XII, mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Sarawak.
Ular sawa kuning jenis Anaconda lahir 30 anak
KUALA PILAH – Taman Ular Sawa Hutan Rekreasi Ulu Bendul dekat sini menerima ahli baharu apabila dua ekor ular sawa jenis Anaconda Kuning melahirkan sebanyak 30 ekor anak pada 3 dan 19 Mei lepas.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, ibu pertama ular itu melahirkan tiga ekor anak manakala ibu kedua pula sebanyak 27 ekor.
“Ular spesies ini tidak menetaskan telur tetapi melahirkan anak. Anak-anak ular itu berukuran 30 sentimeter dan berat antara 200 hingga 300 gram.
“Kami mengasingkan anak-anak ular ini daripada ibunya dan dikuarantin selama enam bulan. Selepas itu, kami akan lihat perkembangannya sebelum ia dipamerkan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Menangis cam barang Stephanie
KUANTAN – Ibu pelancong wanita Perancis yang dibunuh di Pulau Tioman tahun lepas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa anaknya, Stephanie Foray, 30, mengambil cuti dua tahun untuk mengembara dan mempunyai visa selama lima bulan ke negara India.
Irene Mortel, 50, yang bekerja sebagai tukang masak di Perancis berkata demikian ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid pada pemeriksaan utama sama ada dia mengetahui mengapa anaknya pergi ke luar negara.
Irene memberi keterangan sebagai saksi keempat pada hari keenam perbicaraan Asni Omar, 37, yang didakwa membunuh Stephanie di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin antara pukul 8 malam 10 Mei dan 12 tengah hari 12 Mei tahun lepas.
Penganggur dihukum mati
KOTA BHARU – Perbuatan kejam seorang penganggur yang membunuh dua beranak berakhir dengan lelaki itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman gantung itu terhadap Mazdi Muhammad, 34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Mazdi dari Kampung Sireh didakwa membunuh suri rumah warga Thailand, Maena Ya, 36, pada pukul 2.30 pagi, 30 September 2009 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sireh Bawah Lembah di sini.
WWW 1 catat bidaan RM520,000
KUALA LUMPUR – Nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 yang hangat diperkatakan mencipta rekod baharu apabila menerima bidaan tertinggi bernilai RM520,000.Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, nilai bidaan itu jauh mengatasi rekod tahun 2010 menerusi plat MCA 1 yang dijual pada harga RM300,000.
Tambahnya, nilai bidaan keseluruhan yang diterima untuk nombor pendaftaran siri WWW adalah sebanyak RM64,225,838.51.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM11.3 juta berjaya dikutip iaitu 10 kali ganda daripada kutipan yang biasa dibuat untuk jualan nombor pendaftaran siri lain sebelum ini.
No comments:
Post a Comment