Sunday, May 20, 2012

MANA CERITA TAKWA...CERITA TAAT PADA ALLAH...KEBANYAKKAN CERITA2 AMALAN2 AHLI NERAKA

Keluarga restu hubungan

Oleh RIADZ RADZI dan MOHD FIRDAUS SAHAT
metahad@hmetro.com.my

BUKTI... antara gambar yang menunjukkan keintiman Syahrini dan Bubu.
BUKTI... antara gambar yang menunjukkan keintiman Syahrini dan Bubu.
KUALA LUMPUR: “Kami tiada masalah dan merestui hubungannya. Terpulang kepada dia kerana itu pilihannya,” kata Raja Mohammad Rashid Raja Salehuddin, 50-an, bapa kepada Raja Mohammad Syazni, 23, mengesahkan hubungan cinta anaknya dengan penyanyi terkenal Indonesia, Syahrini.
Raja Mohammad Syazni yang mesra disapa dengan nama Bubu menjadi perhatian media Indonesia selepas beliau tampil mengadakan sidang media di sebuah hotel di Jakarta minggu lalu, untuk menjelaskan hubungannya dengan Syahrini atau nama sebenarnya Fatimah Syahrini Zailani, 29.
Pada sidang media itu, Raja Mohammad Syazni turut menafikan dia berketurunan Batak dari Indonesia seperti didakwa media negara terbabit.

Dia menjelaskan dirinya orang Melayu dari Kuala Lumpur serta kerabat diraja.


Sidang media itu turut dihadiri ahli keluarga lain termasuk kakak Raja Mohammad Syazni, Raja Norzafirrah dan ibu Syahrini.

Rumah berkunci

Oleh MOHAMAD HUSIN
mohamad@hmetro.com.my

PERIKSA... anggota bomba membuat pemeriksaan selepas memadamkan kebakaran rumah Ng (gambar kecil).
PERIKSA... anggota bomba membuat pemeriksaan selepas memadamkan kebakaran rumah Ng (gambar kecil).
ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemui rentung di tepi katil dalam sebuah bilik di rumahnya, beberapa jam selepas bertengkar dengan isterinya di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian 6.50 petang, Ng Eng Hoo, 53, ditemui mati dalam keadaan terlentang di lantai bilik utama di rumah flat enam tingkat yang didiami bersama isterinya, Khor Chin Queek, 53.

Difahamkan, mangsa yang juga bapa kepada empat anak yang tinggal di tingkat satu flat itu dikatakan bertengkar dengan isterinya selepas berlaku perselisihan faham, sebelum wanita itu keluar meninggalkannya berseorangan di rumah.
Empat anak mangsa iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia lingkungan 20 hingga 30-an tidak menetap di rumah berkenaan kerana masing-masing berkerja di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Jiran mangsa, Ooi Poh Sim, 54, berkata, ketika kejadian dia mandi di rumahnya yang terletak bersebelahan, sebelum dimaklumkan mengenai bunyi letupan kuat oleh anaknya lalu bergegas keluar menyelamatkan diri.

“Saya terkejut melihat rumah mangsa terbakar dan terdengar beberapa bunyi letupan susulan sebelum meminta semua ahli keluarga keluar kerana bimbang api merebak ke rumah kami.

“Selain kami sekeluarga, jiran lain yang tinggal di tingkat sama turut bertempiaran menyelamatkan diri kerana api marak begitu cepat dan saya dimaklumkan, mangsa ada di dalam rumah.

“Namun, kami tidak dapat menyelamatkannya kerana pintu rumahnya dikunci,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.07 malam dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dengan dua jentera bersama 12 anggota.

“Api berjaya dikawal 20 minit kemudian dan hasil pemeriksaan di rumah itu, kami menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di tepi katil di dalam sebuah bilik dalam keadaan melecur teruk.

“Difahamkan, rumah ini didiami mangsa bersama isterinya, namun ketika kejadian hanya mangsa ada di rumah,” katanya.

Mahmad berkata, anggotanya mengumpil pintu depan rumah mangsa yang berkunci untuk masuk dan bagi tujuan keselamatan, bekalan elektrik di tingkat satu flat terbabit terpaksa diputuskan sementara.

“Kita masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian dan anggaran kerugian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian dan memaklumkan, polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan sehingga kini kita belum dapat mengesahkan punca kematian,” katanya.

Bagai aksi filem

Oleh MOHD FAUZI ABDULLAH
fauzie@hmetro.com.my

CEPAT SEMBUH...Sharifuddin  (kanan)  melawat   Mohd Jarizan  di hospital sambil diperhatikan ibunya Fatimah Osman, 58, dan bapanya Md Jid Mamat, 59.
CEPAT SEMBUH...Sharifuddin (kanan) melawat Mohd Jarizan di hospital sambil diperhatikan ibunya Fatimah Osman, 58, dan bapanya Md Jid Mamat, 59.
KUANTAN: Selepas merampas dua kereta, termasuk satu kenderaan polis dalam usahanya melarikan diri, seorang penjenayah paling dikehendaki kerana dipercayai terbabit dengan pelbagai kes bunuh, dadah dan curi kereta, mati selepas berbalas tembak dengan polis di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), berdekatan Tol Jabor, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.10 pagi, suspek yang dikenali sebagai Chiang Hon Hing, 39, dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dan mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes bunuh, dadah, menghalang tugas penjawat awam dan curi kenderaan, meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, selepas terkena tembakan di perut.

Kejadian tembak menembak umpama filem Hollywood itu turut menyebabkan anggota polis, Lans Koperal Mohd Jarizan Md Jid, 24, cedera di tangan kanan akibat terkena tembakan penjenayah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, kejadian bermula di Plaza Tol Lanchang, Temerloh apabila anggota peronda lebuh raya memeriksa sebuah kereta jenis Honda bernombor pendaftaran JAQ 86 yang berhenti di tepi jalan susur masuk tol berkenaan.

Katanya, suspek yang tiba-tiba keluar dari kereta melepaskan beberapa das tembakan ke arah dua anggota terbabit namun tidak mengenai sasaran. Akibat tembakan dilepaskan lelaki terbabit, kedua-dua anggota polis yang menaiki Mitsubishi Pajero bergegas menyelamatkan diri.

“Suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan merampas kenderaan milik polis dan pada masa anggota berkenaan terus berbalas tembakan dengannya sebelum meminta bantuan untuk mengejar suspek,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Katanya, sebaik tiba di Kilometer 113.6 LPT, suspek memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum melarikan sebuah Proton Waja yang dinaiki dua lelaki dan meneruskan perjalanan menuju ke Kuantan sambil dikejar anggota polis.

“Namun, apabila tiba di Tol Jabor, suspek yang melihat ada anggota polis melakukan sekatan, cuba berpatah balik dan terus berbalas tembakan dengan polis.
“Dia kemudian keluar dari kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang cuba memintasnya, namun penjenayah terbabit akhirnya tewas selepas terkena tembakan pada bahagian perut,” katanya.

Sharifuddin berkata, seorang anggotanya turut cedera pada bahagian tangan kanan akibat terkena peluru yang dilepaskan penjenayah terbabit dalam kejadian tembak-menembak itu.

“Anggota polis itu kini dirawat di HTAA dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, semakan yang dibuat mendapati kereta Honda dinaiki suspek dilaporkan hilang di Kuantan beberapa jam sebelum kejadian dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Polis turut menemui pistol jenis Baretta 9mm serta dua kelopak peluru yang digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Jarizan ketika ditemui di HTAA, berkata dia tidak serik dengan kejadian itu walaupun ia hampir meragut nyawanya.

Dia yang berasal dari Taman Mawar, Johor bersyukur kerana selamat dalam kejadian dan akan kembali bertugas apabila pulih daripada kecederaan.

“Nak kata trauma tu tak juga, ini lumrah tugas seorang anggota polis, syukur saya selamat,” katanya.

Dicekup lepas berasmara

Oleh SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my

RAMPAS... antara dadah yang dirampas.
RAMPAS... antara dadah yang dirampas.
ARAU: Sepasang kekasih yang baru selesai berasmara dicekup kerana dipercayai memiliki dadah jenis syabu dan heroin dalam beg galas mereka dalam serbuan di Jalan Padang Besar, Kurung Anai, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan jam 10 pagi kelmarin, suspek lelaki yang juga pesawah berusia 42 tahun dan teman wanitanya berusia 19 tahun dicekup ketika menunggu pelanggan.
Difahamkan, wanita itu tidak memakai pakaian dalam selepas mereka dipercayai baru selesai berasmara di situ.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Asisten Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, pemeriksaan terhadap suspek berusia 42 tahun menemui 25 paket heroin seberat 35.30 gram di dalam beg kecil yang dipegang.


Menurutnya, siasatan mendapati teman wanita suspek memiliki empat paket dadah jenis syabu seberat 3.10 gram di dalam beg galasnya.

Dadah dalam seluar dalam



KULIM: Dua lelaki berusia 20-an dipercayai pengedar dadah yang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa, ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Padang Serai, jam 4.30 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, kedua-dua lelaki ditahan sepasukan polis yang membuat rondaan rutin selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan di Jalan Padang Estate.

Katanya, suspek yang menaiki Proton Wira cuba melarikan diri dengan memecut kenderaan sebelum dipintas polis di Jalan Bunga Raya.
“Suspek bertindak agresif dengan memecut kenderaan sebelum ditahan polis di Jalan Bunga Raya. Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk ujian air kencing dan disahkan positif dadah jenis ganja,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan badan, polis menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah yang disorokkan di dalam seluar dalam seorang suspek.

Identiti suspek dikenal pasti

JASIN: Polis mengenal pasti identiti suspek yang terbabit dalam kes kecurian sebuah lori hingga mengakibatkan seorang anggota polis peronda terbunuh di kebun kelapa sawit di Kampung Solok Limau Purut, Melekek Dalam, Alor Gajah, dekat sini, Isnin lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, polis masih memburu suspek iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

“Hasil siasatan polis mendapati hanya seorang lelaki terbabit dalam kejadian itu dan identitinya sudah dikenal pasti.
“Kita yakin suspek dapat ditangkap tidak lama lagi bagi membantu siasatan kejadian itu,” katanya ketika melawat keluarga anggota polis yang maut, Koperal Rasul Tumin, 47, di Kampung Parit Penghulu, di sini, semalam.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada balu Rasul, Zuraini Zainal Abidin.

Tumin, 47,keluarga mangsa.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beg berisi mayat bayi

Laporan ABU BAKAR AL SIDEK
am@hmetro.com.my

SUNGAI MANIK: Hasrat seorang remaja lelaki memetik nenas di kebun buah-buahan keluarganya, di sini, petang kelmarin, terbantut apabila terserempak dengan sebuah beg pakaian berisi mayat bayi.
Dalam kejadian jam 6.30 petang di Lorong Tok Jingga, Kampung Sungai Lampam, mayat bayi dibalut dengan kain sarung batik itu dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu sebelum dicampak di ladang berkenaan.

Difahamkan, mayat bayi itu cuba dikebumikan berdasarkan penemuan satu ‘kubur’ kecil berhampiran sebuah pokok mengkudu di lokasinya ditemui.
Saksi kejadian, Khairudin Idris, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Sultan Abdullah, di sini, berkata, sebaik terserempak dengan mayat bayi, dia bergegas pulang ke rumahnya di Parit 4/7R Chenderong Balai dan memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.

Beliau berkata, dia bersama abangnya, Saharudin, 20, dan abang iparnya, Razlan Abu Bakar, 28, kembali ke lokasi penemuan mayat bayi itu untuk memeriksa.

“Kami membuka beg sebelum melihat mayat bayi itu berbalut dengan kain sarung batik. Kami percaya bayi itu meninggal dunia beberapa hari lalu kerana berbau busuk dan berulat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Empat bagi memaklumkan penemuan mayat bayi itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menyerahkan mayat bayi kepada Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, sehingga semalam, jantina mayat berkenaan belum dipastikan kerana masih dalam pemeriksaan pihak hospital.

Pelacur berang ditahan



KUALA LUMPUR: Berang ditahan, seorang pelacur warga Thailand meninggikan suara dan berlagak sombong ketika diarah pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) yang mahu membawanya dan pelacur lain menaiki van ke balai polis untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Imbi, di sini, pelacur terbabit antara 10 wanita warga asing yang ditahan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, yang mengesyaki ada aktiviti tidak bermoral hasil risikan sebelum ini.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa berkata, dalam operasi jam 11 malam kelmarin, mendapati premis yang terletak di tingkat satu berkenaan menawarkan pelacur warga asing.
“Hasil serbuan, enam wanita warga Thailand dan empat wanita warga China berusia antara 22 hingga 34 tahun ditahan dalam di premis itu. Tiada pelanggan ketika serbuan dilakukan.

“Pemeriksaan mendapati sembilan daripadanya menggunakan pas lawatan sosial, manakala seorang menggunakan pas pelajar. Semua mereka tidak mempunyai permit kerja dan disyaki pelacur,” katanya selepas serbuan, malam kelmarin.

Menurutnya, modus operandi pusat itu adalah menyediakan pelacur warga asing dan pelanggan boleh membuat pilihan sebelum dibawa masuk ke mana-mana bilik karaoke ditempah.

No comments:

Post a Comment