Tuesday, August 31, 2010

BAGUSLAH..SUAMI DAH MULA HILANG INGATAN SEBAB TELAH TERLALU TUA..NI BAHAGIAN MASING2

KASIH SEORANG ISTERI


MERSING - Demi kasih sayangnya yang tidak pernah pudar, Asmah Majid, 72, bukan hanya sanggup dimarahi, malah juga pernah ditolak sehingga jatuh oleh suaminya yang sakit, Salleh Awang, 78, di Kampung Buluh Betong, Jalan Endau-Mersing, dekat sini.

Bagi Asmah, kasih seorang isteri hanyalah untuk suaminya. Walaupun sering dimarahi, namun dia tetap menyediakan segala keperluan dengan setia.

“Suatu ketika dulu, suami saya sebenarnya adalah seorang yang kuat bekerja bagi menyara keluarga. Pendapatannya sebagai nelayan dan kelindan lori semasa usia muda memang cukup menanggung kehidupan kami sekeluarga.

“Bagaimanapun kini dia terlantar sakit dan tidak mampu berjalan lagi. Matanya juga sudah rabun dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat. Suami saya juga menghidap penyakit kencing manis,” katanya.

Asmah berkata, keadaan suaminya semakin uzur dan sering kali dia melakukan tindakan di luar jangkaan sehingga menyebabkan anak-anak dan cucunya bimbang dia melakukan sesuatu yang mencederakan dirinya atau orang lain.

“Dia selalu memarahi saya, ada kalanya menolak saya sampai terjatuh apabila saya ingin memandikannya kerana perkara yang paling dia benci adalah mandi.

“Pernah dahulu, hampir tiga hari dia tidak mandi kerana tiap kali waktu mandi, dia akan melarikan diri dan memberontak.

“Namun memandangkan saya adalah isterinya, saya tetap bersabar,” katanya.

Asmah yang tinggal bersama anak keempatnya mempunyai 12 anak dan hanya bergantung kepada mereka dan menantunya.

Menurut Asmah, suaminya juga pernah ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana merayau-rayau di bandar Mersing tidak lama dahulu.

“Pernah juga beberapa kali dia menghilangkan diri dan keesokannya suami saya ditemui orang ramai sedang tidur di tepi longkang,” katanya.

Asmah berkata, ada juga pihak yang prihatin tampil memberi sumbangan, malah Skuad Penyayang Wanita UMNO Bahagian Mersing yang diketuai Alawiyah Talib pernah datang memberi bantuan keperluan harian dan lampin pakai buang untuk kegunaan suaminya.

“Tetapi, dia tidak suka memakainya. Sehingga kini, lampin yang diberikan masih banyak lagi,” katanya.

“Saya tidak menerima apa-apa bantuan dari mana-mana pihak, cuma JKM berjanji untuk memberikan bantuan sara hidup atau memilih untuk menempatkan suaminya di pusat pemulihan Desa Bina Diri (DBD) Mersing, untuk rawatan dan pemulihan,” katanya.

Ditanya persiapan raya, dia memberitahu, tiada persiapan raya dilakukan memandangkan baginya pendapat hanya bergantung kepada menantunya sahaja yang bekerja sebagai buruh di Tanjung Gemok, dekat sini.

Sempena Ramadan ini, kepada sesiapa yang berhasrat membantu Asmah dan suaminya, mereka boleh menghubungi Ketua Kampung, Shafie Kasim melalui nombor 017-7138033.




'Benci tapi sayang'

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Rohaya Bu-za
am@hmetro.com.my
2010/09/01

HULU TERENGGANU: “Sayang pun sayang, benci pun benci,” kata Mek Wook Kondor, 107, mengenai perasaannya terhadap suaminya, Mohd Nor Musa, 38, yang kini menjalani rawatan pemulihan di Pusat Khidmat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah (PKAD) selama dua bulan selepas ditahan polis kerana didakwa positif dadah jenis heroin pada 12 Ogos lalu.
Kata wanita tertua Terengganu itu, walaupun kecewa dengan sikap suaminya yang kembali ke tabiat buruk menagih dadah, jauh di sudut hatinya masih menyayangi lelaki berkenaan yang disifatkan amat setia mencintainya ketika susah dan senang.
“Kalau tidak sayang Mohd Nor, hendak ganti dengan siapa. Tiada siapa lagi lelaki dalam hidup saya kecuali suami yang sanggup hidup susah dan senang bersama.

“Walaupun perangai dia kadang-kadang tidak molek, dia tetap rajin menguruskan hal rumah tangga, malah sanggup memasak, membasuh dan memandikan saya ketika kami bersama,” katanya ketika ditemui di rumah adiknya, Minah, 66, di Kampung Tok Randok, di sini, kelmarin.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia dihantar oleh suaminya ke rumah adik bongsu yang bimbangkan keselamatan dirinya tinggal berseorangan di rumah mereka di Kampung Bukit Tok Bat, di sini, selain dapat menjaga makan minumnya.

Katanya, walaupun kadangkala timbul rasa sunyi kerana terpaksa berbuka puasa berdua dengan adiknya, namun dia tidak kisah dan menganggapnya sebagai cabaran Ramadan, begitupun dia tetap berharap dapat menyambut Aidilfitri bersama suaminya dan pulang ke kampung mereka di Kelantan.

Minah pula berkata, sejak Mek Wook tinggal bersamanya kira-kira dua minggu lalu, ia sedikit sebanyak menghilangkan kesunyiannya yang tinggal berseorangan selepas kematian suami beberapa tahun lalu, manakala lima anaknya pula sudah bekerja dan berkeluarga.


Ayang galas tugas suami

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
2010/09/01

SADONG JAYA: Kehidupan Ayang Ismail suatu ketika dulu diwarnai suasana ceria, namun semuanya berubah selepas suami tercinta, Agai Jani, 60, yang sebelum ini menjadi nadi dan mata pencarian keluarga terlantar akibat diserang angin ahmar sejak tiga tahun lalu.
Sejak daripada itu, Ayang, 57, terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga termasuk keluar mencari pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka empat beranak apabila suaminya yang bekerja sebagai nelayan tidak mampu turun ke laut.
“Keadaan suami tidak mengizinkan memaksa saya bekerja di sebuah kilang memproses udang dengan upah tidak menentu kerana semuanya bergantung kepada jumlah tangkapan udang.

“Paling tinggi, saya boleh dapat RM16 sehari. Tapi, jumlah itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian termasuk menyediakan lampin pakai buang, ubat serta kos rawatan suami,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Semera Masjid di sini, semalam.

Ayang mengakui perlu menghantar suaminya menjalani rawatan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kira-kira dua kali sebulan.

“Perbelanjaan ini tidak termasuk kos menyewa kenderaan bagi menghantarnya ke sana.

“Saya pernah minta bantuan kebajikan bagi meringankan beban yang ditanggung, tapi sehingga sekarang belum ada jawapan,” katanya.

Tambahnya, sudah enam kali dia menghantar borang kepada pihak berkenaan, namun tidak berhasil.

Ketibaan Ramadan menambah kesayuan keluarga terbabit apabila kebanyakan hidangan untuk berbuka puasa disumbangkan jiran tetangga.

“Kami sudah biasa dengan keadaan seumpama ini malah kami tetap bersyukur dengan nikmat dikurniakan kepada keluarga kami,” katanya

No comments:

Post a Comment