Friday, September 3, 2010

INGAT...KITA TAK BOLEH LARI DARI TAKDIR....MOHON PERLINDUNGLAH KEPADA ALLAH SWT


18 cedera, dua parah

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Muhammad Apendy Issahak

2010/09/03

GOMBAK: “Jalan terlalu licin, saya tak dapat kawal bas. Saya tak pandu laju kerana hujan lebat, tapi tiba-tiba saja terbabas dan merempuh penghadang jalan sebelum terbalik.
BANTU...anggota ketenteraman awam dan trafik membantu penumpang yang cedera.
BANTU...anggota ketenteraman awam dan trafik membantu penumpang yang cedera.
“Saya cepat-cepat keluar bas ikut cermin depan yang pecah untuk selamatkan diri dan membantu penumpang lain,” kata pemandu bas persiaran, Atan Muhamad, 44, menceritakan detik cemas bas dari Genting Highlands ke Batu Pahat, Johor terbabas di Kilometer 31 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur dekat Terowong Genting Sempah, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, 18 daripada 27 penumpang cedera termasuk dua parah dan dirawat di Hospital Selayang.

Seorang penumpang cedera ringan, Manja Kasim, 28, berkata dia tidak sedar bagaimana kemalangan berlaku kerana tidur ketika kejadian.

“Saya hanya terjaga selepas terdengar dentuman kuat dan baru sedar bas sudah terbalik. Saya merangkak keluar menyelamatkan diri sebelum membantu penumpang lain.

“Semua penumpang dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Genting Highlands,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, kejadian dipercayai berlaku kerana jalan licin akibat hujan lebat.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang menggunakan enam ambulans manakala yang tidak cedera meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain.

“Tujuh penumpang patah dan retak tulang manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar. Antara yang parah ialah seorang wanita warga negara China dan seorang lelaki warga Indonesia.

“Mengikut rekod bas berkenaan membawa tujuh rakyat tempatan manakala bakinya warga asing,” katanya.


Mayat terapung di sungai



2010/09/03

KLANG: Mayat seorang lelaki tanpa identiti dipercayai mangsa bunuh ditemui terapung dalam sungai, di Jalan Pandamaran, Sungai Aur, berdekatan kawasan perumahan, semalam.
Ia ditemui kira-kira jam 9.15 pagi oleh seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum memaklumkan kepada polis.
Lebih mengejutkan apabila pemeriksaan polis turut menemui batu yang diikat pada mangsa dipercayai untuk menenggelamkannya selain kesan cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata berdasarkan keadaan mayat, ia dipercayai sudah meninggal dunia sejak empat hari lalu sebelum ditemui orang awam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian, 03-33712222.



Bapa 10 anak maut nahas 'pelik'

Oleh Hadzlan Hassan

2010/09/07 

KUALA TERENGGANU: “Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, namun bagi saya sekeluarga sambutan tahun ini suram kerana ayah sudah pergi selama-lamanya.
MAUT...anggota polis memeriksa mayat Sulong (gambar kecil) yang terbunuh selepas motosikalnya merempuh  rumah kakaknya.
MAUT...anggota polis memeriksa mayat Sulong (gambar kecil) yang terbunuh selepas motosikalnya merempuh rumah kakaknya.
“Walaupun arwah sempat menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan menyediakan segala kelengkapan raya untuk kami 10 beradik, namun sambutan tahun ini sudah tidak bermakna bagi kami yang sepatutnya mencium tangannya pada pagi lebaran,” kata Mohd Asnazir Sulong, 23.

Bapanya, Sulong Ibrahim, 50, maut selepas motosikal ditungganginya merempuh rumah jiran mereka yang juga kakak mangsa ketika membaiki motosikal itu bersama seorang lagi anak lelakinya dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam.

Kejadian berlaku di Kampung Petai Bubus, Manir, dekat sini, ketika adik Mohd Asnazir, Mohd Azlin, 19, menolak motosikal yang dibaiki manakala bapa mereka menunggangnya untuk membolehkan enjin kenderaan itu dihidupkan.

“Bagaimanapun sebaik motosikal itu berjaya dihidupkan, ia meluncur laju lalu merempuh rumah di depannya sebelum terperosok di bawah rumah berkenaan menyebabkan beberapa ahli keluarga termasuk ibu, Sabidah Ismail, 47, yang terdengar dentuman akibat pelanggaran itu berkejar ke situ.

“Ketika itu, kami sudah tidak mampu berbuat apa-apa kerana ayah sudah nazak dan tidak sedarkan diri dan hanya badannya bergerak-gerak sebelum akhirnya terhenti,” katanya

Harian Metro difahamkan, kejadian berlaku akibat tali minyak motosikal berkenaan dikatakan gagal berfungsi dengan baik kerana terlekat menyebabkan motosikal berkenaan meluncur laju sebaik enjinnya hidup tanpa dapat dikawal mangsa.

Akibatnya, kenderaan itu merempuh rumah kakak mangsa dan kesan perlanggaran itu menyebabkannya cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Mohd Asnazir berkata, bapanya menunjukkan perubahan sikap apabila arwah sebelum ini serius tiba-tiba berubah menjadi seorang yang periang sejak beberapa hari lalu.

Sebelum membaiki motosikal anaknya, arwah dikatakan baru pulang dari klinik berhampiran untuk mengambil ubat darah tinggi sambil ditemani isterinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu adalah kematian pertama yang dilaporkan di Kuala Terengganu sejak Ops Sikap ke-22 dilancarkan


Pesawat latihan terhempas di Johor, pelatih wanita terbunuh



2010/09/07 

JOHOR BAHRU: Sebuah pesawat latihan terhempas di kawasan ladang berhampiran Gunung Pulai pagi tadi menyebabkan pelatihnya, seorang wanita, terbunuh.

Menurut laporan awal, jurulatihnya seorang lelaki, mengalami kecederaan dalam nahas pada 9.20 pagi itu.
"Daripada laporan saksi, enjin pesawat itu tidak berfungsi sejurus sebelum ia terhempas," kata sumber polis kepada Bernama hari ini.

Pesawat itu dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Senai pada 8.30 pagi tadi untuk latihan penerbangan di sekitar ruang udara Johor.

Jurulatih yang cedera itu serta mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulaijaya.

Identiti kedua-duanya belum dikenal pasti.-Bernama


Wanita warga emas maut dilanggar lari di Raub



2010/09/07

KUANTAN: Seorang wanita warga emas yang dipercayai menjadi mangsa langgar lari maut ketika cuba melintas jalan di Km 346, Jalan Raub-Lipis dekat Raub, semalam.
Jamilah Sali, 79, yang berasal dari Kampung Kali Tengah, Raub, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala di Hospital Raub, kata Pegawai Turus Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohd Najib Jusoh.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 petang ketika Jamilah cuba melintas jalan.

"Ketika itu datang sebuah kereta jenis Nissan Cefiro dari arah Raub menghala ke Kuala Lumpur terlanggar mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke bahagian hadapan kereta itu sebelum jatuh ke atas jalan," katanya.

Mohd Najib berkata, menurut keterangan saksi, pemandu kereta berwarna perak itu kemudian bertindak memecut kereta melarikan diri dari tempat kejadian.

"Polis kini giat mengesan pemandu berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang lelaki Orang Asli maut apabila motosikalnya terbabas dan melanggar batu penghadang jalan di Kilometer 10, Jalan Pekan-Nenasi dekat Rompin, semalam.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, Karil a/l Hak, 31, meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mohd Najid berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari Pekan menuju ke rumahnya di Kampung Bukit Serok, Nenasi, dekat Rompin.-Bernama


Tujuh sekeluarga tinggal segelai sepinggang menjelang Aidilfitri



2010/09/07 
JITRA: Kedatangan Syawal yang bakal tiba dua hari lagi sudah tidak bermakna buat tujuh sekeluarga apabila rumah setingkat yang mereka diami di Kampung Alor Batu, Mukim Gelung, di sini musnah dijilat api petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang semalam dan disedari oleh salah seorang penghuni yang sedang berehat di ruang tamu rumah tersebut apabila dia terbau asap dari bilik solat yang terletak di bahagian hadapan rumah itu.
Mangsa, Saiful Mohd Fitri Saibon, 28, berkata ketika kejadian sepupunya yang sedang berehat di ruang tamu rumah telah memasuki bilik sembahyang itu dan mendapati asap sudah memenuhi bilik dan api juga telah marak.

Saiful berkata, sepupunya itu kemudian memanggil ibu dan adiknya yang sedang tidur di bilik belakang sementara nenek dan seorang anak saudaranya yang kebetulan berada di beranda rumah lari keluar menyelamatkan diri.

"Saya bersyukur kerana sepupu sempat memanggil semua ahli keluarga yang ada dalam rumah keluar sebelum rumah ini hangus sepenuhnya dijilat api," katanya.

Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Perlis dan kira-kira lima kilometer sebelum sampai rumah, dia sudah nampak asap tebal di udara ketika berada di kawasan berbukit.

"Sejak pagi lagi saya sudah rasa tidak sedap hati...rupa-rupanya ada sesuatu berlaku ke atas keluarga saya.

"Sambutan raya tahun ini sudah tidak bermakna bagi kami sekeluarga kerana semua persiapan raya seperti baju dan kuih-muih musnah dalam kebakaran," katanya.

Sementara itu, Anggota Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar yang turut melawat mangsa memberitahu keluarga malang itu akan dibantu untuk mendapatkan rumah melalui bantuan rumah rakyat.

"Saya akan bawa perkara ini ke Jabatan Pembangunan Persekutuan Daerah Kubang Pasu bagi membolehkan mereka mendapat bantuan tersebut," katanya yang turut memberi bantuan segera berupa barang keperluan asas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Mohamad Darus ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada kira-kira jam 4.51 petang dan dua jentera tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian

"Dengan bantuan pasukan bomba sukarela Tunjang, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 30 minit, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment