NEGARA
Habis RM17,000 rawat rambut
GEORGE TOWN – Berhabis sehingga RM17,000 bagi merawat masalah rambut, namun hasil yang diperoleh mengecewakan.
Tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan pusat rawatan rambut Yun Nam Hair Care, juruteknik sebuah kilang di sini, Mahathir Taib, 24, memfailkan kesnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini pada bulan lepas.
Dalam perbicaraan semalam, Presiden TTPM, Datuk A. Mutalib Mohd. Razak mengarahkan pusat rawatan rambut itu membayar ganti rugi RM1,500 serta memberikan 12 rawatan rambut percuma kepada Mahathir.
Dua wakil Yun Nam Hair Care turut hadir pada perbicaraan itu.
Dalam tuntutannya, Mahathir dari Sungai Petani, Kedah mendakwa tidak berpuas hati selain berasa terpedaya kerana tidak diberi penerangan yang jelas berhubung rawatan yang diterimanya.
Mahathir memberitahu, semasa pertama kali dia berkunjung ke pusat rawatan itu di sebuah pusat beli-belah di Bukit Mertajam dekat sini pada Oktober tahun lalu, dia diberitahu masalah rambutnya boleh dirawat lalu jururunding di situ menawarkan pakej rawatan berharga RM1,500.
Untuk pakej itu, dia menerima 10 kali sesi rawatan rambut menggunakan formula herba termasuk empat botol produk berharga RM216.
NEGARA
Ibu maafkan dosa Siti Faezah
KUALA LUMPUR – Ibu kepada Siti Faezah Abu Baka bertekad untuk membawa keluarga anaknya yang sebelum ini hidup merempat di bawah jambatan di sebatang lebuh raya di sini pulang ke rumahnya di Segamat, Johor bagi memulakan hidup baru.
Siti Rohani Abdullah, 52, berkata, dia gembira kerana selepas enam tahun berpisah dengan anak keenam daripada 10 adik-beradik itu, mereka akhirnya dipertemukan dengan bantuan Biro Aduan Komuniti UMNO.
Siti Rohani telah dibawa ke sini oleh ahli-ahli biro itu dari rumahnya di Ladang Sungai Selarut, Segamat kira-kira pukul 11 pagi semalam untuk dipertemukan semula dengan Siti Faezah, 27.
Pertemuan itu adalah rentetan daripada usaha membantu keluarga Siti Faezah, suaminya, Hazmain Abdul Jalil, 28, dan anaknya yang baru berusia setahun, Siti Norafida yang ditemui merempat di kolong jambatan Lebuh Raya Maju Expressway di sini sejak empat bulan lalu.
“Kami terputus hubungan selepas telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi. Saya pun selalu berharap dia menelefon saya kerana dia tahu nombor saya.
“Kali terakhir kami berjumpa adalah pada bulan puasa tahun 2004,” ujar Siti Rohani selepas dipertemukan dengan Siti Faezah di sini semalam.
Sebelum ini, menurut Siti Rohani, dia sudah lama mencari anaknya itu termasuk cuba mendapatkan maklumat daripada rakan rapatnya di Johor, namun tidak berhasil.
Pada pertemuan itu, Siti Faezah dan ibunya tidak dapat menahan kesedihan dan mereka saling berpelukan dan menangis teresak-esak selama lebih 10 minit
NEGARA
Kegiatan maksiat atas bumbung berakhir tragedi
PETALING JAYA – Seorang gadis sunti berusia 12 tahun yang menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat enam Blok E dekat Apartmen Lestari di Damansara Damai di sini kelmarin dikatakan selalu berada di situ untuk melakukan perbuatan sumbang.
Perkara tersebut didedahkan oleh penduduk di situ yang sebelum ini sering melihat mangsa bersama beberapa remaja lelaki naik ke bumbung bangunan itu.
Menurut mereka, remaja perempuan berkenaan bukan penduduk di situ. Selain itu, dia juga sering dilihat terhendap-hendap setiap kali hendak ke bumbung bangunan tersebut.
Seorang penghuni yang enggan dikenali berkata, penduduk kemudian bersepakat untuk memasang perangkap bagi mengetahui aktiviti mereka.
“Alangkah terkejutnya kami apabila melihat mangsa sedang berasmara dengan tiga remaja lelaki di situ.
“Kami kemudian menyergah mereka menyebabkan mereka terkejut dan cuba melarikan diri. Ketika itulah mangsa cuba turun dengan memanjat dinding tetapi dia gagal lalu terjatuh ke tanah,” ceritanya ketika ditemui semalam
DUNIA
Askar Israel hina tahanan
BAITULMUQADDIS - Sebuah kumpulan hak asasi manusia Israel, Breaking the Silence menyiarkan gambar-gambar terbaru yang menunjukkan askar Israel bergambar dengan tahanan dan merosakkan rumah orang Palestin yang dirakamkan dalam Perang Gaza 2008 hingga 2009.
Dalam satu gambar, seorang askar mengacukan raifal ke arah muka seorang tahanan yang matanya ditutup.
Sementara itu, seorang askar lain menconteng dinding sebuah rumah dengan lambang Star of David dan menulis ayat yang bermaksud dia akan datang sekali lagi.
Dalam gambar yang lain, beberapa orang askar kelihatan tersenyum dan bergaya di dalam sebuah rumah milik seorang penduduk Palestin.
Satu lagi gambar menunjukkan seorang askar menunjukkan aksinya di belakang seorang wanita bertudung yang memasak di dapur.
Tentera Israel bagaimanapun tidak memberi sebarang komen segera mengenai gambar-gambar itu.
Pendedahan gambar-gambar itu dibuat selepas satu siri insiden yang sama berlaku dalam laman web sosial di Internet.
Pengasas Breaking the Silence, Yehuda Shaul enggan mendedahkan sumber gambar-gambar itu diperoleh.
Namun dia menjelaskan pihaknya telah menerima puluhan gambar yang menunjukkan bahawa tindakan kurang ajar askar Israel itu semakin berleluasa.
"Ia sudah menjadi norma pasukan tentera Israel. Ia adalah kesan langsung di kawasan yang kamu (Israel) kuasai setiap hari. Kamu (Israel) menjadi korup dan tidak lagi mampu melihat mereka (orang Palestin) sebagai manusia," kata Shaul.
Shaul memberitahu, pihaknya masih cuba untuk menentukan lokasi gambar-gambar itu dirakamkan.
Pada Ogos lalu, gambar-gambar di laman sosial Facebook menunjukkan seorang askar wanita bergambar dengan beberapa orang tahanan Palestin.
Satu klip video di laman perkongsian video YouTube turut menunjukkan seorang askar menari di sebelah tahanan wanita Palestin yang memakai tudung. - AFP
No comments:
Post a Comment