Wednesday, October 27, 2010

SEMUANYA ADA PENGAJARAN...DEKATKAN DIRI KITA DENGAN ALLAH SEBELUM MATI

Ahli perniagaan maut jatuh hotel


KUANTAN - Seorang ahli perniagaan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sebuah hotel di Jalan Wong Ah Jang di sini, malam tadi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan DSP Kamaruzzaman Jaafar berkata, lelaki berusia 53 tahun itu difahamkan menyewa bilik hotel berkenaan sejak semalam.

Dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 2 pagi tadi, hampir empat jam selepas kejadian itu.

Kamaruzzaman berkata, polis masih menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah atau tidalam kes itu.

Mengenai satu kes lain, beliau berkata, polis sedang mengesan seorang wanita berumur 20 tahun yang dipercayai melarikan diri selepas melahirkan seorang bayi perempuan di hospital berkenaan semalam.

"Kita difahamkan wanita itu pembawa HIV dan anaknya kini berada dalam keadaan sihat serta stabil," katanya.

Kamaruzzman berkata, polis telah memaklumkan kepada kes berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya


Bersalah bunuh jiran

KOTA BHARU – “Dalam kes ini mangsa ditikam 32 kali dan ketika kejadian itu pada 14 September 2006 mahkamah boleh bayangkan mangsa alami serangan dahsyat dan kejam.

“Sepanjang kerjaya saya ini gambar kejadian paling tragik saya tengok, di mana mangsa wanita, yang tidak boleh bertindak untuk pertahankan diri,” kata Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim sebelum menjatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun mulai tarikh tangkapan pada 15 September 2006 terhadap tertuduh, Rahim Ngah, 33, selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan tertuduh bersalah dan disabitkan atas pertuduhan pindaan itu.

Dalam pertuduhan pindaan, tertuduh mengaku bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan dan melakukan kesalahan membunuh terhadap Norazlina Awang, 27, di sebuah rumah di Kampung Pantai Senok, Bachok antara jam 8 dan 9.30 pagi, 14 September 2006.:

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata, walaupun tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan itu ia alasan paling ringan mahkamah patut beri pertimbangan.

“Berdasarkan bedah siasat separuh daripada 32 tikaman itu dibuat selepas mangsa mati, kejadian itu berlaku dengan kehadiran anak mangsa yang berusia setahun. Apa-apa alasan sekalipun ia kesalahan kejam.

“Tertuduh hari ini (semalam) bernasib baik kerana pindaan pertuduhan dibuat daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati kepada Seksyen 304(a),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Khairul Anuar Wahab dalam hujahnya berkata, kejadian itu berlaku di rumah berhadapan dengan rumah tertuduh kerana keluarga mangsa menyewa rumah kakak tertuduh.

“Tertuduh berkawan dengan keluarga si mati. Kejadian ini seolah-olah harapkan pagar, pagar makan padi. Tertuduh sepatutnya orang yang boleh dipercayai kerana berkawan dengan suami si mati.

“Ketika kejadian anak si mati berusia setahun ada di situ. Alangkah zalim ia dilakukan di depan bayi dan si mati ditikam banyak kali. Ada tikaman dibuat selepas si mati sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, tertuduh juga menutup perbuatan jenayahnya dengan cuba menghapuskan jejak dan bukti seolah-olah ia kejadian rompakan


Ibu maut kena gilis

PENDANG – Seorang wanita maut digilis lori pasir di Titi Kampung Hampar, di sini, petang Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, Rosiah Hussin, 47, dari Kampung Tok Sedau, dekat sini, dikatakan terjatuh apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan lori berkenaan sebelum digilis. Mangsa ketika itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pekan ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah Pendang, Cif Inspektor Abdul Ghani Khamis berkata, mangsa yang meninggalkan suami dan empat anak, menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.

“Motosikal mangsa dan lori itu datang dari arah jalan Sungai Tiang ke Pekan Pendang ketika lori terbabit tergesel dengan motosikal mangsa yang berada di kiri laluan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan digilis tayar belakang lori itu,” katanya.

Abdul Ghani berkata, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua kenderaan tiba di pangkal jambatan berikutan laluan yang sempit, tambahan pula ada kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, lori yang membawa muatan pasir melebihi had itu datang dari Bukit Selambau.

Abdul Ghani berkata, pemandu lori terbabit terus melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang awam yang melihat kejadian itu.

“Seorang pemandu lain yang menyedari pemandu lori itu cuba lari meminjam motosikal penduduk untuk mengejar dan berjaya menahan lori itu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya.

Abdul Ghani berkata, pihak polis meminta lelaki terbabit tampil ke balai polis bagi membantu siasatan memandangkan dia yang melihat kejadian yang berlaku.

Selain itu, beliau meminta semua pemandu lori yang melalui jalan itu lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang memandangkan laluan di tempat itu begitu sempit dan digunakan ramai penunggang motosikal.

“Pemandu lori harus lebih berhati-hati memandangkan jalan Sungai Tiang ke Pendang itu sempit selain banyak selekoh. Pemandu lori harus memberi ruang kepada penunggang motosikal kerana banyak kes kemalangan maut yang membabitkan penunggang motosikal dengan lori di laluan itu,” katanya



Tiga termasuk calon PKR Batu Sapi jatuh laut


SANDAKAN - Ia merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Ansari Abdullah apabila beliau terjatuh ke dalam laut apabila pelantar jeti tempat beliau berpijak tiba-tiba roboh.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, Ansari bersama krew berita NTV7 serta beberapa pekerja parti tiba di Pulau Api-Api dari pulau berhampiran selepas apa ditakrifkannya sebagai 'misi mengumpul maklumat'.

"Yang mula-mula naik ke jeti (pelantar) selepas bot rapat di pelantar itu ialah krew NTV7. Selepas itu saya. Apabila saya melihat jeti (pelantar) itu agak goyah, saya tidak bagi sesiapa lagi naik.

"Malangnya, disebabkan bot itu (yang mereka naiki) bergoyang, pengarah pilihan raya PKR turut naik ke atas jeti menyebabkan ketiga-tiga kami jatuh ke dalam laut, habis basah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mujurlah kesemua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun basah kuyup dan petugas NTV7 sempat menyelamatkan kameranya daripada basah.

Bagaimanapun, telefon bimbit Blackberry serta kamera miliknya, bernilai kira-kira RM4,000 rosak kerana terjatuh ke dalam laut.

Ansari berkata, beliau juga bersyukur kerana hanya pelantar jeti yang roboh dan bukannya keseluruhan jeti itu memandangkan terdapat wanita mengandung dan ibu yang membawa kanak-kanak kecil sedang menunggu di atas jeti ketika kejadian itu.

Sehubungan itu, Ansari meminta Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong Datuk Samsudin Yahya supaya mengarahkan agensi berkaitan untuk segera membaiki jeti berkenaan


Pukul ibu hingga cedera dilaknat

KUALA TERENGGANU – Mana-mana individu yang sanggup memukul ibu kandung mereka sendiri sehingga mendatangkan kecederaan termasuk koma boleh digolongkan dalam kelompok anak derhaka.

Iman Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, perkara itu memang jelas disebutkan dalam Islam dan anak derhaka tidak akan mendapat kehidupan yang baik sama ada di dunia mahupun akhirat.

Menurutnya, menjalani kehidupan tanpa rahmat Allah SWT dan ibu bapa juga menyebabkan hati mereka tidak akan berasa tenang, mudah ditimpa musibah dan sering dirundung malang yang tidak berpenghujung.

“Dalam hadis sendiri ada sebut, kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan ibu bapa dan oleh itu, jika ibu kita marah sudah pasti Allah juga akan marah kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang anak menumbuk ibu kandungnya sendiri sehingga koma selepas anak-beranak itu bertengkar di rumah mereka di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman.

Lantaran tumbukan di bahagian pipi kiri tersebut, si ibu yang berusia 49 tahun jatuh tersembam sebelum mukanya terkena meja sehingga menyebabkan tulang di bahagian kening kiri ibu malang itu patah.

Lebih menyedihkan sehingga semalam ibu terbabit masih belum sedar daripada koma dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Kemaman.

Semuanya berlaku berikutan sikap panas baran si anak berusia 25 tahun yang tidak berpuas hati apabila melihat persiapan perkahwinannya yang bakal berlangsung pada 6 November depan agak perlahan.

Sambil melahirkan rasa kesalnya terhadap kejadian tersebut, Aizi Saidi berkata, lelaki seperti itu tidak se-suai dijadikan pasangan hidup kerana kegagalannya menghormati dan menyayangi ibu kandungnya sendiri.

Malah katanya, sekiranya lelaki berkenaan berkahwin dan membina rumahtangga, keluarga yang dibinanya juga tidak akan mencapai kebahagiaan disebabkan Allah tidak memberi rahmat kepadanya.

Sehubungan itu menurut Aizi Saidi, mana-mana individu yang termasuk dalam golongan anak derhaka perlu memohon ampun kepada ibu bapa mereka dan bertaubat kepada Allah supaya hidup mereka tidak dilaknat.

“Ramai orang gagal me-ngawal api kemarahan mereka kerana kurangnya kekuatan iman dalam diri masing-masing dan atas sebab itu, terjadilah perkara di luar batasan termasuk memukul ibu bapa sendiri.

“Ada juga sampai ke tahap membunuh ibu bapa kerana iblis sudah menguasai jiwa dan dalam mengatasi perkara ini, kita kena banyak melakukan amalan baik seperti zikir, membaca al-Quran dan mendekati ulama,” katanya

No comments:

Post a Comment