Tuesday, October 26, 2010

JIKA AGAMA DIABAIKAN...DAN TAK PENDULI HALAL HARAM

Marah ibu suruh taubat

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Seorang anak yang mabuk sanggup bertindak luar batasan apabila mendukung dan cuba mencampakkan ibu kandungnya sendiri dari tingkat 14, sebuah flat di sini, selepas tiba-tiba naik berang mendengar syarahan ibunya agar bertaubat, malam kelmarin.
Bagaimanapun, wanita berusia 47 tahun dan bekerja sebagai pekerja pembersihan itu terselamat daripada maut apabila sempat meronta dan melarikan diri sebelum membuat laporan polis selepas tidak tahan dengan sikap liar anak lelakinya yang berusia 22 tahun itu.

Sumber Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, kejadian berlaku jam 8.30 malam apabila suspek dalam keadaan mabuk pulang ke rumah ibunya di Flat Sri Sarawak, Jalan Kenanga, Cheras

“Difahamkan, suspek yang tidak dapat berfikir waras mengamuk tanpa sebab di dalam rumah dengan sengaja menjerit dan membuat bising. Tidak cukup dengan itu, suspek turut merosakkan perkakas rumah.

“Walaupun diminta ibunya supaya menghentikan perbuatan itu, suspek bertambah ganas apabila mula membaling barang kaca seperti pasu hingga pecah.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut memecahkan tingkap kaca rumah menyebabkan ibunya hilang sabar dan menjerit mengarahkan anaknya berhenti daripada berkelakuan liar,” katanya.

Difahamkan, mangsa cuba menasihatkan anaknya itu supaya berubah dan menjadi anak yang baik, selain menghentikan tabiat buruknya yang gemar pulang mabuk.

Namun, nasihat ibunya itu menyebabkan suspek menjadi bertambah ganas sebelum mengugut mahu membunuh wanita berkenaan dengan mencampakkan mangsa ke bawah.

“Bagaimanapun, mangsa yang cuba ditarik suspek melarikan diri sebelum segera menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan selepas bimbang dibunuh anaknya sendiri.

“Polis yang segera datang sebaik menerima laporan kemudian memberkas suspek yang ketika itu masih berada di rumah,” katanya.

Menurutnya, polis menahan reman suspek selama tiga hari sebelum dihantar ke Balai Polis Bukit Jalil di sini, untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, suspek yang bekerja sebagai penjual tiket wayang dibebaskan pada hari sama selepas ibunya tidak sampai hati dan menarik semula laporan polis yang dibuat.

“Susulan penarikan semula laporan polis terdahulu yang dibuat mangsa, polis melepaskan suspek yang berjanji berkelakuan baik,” katanya.


Terjunan tingkat 12

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

PARAH...keadaan mayat mangsa yang ditemui, semalam. Gambar kecil, Goh.
PARAH...keadaan mayat mangsa yang ditemui, semalam. Gambar kecil, Goh.
GEORGETOWN: Akibat tekanan hidup, seorang ibu tunggal yang mempunyai dua anak ditemui mati selepas dipercayai terjun dari tingkat 12 Pangsapuri Taman Serena, Sungai Pinang di sini, kira-kira 12 tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa, Goh Choo Hwa, 36, yang menghadapi masalah mental ditemui di kawasan meletak motosikal di bawah pangsapuri berkenaan dalam keadaan berlumuran darah. Dia dikatakan terjatuh di atas motosikal diletakkan di situ.

Mangsa dipercayai terjun dari tingkat 12 pangsapuri itu selepas keluar rumah untuk membuang sampah. Sebelum itu, mangsa sempat menemui ibunya yang tinggal di tingkat empat pangsapuri sama

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata mangsa tinggal di tingkat 15 bersama dua anaknya berusia 12 dan 18 tahun selepas bercerai sejak 10 tahun lalu.
 
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dilaporkan mengalami masalah mental dan menerima rawatan psikiatri dua tahun lalu.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

“Laporan bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan cedera pada anggota badan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan kami minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, polis masih lagi mencari seorang wanita berusia 49 tahun yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang di sini, malam kelmarin.

Gan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu mangsa yang berasal dari Taman Selasih, Kulim, Kedah sempat meninggalkan nota yang tertera nombor telefon anak lelakinya dan kad pengenalannya sebelum dipercayai terjun dari jambatan itu.

Menurutnya, mangsa dipercayai menunggang motosikal dari rumah selepas bertengkar dengan suaminya sebelum meninggalkan motosikalnya di Kilometer 7.5 di atas jambatan.

Katanya, pasukan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Satu dan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) giat melakukan rondaan untuk mencari mangsa dan sehingga jam 6 petang semalam mangsa masih gagal ditemui.



Lari ikut cikgu pengkid

Oleh Alias Abd Rani

CARI...Abu Kassim (kiri) dan Faridah menunjukkan gambar Khalilah yang hilang.
CARI...Abu Kassim (kiri) dan Faridah menunjukkan gambar Khalilah yang hilang.
KUCHING: Sepasang suami isteri terpaksa ‘terbang’ ratusan kilometer dari Melaka, semalam, selepas mendapat tahu anak gadis mereka berusia 16 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak 23 hari lalu sedang bercuti di bandar raya ini bersama gurunya yang dipercayai seorang pengkid.
Abu Kassim Ismail, 58, dan isterinya, Faridah Hassan, 56, mendakwa membuat keputusan untuk datang ke Kuching sebaik mendapat tahu anaknya, Khalilah yang menghilangkan diri sejak 8 Oktober lalu, kini dipercayai berada bersama guru wanita berusia 24 tahun itu.

Abu Kassim yang bingung mengenai nasib Khalilah berkata, sebelum ini anaknya memiliki sifat baik dan tidak pernah membantah cakap ibu bapanya selain cemerlang mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu

Katanya, sebaik anaknya yang bersekolah agama di Melaka mengenali guru yang juga penyelia asrama berkenaan, pada April lalu, dia mengesyaki sesuatu pelik berlaku ke atas anaknya sehingga mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Khalilah tinggal di asrama

“Guru itu pernah datang dan tidur di rumah, malah saya langsung tidak mengesyaki niat buruknya. Saya mula sangsi selepas mendapat tahu anak saya sudah lama tidak ke sekolah tapi berada di rumah guru terbabit,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu hanya disedari selepas Khalilah dilaporkan tidak pulang ke rumah sebaik tamat persekolahan di sebuah sekolah agama di Melaka pada 8 Oktober lalu.

“Pada hari kejadian, saya menghantarnya ke sekolah dan pada hari itu jugalah dia menduduki ujian. Namun, sehingga petang saya menunggunya, namun kelibatnya tidak muncul, sehingga saya membuat laporan di Balai Polis Jasin, Melaka,” katanya.

Abu Kassim berkata, dia hanya mengesyaki Khalilah berada di Sarawak selepas menemui keratan tempahan yang dibuat di sebuah agensi pelancong di kediaman guru terbabit di asrama sekolah anaknya.

“Kami kemudiannya ke agensi terbabit dan mengesahkan dia dan Khalilah bercuti di Sarawak,” katanya.

Katanya, kehadiran mereka ke Sarawak diperkuatkan lagi selepas guru berkenaan dikatakan memberitahu rakan kepada anaknya menerusi laman Facebook pada Jumaat lalu.

Usaha Abu Kassim menghubungi guru berkenaan bagaimanapun gagal selepas telefon bimbit dimatikan.


Polis siasat kes melontar batu di Sungai Pinang



GEORGETOWN: Polis mengklasifikasi kejadian melontar batu yang mengakibatkan kematian seorang lelaki di kawasan rumah pangsa di Jalan Sungai di sini Sabtu lalu, sebagai kes menyebabkan kematian.
Ketua Polis Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Polis mengambil serius insiden itu dan siasatan dijalankan secara terperinci untuk mencari orang yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian orang awam di flat berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis menjalankan ops sikap di flat itu semalam dan memeriksa setiap tingkat flat berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu

"Polis turut meminta penduduk kawasan berkenaan yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Sabtu lalu, Koi Phen Chan, 64, mati selepas ditimpa batu yang dipercayai dicampak dari tingkat atas Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jalan Sungai di sini.-Bernama'


Gadis misteri kembali ghaib



JERTIH: Gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, dari Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, mengejutkan ahli keluarganya apabila dia kembali ghaib kira-kira jam 9 malam kelmarin.
Siti Balqis yang mula menunjukkan perubahan dan tidak hilang dalam tempoh 15 hari lalu selepas menerima rawatan perubatan secara Islam dari beberapa pengamal perubatan dikatakan dibawa ke lokasi yang lebih jauh.

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata sebelum Siti Balqis hilang, sebiji bola batu berwarna hijau tiba-tiba terjatuh di dalam rumahnya menyebabkan ahli keluarga terkejut dan masing-masing berebut-rebut untuk melihatnya.

Katanya, ketika mereka berebut bola itu, tanpa disedari Siti Balqis yang berada bersama tiba-tiba hilang


“Misteri bola batu yang jatuh itu mungkin sebagai umpan oleh jin yang didakwa menjaga Siti Balqis untuk melalaikan orang ramai yang berada di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Norizan berkata, selepas kehilangan itu gerakan mencari dilakukan penduduk termasuk di tempat yang pernah dia dijumpai sebelum ini seperti di atas pokok, bumbung, dalam siling rumah dan kawasan gua Bukit Keluang, tetapi gagal.

“Sehingga jam 7 malam ini (semalam), Siti Balqis masih belum ditemui dan ini adalah kehilangan paling lama berbanding sebelum ini,” katanya.

Menurut Norizan, kira-kira jam 5 pagi semalam, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Siti Balqis yang mendakwa berada di Gunung Jerai, Kedah, kerana dibawa oleh jin berbulu lebat.

Katanya, seluruh ahli keluarga kini dalam kebingungan kerana Siti Balqis gagal dikesan di tempat biasa dan mungkin berada di tempat yang diberitahunya menerusi SMS itu.

Menurutnya, sudah menjadi tabiat Siti Balqis membawa telefon bimbitnya di dalam seluar dan apabila hilang, dia akan mengirimkan SMS kepada ibunya.

Sharhan, ketika mengadakan sesi rawatan sesi kedua Ahad lalu berkata, Siti Balqis akan menghadapi cabaran dalam tempoh 21 hari dan kelmarin genap 14 hari dia menerima rawatan secara Islam.


Bina segera rumah transit


KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno menggesa kerajaan mempercepatkan pelancaran kompleks penempatan sementara golongan gelandangan bagi memastikan masalah membabitkan individu berkenaan dapat diselesaikan segera.
Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda Umno (Sheb), Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, setakat ini hampir 900 golongan gelandangan berdaftar ditemui sekitar ibu kota akibat tidak mempunyai tempat tinggal.

“Melalui program ‘Food of Life’ iaitu pemberian makanan percuma, kami sudah menghantar kira-kira 300 individu pulang ke pangkuan keluarga selepas gagal meneruskan hidup di Kuala Lumpur.

“Kami berharap dengan pembukaan kompleks itu yang dikenali sebagai rumah transit sementara dapat mengatasi masalah gelandangan di ibu kota termasuk di bawah jambatan, kaki lima dan kutu rayau,” katanya.


Katanya, Pemuda Umno turut menasihatkan ibu bapa dan keluarga supaya peka dan mengambil tahu keadaan anak mereka sekiranya keluar rumah untuk bekerja
 
 
 

Kenal pasti langkah tambah guru lelaki



MELAKA: Kementerian Pelajaran akan mengenal pasti langkah terbaik untuk meningkatkan jumlah guru lelaki dalam pengambilan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) pada masa akan datang bagi mengatasi dominasi gender cikgu wanita selaras dalam usaha bagi melahirkan modal insan berkualiti demi pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini berikutan jumlah bakal guru lelaki yang sedang melanjutkan pelajaran di semua 25 IPG di seluruh negara pada tahun ini didapati lebih rendah berbanding wanita dengan nisbah 2:1.

Menurutnya, daripada sejumlah 34,512 bakal guru yang sedang menimba ilmu, kira-kira 22,805 orang adalah wanita, manakala selebihnya lelaki.

“Saya tidak tahu adakah ini sudah suratan takdir atau (menjadi) satu cabaran yang harus kita berikan supaya pelajar (bakal guru) lelaki dan pegawai khas di kementerian (pelajaran) dapat meneliti untuk jangka masa panjang bagi menimbang ratio berkenaan

“Tugas untuk mendidik anak tidak hanya terletak pada tangan wanita saja, ini penting dalam membentuk sahsiah bagi membangunkan personaliti, akhlak, moral dan pekerti disebabkan kita perlu mempunyai keseimbangan.

“Kerajaan tidak menafikan peranan wanita yang lebih ramai memilih bidang perguruan, tetapi memerlukan peranan lelaki untuk memantapkan institusi pendidikan negara yang berdepan cabaran bagi membentuk modal insan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.



 

No comments:

Post a Comment