Wednesday, October 27, 2010

MUNGKIN BOLEH LARI DIHUKUM DIDUNIA....AKHIRAT TETAP DAPAT BALASAN....

NEGARA


Tiada sesalan di wajah pembunuh


DI rumah inilah Faridah dibunuh oleh Omar (gambar kecil) sebelum mayatnya dibuang di kawasan belukar di Persiaran Minden, George Town pada 12 September 2006.



GEORGE TOWN – “Nasiblah!” Selain ungkapan tersebut, seorang peniaga makanan, Omar Shaari ternyata tidak menunjukkan sebarang sesalan pada wajahnya selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini semalam.
Omar, 49, dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Datuk Abdul Halim Aman selepas didapati bersalah membunuh jirannya, Faridah Mohd. Sharif, 46, yang mayatnya ditemui hampir reput di kawasan belukar di Persiaran Minden di sini empat tahun lalu.
Kata-kata ringkas Omar itu ternyata menyentap perasaan galeri awam apatah lagi ditambah dengan tindakannya tersenyum sambil mengangkat bahu ke arah abang kandung, isteri dan anaknya yang turut berada di situ selepas mendengar penghakiman Abdul Halim.



NEGARA


Seks kaki dadah


ANGGOTA AADK menyoal siasat lima penagih dadah yang ditahan dalam serbuan di Jalan Datuk Dalam, Johor Bahru kelmarin.



JOHOR BAHRU - Melakukan seks beramai-ramai sambil menghisap dadah.
Itulah tindakan yang disyaki sering dilakukan oleh sekumpulan lima penagih dadah sebelum dicekup sepasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Johor di sebuah pondok haram di Jalan Datuk Dalam di sini petang kelmarin.
Difahamkan, kesemua penagih dadah termasuk seorang wanita berusia 20-an sedang khayal ketika dicekup. Beberapa kondom terpakai juga ditemui bersepah di lantai pondok haram terbabit.
Malah, hasil pemeriksaan di pondok penagih terbabit turut menemui pelbagai pakaian yang disyaki disimpan penagih-penagih terbabit sebagai kemudahan untuk mereka menginap di situ.
Penolong Pegawai AADK Johor, Zulhilmi Ahmat berkata, kesemua penagih terbabit ditahan dalam Ops Res-Q selama tiga jam bermula pukul 3.30 petang kelmarin hasil maklumat orang ramai.
Turut ditemui ialah beberapa kad pengenalan, lesen memandu, kad-kad bank serta kad kredit dipercayai diperoleh daripada kegiatan ragut yang dilakukan oleh penagih-penagih terbabit.
Katanya, selain itu, beberapa dadah jenis heroin, morfin dan ganja juga ditemui.
"Pihak kami percaya pondok haram yang didirikan ini merupakan markas penagih-penagih dadah berkumpul untuk menghisap dadah selain melakukan aktiviti maksiat.
"Hasil siasatan juga mendapati pondok yang berdindingkan kayu serta beratap kain khemah itu dipercayai telah didirikan baru-baru ini," katanya semasa dihubungi semalam




NEGARA


Pelakon filem Susuk bercerai


ALEEZA kelihatan sebak ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur bersama Mohd. Fauzi semalam.



KUALA LUMPUR – Model dan pelakon filem Susuk, Aleeza Kasim sah bercerai dengan suaminya, Datuk Mohd. Fauzi Che Rus di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam. Lafaz cerai tersebut dibuat oleh suaminya secara tertutup di kamar Hakim Syarie Mohd. Suhaily Rosdi.
Pasangan tersebut memasuki kamar hakim pada pukul 9.15 pagi dan keluar kira-kira 15 minit kemudian.
Aleeza, 40, dilihat menangis teresak-esak manakala Mohd. Fauzi, 47, nampak tenang.
Ketika dihampiri oleh wartawan dan jurufoto, kedua-dua mereka enggan ditemu bual.
Mereka kemudian pulang secara berasingan menaiki kenderaan masing-masing



NEGARA


Lari dari gunung berapi


SUKARELAWAN mengusung mayat seorang mangsa letusan Gunung Merapi di Kampung Kinarrejo berdekatan Yogyakarta semalam.



KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta semalam mengesahkan tiada laporan kematian atau kecederaan yang melibatkan rakyat Malaysia termasuk pelajar dalam kejadian gempa bumi dan letusan Gunung Merapi di Indonesia.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan terus memantau situasi terkini di Kepulauan Mentawai, Sumatera dan Jawa Tengah tempat berlakunya gempa bumi dan letupan gunung berapi tersebut.
Kenyataan itu menyebut, Kementerian Luar telah menubuhkan Bilik Operasi untuk menerima sebarang pertanyaan mengenai tragedi berkenaan.
Jelasnya, orang ramai boleh memperoleh maklumat dengan menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya menerusi talian 03-8889 2746 atau 03-8887 4570.



NEGARA


Takut dengar suara Pak Belang


MOHAMAD YUSOFF menunjukkan bekas tapak kaki harimau di Kampung Ulu Kuala Long, Jeli semalam.



JELI – Pak Belang kembali ke Jeli. Itulah yang merisaukan ramai penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini apabila ada penduduk mendakwa terdengar ngauman haiwan pemangsa itu di ladang getah Felcra Kampung Reka dan Kampung Ulu Kuala Long dekat sini baru-baru ini.
Dakwaan ada orang terserempak dengan seekor harimau yang sedang menyeberangi jalan di kawasan ladang tersebut menambahkan kerisauan penduduk.
Ada juga penduduk kampung yang mendakwa mendengar ngauman harimau dari arah kawasan Taman Rekreasi Lata Janggut dekat sini yang sering menjadi tumpuan pengunjung.
Seorang penduduk, Mohamad Yusoff Abdullah, 25, berkata, dia dan keluarganya yang menetap di Kampung Ulu Kuala Long di sini mendengar suara harimau mengaum sebanyak tiga kali dari arah puncak bukit berhampiran minggu lepas.
“Lepas dengar mengaum itu kami diselubungi ketakutan kerana saya sendiri pernah mendengar haiwan tersebut mengaum di kawasan puncak bukit.
“Saya bimbang haiwan berkenaan mengganas kerana ia boleh mencederakan penduduk kampung,” katanya.




NEGARA


Pegawai Imigresen tak mengaku salah 3 tuduhan rasuah


MOHD. YUSOF dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas tiga tuduhan rasuah.


SEREMBAN - Seorang pegawai Imigresen Port Dickson semalam tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga tuduhan rasuah melibatkan suapan RM66,950 pada Julai dan September lalu.
Tertuduh, Mohd. Yusof Bahari, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Atan dan minta dibicarakan.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan RM80 bagi setiap warga Indonesia yang menaiki feri Rasa Rindu 2 membolosi pemeriksaan Imigresen tanpa diperiksa. Rasuah itu didakwa diterima daripada seorang lelaki di sebuah restoran berhampiran Hotel Suria, Port Dickson pada pukul 7.30 malam 20 Julai lepas.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM41,110 daripada orang tengah untuk melepaskan warga Indonesia yang juga penumpang feri Rasa Rindu 2 antara 20 Julai hingga 6 September lepas.
Dalam tuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima RM25,840 daripada seorang lelaki bernama Mohamad Shariman Sharuddin untuk menghalang warga Indonesia balik ke negara mereka walaupun memiliki dokumen perjalanan yang sah



DUNIA


Korban tsunami Sumatera 282 orang


GAMBAR dari udara yang dirakamkan semalam menunjukkan sebuah kampung musnah akibat tsunami di Pulau Pagai, Kepulauan Mentawai.



JAKARTA – Angka kematian akibat tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dekat Pulau Sumatera meningkat kepada 282 orang manakala 411 lagi masih hilang, kata pihak berkuasa semalam.
Tsunami itu berlaku akibat gempa bumi bawah laut yang kuat pada Isnin lalu di Kepulauan Mentawai dengan kekuatan 7.7 pada skala Richter.
Pihak berkuasa menyatakan beberapa bekalan seperti makanan, selimut dan khemah telah dihantar ke kawasan bencana.
Bagaimanapun, air minuman bersih masih sukar untuk diperoleh dan risiko untuk mendapat penyakit kian tinggi.
Beberapa buah helikopter yang menghantar bekalan kecemasan mendarat di Kepulauan Mentawai semalam.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan lawatan ke Vietnam ekoran bencana tsunami dan Gunung Merapi di Pulau Jawa.
Tinjauan udara yang dibuat di Kepulauan Mentawai yang dilanda tsunami setinggi tiga meter menunjukkan beberapa kawasanditenggelami air.
Dalam tinjauan itu, sejumlah rumah musnah akibat ombak tsunami.
Sebuah rumah kelihatan senget selepas kejadian ombak tsunami itu berlaku.
Kepulauan Mentawai terletak berdekatan dengan pusat gempa bumi itu.
Menurut seorang pegawai bencana, Ade Edward, sebuah pesawat kargo pertama yang membawa 16 tan khemah, bekalan perubatan dan pakaian tiba pada tengah hari semalam.
Empat buah helikopter mendarat di Sikakap, sebuah bandar di Pulau Pagai Utara di Kepulauan Mentawai.
Ade berharap, operasi menyelamat dan mencari akan ditingkatkan.
“Kami mempunyai peluang kini untuk mencari mangsa yang hilang dengan menggunakan pesawat dan meninjau skala kemusnahan,” katanya.
Seorang mangsa yang terselamat, Borinte, 32, petani dari Kampung Detumonga di pantai Pagai Utara, berkata, dia terselamat selepas berpaut pada sebatang kayu.
Namun, isteri dan tiga anaknya meninggal dunia.
“Kira-kira 10 minit selepas gempa bumi itu, kami mendengar bunyi yang kuat, bunyi seperti guruh. Kami keluar dari rumah dan melihat ombak datang. Kami cuba berlari ke tempat lebih tinggi tetapi ombak itu lebih pantas daripada kami,” katanya.
Beberapa pelancong Australia turut terperangkap dalam bencana itu.
Sebuah bot pelancong dibadai dengan satu tembok air dan mangsa-mangsa yang menaikinya dibawa arus ke dalam hutan tetapi mereka selamat.
Satu lagi kumpulan sembilan peluncur ombak ditemui hidup selepas dilaporkan hilang.
Menurut beberapa pegawai, tsunami itu melanda sejauh 600 meter ke daratan di Pulau Pagai Selatan di Kepulauan Mentawai.
Di Pulau Pagai Utara, sebuah resort dan hampir 200 buah rumah musnah akibat tsunami. – Agens

No comments:

Post a Comment