'Kami bukan tamakkan duit'
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Syah Rul Aswari Abdullah
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Rita berkata, saman berkenaan difailkan peguamnya, Selasa depan dan keputusan itu bukan dibuatnya bersendirian, sebaliknya dipersetujui sebulat suara oleh adik-beradik serta ahli keluarga lain selepas menerima nasihat daripada peguam.
“Soal tamak wang tidak timbul berbanding kekejaman mereka terhadap ibu. Jadi saya berharap orang ramai tidak memandang serong terhadap tindakan kami
“Tujuan kami hanya satu, bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya,” kata anak jutawan kosmetik itu ketika dihubungi Harian Metro, semalam
Mengenai perkembangan terkini dirinya, Rita, 25, berkata, dia kini sibuk menguruskan perniagaan yang ditinggalkan ibunya dan masih belajar untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang cekap seperti arwah ibunya.
Sementara itu, peguam Kamarudin Ahmad dalam satu kenyataan akhbar yang difaks kepada pejabat media petang semalam berkata, firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners dilantik anggota keluarga Sosilawati untuk memfailkan tuntutan ganti rugi berkenaan.
Menurutnya, tuntutan yang difailkan pihaknya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 November depan itu dikemukan terhadap peguam N Pathmanabhan dan lima individu lain yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.
Selain Kamarudin, peguam bela yang akan mewakili firma guaman itu ialah Won Walter Pereira dan Annie Gomez.
Ketika dihubungi, Kamarudin berkata, tuntutan saman ganti rugi itu adalah hasil perbincangan yang dibuat bersama ahli keluarga mangsa, kira-kira seminggu lalu.
Katanya, RM40 juta adalah jumlah yang difikirkan sesuai berdasarkan kerugian terhadap keluarga mangsa berikutan operasi perniagaan syarikat kosmetik itu mengalami kerugian kerana pembunuhan kejam Sosilawati.
“Bagaimanapun, kita akan lebih memfokuskan kepada Pathmanabhan. Mungkin ahli keluarga Sosilawati juga akan hadir ketika kita memfailkan tuntutan ini,” katanya.
Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan, 41, pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47 dan tiga individu lain.
Individu lain itu adalah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Pathmanabhan dan tiga tertuduh lain didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.
Sementara itu, pada 15 Oktober lalu, dua lelaki K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan kejam itu.
Selain membakar, mereka mengaku salah membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting dan Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 30 dan 31 Ogos lalu.
Kamarudin juga memaklumkan, pihaknya masih menunggu maklum balas dari pihak keluarga Ahmad Kamil sama ada mahu melakukan tindakan sama iaitu menyaman tertuduh seperti yang dilakukan oleh ahli keluarga Sosilawati
Tragedi balik bercuti
Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim, Mohd Firdaus Ibrahim dan Safuri Kamarudin
MALANG...bas yang terbalik di susur masuk ke Genting Highlands.
MALANG...anggota bomba mengangkat seorang mangsa yang terbunuh.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, bas yang membawa 44 orang termasuk dua pemandu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kerosakan brek sebaik bas menuruni susur keluar ke lebuh raya.
Katanya, sebaik tiba berhampiran terowong itu, bas berkenaan tiba-tiba gagal dikawal lalu melanggar penghadang tengah jalan sebelum terbaring merintangi jalan
“Tujuh mangsa yang maut akibat tersepit dan mayat mereka dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Bentong dengan ambulans. Dua pemandu bas berkenaan juga terselamat,” katanya.
Enam mangsa yang terbunuh ialah Muhammad Yussof Akhit, 16; Muhammad Khairi Muhammad Marzuki, 14; Muhammad Firdaus Rosedi, 16; Mohd Ridzuan Husin, 17; Mohd Fahmi Abdul Mustaffa, 17 dan Muhamad Amirul Mohamad Isa, 13, dan Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28.
Seorang lagi mangsa terbunuh dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan identitinya belum dikenal pasti.
Che Husin berkata, enam jentera bomba turut dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit.
Sementara itu, Setiausaha Umno Baling, Mohamad Sani Mahmud berkata, rombongan itu ke Genting Highlands bercuti. Mereka bertolak dari Baling malam kelmarin dan ketika kejadian dalam perjalanan pulang.
Katanya, mereka dipilih di kalangan penduduk berusia 20-an untuk bercuti.
“Kami terkejut kejadian itu dan kini menguruskan jenazah untuk dibawa ke Baling bagi dikebumikan,” katanya
Bersesak dalam kandang lembu
Oleh Ramli Hussin
DAIF...Salma bersama empat daripada lapan anaknya.
Walaupun hidup dalam keadaan sukar dan serba kekurangan, itu hakikat terpaksa dilalui keluarga Salma Mamat, 36, dan Zakaria Abdullah, 42, selepas dihalau pemilik rumah sewa mereka di Pekan Gunong sebelum ini kerana tidak mampu membayar sewa.
Salma berkata, suaminya yang bekerja sebagai buruh hanya mampu menyediakan makan minum ala kadar untuk keluarga.
“Kami tiada pilihan selain tinggal di dalam bekas kandang lembu ini sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas. Jika hujan lebat, tanah yang menjadi lantai rumah kami akan becak menyebabkan kami bertambah tidak selesa,” katanya sayu
Dalam menjalani kehidupan seharian, pasangan itu terpaksa bersesak-sesak dengan lapan anak berusia antara setahun setengah hingga 22 tahun selain dua menantu iaitu isteri kepada anak sulung dan kedua mereka.
Biarpun sejumlah 12 orang tinggal di dalam bangsal yang serba daif itu, keluarga Salma hanya mempunyai satu katil buruk sebagai tempat tidur paling selesa.
Lapan anak Salma dan Zakaria ialah Mohd Badrul Hisham, 22; Mohd Badrul Azizi, 21; Sri Dalila, 18; Mohd Badrul Fauzi, 16; Mohd Badrul Hakimi, 15; Mohd Badrul Aminuddin, 13; Sri Mas Ayu, 6, dan Sri Dahlia Natasya, setahun setengah
Menurut Salma, hanya dua daripada anaknya iaitu Mohd Badrul Fauzi dan Sri Mas Ayu bersekolah kerana mereka tidak mampu menanggung persekolahan anak yang lain.
Katanya, biarpun anak sulung dan keduanya sudah berkahwin serta bekerja, namun mereka terlalu miskin untuk membantu keluarga.
“Malah, isteri mereka turut tinggal bersama kami, menjadikan keadaan bangsal kami bertambah sesak. Dua anak lelaki saya hanya bekerja sebagai buruh dan mereka juga tidak mampu memiliki rumah sendiri.
“Memang sukar bagi kami meneruskan kehidupan setiap hari dan hanya mampu menikmati nasi berlauk kangkung dan budu. Jika teringin sangat makan lauk ikan, anak saya akan mencarinya di sekitar bendang dan sungai berdekatan,” katanya.
Salma berkata, dia sekeluarga amat mengimpikan sebuah rumah yang lebih sempurna bagi membesarkan anak.
“Rumah adalah keutamaan saya ketika ini, tambahan pula musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi.
“Jika kami masih tinggal di bangsal ini bermakna sepanjang malam kami akan tidur beralaskan tanah yang basah selain menghadapi masalah bumbung bocor,” katanyaY
No comments:
Post a Comment