Friday, December 17, 2010

JANGANLAH KITA DEGIL SANGAT....TAK INGAT MATI...TAK FIKIR NERAKA..KE- TAK KEMEWAHAN DUNIA BOLEH MENGATASI NIKMAT SYURGA..SUSAH KALAU HATI DAH TERTUTUP

DAH AGAMA RASMI ISLAM...HUKUM ALLAH JELAS DI DALAM QURAN...APA PULAK NAK BERDALIH2...MENGHALANG2 UNTUK DILAKSANAKANNYA...TAK TAKUTKE KEMURKAAN ALLAH...SERTA MUSIBAH@BALA DARI ALLAH...JIKA MENGINGKARINYA ATAU CAKAP BERBELIT2.....BINCANGKAN AJE BAGAIMANA NAK DILAKSANAKAN....DAH MATI TAK BOLEH DIKESALKAN LAGI...INGAT ILMUAN2 ISLAM...MUFTI2 DLL YANG SAMA DENGANNYA...HIDUP KITA...REZEKI KITA...DAN SEMUANYA DARI ALLAH BUKAN DARI MANUSIA...JANGAN SAMPAI KITA LEBIH TAKUT MANUSIA DARI ALLAH...NAK TEMPAH SYIRIKKE...

Ugut wanita hamil angkara rasuah seks

MELAKA: Seorang pegawai kanan kerajaan kini disiasat polis berhubung satu laporan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita yang juga seorang pengusaha gerai makanan di sebuah daerah di negeri ini berhubung skandal seksnya.

Menurut sumber, pegawai terbabit meminta habuan seks untuk menolong mangsa memperoleh tapak sebuah rumah kedai bagi tujuan membuka perniagaan gerai berkenaan dan mangsa bersetuju dengan permintaannya itu.

Sumber berkata, pegawai itu dan wanita terbabit kemudiannya bersetuju berjumpa kali pertama di satu tempat sebelum mereka dikatakan melakukan hubungan seks.

Selepas hubungan kali pertama itu, mangsa memperoleh apa yang dikehendakinya sebelum kedua-dua mereka bertemu sekali lagi di satu tempat dan melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun, sumber berkata, selepas pertemuan kali kedua itu, mangsa kemudiannya mendapati dirinya tidak datang haid dan dipercayai mengandung anak hasil hubungan dengan pegawai terbabit.

“Perkara itu sampai kepada pengetahuan pegawai kanan kerajaan terbabit menyebabkan dia terkejut dan panik. Dipercayai bimbang rahsia hubungan sulitnya dengan mangsa terbongkar, pegawai berkenaan mendesak wanita itu menggugurkan kandungannya.

“Begitupun, mangsa enggan menuruti permintaan pegawai terbabit biarpun didesak dan diugut beberapa kali,” katanya.




Peraturan kurang mantap



KUALA LUMPUR: Undang-undang jenayah syariah di Malaysia tidak cukup mampu untuk berperanan sebagai satu faktor pencegah gejala zina dan pembuangan bayi.
Profesor Madya Jabatan Undang-undang Islam, Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datin Dr Paizah Ismail, berkata mungkin agak janggal untuk mengatakannya, namun itulah hakikatnya.

Menurutnya, undang-undang jenayah syariah di Malaysia sekarang pada tempat yang serba salah dengan peranan kecil yang bersifat pinggiran.
“Dengan sedikit bidang kuasa yang ada dan tradisi mahkamah kurang mantap tidak banyak yang boleh diharap daripada undang-undang jenayah syariah dalam negara ini untuk menyumbang ke arah menyelesaikan masalah zina dan pembuangan bayi.

“Menghadapi realiti serius seperti soal penzinaan dan pembuangan anak sekarang ini undang-undang yang cukup berkesan diperlukan.

“Syarat ini tidak dapat dipenuhi oleh undang-undang jenayah syariah di Malaysia sekarang. Peruntukan di dalamnya tidak mampu memberi kejutan kepada remaja dan penuntut supaya lebih berhati-hati,” katanya, dalam kertas kerja pada Muzakarah Pakar di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), di sini, semalam

Muzakarah itu membincangkan persoalan menangani zina serta pembuangan bayi di kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Gejala itu membimbangkan, malah berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan ibu kanak-kanak beragama Islam yang melahirkan anak luar nikah dari tahun 2000 hingga Julai 2008 seramai 155,744 orang

Dr Paizah berkata, kesalahan membuang bayi tidak diperuntukkan dalam undang-undang jenayah Islam di Malaysia walaupun ada pelbagai peruntukan dan istilah kesalahan berzina, seperti berzina sendiri, persetubuhan haram dan sumbang mahram.

“Mungkin kerana peruntukan seperti itu ada dalam undang-undang jenayah Malaysia, iaitu undang-undang yang berkuatkuasa atas semua orang di negara ini dan bukan atas orang Islam saja,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang jenayah syariah di Malaysia juga bukan undang-undang yang bertujuan merealisasikan syariat Islam sepenuhnya, sebaliknya berperanan menampung kekurangan pada undang-undang konvensional dalam hal keagamaan.

“Kerana itulah peruntukan di dalamnya lebih bersifat untuk menjaga kepentingan keagamaan bagi umat Islam di negara ini dan bukan untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam sepenuhnya,” katanya. Menurutnya, peruntukan dalam undang-undang jenayah syariah seperti persetubuhan luar nikah secara umum berdasarkan kepada syariat Islam, namun tidaklah mengikut kehendak syariah sepenuhnya.

“Tidak semua penyelesaian yang dicadangkan undang-undang jenayah Islam di Malaysia berasaskan kepada syariah.

“Kerana itu, kalau ada apa-apa kelemahan dalam undang-undang berkenaan ia tidak dengan sendirinya menggambarkan kelemahan dalam syariah, sebaliknya kelemahan undang-undang itu sendiri,” katanya



Hati-hati pilih pasangan



KANGAR: Kecenderungan rakyat negara ini untuk memilih lelaki atau wanita ‘hidung mancung’ terutama dari Pakistan, Iran dan Lubnan sebagai pasangan hidup terbantut apabila Jawatankuasa Fatwa Perlis mengeluarkan arahan supaya mengelakkan berkahwin dengan golongan berkenaan yang berfahaman Syiah.
Susulan keputusan fatwa itu, Jabatan Mufti Perlis mengeluarkan kenyataan menasihatkan rakyat negara ini supaya tidak memilih lelaki atau wanita yang berfahaman berbeza sebagai pasangan hidup bagi mengelak implikasi buruk hasil perkahwinan itu.

Sejak kebelakangan ini, ramai rakyat negara terbabit menetap di negara ini dan ada antara mereka mendapat taraf pemastautin tetap selepas berkahwin dengan penduduk tempatan.
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata perkahwinan lelaki dan wanita tempatan yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan penganut Syiah tidak digalakkan kerana boleh memberi kesan kepada pegangan akidah.

Katanya, peringatan itu selaras mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis pada 15 dan 16 November lalu yang bersetuju supaya pernikahan membabitkan dua fahaman berbeza itu perlu dielakkan.

“Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sudah memperakukan keputusan majlis fatwa negeri yang tidak menggalakkan perkahwinan antara penganut Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah pada 7 Disember lalu.


“Sehubungan itu, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam negeri dan jurunikah di Perlis diminta terlebih dulu menyiasat fahaman mereka yang berkahwin bagi mengelak wujud perkahwinan membabitkan fahaman berbeza ini,” katanya ketika dihubungi, semalam



Perlu usaha berterusan



KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan dan perundangan perlu mengambil kira perubahan dan cabaran semasa, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan (gambar).
Menurutnya, suasana sekarang berbeza dengan dahulu, malah ia dinamik dan jangan ingat yang dibuat hari ini semuanya sempurna, malah memerlukan kepada usaha berterusan. “Suasana berubah dengan pesat dan mendadak. Usaha menambah baik itu (pendidikan dan undang-undang) usaha yang berterusan. Suasana berubah, cabaran berubah,” katanya, pada Muzakarah Pakar Menangani Zina serta Pembuangan Bayi di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah, di Ikim, di sini, semalam.

Nik Mustapha berkata, perlakuan zina dan pembuangan bayi semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak supaya ia tidak menjejaskan keutuhan struktur masyarakat, sosio budaya, ekonomi dan mutu hidup, malah hasrat mencapai Wawasan 2020.
“Cari puncanya dari pelbagai aspek, apa sebabnya berlaku di kalangan pelajar sekolah dan kaedah mengurangkannya kerana ia merosakkan kestabilan dan keharmonian masyarakat serta institusi keluarga,” katanya.


Kelebihan mukmin kuat



KEHIDUPAN ini walaupun sementara hendaklah diisi dengan kebahagiaan dan juga kesejahteraan. Bagi mengisinya seseorang itu mestilah memperkukuhkan keimanan, ibadah dan ketakwaan dalam hati dan diri. Semua ini akan membina kekuatan hati dan jiwa setiap umat Islam.
Mengikut istilah, Muslimin adalah orang lelaki yang beragama Islam. Sementara Mukminin adalah orang lelaki yang percaya kepada Allah dan orang beriman. Sementara mukminat adalah mukmin perempuan yang beriman kepada Allah s.w.t.

Menjadi Muslimin dan Mukminin yang beriman seharusnya menjadi tujuan hidup setiap umat Islam. Tujuan hidup di dunia adalah beriman dan beramal kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Selain itu, melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Al-Quran sebagai petunjuk jalan yang lurus memberi panduan hidup kepada setiap Muslim. Di samping itu, ia mengeluarkan manusia daripada kegelapan. Ini dijelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Alif Lam Ra (inilah) Kitab al-Quran, kami turunkan ia kepada engkau (Muhammad) supaya engkau dapat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang dengan izin Tuhan mereka kepada jalan Maha Perkasa dan Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1).

Dijelaskan, al-Quran diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk mengeluarkan umat manusia daripada alam kegelapan ke alam cahaya iaitu daripada kesesatan dan kebodohan, kejahilan dan kebiadaban kepada jalan kebenaran, keimanan dan peradaban yang lebih baik dan maju.

Seorang mukmin yang sanggup belajar dan memajukan diri dengan ibadah, keimanan dan ketakwaan sangat mulia di sisi Allah. Mereka ini diibaratkan sebagai manusia yang keluar daripada kegelapan kepada cahaya keimanan dan keilmuan. Nabi bersabda yang bermaksud: “Tidak ada orang yang lebih mulia di sisi Allah daripada seorang mukmin.” (Riwayat Ath Thabrani


Kejayaan umat Islam di dunia adalah dengan amalan kebaikannya dan menjauhi segala keburukan. Setiap amalan kebajikan akan membantu seseorang di akhirat. Ini ditegaskan Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa menyenangi amalan kebaikannya dan menyedihkan (bersedih dengan) keburukannya maka dia adalah seorang mukmin.” (Riwayat Al Hakim).

Nabi juga bersabda yang bermaksud: “Allah ‘Azza Wajalla mewajibkan tujuh hak kepada seorang mukmin terhadap mukmin yang lain, iaitu pertama, melihat saudara seimannya dengan rasa hormat dalam pandangan matanya. Kedua, mencintainya di dalam hatinya. Ketiga menyantuninya dengan hartanya. Keempat, tidak mengumpat atau mendengar pengumpatan terhadap kawannya. Kelima, menjenguknya apabila sakit
Keenam, melawat jenazahnya dan ketujuh, tidak menyebut kecuali kebaikannya sesudah ia meninggal.

Semua perkara ini harus menjadi amalan umat Islam sebagai seorang yang benar-benar ingin menjadikan dirinya mukmin. Dalam kehidupan seharian, umat Islam kadang-kadang terlalu sibuk dalam mengejar kemewahan dan mencari harta kekayaan sehingga lupa tanggungjawab sebagai mukmin.

Perkara yang baik ini tidak harus dikesampingkan dalam kehidupan seharian.

Kekuatan seseorang mukmin banyak bergantung pada ilmu, amalan dan ibadah yang dilakukannya. Penyatuan ummah juga banyak bergantung pada ketiga-tiga kekuatan ini dalam menjalani kehidupan seharian. Hal ini dijelaskan Nabi melalui sabdanya: “Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada seorang mukmin yang lemah dalam segala kebaikan. Peliharalah apa-apa yang menguntungkan kamu dan mohonlah pertolongan Allah dan janganlah lemah semangat (patah hati). Jika ditimpa sesuatu musibah janganlah berkata, “Oh andaikata aku tadi melakukan itu tentu akibatnya begini dan begitu, tetapi katakanlah, ini takdir Allah dan apa yang dikehendaki Allah pasti dikerjakannya. Ketahuilah, sesungguhnya ucapan ‘andaikata’ dan ‘jikalau’ membuka peluang bagi syaitan.” (Hadis riwayat Muslim).

Tokoh ilmuan Islam, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan, ciri-ciri masyarakat Islam yang kuat yang kita idamkan mestilah kuat dari segi akidah dan keimanan, syiar dan ibadat, pemikiran dan pemahaman, perasaan dan emosi, akhlak dan kesopanan, adab dan budaya, nilai-nilai kemanusiaan, syariat dan perundangan. Mereka juga kuat dari segi ekonomi dan harta.

Lantaran itu, semua kekuatan ini mesti berlandaskan cara hidup Islam. Melaluinya akan dapat membina dan mengetengahkan ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang menjadi idaman umat Islam di seluruh dunia. Hal ini akan dapat mengukuhkan masyarakat Islam dari pelbagai sudut iaitu ekonomi, politik dan sosial.

Sebagai contoh, Abu Ubaidah r.a. seorang panglima perang dan sahabat Nabi yang teguh Islamnya, kuat imannya dan benar-benar bulat berserah diri kepada Allah. Oleh sebab itu, dia termasuk seorang tokoh Islam bersemangat waja dan tinggi keikhlasannya. Beliau pernah berkata: “Ketahuilah berapa banyak orang pakaiannya putih, tetapi kotor agamanya dan berapa banyak yang berasa mulia hari ini, tetapi terhina dan sia-sia hari esoknya.” Menurut pandangan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, hubungan antara iman dan harapan sangat penting. Iman berhubung dengan kebenaran yang ada di dalam hati, sedangkan amal perbuatan jelas bukan iman, lantaran iman itu letaknya hanya di dalam hati, ertinya iman membenarkan bahawa Allah adalah Tuhan dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah dan kebenaran itu bukan diperlihatkan dengan ucapan, namun tersimpan di dalam hati.

Oleh itu, dalam menjalani kehidupan seharian, pendidikan dan ilmu sangat penting. Pendidikan tauhid, ibadah, keimanan, akal, akhlak, jasmani dan kemasyarakatan dapat membantu ke arah kekuatan penyatuan ummah. Melalui pendidikan akan dapat membentuk insan bersikap adil, lemah lembut, pengasih dan penyayang, berdisiplin dan dapat membentuk Muslimin dan Mukminin bertakwa.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

2 peragut diarak



SIBU: Angkara cubaan meragut tidak kesampaian, dua peragut bukan saja dibelasah orang ramai, malah diarak bagaikan pengantin menggunakan kereta sorong sejauh kira-kira satu kilometer dengan tangan bergari ke Balai Polis Sentral selepas mereka ditahan di Jalan Market di sini, semalam.
Kedua-dua penjenayah berkenaan terpaksa diletakkan di atas kereta sorong apabila salah seorang daripada suspek dipercayai patah kaki akibat dibelasah orang awam yang berang dengan tindakan mereka meragut rantai milik warga emas berusia 60-an di Pasar Central, jam 10.45 pagi.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama suaminya berjalan ke pasar berkenaan sebelum didatangi dua suspek menaiki motosikal lalu meragut rantai leher milik wanita berkenaan.
Bagaimanapun, ketika cuba melarikan diri, suami mangsa dengan pantas menarik tangan salah seorang suspek dan ketika itu, berlaku aksi tarik menarik sehingga motosikal dinaiki suspek terbabas.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shaffie Ismail berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu membantu sebelum berjaya memberkas kedua-dua suspek dan menyerahkannya kepada polis yang secara kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian.

Beliau berkata, selepas motosikal suspek terbabas, orang awam membantu menangkapnya, malah ada antara mereka terlalu geram lalu membelasah sehingga salah seorang patah kaki
“Kedua-dua suspek memang dikehendaki polis kerana terbabit dengan jenayah ragut di sekitar sini sejak beberapa bulan lalu.

“Polis terpaksa meminjam kereta sorong milik seorang peniaga untuk menghantar mereka ke balai polis berhampiran kerana seorang daripadanya patah kaki,” katanya.

Shaffie berkata, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan polis sedang meneliti tindakan lebih berat mengikut langkah pencegahan khas kerana mereka terbabit dalam banyak kes ragut sekitar Bandaraya Sibu terutama dalam tempoh tiga bulan lalu.

No comments:

Post a Comment